Tuesday, October 28, 2014

Pelajar Gagal Bertutur BM

Peranan sekolah tertentu yang sebahagian besar pelajarnya terdiri daripada pelajar Cina dan India yang gagal bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik akan dikaji semula, kata Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, ia susulan kajian Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, ramai kalangan pelajar bukan Melayu tidak boleh bertutur bahasa Melayu walaupun lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu Penyelidik Utama ATMA, Datuk Profesor Dr Teo Kok Seong dalam masa terdekat untuk meneliti kajiannya yang membabitkan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2010 itu.

“Kami akan ambil maklumat sebenar dan perlu melihatnya secara menyeluruh termasuk di mana dan kenapa ia berlaku.

“Jadi, satu kajian berhubung peranan sekolah pelajar berkenaan akan dibuat selepas melengkapkan maklumat berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 peringkat Sektor Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kementerian Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

ATMA mendedahkan hasil kajian yang dilakukan terhadap 14,000 pelatih di 79 kem PLKN di seluruh negara pada 2010 mendapati 604 pelatih bukan Melayu langsung tidak boleh berbahasa Melayu.

Sementara itu, mengulas perbezaan standard pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Idris berkata, perkara itu juga diambil serius dan pihaknya akan menanganinya menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.



Wednesday, October 15, 2014

Perincian Takwim Persekolahan 2015

Klik Gambar Untuk Kelihatan Lebih Besar

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Takwim Persekolahan Sesi 2015 dengan perincian persekolahan mengikut penggal seperti mana berikut:

PERINCIAN PERSEKOLAHAN MENGIKUT PENGGAL
KUMPULAN A :
Sekolah-sekolah di Negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu

PERINCIAN PERSEKOLAHAN MENGIKUT PENGGAL
KUMPULAN B :
Sekolah-sekolah di Negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak,
Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya

Muat turun: Takwim Persekolahan 2015



Sunday, October 12, 2014

TVET Bakal Jadi Pendidikan Arus Perdana

Penekanan terhadap Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TVET) dalam Bajet 2015 adalah isyarat awal bahawa bidang latihan kemahiran akan menjadi pendidikan arus perdana di negara ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan terhadap pembangunan latihan kemahiran kepada generasi muda setaraf dengan tumpuan terhadap akademik.

"Ini satu peralihan di mana pendidikan vokasional akan diarusperdanakan, kita akan lihat kolej vokasional, sekolah vokasional, kolej komuniti, politeknik dan pusat latihan dinaik taraf dan diperbesarkan dan diberi penekanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis graduasi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2015 mengumumkan daripada RM56 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, sebanyak RM1.2 bilion untuk program TVET selain RM50 juta diperuntukkan kepada Mara bagi pelaksanaan program TEVT.

Sehubungan itu, Idris menyeru ibu bapa agar tidak lagi sekadar mengharapkan anak mereka cemerlang dalam akademik sahaja, sebaliknya turut memberi fokus terhadap bidang latihan kemahiran tinggi yang sangat diperlukan dalam industri tertentu ketika ini.



- BERNAMA

Tuesday, October 7, 2014

Penangguhan Pelaksanaan Kursus i-Think Dalam Talian Tahun 2014

Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah menerima maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mengenai ketidakpuasan hati guru mengenai pelaksanaan Kursus i-Think Dalam Talian (KiDT) ini atas sebab-sebab capaian internet yang tidak stabil dan kekangan masa yang diberikan untuk guru mengikutinya.

Sehubungan dengan itu, dimaklumkan KiDT ditangguhkan pelaksanaannya pada tahun ini dan akan dilaksanakan pada tahun 2015 secara dalam talian dan luar talian (offline).

Sekolah yang terlibat dengan rintis KiDT di 1,000 buah sekolah boleh meneruskan kursus ini sehingga tahun 2015.
  Klik Pada Gambar Untuk Kelihatan Lebih Jelas


Maklumat lanjut boleh muat turun dengan megklik pautan berikut: Surat Penangguhan KiDT

Friday, October 3, 2014

Negara Ketinggalan Jika Tidak Kembalikan PPSMI, Kata Dr. Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak kerajaan mengembalikan semula Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau negara akan tertinggal di belakang, lapor Bernama.

Bercakap di Kelantan, antara negeri yang paling kuat menentang PPSMI, Dr Mahathir berkata, pengetahuan Sains dan Matematik berkembang dengan pesat dan semuanya hanya boleh didapati melalui Bahasa Inggeris.

Katanya, jika pelajar tidak diajar kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris, negara akan tertinggal di belakang.

"Jika kita mahukan ilmu pengetahuan, khasnya Sains dan Matematik, kita mesti gunakan Bahasa Inggeris kerana hampir semua pengetahuan dalam bahasa ini," katanya kepada pemberita selepas memberikan ucaptama kepentingan Bahasa Inggeris pada abad ke-21 di Kolej Wadi Sofea di Kelantan, semalam.

"Kita akan menjadi bangsa yang tidak akan mencipta apa-apa jika kita tidak mahir dalam Sains dan Matematik, yang kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris," katanya.

PPSMI ialah nama rasmi bagi dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan Bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan.

Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat sejak dilaksanakan pentadbiran Dr Mahathir pada 2003.

Dasar ini diputuskan untuk dimansuhkan pada 8 Julai, 2009 dan dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 seperti diumumkan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan.

Ia menimbulkan kemarahan Dr Mahathir sejak awal lagi apabila pemimpin kerajaan yang menggantikan beliau tunduk kepada tekanan pelbagai pihak terhadapnya.

Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri.

Antara isu yang diketengahkan pihak tersebut termasuklah kesukaran murid mengikuti pelajaran dan guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid, terutama di peringkat sekolah rendah.



Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi