Monday, March 31, 2014

Beri Sekolah Kuasa Autonomi, Elak Fokus Semua A, Selamatkan Sistem Pendidikan, Kata Pendidik

Kerap berubah polisi dan taksub dengan semua A dalam mata pelajaran merupakan punca mengapa sistem sekolah di Malaysia terus merudum meskipun berbilion ringgit dibelanjakan setiap tahun.

Guru, aktivis dan bekas pegawai Kementerian Pendidikan yang ditemubual mendakwa meskipun mempunyai polisi jelas seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan menjadi tidak berguna jika tidak dilaksanakan dengan betul.

Seorang aktivis berkata, bagi mengatasi masalah itu, kerajaan perlu mengambil inisiatif sendiri seperti yang diguna pakai program Yayasan Amir iaitu memberikan sekolah lebih autonomi adalah kaedah terbaik mendidik pelajar.

Ulasan tersebut dikemukakan selepas Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Frederico Gil Sander, berkata kualiti pendidikan Malaysia lebih membimbangkan daripada kadar hutang isi rumah negara.

Gil Sander mengulas tentang bagaimana tahap pelajar sekolah menengah di Malaysia lebih rendah daripada negara lebih miskin seperti Vietnam dalam program penilaian antarabangsa, Pisa.

Bekas pegawai kanan Jabatan Pendidikan Johor, Ramlan Samiran, berkata guru dan pegawai kecewa apabila kerja dan masa yang mereka laburkan untuk menggubal polisi baru dipersiakan apabila kementerian mengubah polisi setiap beberapa tahun.

Katanya, contoh yang paling hampir adalah perubahan daripada Pelan Pembangunan Pendidikan (PIPP) kepada PPPM yang bermula pada 2010.

Selari dengan pemansuhan itu adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dihentikan pada 2012, selepas 10 tahun ia diperkenalkan.

“Ramai guru sukakan PIPP kerana ia menekankan pembangunan modal insan,” katanya.

PIPP dirangka semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri pendidikan.

“Setelah melihat pelaksanaan penuh dan hasilnya, kita secara tiba-tiba beralih ke PPPM,” kata Ramlan berhubung pelan yang diinisiatifkan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perubahan paradigma terbesar dalam PPPM adalah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang memerlukan guru mengukur pemahaman pelajar berdasarkan pengajaran harian.

PBS tidak terlalu memfokuskan kepada gred tetapi pemahaman pelajar dan kebolehan mereka mengaplikasikannya. Ini berbeza dengan budaya pendidikan sebelumnya yang mengamalkan ujian bulanan dan peperiksaan dengan objektif mengumpul A sebanyak mungkin.

Pelaksanaan PBS yang lemah mendapat kritikan guru setelah mereka dibebankan dengan lebih banyak kerja pengkeranian. Minggu lalu, kerajaan memperkenalkan PBS baru yang mengurangkan kerja ‘pengkeranian’ guru.

Kumpulan pendesak guru, Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) mengakui PBS polisi yang baik bagi memastikan pelajar memahami dan boleh mengaplikasikan apa yang mereka pelajari di dalam kelas kepada kehidupan harian.

Namun, masalah timbul apabila guru dan pentadbir sekolah dipaksa memenuhi kehendak Jabatan Pendidikan yang taksub dengan markah sekolah lebih tinggi, kata jurucakap SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menggesa guru di bawah mereka supaya pelajar mendapat lebih banyak A. Mereka mahu kami menjangkau KPI tersebut.

“Namun sistem PBS tidak direka untuk itu,” kata Izzat yang juga guru di sebuah sekolah menengah di Pahang.

Manakala kumpulan pendesak guru-ibu bapa (Page) berkata, kerajaan boleh mengguna pakai sistem program sekolahnya yang mencapai keputusan luar biasa memotivasikan guru dan pelajar.

Program yang kini melibatkan 10 sekolah di seluruh negara itu dikelolakan oleh Yayasan Amir dan JPN.

Berdasarkan laman sesawang Yayasan Amir, pengetua sekolah memantau operasi setiap hari manakala Yayasan Amir menyalurkan kepakaran dan pengalaman dalam operasi, pengurusan, pendidikan dan dana tambahan apabila diperlukan.

Setiausaha Kehormat Page, Tunku Munawirah Putra, berkata sekolah diberi lebih kuasa bagi mengaji pengetua lebih baik dan menghias persekitaran kelas bagi memotivasikan guru dan pelajar.

Katanya, sebagai contoh, guru diberi bilik darjah yang dihias poster dan kelengkapan bersesuaian dengan mata pelajaran.

Ia tidak seperti sekolah kebangsaan biasa yang meletakkan murid dalam satu kelas dan guru beralih dari satu kelas ke kelas lain.

“Jadi pelajar mendapat tempat dalam persekitaran kelas yang sesuai dengan mata pelajaran seperti sains dan sejarah.

“Inovasi lain ialah menampal hasil kerja pelajar di dinding bilik darjah dan menukarkannya dengan kerap.

“Dengan cara ini, pelajar rasa dihargai kerana rakan-rakan melihat hasil kerja mereka,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan program itu menunjukkan sistem sekolah perlu dipisahkan daripada pusat.

Itu antara yang ditekankan Gil Sander mengenai kaedah meningkatkan kualiti sekolah di Malaysia.



Sunday, March 30, 2014

Urusan Kenaikan Pangkat Ke Gred DG42 Di Kementerian Pendidikan Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan urusan kenaikan pangkat PPP Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 yang memperolehi ijazah semasa dalam perkhidmatan ke Gred DG42. Mana-mana pegawai yang berminat hendaklah tersebut hendaklah mengemukakan permohonan yang lengkap melalui Ketua Jabatan untuk pertimbangan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) di KPM bagi tujuan kenaikan pangkat tersebut.

Perlu diingatkan bahawa kenaikan pangkat oleh LKPPP ke Gred DG42 dan urusan lantikan ke DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) adalah dua urusan yang berlainan. Mana-mana pegawai yang berminat bagi memohon bagi urusan kenaikan pangkat ke Gred DG42 tetapi pernah memohon ke SPP bagi urusan lantikan ke Gred DG41 perlu mengemukakan permohonan yang berasingan.

Sebarang permohonan perlu dikemukakan menerusi JPN / Bahagian masing-masing. Sebarang permohonan yang tidak dibuat menerusi JPN / Bahagian tidak akan diproses.

Keterangan lanjut sila rujuk pada lampiran Surat Makluman Kenaikan Pangkat ke DG42.


Muat Turun:



- Kementerian Pendidikan Malaysia

Tuesday, March 18, 2014

Kenyataan Media: Penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI PENDIDIKAN 
TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN 
BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan oleh guru-guru.

PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).

Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.

Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah  pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah  pada sesi persekolahan tahun 2012.

Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.

Ini adalah kerana guru-guru  menyatakan bahawa mereka  dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.

Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.

Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru  untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.


Isu-Isu Pelaksanaan PBS

Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama  berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.


Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.  

Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.

Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.

Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks.

Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.


Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.

Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.


Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.  

Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.

Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.

PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study).

Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.

Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.

PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir dan guru-guru.

Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Selain daripada itu, KPM juga akan mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan murid.

Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai April 1.

Muat Turun:


- Kementerian Pendidikan Malaysia

Sunday, March 16, 2014

PBS: Guru Tidak Perlu Masukkan Data Secara Dalam Talian

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan kajian bagi penambahbaikan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditangguhkan pelaksanaannya akan diumumkan pada Selasa ini.

Timbalan Perdana Menteri ketika memaklumkan perkara itu berkata antara perubahan yang diputuskan ialah guru tidak perlu lagi memasukkan data maklumat pencapaian murid secara dalam talian ke dalam sistem PBS seperti sebelum ini.

Beliau, yang juga Menteri Pendidikan berkata penambahbaikan hasil bengkel melibatkan kira-kira 1,000 guru juga mencadangkan para guru tidak perlu lagi menyertakan eviden dan hanya menyimpan data secara 'offline'.

"Data hanya perlu dikemukakan apabila ibu bapa perlu melihatnya. Perincian lanjut akan diumumkan pada 18 Mac ini," katanya ketika berucap pada Program Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsan Tinggi, di sini, Ahad.

Keputusan penangguhan pelaksanaan PBS telah diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof pada 23 Feb lepas untuk memberi ruang kepada satu kajian bagi penambahbaikan diadakan.

Ini bermakna guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan kelak.

Muhyiddin berkata walaupun ada guru memaklumkan PBS adalah satu sistem yang baik dan harus diteruskan, kementerian mengambil pendirian menyeluruh dan menangguhkan pelaksanaannya untuk kebaikan bersama.

Beliau berkata kementerian memahami rungutan dan masalah yang dihadapi para guru, malah peka dengan kesulitan suami jika isterinya seorang guru yang marah dan mendakwa pelaksanaan PBS menyebabkan masa bersama keluarga terhad.

"Sebab itu kita tangguh seketika bagi ditambah baik...saya juga faham guru mesti mengajar, bukan hanya memasukkan data," katanya merujuk kepada keperluan guru memasukkan data secara online sebelum ini.


- BERNAMA

Friday, March 14, 2014

Renungan: Kisah Pak Sheikh Dengan Atheis

Alkisahnya suatu masa dahulu terjadilah perselisihan antara seorang atheis dan juga seorang Pak Sheikh mengenai kewujudan tuhan, untuk menyelesaikan perbalahan diantara mereka, kedua-duanya bersetuju untuk bertemu dan berdebat pada keesokan harinya.

Keesokan harinya, si Atheis datang tepat pada masanya ditempat yang dijanjikan, penyokong kedua2 belah juga sudah ramai berkumpul untuk mendengar debat yang hebat ini. Setelah hampir setengah jam, Pak Sheikh tidak kunjung tiba, Si Atheis sudah mula tersenyum sambil berkata didalam hatinya, "Sheikh takut nak berdebat dengan ku, sebab itu dia tidak datang".

Tidak lama kemudian Pak Sheikh pun menjelma dan sambil tersenyum beliau meminta maaf kerana terlambat. Sambil tersengih si Atheis bertanya, "mengapa pak sheikh lambat, gentar untuk berdebat dengan saya ke?".

"Oh tidak" jawab Pak Sheikh, "Saya terlambat kerana saya terpaksa menyeberang sungai tadi, puas saya menunggu jika ada sampan-sampan yang lalu atau sesiapa yang ingin menyeberang sungai agar saya boleh menumpang" katanya lagi.

"Sedang saya menunggu, tiba-tiba kayu yang hanyut di sungai itu berkumpul menjadi laluan untuk saya, dari ranting yg kecil hinggalah ke batang pokok yang besar, kemudian dengan selesanya saya meniti diatasnya dan sampai juga akhirnya saya di sini".

"Bohong" tempelak si atheis,"Masakan boleh kayu-kayu itu berkumpul dengan sendirinya, jika ia menjadi titi sekalipun mesti ada orang yang membuatnya".

"Terimakasih" balas Pak Sheikh, "Perdebatan kita sudah selesai" katanya lagi.

"Mengapa kamu berkata sudah selesai?" tanya si Atheis.

"Kamu sendiri sudah menjawab persoalan asas perdebatan kita ini" kata Pak Sheikh.

"Jika kayu yang sedikit itu tidak mampu dengan sendirinya bersatu menjadi titi, bagaimana pula dengan dunia ini? Siapa yg mencipta langit dan bumi, bintang, bulan dan matahari, tanah air angin dan api jika bukan tuhan yang maha berkuasa dan maha bijaksana? Siapa yang mencipta kamu dan memberi akal supaya berfikir tetapi kamu sendiri yang tidak mahu menggunakannya?

Tidak diceritakan pula akan kesudahan kisah tadi tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan rakan yang tidak percayakan tuhan tadi untuk berfikir sejenak. Manusia barat kebanyakannya kecewa dengan agama mereka sendiri yang penuh dgn penipuan menyebabkan ramai yang tidak percayakan tuhan. Akan tetapi jika di beri sedikit kiasan yg penuh makna, akan terdetik kembali akal mereka memikirkannya.

Amat sedih juga kerana ketika barat semakin menjauhi agama mereka, segelintir masayarakat kita terpaut dengan agama mereka ini hanya kerana umpan cinta, wang ringgit dan juga nikmat dunia yang sementara ini. Moga terbuka hati mereka kembali kepangkal jalan suatu hari nanti.

Subhanaallah.

Tuesday, March 11, 2014

MH370 Hilang Mengelirukan Dan Sesuatu Yang Ajaib

Disamping penggunaan teknologi moden, usaha pencarian pesawat MAS MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu perlu juga menggunakan kaedah spritual yang diajar oleh Islam.

Bekas Ketua Juruterbang B777 Fleet MAS, Kapten Norudin Abd Majid berkata, sebagai seorang Islam yang beriman, kehilangan pesawat ini perlu juga dilihat dari luar sudut sains dengan kembali kepada ajaran agama.

"Ia hilang, 100 peratus hilang...fullstop!

"Sebagai orang beriman, ini adalah ketentuan. Allah SWT menetukan segala-galanya. (Kehilangan) ini mengelirukan dan menjadi perkara ajaib yang kita dan dunia kena terima," kata beliau dalam temubual Buletin Utama malam tadi.

Beliau juga berkata bahawa Allah memberi cara dan kunci untuk temui apa sahaja dan manusia harus menggunakan segala usaha termasuk menggunakan kepakaran orang tertentu untuk mengesan pesawat MH370 itu.

Ditanya, siapakan orang itu, beliau berkata, "Doa daripada orang-orang yang soleh yang dekat dengan Allah dan keluarga (yang terlibat), kerana mereka sedang beremosi dan Allah sedang melihat mereka".

Beliau menegaskan, penggunaan kaedah sain dan spritual perlu seiring dalam usaha pencarian ini.

"InsyaAllah akan ditemui, akan ditemui.

"Gabungkan sains dan juga yang mencipta sains (Allah).

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang, pada pukul 12.41 pagi Sabtu, 8 Mac lalu.



Friday, March 7, 2014

Kamu Telah Menjual Agama Kamu, Sementara Kami Membelinya

Diceritakan seorang wanita muslimah berpurdah sedang membeli-belah di salah satu pasaraya di Perancis.

Setelah selesai mendapatkan barang-barang yang dicarinya, dia segera pergi ke kaunter untuk membayar.

Kebetulan “cashier” yang ditujunya adalah seorang wanita keturunan Arab yang berpakaian tidak menutup auratnya.

Cashier tersebut memandang wanita berpurdah itu dengan pandangan mengejek, kemudian dia mulai mengira nilai barang belanjaan wanita tersebut sambil melemparkannya dengan kasar ke atas meja.

Namun wanita berpurdah itu tidak terpengaruh dengan provokasi wanita cashier itu, dia tetap tenang, bahkan sangat tenang, hingga membuat wanita cashier semakin geram dan tidak dapat lagi menguasai diri, lalu berkata dengan nada memperlekehkan,

"Kita mempunyai berbagai masalah dan permasalahan di sini, purdah kamu ini adalah salah satu masalah. Kita datang ke sini untuk mencari duit, bukan untuk pamer agama maupun sejarah. Kalau kamu mau menjalani agama atau mengenakan purdah, pergilah sana ke negerimu dan jalani agamamu sesukamu."

Wanita berpurdah itu berhenti memasukkan barang belanjaannya ke dalam troli, lalu memandang wanita cashier tersebut. Dia membuka purdahnya dan ternyata dia adalah wanita kulit putih, dengan sepasang mata biru, lalu dia berkata;

"Aku adalah wanita Perancis asli, begitu pula ayah dan nenekku. Ini adalah Islam-ku dan ini adalah negeriku. Kamu telah menjual agama kamu, sementara kami membelinya.


Subhanallah.

Thursday, March 6, 2014

Pendidik, Ibu Bapa, NGO Sokong Pendekatan Lebih Mesra PBS

Warga pendidik, ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik pendekatan lebih mesra guru dalam sistem baharu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan diumumkan hujung bulan ini.

Mereka menyifatkan sistem yang akan berfokuskan pengajaran itu sebagai pemangkin sistem pendidikan negara yang baik selain menjadikan suasana pembelajaran dan pengajaran lebih sihat.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, kesediaan kerajaan menambah baik dasar tersebut meliputi psikometrik pelajar, perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial adalah satu perkembangan sangat positif.

Kata beliau, pihaknya gembira kerana Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa sistem baharu itu akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar di samping mengimbangi elemen peperiksaan serta komponen lain.

Walau bagaimanapun katanya, pihaknya amat berharap sistem baharu PBS itu tidak mengulangi masalah sebelum ini terutama melibatkan E-sistem yang jelas membebankan golongan pendidik.

"Guru mula mengalami bebanan dan tekanan akibat PBS kerana masalah E-sistem dan tugas perkeranian dalam kalangan guru.

"NUTP telah mengumpulkan maklumat mengenai rintihan guru dan menyerahkan memorandum mengenai Sistem PBS kepada Kementerian Pendidikan berkaitan masalah serius yang dihadapi oleh mereka untuk memasukkan data ke dalam E-sistem," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerajaan memberi jaminan sistem baharu PBS akan lebih mesra guru dan berfokuskan pengajaran berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, sistem baharu tersebut yang akan diumumkan pada 29 Mac ini selepas siap dikemaskini turut memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berharap penambahbaikan PBS itu mengambil kira pelbagai faktor yang menguntungkan semua pihak berkepentingan.

Jelasnya, PIBGN akan terus memantau penerimaan PBS dalam kalangan guru dan perkembangan akademik para pelajar.

"Saya juga ingin mencadangkan penubuhan satu pasukan yang membuat pemantauan PBS dari daerah ke negeri dan seluruh negara supaya mutu pelajaran terjamin. Ahli pasukan itu perlu terdedah dengan PBS yang diamalkan di luar negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengucapkan penghargaan terhadap keprihatinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu berkenaan.

"PPIM menyokong penuh usaha mencari jalan penyelesaian terbaik dan mengharap kementerian dapat menjemput jawatankuasa Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) untuk berbincang secara hati ke hati bagi meleraikan sebarang kekusutan yang ada," katanya.


Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi