Alor Setar: Seorang guru dari Langkawi,
semalam memfailkan saman terhadap Pengarah Pelajaran Kedah dan lima yang lain
memohon deklarasi mahkamah menetapkan arahan pertukarannya ke Jawi, Pulau
Pinang, sebagai tidak sah.
Saman berkenaan difailkan Alias Saleh,
47, yang sebelum ini bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedawang di Langkawi,
melalui peguam, Mohd Fadli Shuib.
Selain Pengarah Pelajaran Kedah, Alias
turut menamakan Pegawai Penyelia Pelajaran Daerah Langkawi, Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Malaysia
sebagai defendan kedua hingga kelima.
Dalam tuntutannya, plaintif memohon dua
deklarasi dibuat Mahkamah Tinggi, iaitu memutuskan arahan penempatan semulanya
dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kedawang di Langkawi ke SK Relau dekat Jawi, Pulau
Pinang yang dikeluarkan defendan pertama bertarikh 1 Oktober lalu, sebagai
tidak sah.
Alias juga turut memohon satu lagi
deklarasi supaya Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) plaintif bagi tahun
2005 hingga 2007 dinilai semula secara lebih adil dan saksama berdasarkan merit
oleh pentadbiran semua defendan.
Untuk itu, plaintif memohon ganti rugi
am dan ganti rugi teladan serta lain-lain relif yang difikirkan adil dan sesuai
oleh mahkamah.
Ganti rugi berkenaan dipohon selepas
plaintif mendakwa beliau mengalami tekanan emosi dan perasaan akibat tindakan
defendan, sehingga mengganggu tugasan hariannya yang turut menyebabkan plaintif
mengalami kemurungan dan tekanan yang dahsyat.
Mahkamah menetapkan 30 Januari ini
sebagai tarikh pengurusan kes.
- Utusan
1 comments:
Post a Comment