Thursday, January 31, 2013

Kabinet Lulus Laporan Akhir Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025


PETALING JAYA: Laporan Akhir Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 telah diterima dan diluluskan oleh Kabinet, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata laporan tersebut seterusnya akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat.

Beliau mengumumkan demikian pada majlis jamuam malam sempena ulang tahun ke-21 dan kempen rayuan derma tabung pembinaan bangunan Huazong, di sini.

Turut hadir presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah, Duta Besar China ke Malaysia Datuk Chai Xi, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan pengasas Sunway Group yang juga wakil penaung bangunan Huazong Tan Sri Dr Jeffrey Chuah.

Pada September tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Antara yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan meminggirkan sekolah aliran Cina adalah tidak benar sama sekali.

"Komitmen kerajaan adalah untuk memastikan mutu pendidikan di semua sekolah dapat ditingkatkan termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

"Oleh sebab itu, Perdana Menteri dalam Belanjawan 2012 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta khusus membiayai pembangunan dan penyelenggaraan sekolah jenis kebangsaan Cina dan ianya diteruskan dalam Belanjawan 2013," katanya.

- BERNAMA

Wednesday, January 30, 2013

Video: Nilai Murni Semakin Terhakis Dalam Kehidupan Manusia


Klip video di bawah memaparkan sikap bertanggungjawab si abang yang membantu adiknya melintas parit kecil amat menyentuh perasaan.

Di zaman ledakan ICT  dan kesibukan dengan laman sosial masing-masing, sedikit sebanyak membataskan pergaulan dan kurangnya amalan nilai-nilai murni dalam kalangan manusia. Agak jarang kedapatan ibu bapa yang mengajar nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka. Tiada lagi tunduk hormat bila melintas di hadapan orang yang lebih tua, tiada lagi rasa ingin membantu orang lain, tiada lagi rasa bersalah bila melihat sampah dibuang merata-rata, dan banyak lagi nilai murni lain yang beransur hilang dalam kehidupan manusia!

Semoga klip video yang dipaparkan ini mendatangkan keinsafan dan amalan nilai-nilai murni dapat terus kekal dalam kehidupan manusia sejagat. Diharap dalam kesibukan kehidupan masa kini, ibu bapa masih mampu menitik beratkan nilai-nilai murni yang baik di kalangan anak-anak mereka.



- YouTube

Tuesday, January 29, 2013

Semakan Tawaran Ke Tingkatan Satu Sekolah Berasrama Penuh Ambilan Kedua 2013


Merujuk kepada laman Kementerian Pelajaran Malaysia, dimaklumkan kepada pelajar yang ingin membuat Semakan Tawaran Ke Tingkatan Satu (1) Ambilan Kedua di Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2013 boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula 29 Januari 2013 (Selasa).


- Kementerian Pelajaran Malaysia

SPPBS: Kemasukan Prestasi Murid Tercicir 2012


Merujuk kepada laman SPPBS, dimaklumkan bahawa SPPBS akan dibuka untuk kemasukan prestasi MURID TERCICIR 2012 dan Cetakan Pelaporan mulai 21 Januari 2013 sehingga 10 Februari 2013.

SPPBS akan dibuka untuk kemasukan prestasi murid tahun 2013 setelah semua urusan kemaskini APDM selesai (dijangka awal Mac 2013 tertakluk kepada perubahan).

- Lembaga Peperiksaan dan Bahagian Pengurusan Maklumat

Sunday, January 27, 2013

Guru Muda Berperanan Lonjakkan Kualiti Pendidikan Negara


SABAK BERNAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih 200,000 guru muda di seluruh negara mempunyai peranan untuk melonjakkan kualiti dan melaksanakan transformasi pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata guru muda adalah sebahagian daripada bilangan keseluruhan guru di negara ini yang akan terus berada dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Oleh itu, katanya, menjadi amanah besar kepada mereka untuk memikul tugas penting melonjakkan kualiti pendidikan dan transformasi pendidikan menerusi pelan pembangunan itu agar dapat mencapai sasaran mulai tahun ini sehingga 2025.

"Ini bermakna anda berperanan bukan sahaja melonjakkan kualiti pendidikan tetapi juga menentukan di mana sistem pendidikan kita akan berada dalam tempoh tiga dekad yang akan datang.

"Dalam erti kata lain, masa depan sistem pendidikan negara kita terletak di tangan anda," katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat Zon Tengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kementerian turut menekankan kepentingan 'Higher Order Thinking Skills" (HOTS) iaitu mahu guru mempunyai keupayaan baru, penguasaan ilmu yang lebih tinggi, bijak berbicara dan dapat menganalisis serta menterjemah ilmu pengetahuan yang bukan setakat dalam bidang biasa.

Sehubungan itu, katanya program bimbingan guru akan ditingkatkan pada masa akan datang selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermurah hati memperuntukkan RM500 juta mulai tahun ini bagi melatih semula dan meningkatkan kemahiran guru dalam bidang Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya bidang utama dalam kurikulum dapat dikuasai semua guru.

"Ini dianggap sebagai langkah awalan dan pelbagai langkah lain akan dilaksanakan. Seperti yang diketahui, dalam pelan tersebut terdapat 11 anjakan besar, dan antara yang akan diberi tumpuan ialah menjadikan profesion perguruan sebagai profesion pilihan dan bukan memilih profesion guru untuk mendapat pekerjaan.

"Guru bukan satu pekerjaan tetapi satu profesion. Guru adalah orang yang bijak dan mahir yang berperanan untuk memajukan masyarakat dan negara," katanya.

- BERNAMA

Saturday, January 26, 2013

Sweden Pengimport Sampah Pertama Dunia

Sweden mengalami masalah kekurangan sampah dan mula mengimport sampah dari negara jiran Norway. Jumlahnya sebanyak 800,000 tan setahun, dan ini sangat berlawanan di saat seluruh dunia mengalami masalah melupuskan sampah yang bertimbun.

Orang sweden antara penghuni bumi yang kurang membazir, puratanya mereka mengitar semula 96% sampah yang mereka buang. dan baki sampah yang tinggal mereka melaksanakan program insinerator iaitu sampah untuk tenaga yang mampu untuk membekalkan elektrik untuk beratus ribu rumah. Oleh sebab itu masalah kekurangan sampah unik ini berlaku.

Berlainan di Malaysia, sebuah negara agama rasminya Islam, yang manganjurkan Kebersihan Adalah Sebahagian Daripada Iman tapi sampah terdapat dimana-mana, hatta semasa memandupun sampah masih boleh dibuang melalui tingkap kenderaan!

- mnn

Friday, January 25, 2013

Renungan: Bagaimana Nak Tahu Orang Itu Baik

Setiap orang Islam itu tidak boleh diukur yang dia baik waktu datang bersembahyang di masjid sahaja. Belum boleh diukur yang dia baik sering sembahyang berjemaah di rumah  Allah.

Jangan lagi dilabelkan dia baik andai selalu naik haji dan buat umrah berulang kali. Tasbih di tangan, wirid dan zikir tidak lekang kerana itu semuanya ibarat berladang, baru sahaja menanam pokok tidak semestinya menanam pokok, pokok itu berbuah lebat dan baik hasilnya. Tidak semestinya menanam pokok, mendapat hasil yang memuaskan.

Orang yang beribadah tadi kita lihat dahulu di dalam pergaulannya, bagaimana? Bagaimana sikapnya di dalam pergaulan mereka? Mereka berkasih sayang atau tidak? Mereka bertimbang rasa atau sebaliknya? Bagaimana dia menggunakan lidahnya? Mereka menyakiti orang? Menghina orang? Menfitnah orang?

Dengan orang miskin dan susah mereka menolong? Atau buat tidak tahu sahaja kesusahan orang! Mereka mudah menolong orang apabila diminta? Atau mereka hanya pandai bermuka-muka, memperaga diri merekalah baik!

Adakah mereka pemaaf? Meminta maaf, pemurah? Sabar dengan ujian? Redha dengan takdir Tuhan! Mereka mengutamakan diri? Atau mengutamakan orang lain? Apakah mereka merasa susah dengan kesusahan orang? Senang pula dengan kesenangan orang?

Kalau kita dapat menjawab dengan baik dan tepat, memang kita dapat kenal orang baik dan orang jahat Ibadah mereka berbuah, orang yang ibadahnya berbuah itulah orang baik. Kalau ibadah sahaja banyak, tapi tidak berbuah, itu bukan orang soleh.

Mengukur orang baik bukan dengan banyak ibadahnya Tapi diukur berbuahkah ibadahnya? Tinggikah peri kemanusiaannya oleh ibadahnya?

Wassalam.

Thursday, January 24, 2013

Kembara Temuduga Kursus NPQEL

Dalam kembara menghadiri temuduga Kursus NPQEL di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, saya bersama dua orang rakan iaitu Encik Suhaimi PKKO SK Pulau Redang dan Encik Jaafar dari Unit Linus PPD K.Terengganu telah memulakan perjalanan bermula jam 8:00 pagi pada 22 Januari 2013.

Hentian pertama untuk sarapan pagi adalah di kedai makan yang terletak dalam kawasan masjid Hadhari Jertih Terengganu.

Masjid Hadhari Jertih Terengganu

Meneruskan perjalanan, dan perhentian seterusnya di kedai makan kawasan Titiwangsa.

  Pemandangan di Hentian Titiwangsa

Menuju Jitra kedah dan bermalam di Hotel Darulaman.

  Melalui lebuhraya Sungai Petani, menuju Jitra

 
Tempat menginap di Hotel Darulaman, Jitra

Keesokannya, 23 Januari menuju IAB Cawangan Utara yang terletak tidak beberapa jauh dari tempat penginapan. Mendaftar diri untuk persiapan ditemuduga dan mendengar taklimat sebelum temuduga bermula. Terdapat 5 saluran tempat temuduga, setiap saluran mempunyai 5 hingga 6 orang peserta. Peserta dipanggil seorang demi seorang untuk ditemuduga dengan mengambil masa lebih kurang 30 minit bagi setiap sesi temuduga. Sebenarnya temuduga ini telahpun bermula pada 21 Januari lagi, bermakna temuduga ini dijalankan selama 3 hari sehingga 23 Januari.

Bangunan yang terdapat di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara

Peserta dari seluruh negeri medaftar diri bagi temuduga Kursus NPQEL

Mendengar taklimat sebelum sesi temuduga dimulakan

Menceritakan mengenai temuduga yang dilalui, saya telah ditemuduga oleh dua orang penemuduga, seorang lelaki dan seorang perempuan. Bagi saya, temuduga yang dijalankan amat mudah dan santai, tiada tekanan dirasakan. Banyak ruang diberikan untuk kita berbicara dan peluang ini saya guna sepenuhnya dengan sebaik mungkin. Terima kasih kepada penemuduga yang saya anggap “baik”.

Selepas tamat sesi temuduga bagi saya dan 2 rakan lain, lebih kurang jam 10:30 pagi, kami meneruskan perjalanan pulang. Semoga temuduga yang dilalui berjaya dan seterusnya kami dapat menempatkan diri ke Kursus NPQEL yang dijangka bermula pada 12 Februari 2013, Insyaallah.

Tuesday, January 22, 2013

Perlu Cara Lebih Sistematik Agih Bantuan Kewangan RM100

MIRI: Kementerian Pelajaran disaran menimbang kemungkinan memasukkan wang bantuan RM100 secara terus ke dalam akaun pelajar atau ibu bapa mereka sebagai suatu cara pengagihan yang lebih cepat dan sistematik.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina mencadangkan agar pelajar membuka akaun bank bagi membolehkan bantuan berkenaan disalurkan sebelum sesi baru persekolahan bermula.

"Ini akan memastikan pelajar dan ibu bapa menerima bantuan itu pada November atau Disember untuk membolehkan mereka menggunakannya untuk membeli barangan keperluan seperti pensil dan buku," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Ghani berkata cadangan pembukaan akaun bank perlu diberi pertimbangan memandangkan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman terpaksa ke bandar hanya untuk mendapatkan RM100.

"Kadang-kadang, kos pengangkutan lebih daripada RM100 yang mereka terima, jadi lebih baiklah mereka buka akaun bank," katanya sambil berharap jumlah bantuan itu ditambah beransur-ansur dengan kenaikan minimum RM50, tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

- BERNAMA

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dibentang 30 Jan


MELAKA: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam satu sesi khas pada 30 Jan ini bagi tujuan kelulusan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelan itu kini 99.9 peratus siap dan apabila dilaksanakan kelak akan melonjakkan taraf pendidikan di Malaysia menjadi antara terbaik di dunia.

"Kita nak tingkatkan kedudukan kita daripada apa yang ada sekarang ini kepada satu pertiga yang terbaik di dunia tempoh 13 tahun. Ia suatu anjakan yang amat besar dalam sistem pendidikan kita.

"Anjakan besar yang akan melibatkan semua peringkat bukan sahaja warga pendidik tetapi juga masyarakat pimpinan-pimpinan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan komuniti. Semua kita rangkumkan dalam pelan yang saya fikir adalah inklusif kerana tak mengasingkan sesiapa, semua akan terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Bersama Pemimpin di Sekolah Menengah Tun Haji Abdul Malik, Cheng di sini, hari ini.

September lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Antara yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.

- Bernama

Monday, January 21, 2013

Kementerian Pelajaran Terima Enam Permohonan Guru Untuk Berpolitik

JOHOR BAHARU: Kementerian Pelajaran hanya menerima enam permohonan dari pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata permohonan kurang memberangsangkan itu berkemungkinan disebabkan mereka bimbang dikenakan tindakan sekiranya terlibat dengan aktiviti sedemikian.

"Mungkin mereka (guru) takut dedahkan identiti sedangkan mereka tidak perlu ragu-ragu kerana kerajaan tidak akan mengambil tindakan.

"Contohnya, tiada tindakan diambil terhadap pelajar yang aktif berpolitik selepas pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilakukan. Jadi, sebaik-baiknya, minta kebenaran jika hendak berpolitik dan jangan bawa hal politik ke dalam sekolah," katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Bual Bicara Strategik Penyatuan Umat Islam Bersama Pesara Guru Negeri Johor, di sini, Ahad.

Mulai 1 Ogos 2010, kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik dengan syarat kebenaran rasmi perlu dibuat terlebih dahulu.

Beliau berkata kebenaran berpolitik dengan syarat tidak memegang jawatan penting seperti pengetua dan pegawai pelajaran itu bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin selain melambangkan tugas guru sebagai pemimpin bukan sekadar di bilik darjah tetapi di peringkat masyarakat.

- BERNAMA

Saturday, January 19, 2013

Mata Pelajaran Tahfiz Sebagai Mata Pelajaran Kebangsaan

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran kini dalam peringkat akhir kajian untuk menjadikan mata pelajaran tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan, kata Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata kerajaan sedar banyak Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang enggan mendaftar dengan kementerian kerana khuatir kurikulum mereka termasuk mata pelajaran tahfiz disekat oleh kementerian.

"Sehubungan itu kajian untuk menyelaras kuriukulum tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan telah dijalankan dan kini dalam peringkat akhir dan akan selesai tidak lama lagi," katanya kepada pemberita Jumaat.

Beliau menyampaikan bantuan khas awal persekolahan kepada 1,165 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bentara Luar di sini.

Mohd Puad meminta pihak SAR supaya mendaftar dengan Kementerian Pelajaran bagi membolehkan kerajaan menyalur lebih banyak bantuan seperti bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap pelajar.

"Bukan sahaja bantuan persekolahan, tetapi guru-guru mereka juga kita akan latih menjadi guru kementerian bagi membolehkan laluan kerjaya mereka lebih baik, mendapat gaji yang tetap dan berpencen," katanya.

Beliau berkata banyak SAR di Pulau Pinang dan Kedah telah mendaftar menjadikannya sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

- BERNAMA

Friday, January 18, 2013

Temuduga Kursus NPQEL

Bermula menceburi bidang perguruan pada tahun 1989, saya telah menghadiri pelbagai kursus untuk peningkatan kerjaya. Bermula dari peringkat sijil, diploma dan ijazah telah saya lalui. Pada hari ini, Alhamdulillah permohonan saya untuk mengikuti kursus NPQEL telah diterima pihak Institut Aminuddin Baki (IAB) dan akan ditemuduga pada 23 Jan 2013 yang akan diadakan di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara. Semoga saya dan kawan-kawan yang turut sama dipanggil temuduga dapat melaluinya dengan cemerlang dan seterusnya berjaya dalam temuduga tersebut.

Semakan kursus boleh dibuat mulai 8 Jan 2013 hingga 22 Jan 2013 dengan mengklik link berikut: SEMAKAN KURSUS NPQEL


Anda minat barangan berikut:  

Renungan: Sombongnya Kita Sesama Makhluk

Peristiwa kesombongan iblis ini Allah ceritakan dalam Al Quran, firman-Nya: “Dan (ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat: ‘Sujudlah kepada Adam.’ Dia (Iblis) enggan dan membesarkan dirinya. Maka sesungguhnya dia adalah dari golongan musyrik.” (Al Baqarah: 34)

Di sini Allah menceritakan bagaimana keengganan iblis untuk tunduk dan taat dengan arahan Allah. Bahkan ia membesarkan diri kerana merasa dirinya lebih hebat dan mulia daripada Nabi Adam a.s. Maka dia menjadi kafir dan menerima kutukan Allah dunia Akhirat. Allah keluarkan dia dari Syurga yang penuh nikmat dan menukar wajahnya menjadi seburuk-buruk rupa. Di sinilah bermula dendamnya kepada Nabi Adam a.s. dan anak cucu cicitnya yang tidak pernah padam sesaat pun. Jelas, daripada penyakit sombong ini akan lahirlah penyakit-penyakit batin yang lain seperti pemarah, pendendam dan hasad dengki.

Tanda-Tanda Sifat Sombong

Langkah-langkah untuk mengenal pasti adanya penyakit ini ialah melalui pergaulan sesama manusia. Melalui pergaulan, akan dapat dikesan sifat sombong sama ada sombong yang keterlaluan, sederhana atau ringan.

Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat sombong? Di antaranya:
  • Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang itu lebih baik daripadanya. Apatah lagi kalau pandangan itu datang daripada orang yang lebih rendah daripadanya sama ada rendah umur, pangkat atau lain-lain lagi.
  • Mudah marah atau emosional. Bila berlaku perbincangan dua hala, cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada orang tersilap atau tersalah.
  • Memilih-milih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang yang satu ‘level’ atau sama taraf dengannya. Manakala dengan orang bawahan atau lebih rendah kedudukannya, dia tidak suka bergaul atau bermesra, takut jatuh status atau darjat dirinya. Bahkan dengan orang yang sama level dengannya pun masih dipilih-pilih lagi. Yakni dia suka dengan orang yang mahu mendengar dan mentaati kata-katanya. Mereka inilah saja yang dia boleh bermesra, duduk sama atau semajlis dengannya.
  • Memandang hina/rendah pada golongan bawahan.
  • Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.
  • Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihaknya sendiri, susah untuk mendengar cakap atau nasihat orang lain serta tidak prihatin dengan cakap orang. Apatah lagi untuk mengikut cakap orang lain.
  • Dalam pergaulannya, dia saja yang memborong untuk bercakap dan tidak suka memberi peluang kepada orang lain bercakap. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang itu.
  • Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikut-pengikutnya atau orang bawahannya. Ia membuat arahan tanpa timbang rasa dan tidak ada perikemanusiaan. Kalau dia menjadi pengikut, susah pula untuk taat dan patuh pada pemimpinnya.
  • Susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap dengannya. Bahkan ditengking-tengking, diherdik, dikata-kata atau dihina-hina. Di belakangnya diumpat-umpat.
  • Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta maaf. Rasa jatuh wibawa bila merendah diri meminta maaf. Bahkan dia tidak mengaku bersalah.
  • Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati. Tetapi dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang lain.
  • Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya bila orang itu tersilap.
  • Suka menzalimi orang sama ada secara kasar atau secara halus.
  • Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana perlukan orang itu atau kerana takutkan orang itu.
  • Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat, memfitnah serta membenci orang.
  • Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai pemberian orang lain.
  • Suka mengangkat-angkat diri atau menceritakan kelebihan diri.
  • Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan orang lain.
  • Kurang menghormati nikmat-nikmat Allah. Kalau ada makanan, berlaku pembaziran atau membuang makanan yang berlebihan. Kalau ada pakaian walaupun masih elok dipakai tetapi suka berganti dengan yang baru. Pakaian yang lama dibuang. Kalau ada duit lebih, suka beli barang yang tidak diperlukan. Semua itu lebih digemari daripada memberi nikmat yang berlebihan itu kepada orang lain.
  • Kalau berdiri, lebih suka bercekak pinggang (kerana membesarkan diri). Kalau bercakap, menepuk-nepuk meja dan suka mencemik. Kalau berjalan suka bergaya, menghentak-hentak kaki atau berjalan membusung dada.
  • Kurang memberi simpati atau kurang menolong orang lain melainkan ada tujuan-tujuan dunia atau kerana takut dengan orang itu.
  • Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka jadi tetamu orang.
  • Tidak suka menyebut kelebihan-kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya.
  • Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan sendiri didiamkan, disorokkan, buat-buat tidak tahu atau cuba mempertahankan diri supaya orang menganggap dia tidak bersalah.
  • Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kebolehan orang lain.
  • Dia sangat tersinggung kalau ada orang memuji-muji atau menyebut kelebihan-kelebihan orang lain di hadapannya. Tetapi kalau dia dipuji, terserlah pada air mukanya rasa bangga dan senang hati.

Senarai tanda, riak atau sikap di atas sudah cukup jelas untuk kita dapat mengenali sifat sombong ini. Bila sudah dikenal pasti ertinya memudahkan kita mengatasi atau mencabut sifat keji ini. Mudah-mudahan kita terhindar atau dijauhi dari sifat keji ini.

Wassalam.

Anda minat barangan berikut:

Thursday, January 17, 2013

Cara Meraikan Gol Apabila Tiada Peminat

Apabila tiada fans kelab, pemain yang menyumbat gol, terpaksalah pemain itu sendiri yang menjadi penonton dan memberi sokongan. Klip video dapat dilihat di bawah:


- YouTube

Anda minat barangan berikut:

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi