MELAKA:
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan dibentangkan kepada jemaah menteri
dalam satu sesi khas pada 30 Jan ini bagi tujuan kelulusan, kata Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin,
yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelan itu kini 99.9 peratus siap dan
apabila dilaksanakan kelak akan melonjakkan taraf pendidikan di Malaysia
menjadi antara terbaik di dunia.
"Kita
nak tingkatkan kedudukan kita daripada apa yang ada sekarang ini kepada satu
pertiga yang terbaik di dunia tempoh 13 tahun. Ia suatu anjakan yang amat besar
dalam sistem pendidikan kita.
"Anjakan
besar yang akan melibatkan semua peringkat bukan sahaja warga pendidik tetapi
juga masyarakat pimpinan-pimpinan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan
komuniti. Semua kita rangkumkan dalam pelan yang saya fikir adalah inklusif
kerana tak mengasingkan sesiapa, semua akan terlibat," katanya.
Beliau
berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia
Bersama Pemimpin di Sekolah Menengah Tun Haji Abdul Malik, Cheng di sini, hari
ini.
September
lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan
strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
Antara
yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti
dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa
Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan
menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.
-
Bernama
0 comments:
Post a Comment