Thursday, March 6, 2014

Pendidik, Ibu Bapa, NGO Sokong Pendekatan Lebih Mesra PBS

Warga pendidik, ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik pendekatan lebih mesra guru dalam sistem baharu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan diumumkan hujung bulan ini.

Mereka menyifatkan sistem yang akan berfokuskan pengajaran itu sebagai pemangkin sistem pendidikan negara yang baik selain menjadikan suasana pembelajaran dan pengajaran lebih sihat.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, kesediaan kerajaan menambah baik dasar tersebut meliputi psikometrik pelajar, perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial adalah satu perkembangan sangat positif.

Kata beliau, pihaknya gembira kerana Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa sistem baharu itu akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar di samping mengimbangi elemen peperiksaan serta komponen lain.

Walau bagaimanapun katanya, pihaknya amat berharap sistem baharu PBS itu tidak mengulangi masalah sebelum ini terutama melibatkan E-sistem yang jelas membebankan golongan pendidik.

"Guru mula mengalami bebanan dan tekanan akibat PBS kerana masalah E-sistem dan tugas perkeranian dalam kalangan guru.

"NUTP telah mengumpulkan maklumat mengenai rintihan guru dan menyerahkan memorandum mengenai Sistem PBS kepada Kementerian Pendidikan berkaitan masalah serius yang dihadapi oleh mereka untuk memasukkan data ke dalam E-sistem," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerajaan memberi jaminan sistem baharu PBS akan lebih mesra guru dan berfokuskan pengajaran berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, sistem baharu tersebut yang akan diumumkan pada 29 Mac ini selepas siap dikemaskini turut memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berharap penambahbaikan PBS itu mengambil kira pelbagai faktor yang menguntungkan semua pihak berkepentingan.

Jelasnya, PIBGN akan terus memantau penerimaan PBS dalam kalangan guru dan perkembangan akademik para pelajar.

"Saya juga ingin mencadangkan penubuhan satu pasukan yang membuat pemantauan PBS dari daerah ke negeri dan seluruh negara supaya mutu pelajaran terjamin. Ahli pasukan itu perlu terdedah dengan PBS yang diamalkan di luar negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengucapkan penghargaan terhadap keprihatinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu berkenaan.

"PPIM menyokong penuh usaha mencari jalan penyelesaian terbaik dan mengharap kementerian dapat menjemput jawatankuasa Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) untuk berbincang secara hati ke hati bagi meleraikan sebarang kekusutan yang ada," katanya.


0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi