Saturday, June 29, 2013

Laporan Akhir Projek Sandaran NPQEL

Susulan dari Projek Penandaarasan, satu program telah dikenal pasti dan diaplikasikan sebagai projek penambahbaikan di sekolah sendiri. Alhamdulillah selama lapan minggu mengendalikan Projek Sandaran, saya telah dapat melaluinya dengan sempurna dan terancang.

Dalam Projek Sandaran ini, dimulai dengan penerokaan sekolah sendiri. Seterusnya memasuki bahagian kajian keperluan projek, saya telah fokus kepada masalah gaya pembelajaran guru-murid yang akan dibuat penambahbaikan. Dalam hal ini, proses pemerhatian, temu bual telah dibuat bagi menganal pasti keadaan semasa sekolah dan seterusnya keadaan yang dikehendaki dari projek yang dilaksanakan. Kertas kerja projek penambahbaikan dihasilkan dan dibentangkan dalam suatu mesyuarat.

Memasuki bahagian perancangan, beberapa pelan strategik menggunakan analisa SWOT telah digunakan bagi meninjau dari segi Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman khusus berkaitan projek penambahbaikan yang akan dilaksanakan. Projek yang berteraskan ICT ini dilihat mempunyai banyak kekuatan sama ada dari persekitaran dalaman mahu pun luaran. Malah kemudahan sedia ada seperti makmal komputer, talian internet, e-book boleh dijana sebaik mungkin sekiranya mempunyai komitmen dari seluruh warga sekolah.

Setelah mengenal pasti strategi yang akan diambil, pelaksanaan strategi dimulai dengan mesyuarat, sesi penerangan kepada murid-murid dan LADAP kepada guru-guru bagi memberi pemahaman terhadap projek yang dilaksanakan. Seterusnya setelah melalui beberapa proses pelaksanaan lain, projek ini melalui proses penilaian dan refleksinya. 

Gambar Aktiviti LADAP Projek Sandaran

Saya melihat sesuatu projek yang hendak dilaksanakan adalah baik sekiranya ia memberi dapatan positif kepada warga sekolah, tetapi tidak dinafikan masalah ujud apabila pihak pengurusan tidak memainkan peranan aktif bagi menggerak sesuatu projek itu. Mengharapkan guru-guru melaksanakannya tanpa pemantauan dan penyertaan sama dari pihak pengurusan, menjadikan sesuatu projek itu lesu dan tidak bermaya.

Mengimbau kembali semasa berada di sekolah lama, saya telah melaksanakan suatu projek penambahbaikan di sekolah tersebut, sambutan diterima dari ibu bapa dan murid-murid amat baik. Tetapi setelah bertukar, projek tersebut lenyap bersama pertukaran saya. Inilah masalah utama dalam sesuatu pelaksanaan projek sekiranya sikap pengurusan yang tidak memainkan peranan aktif dan hanya mengharapkan seseorang guru sahaja yang mengurusnya. Tiadanya pasukan projek dan kerja sepasukan menjadi sesuatu projek itu akan berkubur. Dimana silapnya? Sudah pasti puncanya senang dikenal pasti. Sesetengah pemimpin hanya bergantung atau mengharapkan kepada seseorang, tidak menerapkan unsur kerja sepasukan yang menjurus kepada masalah tersebut. Justeru itu, sebagai pemimpin sekolah, sikap kecaknaan yang mendalam perlu ditanam di dalam diri. Semua pemimpin mengimpikan sekolah dipimpinnya baik tetapi sedarkah bahawa sekolah yang baik itu, sudah pasti datang dari pengurusan yang baik dan begitulah sebaliknya.

Friday, June 28, 2013

Muak Belajar

Sejak tadika hingga melangkah ke tingkatan lima, kita disogok de­ngan lambakan buku ilmiah. Impiannya hanya satu, untuk membentuk individu berjaya dengan memegang status kerja yang bagus. Tapi pernahkah anda terfikir setiap individu mempunyai minatnya tersendiri selain daripada menghadap buku hingga suku umur hidupnya? Yang jelas, sifat ini dimonopoli golongan lelaki.

Mungkin si gadis lebih beradab. Tidak menolak sekiranya ibu bapa ingin menempatkannya di IPT tanah air. Namun sebaliknya bagi lelaki, mereka lebih tegas dan berprinsip dalam menentukan hala tuju hidup. Disebab­kan itu, kita boleh lihat kurangnya golongan lelaki di pusat pengajian seluruh negara.

Statistik

Keseluruhan laporan banci dan perumahan Malaysia pada 2010 menyatakan bilangan penduduk negara ini adalah seramai 28.3 juta dengan pecahan 14.56 juta bagi lelaki dan 13.77 juta wanita.

Tidak dinafikan kewujudan lelaki lebih ramai berbanding wanita, namun keadaan berbeza jika dilihat di IPT apabila seolah-olah bilangan lelaki terlalu sedikit.

Fenomena penurunan jumlah pelajar lelaki di universiti tidak pernah selesai untuk dibincangkan. Statistik kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009. Persoalannya, kenapa pelajar lelaki semakin pupus di universiti?


Buku membosankan

Ada menyoal, benarkah sistem pendidikan negara tidak cukup menarik untuk memupuk minat lelaki dalam pelajaran atau adakah ia hanya sekadar alasan kepada sikap malas pelajar lelaki?

Berdasarkan perbincangan ringkas, kedua-dua faktor itu logik dan ada betulnya tetapi ia lebih terarah kepada rasa bosan golo­ngan lelaki untuk melanjutkan pengajian.

Dalam erti kata lain, mereka sudah muak melihat susunan buku di atas meja. Buku harus digantikan dengan peralatan seperti gajet atau elektronik yang seiring dengan era teknologi kini.

Ramai berpendapat, teknik pengajaran lisan dan sistem pendidikan dengan berpuluh-puluh jenis peperiksaan membantutkan minat lelaki dalam akademik kerana difahamkan, apabila meningkat dewasa mereka lebih meminati pendidikan berteraskan kemahiran.

Oleh itu, jika direnungkan kembali, memang benar peratus pembabitan lelaki di IPT tidak setanding wanita tetapi kebanyakannya memilih kemahiran seperti di institut kemahiran dan sebagainya.


Duit dan kerja

Secara logiknya, apa juga keinginan meletakkan wang sebagai perkara utama untuk direalisasikan. Jadi tidak hairanlah apabila tamat persekolahan, lelaki lebih cenderung untuk mendapatkan kerja. Apabila memperoleh sejumlah wang, segala kemahuan dapat ditunaikan termasuk apa yang diidamkan selama ini.

Perlakuan ini disokong dengan pendapat ‘tidak semestinya belajar setinggi gunung, mampu peroleh pekerjaan terbaik’ sedangkan beribu-ribu lambakan graduan IPT masih menganggur dan menanti untuk mendapat tempat di alam pekerjaan.

Yakin terhadap keupayaan diri untuk berjaya mendorong remaja lelaki melakukan apa yang difikirkan tepat untuk masa depan. Jika dia memilih untuk berniaga, usaha keras diteruskan tanpa perlu segulung ijazah untuk meraih kejayaan.


Tahu kemahuan

Berbeza dengan lelaki, perempuan lebih mengutamakan pelajaran kerana saingan di alam pekerjaan lebih tinggi dan tidak keterlaluan juga dikatakan wanita tidak berilmu mudah terjebak dalam kancah penipuan. Disebabkan itu, kesedaran pentingnya ilmu memungkinkan perempuan memilih untuk sambung belajar demi menjamin kehidupan yang tidak menentu pada masa depan. Dalam hal ini, pelajaran dilihat sebagai aset wajib perlu ada bagi si gadis.

Jejaka juga sedar akan kepentingan ilmu untuk menjamin masa depan lebih baik. Namun cara pemikiran berbeza menjadikan mereka berfikir lebih kritis dan siap sedia dalam segala kemungkinan. Keputusan untuk tidak menghadap buku dan digantikan dengan peralatan elektronik atau cara kerja kemahiran menjadi pemangkin untuk lelaki berjaya dalam memburu kerjaya diimpikan.

- hmetro

Monday, June 24, 2013

Bosan Perhimpunan Pagi Alasan Pelajar Ponteng

Bosan dengan perhimpunan pagi antara alasan yang diberikan oleh seorang pelajar yang sering ponteng sekolah pada setiap  Ahad, apabila bermulanya hari pertama persekolahan.

Seorang pelajar yang ditemui, yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Mohd’ berkata, dia kerap kali ponteng serta sering menghabiskan masa di taman rekreasi Tengku Anis sehinggalah tamat waktu sekolah dengan berbekalkan RM5.

“Selepas tamat waktu sekolah, saya akan bermain bola bersama rakan-rakan di padang berdekatan sekolah sebelum pulang ke rumah kira-kira jam 6.45 petang.

“Apabila pulang, saya sering dimarahi oleh ayah di rumah, lagipun saya memang tidak mempunyai minat untuk belajar dan ditempatkan di kelas terakhir jadi untuk menenangkan diri, saya lebih suka menghabiskan masa di taman itu” katanya kepada Sinar Harian.

“Mohd merupakan antara 25 pelajar Sekolah Menengah di sekitar Kota Bharu yang ditahan dalam ops ponteng bersepadu Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bersama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang diadakan di enam lokasi panas di bandar ini di sini pagi semalam.

Operasi yang diketuai Pegawai Pelajaran Daerah, Che Ab Aziz Daud itu turut disertai 12 agensi termasuk Polis Kelantan, pasukan Rela, Jabatan Kesihatan, Majlis Agama Islam Kelantan termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam Kota Bharu Bandaraya Islam.

Pengarah Pelajaran, Hussain Awang berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 50 pelajar sudah ditahan dalam 25 operasi bersepadu yang dijalankan pihak PPD.

“Kesemua yang ditahan diberikan khidmat kaunseling dan tazkirah di masjid Telipot, selain turut menjalani pemeriksaan ujian air kencing bagi memastikan sama ada mereka bebas dari pengaruh dadah atau sebaliknya.

“Mereka yang ditahan kemudiannya akan diserahkan kepada pihak sekolah sebelum memanggil ibu bapa mereka untuk membawa pulang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Hussain berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit dan mengharapkan kerjasama masyarakat termasuk ibu bapa dalam menangani isu terbabit.


Wednesday, June 19, 2013

Cadangan Cuti Sabatikal Untuk Pengetua, Guru Besar Dan Guru


Kementerian Pendidikan bercadang memperkenalkan cuti sabatikal untuk pengetua, guru besar dan guru mengikuti program pembelajaran di luar negara, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata cuti sabatikal untuk mengikuti program pembelajaran luar negara yang kini hanya dinikmati pensyarah di institusi pengajian tinggi amat penting dalam usaha kerajaan meletakkan sistem pendidikan negara setanding dengan negara di seluruh dunia.

"Kita sering berkata mahu meletakkan sistem pendidikan Malaysia sebaris dengan negara luar tetapi bagaimana kita nak merealisasikannya kalau pengetua, guru besar dan guru kita tidak dapat banyak pendedahan tentang sistem pendidikan di luar negara.

"Dengan cara ini kita harap lebih ramai pengetua, guru besar dan guru mempelajari sistem pendidikan di negara seperti United Kingdom dan Finland bagi membuka minda mereka tentang cara terbaik melahirkan anak bangsa yang mampu meneruskan kecemerlangan Malaysia pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Tawaran Baharu Kepada Pengetua Tahun 2012 di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pendidikan Datuk Misrah Ibrahim.

Seramai 151 pengetua sekolah menerima sijil dan wang tunai RM7,500 pada anugerah yang diberi kepada pengetua sekolah cemerlang berdasarkan Gred Purata Sekolah dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia sekolah mereka.

Idris berkata cadangan itu masih dalam perbincangan serta kajian di peringkat kementerian dan apabila selesai, ia akan dibentang kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan.

"Banyak perkara kita perlu bincangkan dan kita teliti seperti tempoh masa cuti itu dua ke tiga bulan, sabatikal ini boleh diambil setiap lima tahun sekali dan negara-negara yang terbaik untuk kita hantar guru kita.

"Kita akan buka peluang untuk semua jenis guru, peringkat menengah, rendah mahupun bidang teknikal. Kementerian akan pilih siapa yang layak menerusi kriteria yang akan kami tetapkan nanti," katanya.

Mengulas mengenai Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2015, Idris berkata pengetua dan guru besar perlu menjadi agen perubahan bagi merealisasikan fasa pertama pelan itu yang bermatlamat merubah sistem pendidikan negara untuk menghasilkan generasi muda berdaya maju.

- BERNAMA

Wednesday, June 12, 2013

Memperkasakan Pembelajaran Tahap 1

Menyentuh hasrat YAB Menteri Besar Terengganu untuk terus mengembalikan kegemilangan pendidikan Terengganu dengan memastikan UPSR Terengganu mesti menjadi yang terbaik, saya melihat proses kegemilangan itu perlu diperkasa di peringkat bawahan lagi iaitu semasa murid-murid berada di Tahap 1 (Tahun 1 –Tahun 3). Bagi saya, melahirkan buah yang baik juga perlu dipantau proses awal atau peringkat kemenjadian buah itu sendiri. Justeru itu proses PdP di Tahap 1 perlu dibuat proses penambahbaikannya supaya memasuki Tahap 2 nanti tidak menjadi bebanan kepada guru-guru terutamanya yang mengajar mata pelajaran UPSR.

Justeru itu, cadangan saya wujudkan satu peperiksaan/penilaian khusus murid-murid yang berada tahun akhir Tahap 1 dimana ujian itu mempunyai nilai setara seperti mana UPSR. Dengan kata lain diperingkat sekolah rendah akan wujud 2 peperiksaan penting iaitu UPT1 (Ujian Pencapaian Tahap 1) Tahun 3 dan UPSR Tahun 6. Cadangan ini, pasti mampu saya lakukan di sekolah saya sebagai bukti/perintis sekiranya saya mempunyai mandat sebagai pentadbir sekolah tetapi sebagai guru biasa wujud keterbatasan dalam melaksanakannya.

Saya melihat hasil dapatan UPT1 amat penting dan berguna untuk dibuat analisis sebelum murid-murid ini melangkah masuk ke Tahap 2 bagi tujuan kecemerlangan pelajaran dan seterusnya menjana ke arah kecemerlangan UPSR itu sendiri. Mungkin nilai tambah lain boleh difikirkan untuk wujudkan satu mekanisma baru berakhirnya pembelajaran di Tahap 1 dengan matlamat menjadikan PdP Tahap 1 semegah UPSR yang hendak digapai.

Cadangan yang diutarakan sekadar pendapat peribadi sahaja. Hanya sebagai satu perkongsian pandangan andainya baik untuk difikirkan.

Terima kasih.

Monday, June 10, 2013

Modul Kursus Dapat Diakses Dengan Mudah Menerusi Telefon Pintar, Tablet

Bahan dan modul kursus daripada pelbagai bidang pengajian di Open University Malaysia (OUM) bakal dapat diakses dengan lebih mudah menerusi aplikasi telefon pintar dan tablet bermula September ini.

Selain pelajar, aplikasi OUM itu boleh dimuat turun oleh orang ramai menerusi Apple App Store secara percuma untuk kali pertama dan akan dikenakan caj pada muat turun yang berikutnya.

Presiden merangkap Timbalan Canselor OUM, Prof Tan Sri Anuwar Ali berkata aplikasi itu bertujuan mempelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi memperkukuh sistem penyampaian universiti itu.

"Pendekatan ini sekali gus mencerminkan kemajuan OUM ke arah menggunakan teknologi bersesuaian dengan perkembangan semasa supaya sistem penyampaian adalah yang terkini.

"Selain daripada pertemuan secara bersemuka dengan pelajar, OUM juga menitik berat 'online learning' dan ia (aplikasi) selaras dengan visi dan misi OUM sebagai universiti terbuka," katanya kepada Bernama pada Majlis Konvokesyen OUM Ke-14, di sini hari ini.


Saturday, June 1, 2013

Dr Madinah KSU Kementerian Pendidikan, Dr Zaini Ujang KSU II

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Madinah Mohamad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, berkuatkuasa Isnin ini.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Zaini Ujang pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha II kementerian yang sama, juga mulai Isnin, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan Jumaat.

Tempat Madinah akan diambil alih oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Rosli Mohamed mulai tarikh yang sama.

Madinah, 56, yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 32 tahun.

Rosli, 55, yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pemasaran strategik dari University of Hull, United Kingdom dan Sarjana Petadbiran Perniagaan dari University of Leeds, United Kingdom, pula berkhidmat selama lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam.

Zaini, 48, yang berkhidmat lebih 23 tahun dalam perkhidmatan pengajian tinggi, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang kejuruteraan alam sekitar dari Newcastle University, United Kingdom.

- BERNAMA

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi