Monday, September 28, 2015

Format dan Instrumen Contoh UPSR 2016

Bermula tahun 2016, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan format baru, dimana murid Tahun 6 akan menghadapi bentuk dan format yang agak berbeza.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memaklumkan bahawa Format dan Instrumen Contoh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2016 telah disediakan untuk rujukan awam.

Format dan instrumen contoh UPSR 2016 boleh dimuatturun dengan mengklik subjek-subjek berikut:



- KPM

Tuesday, September 1, 2015

Berfikir dan Bertindak

Dalam kehidupan harian berfikir dan bertindak merupakan amalan yang berkait rapat dengan ciri peribadi dan kejayaan dalam hidup apatah lagi dalam konteks kepimpinan dan pengurusan. Amalan berfikir dan bertindak mempengaruhi peribadi seseorang. Orang yang berfikir sebelum bertindak berkemungkinan besar berjaya. Namun nilai fikir dan bila masa perlu atau boleh bertindak selepas berfikir juga menyumbang kejayaan tindakan.

Ada orang bertindak tanpa atau kurang berfikir. Tindakan seperti ini dipanggil melulu, terburu-buru atau sembrono. Tindakan seperti ini juga dikatakan tindakan orang tidak bijak, tidak matang, keanak-anakan malah boleh dikatakan tidak siuman, Bertindak yang saya maksudkan boleh jadi dalam bentuk lisan, tulisan dan perbuatan. Orang sedemikian juga sering kali mudah terlajak-laku, kata atau bicara. Dikatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata rosak binasa. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Apakah fenomena seperti ini semestinya benar dalam konteks pengurusan dan kepimpinan moden?

Orang yang bertindak tanpa berfikir atau singkat fikiranya tidak semestinya salah hasilnya, Namun apakah yang memandu atau mendorongnya melakukan tindakan itu? Bolehkah misalnya tangan atau mulut melakukan sesuatu tanpa didahului otak yang berfikir sekurang-kurangnya mencetus idea jikapun tidak menimbang baik dan buruk apa yang hendak dilakukan? Jawapannya boleh kerana selain akal manusia dibekalkan nafsu, perasaan, kepercayaan (iman), tindakan pantulan (refleks), ilham, nurani dan kemuliaan seperti karomah dan wahyu (bagi para Nabi).

Bagaimana kita boleh menjelaskan keadaan dimana seorang yang boleh dengan pantas menjawab persoalan atau menyelesai masalah atau mengambil keputusan yang sukar seolah-olah orang itu bertindak tanpa berfikir atau berfikiran singkat. Sebenarnya orang itu mungkin telah berfikir tetapi mengambil masa yang singkat atau pantas sepantas kilat sebelum bertindak. Hal ini kerana akal dijadikan Tuhan daripada nur atau cahaya yang kelajuannya bergerak ialah 3.8 kali sepuluh kuasa sembilan meter sesaat. Orang yang mampu berfikir dan bertindak dengan pantas sebenarnya bukan sahaja telah melalui pendidikan, latihan, amalan atau pengalaman yang panjang tetapi mengguna segenap potensi, pancaindera dan bantuan yang diperoleh.

Mengikut Mintzberg (1973) dalam the nature of managerial work, ada tiga cara orang membuat keputusan untuk bertindak. Pertama, lihat dahulu sama ada dengan pandangan mata atau pandangan hati yang dipanggil ‘insight’. Bergantung kepada maklumat luaran, pengalaman atau gerak hati masa diambil sebelum bertindak berubah-ubah. Cara membuat keputusan seperti ini dipanggil induktif.

Kedua, berfikir dahulu menggunakan otak atau akal fikiran. Proses yang berlaku dalam kotak fikiran atau fakulti akal ialah diagnose, design, deside and do. Orang itu memerlukan maklumat seperti fakta, data, statistik, teori, dasar dan peraturan untuk dijadikan panduan membuat diagnosis, mereka bentuk keputusan sebelum membuat keputusan dan bertindak. Kaedah ini dipanggil membuat keputusan secara deduktif.

Ketiga, buat atau bertindak dahulu kemudian baru lihat atau fikir akan kesan atau akibatnya. Pastinya kesan atau akibatnya juga bergantung kepada pengetahuan dan kemahiran sedia ada serta pengalaman dalam bidang yang berkaitan. Selalunya orang seperti ini tidak takut membuat kesilapan tetapi belajar daripada kesilapan dia memperbaikinya untuk membuat yang lain sehingga berjaya. Kaedah bertindak seperti ini dipanggil iteratif.

Townsend menyarankan pemimpin yang berjaya yang tidak boleh atau sukar dipertikai keputusanya melangkaui alasan munasabah adalah pemimpin yang boleh mengguna lima tenaga dalaman iaitu nilai (values), fikiran (thought), emosi, perhubungan (relationship) dan perubahan (transformation).

Untuk mengambil jalan pertengahan marilah kita berfikir sebelum membuat keputusan untuk bertindak supaya orang tidak tertunggu-tunggu keputusan kita atau sebelum tindakan ditinggal masa. Sebaliknya janganlah pula terburu-buru apabila mengambil tindakan ditakuti tersalah langkah atau tindakan kita separuh masak. Banyak panduan ke arah ini boleh dibaca dan dipelajari.



- drjamiladimin

Tuesday, August 25, 2015

Renungan: Berhati-hati Menerima Pandangan


Seekor arnab melihat gagak yang sedang bersenang lenang hinggap di dahan pokok sambil berbunyi bising tanpa haluan. Timbul rasa iri hati, arnab bertanya gagak sama ada boleh atau tidak dia duduk bersenang-senang di bawah dahan pokok tempat gagak hinggap.

Tanpa banyak soal gagak membolehkan arnab berbuat apa yang dia suka. Gagak sememangnya tiada apa-apa kepentingan terhadap arnab. Dia tidak kisah apapun akan terjadi kepada arnab,

Maka arnab pun duduklah bersenang lenang di bawah pokok itu tanpa berbuat apa-apa sehingga tidak menyedari kehadiran pemburu yang sememangnya datang secara perlahan. Gagak yang duduk di tempat tinggi menyedari kehadiran pemburu segera pergi tanpa mengendahkan keselamatan arnab yang akhirnya menjadi habuan pemburu.

Nasib arnab lebih kurang sama dengan nasib ayam belanda yang merasakan dirinya rendah kerana tidak boleh terbang dan hinggap di pohon yang tinggi. Dia mengadu nasib kepada lembu. Lembu memberi nasihat agar ayam belanda itu makan najisnya yang banyak khasiat.

Ayam belanda mengambil nasihat lembu menyebabkan dia mendapat kekuatan setelah hari demi hari makan najis lembu sehingga dia boleh memanjat pokok dari dahan yang rendah ke dahan paling tinggi. Apabila sampai ke dahan paling tinggi dia berasa seronok tetapi tidak lama kerana pemburu dengan mudah menembaknya jatuh untuk dijadikan hidangan.

- Cerita dikutip dan ubahsuai dari buku The 360 degree Leader oleh John Maxwell

Saturday, August 1, 2015

Beban Kerja Guru Dikaji Semula - Mahdzir

Bebanan kerja yang ditanggung lebih 500,000 guru di seluruh negara akan dikaji semula bagi memastikan ia tidak menjejaskan tugasan hakiki mereka sebagai pendidik. Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada sidang media selepas menghadiri majlis meraikan beliau sebagai Menteri Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa lalu. Beliau berkata, perkara yang akan dikaji hanya membabitkan kerja-kerja di luar tugasan hakiki seorang guru yang sebelum ini banyak menimbulkan rungutan.

"Ada rakan-rakan saya dalam kalangan guru bercakap mengenai perkara ini, jadi saya rasa perkara ini perlu dikaji supaya kita lebih jelas permasalahan sebenar yang dihadapi mereka dalam isu ini. Kita akan cuba semak apakah bebanan yang dimaksudkan dan peratusannya...kajian ini tidak membabitkan tugasan hakiki guru, cuma kerja-kerja lain di luar tugas hakiki mereka," katanya di sini, hari ini.

Mahdzir selain itu mengesahkan tidak ada sebarang perubahan dari segi dasar pendidikan akan dilakukan pada masa ini kerana dasar sedia ada masih relevan mengikut keadaan semasa.

"Selama ini dasar pendidikan tetap sama sejak tahun 60-an, 70-an dan hingga sekarang, cuma yang berlaku adalah penambahbaikan terhadap dasar itu mengikut kesesuaian zaman," katanya.



Monday, June 22, 2015

KURSUS I-THINK SECARA LUAR TALIAN 2015

Bahan kursus luar talian bagi i-THINK 2015 telah boleh dimuat turun untuk digunakan. Pengguna harus juga mempunyai pelayan web IE (Inernet Explorer‎) versi 10 dan ke atas apabila menggunakan bahan ini. Sila klik di pautan ini untuk proses muat turun: http://www.moe.gov.my/v/ithink.

http://www.moe.gov.my/v/ithink
Senarai bahan kursus I-Think Secara Luar Talian 2015
(Klik pada gambar untuk muat turun)



Sebelum memulakan instalasi, rujuk Panduan Instalasi Aplikasi Kursus I-ThinkLuar Talian terlebih dahulu.


- KPM
 

Tuesday, June 2, 2015

20 Tips Pembelajaran Yang Berkesan

Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua puluh kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia peperiksaan.

1 – Tidak mensia-siakan masa
Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang terluang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.

2 – Membawa buku ke mana sahaja anda pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.

3 – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.

4 – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.

5 – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaja buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.

6 – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawab contoh-contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya tumpu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.

7 – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca/dibuat, biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca atau ulangkaji, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.

8 – Sentiasa bertanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham, anda masih boleh bertanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

9 – Berikan tumpuan pada pelajaran/tajuk yang lemah
Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.

10 – Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong-menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.

11 – Menjadi model dalam rumah
Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka, semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.

12 – Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Banyakkan masa ulangkaji setiap hari.

13 – Belajar mengikut rentak sendiri
Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Anda perlu mengenal rentak sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa, pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan, dapatkan tuisyen atau bantuan guru.

14 – Persiapan minda sebelum ulangkaji
Lelapkan mata untuk beberapa minit dan bayangkan apa yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.

15 – Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu tumpuan waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda, “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh hal yang remeh-temeh.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas. Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan. Anda boleh mainkan muzik untuk menjadikan suasana belajar lebih menyeronokkan (jika sesuai).

16 – Rancangkan jadual ulangkaji
Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan peperiksaan. Sebulan sebelum peperiksaan, anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap tajuk dibaca/diulangkaji, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkan pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.

17 – Belajar menyesuaikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji. Kadang-kadang, kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda. Beritahu diri anda, “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak dan bersemangat.”

18 – Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda
Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar, anda perlu berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan merosakkan masa depan sendiri.

19 – Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah. Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah. Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan berhenti.

20 –  Terokai bakat dan minat anda
Sambil anda berjuang untuk peperiksaan, peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.

Kesimpulan - Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga catatan ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran. Selamat maju jaya.

Sunday, May 31, 2015

Beri Ruang Guru Laksana Amanah

Guru; Apabila disebut saja perkataan ini secara tidak langsung akan mengimbas kembali memori mengenai sesuatu yang sangat terkesan di dalam minda dan hati kita.

Ada yang apabila disebut perkataan ini, akan terpacul di mindanya gambaran sekolah. Ada juga apabila disebut perkataan ini tergambar di ingatannya wajah guru yang pernah mendidiknya.

“Masa ayah kat sekolah dulu cikgu suruh berdiri tengah panas sebab lupa buat kerja rumah.” Dialog seperti ini hampir kebanyakan daripada kita dengar daripada ibu, ayah atau datuk kita yang mengimbas kembali zaman dan kenangan persekolahan mereka satu ketika dulu. Pendek kata, setiap orang pasti ada memori ‘indah’ atau tidak dapat dilupakan bersama guru mereka.

Perkataan ‘guru’ ini umpama ‘keramat’ yang pasti tersemat dalam sanubari kita hingga bila-bila. Setiap daripada kita pasti pernah melalui zaman persekolahan hinggalah ke universiti.

Sepanjang hidup kita, pasti pernah melalui proses menuntut ilmu daripada mereka yang dipanggil guru ini. Pasti ada sesuatu yang istimewa dengan profesion ini hinggakan dunia mengkhaskan satu hari yang digelar ‘Hari Guru’ pada 16 Mei setiap tahun.

Memang sukar untuk dinafikan betapa rapatnya kehidupan kita pada hari ini dengan jasa guru sebelum ini. Profesion seorang peguam, arkitek, jurutera, doktor dan sebagainya pada asalnya dibentuk oleh guru dari zaman persekolahan lagi.

Kita mampu membaca dan mengira, pasti juga hasil daripada tunjuk ajar guru. Tiada manusia yang mampu membaca dan mengira jika tiada guru yang sanggup mengajar mereka mengenal satu demi satu huruf dan mengajar kita formula demi formula untuk mengira.

Saya terkenang zaman persekolahan dulu. Ketika bersekolah di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh antara subjek yang sangat saya tidak gemar adalah mata pelajaran Matematik.

Memang satu ketika saya berasakan subjek berkenaan adalah yang paling sukar di dunia untuk saya fahami. Setiap kali ujian atau peperiksaan, saya antara pelajar yang mendapat markah terendah dalam kelas. Hinggakan saya berasa benci atau ‘alergik’ dengan mata pelajaran ini.

Sampai saya masuk ke tingkatan lima, subjek Matematik kelas saya ketika itu diajar oleh guru penolong kanan yang terkenal dengan sifat tegasnya. Setiap kali subjek Matematik, semua murid diminta fokus dengan apa yang diajar olehnya.

Jangan sekali-kali cuba melihat buku rujukan atau membuat perkara lain ketika dia mengajar, nescaya akan ada ‘objek’ terbang yang hinggap di muka atau kepala.

Formula yang diajarnya pula luar daripada kebiasaan. Formulanya tidak dapat ditemukan dalam mana-mana ‘kitab’ matematik.

Apa yang menghairankan, akhirnya kami pasti menemukan jawapan sama dengan cara perkiraan yang menggunakan cara ‘standard’ walaupun jalan kiranya agak istimewa.

Namun kadangkala guru saya ini agak pelik. Pelik kerana membuat kelas tambahan pada waktu yang luar daripada kebiasaan. Kadang-kadang buat selepas Subuh. Ada waktu dibuat pada waktu petang (di mana waktu petang adalah waktu pelajar asrama bermain) dan adakalanya pada hari bercuti.

Memang saya dan kawan agak tertekan ketika itu untuk membiasakan cara luar biasa yang diamalkan oleh guru Matematik saya ini.

Namun selepas beberapa bulan, saya mula berminat dengan subjek Matematik dan teruja untuk menjawab soalan latihan. Hasilnya, saya dapat merasakan ada peningkatan daripada ujian ke ujian dan akhirnya saya berjaya melepasi markah gagal.

Alhamdulillah, daripada sering mendapat gred ‘D’ dan ‘E’, saya berjaya mendapat gred A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun berkenaan dan sehingga kini saya masih terhutang budi dengan beliau kerana membantu ‘mengeluarkan’ saya dari zon bahaya ini.

Begitu juga dengan guru subjek lain ketika itu yang bersungguh-sungguh membantu kami untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun sama. Hingga kini, jika ada peluang pasti saya akan menziarah mereka setiap kali menjelang Syawal.

Namun akhir-akhir ini, hati ini sering tersentak setiap kali membaca laporan akhbar mengenai mereka yang bernama ‘guru’. Tersentak apabila membaca berita ada murid yang kurang adab dan tidak menghormati guru mereka.

Begitu juga dengan sesetengah ibu bapa yang terlalu ‘protektif’ terhadap anak mereka sehinggakan langsung tidak boleh disentuh oleh guru di sekolah. Malah ada juga yang mengeluarkan kenyataan di media seolah-olah memandang rendah profesion yang mulia ini.

Ada pula yang sanggup membuat laporan polis hanya kerana perkara remeh-temeh. Justeru tidak hairanlah kita menghadapi dilema masalah sosial yang serius dalam kalangan remaja akhir-akhir ini.

Pada saya, kita mungkin perlu memberikan golongan guru ini sedikit ruang dan tidak terlalu menekan mereka dalam usaha mereka mendidik anak kita ini. Insya-Allah, saya berasakan setiap guru pasti mahu melihat setiap anak didiknya menjadi ‘manusia’ pada masa hadapan.

Bak kata Saidina Ali, “Jika kamu mahu melihat bagaimana masa hadapan sesebuah bangsa (negara), maka lihatlah anak-anak muda mereka ketika itu.”



Friday, May 15, 2015

Khutbah Tegur Sikap Salahkah Guru


Khutbah Jumaat di Selangor hari ini menyeru supaya ibu bapa tidak menyalahkan guru sekiranya terdapat masalah yang berlaku ke atas pelajar.

Sempena Hari Guru, mimbar mengatakan, pada masa kini sikap berterima kasih kepada guru semakin berkurangan dan segelintir ibu bapa pula suka menuding jari kepada guru.

Sikap itu boleh membantutkan peranan sebenar guru dalam mendidik pelajar, menurut teks khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

"Sikap ini boleh membantutkan peranan sebenar guru dalam mendidik dan menyemat keperibadian unggul para pelajar.

“Ibu bapa sewajarnya berperanan membimbing anak-anak, agar lebih menghormati seorang insan yang bernama guru, bahkan menghormati siapa sahaja yang berada di sekeliling mereka.

"Kerana dengan penghormatan tersebut, akan lebih berkatlah ilmu yang diperolehinya," menurut teks khutbah itu.

Sambutan hari guru tahun ini jatuh pada 16 Mei (esok). Pada tahun ini, tema hari guru ialah "Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak".


Monday, April 20, 2015

Sistem Digital, Guru Terseksa?

Baru-baru ini, heboh orang ramai bercakap mengenai tahap pencapaian pelajar Malaysia yang didakwa masih terkebelakang berbanding negara lain.

Tetapi kualiti pendidikan dijangka lebih terjejas pada masa depan jika tinjauan mengenai tekanan guru yang dilakukan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) diambil kira.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, tinjauan terbaharu NUTP yang dibuat tahun lalu menunjukkan tekanan dihadapi guru di Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya disebabkan pengenalan pelbagai program pendidikan baharu serta penggunaan sistem elektronik (e-sistem) untuk merekodkan segala aktiviti di sekolah.

Menurutnya, keadaan fizikal dan mental guru yang ‘letih’ akibat beban tugas tambahan ini menyebabkan mereka tidak mampu menyampaikan pendidikan berkualiti kepada pelajar.

“NUTP tahun lalu ada minta guru senaraikan beban tugas mereka. Memang tugas masukkan data secara online ini antara yang paling menimbulkan tekanan hebat. E-sistem ini menyebabkan guru menderita,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, guru terpaksa membazirkan masa berjam-jam sehari untuk mengisi maklumat pelajar dalam pelbagai sistem elektronik berbeza yang diperkenalkan kementerian di bawah program Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak 2011.

"E-sistem ini ada berpuluh jenis, (jabatan pendidikan) negeri ada, persekutuan ada, Kementerian Pendidikan ada. Sedangkan data sama (contohnya e-kehadiran, e-salah laku, e-disiplin) yang sudah dimasukkan dalam sistem A, perlu dimasukkan sekali lagi dalam sistem B.

“Disebabkan ini, ada guru yang akhirnya memilih untuk bersara awal kerana tak lagi rasa seronok untuk mengajar seperti dahulu kerana terlalu terbeban dengan tugas memasukkan data ke dalam e-sistem,” katanya.

Menurutnya, ada aduan diterima mengenai e-sistem tidak dapat diakses pada waktu puncak sehingga menyebabkan guru terpaksa habiskan masa sehingga jam 2 atau 3 pagi hanya untuk memasukkan data.

“Guru manusia, bukan mesin. Kalau masukkan data sampai jam 3 atau 4 pagi, datang sekolah dalam keadaan mengantuk, macam mana dia nak fokus pada pelajar. Akhirnya kesan kepada pelajar, menjejaskan kualiti pendidikan,” katanya.

Yim Pheng berkata, antara penyelesaian masalah ini adalah melantik pembantu guru, iaitu cadangan NUTP yang sudah diluluskan pada 2013 oleh Kementerian Pendidikan namun belum dilaksanakan.

Satu e-sistem tunggal dan berpusat perlu diwujudkan supaya guru tidak perlu berulang kali memasukkan data sama dalam sistem berbeza.



Jangan ‘Humban’ Semua Program

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), katanya, juga menyebabkan terlalu banyak program baharu diperkenalkan di sekolah dalam masa singkat, menyebabkan tekanan guru bertambah kerana mereka tidak dapat menguasai sesuatu program secukupnya sebelum diarahkan beralih ke program lain.

“Sepatutnya beri jarak masa yang sesuai supaya guru dapat sesuaikan diri dengan sesuatu program dan berehat secukupnya sebelum beralih ke program seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun diakui guru tertekan, dasar baharu di bawah PPPM adalah baik untuk pelajar pada masa akan datang kerana menekankan kemahiran berfikir belajar.

Bilangan pelajar juga terlalu ramai menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Satu kelas ada sampai 40 hingga 50 murid. Di bawah PBS, seorang guru perlu beri perhatian secara individu kepada pelajar. Itu yang menyebabkan guru tertekan kerana tidak cukup masa,” katanya sambil menambah jumlah pelajar yang sewajarnya di bawah PBS adalah 20 hingga 20 orang dalam satu kelas.

Beliau juga berkata, guru perlu menghadiri terlalu banyak mesyuarat sehingga menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kelas.

Katanya, isu itu pernah dibangkitkan dalam laporan NUTP bertajuk ‘Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru’ pada 2005 yang mengkaji tekanan dalam kalangan guru berkaitan beban kerja tambahan.

Yim Pheng berkata, susulan penerbitan laporan itu, Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa menangani beban kerja guru dan sejak itu, lebih 10 mesyuarat diadakan untuk membincangkan kaedah dan penyelesaian sesuai.

Walaupun terdapat perubahan di peringkat awal laporan itu diterbitkan 10 tahun lalu, semuanya kembali kepada asal kini apabila rungutan diterima daripada guru yang terpaksa hadiri terlalu banyak mesyuarat.

Menurutnya, isu ini boleh diselesaikan jika pengetua atau guru besar sekolah mampu menyelesaikan masalah dengan cekap tanpa memerlukan guru meninggalkan kelas untuk menghadiri mesyuarat.

“Kalau dapat agihkan tugas sama rata kepada semua guru dan kendalikan sekolah secara lebih profesional serta ada strategi, saya rasa kita dapat kurangkan terlalu kerap sangat mesyuarat. Sekarang s ada e-mel, WhatsApp, banyak perkara boleh dapat maklum balas dan bincang (tanpa mesyuarat),” katanya.



Beri Cikgu Rehat Secukupnya

Katanya, tanggapan lapuk guru hanya bekerja separuh hari tidak tepat kerana kajian dibuat NUTP menunjukkan guru bagi sekolah sesi pagi yang hadir ke sekolah pada jam 7 pagi hanya pulang paling awal jam 2 petang malah, ada yang perlu bertugas pada waktu petang atau malam untuk program tambahan atau mesyuarat.

“Pada waktu mereka tidak ada kelas, mereka gunakan masa itu untuk tanda buku, buat persediaan mata pelajaran seterusnya, masukkan data dalam e-sistem.  Sekarang kita ada terima aduan ada sekolah yang ingin memasukkan kelas tambahan dalam jadual tetap guru. Jadi bila guru nak rehat?,” katanya.

Katanya, guru juga kurang rehat apabila perlu ke sekolah pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum disebabkan pelbagai aktiviti luar, program tambahan dan mesyuarat.

Selain itu katanya, kajian NUTP mendapati sesetengah guru terutama guru muda mempunyai masalah keyakinan diri semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, tidak tahu berkomunikasi dengan ibu bapa serta tiada kemahiran menyelesaikan masalah pelajar di dalam kelas.

“Itu yang kadang-kala timbul isu guru pukul pelajar sampai cedera. Ini semua disebabkan tekanan. Jadi kita cadangkan Kementerian Pendidikan buat kursus psikologi untuk ajar guru imbangi emosi semasa mereka tertekan,” katanya.

Selain itu, dasar pendidikan yang kerap berubah punca tekanan guru meningkat, termasuk sistem PBS yang diperkenalkan empat tahun lalu.

Ada sekolah balik kepada budaya peperiksaan apabila diberi kelonggaran adakan ujian bawah PBS.

“Kita cadang kepada kementerian, sekolah mesti hanya ada peperiksaan pertengahan dan akhir tahun. Ibu bapa mesti ada keyakinan terhadap sekolah. Jangan bila tiada ujian, ibu bapa kata anak tak belajar. Itu masih terikat mentaliti peperiksaan,” katanya.

Katanya, apa yang guru mahukan adalah masa mencukupi dengan anak murid supaya mereka dapat mengembangkan potensi pelajar dan melahirkan modal insan yang baik.

“Saya nampak Timbalan Perdana Menteri (yang juga Menteri Pendidikan) Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup prihatin terhadap beban kerja guru. Tetapi belum ada penyelesaian,” katanya.



Tuesday, March 24, 2015

Anjakan Minda Pemimpin Pendidikan Abad Ke-21


Pemimpin pendidikan terutama di sekolah seperti pengetua, guru besar, penolong kanan, ketua panatia dan ketua bidang di zaman transformasi ini perlu membuat anjakan minda (mindset shift) untuk bukan sahaja kejayaan transformasi organisasi yang dipimpin, malahan kejayaan individu dan sistem pendidikan seluruhnya.

Sekurang-kurangnya lapan aspek yang berkaitan dengan cara berfikir dan bertindak kumpulan pemimpin dan pengurus pendidikan tersebut perlu diubah selaras dengan perubahan gaya kepimpinan dan pengurusan global di luar bidang pendidikan. Zaman di mana ketua bersikap seolah-olah dia sahaja yang tahu dan betul, orang lain tidak tahu, sentiasa salah dan mesti mengikut kehendaknya telah berlalu dan tidak relevan lagi. Berikut disarankan lapan perkara atau cara berfikir dan bertindak yang perlu diubah oleh pemimpin dan pengurus pendidikan abad ke-21.


1. Daripada Berfokus Masalah Kepada Berfokus Penyelesaian - Sebagai pemimpin sememangnya kita sering menghadapi banyak masalah dan cabaran. Sikap yang diserlahkan seorang pemimpin melalui cara berfikir dan bertindak apabila menghadapi masalah berbeza-beza mengikut dan sekaligus menggambarkan kekuatan daya kepimpinannya. Pemimpin yang lemah apabila menghadapi masalah dan cabaran, fikiran dan tindakannya berlegar sekitar mencari apa dan siapa yang menjadi punca masalah, mengapa masalah timbul dan menyesali keadaan atau tindakan orang lain yang menyebabkan masalah timbul tanpa cuba memahami isu sebenar dan cara mengatasi atau menyelesaikan masalah.

Pemimpin yang berjaya dan berkesan seringkali tidak menganggap isu atau masalah yang dihadapi terutama dari sesuatu perubahan sebagai masalah, sebaliknya sebagai peluang baginya belajar menyelesaikan masalah itu dengan cara yang berbeza dari kebiasaan. Pemimpin seperti ini tumpuan pemikiran dan tindakannya adalah mencari jalan penyelesaian sama ada secara individu atau jemaah bersama rakan dalam organisasi pimpinannya. Dia akan mencari peluang mempengaruhi sesiapa sahaja yang dipimpinnya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Pelbagai cara digunakan yang matlamatnya ialah menyelesaikan masalah tanpa bising menyalahkan orang lain yang didakwa menyebabkan masalah tersebut.


2. Daripada Menetapkan Matlamat Kepada Orang Lain Kepada Menjajarkan Matlamat Bersama - Sememangnya setiap pemimpin perlu ada maltamat (goal) untuk diri dan organisasinya. Dia perlu tahu ke mana hala tuju kehidupan dan pekerjaannya dan organisasi yang dipimpinnya. Namun untuk mencapai matlamat diri dan organisasi, dia tidak sepatutnya menyuruh (dictate) orang lain berbuat sesuatu mengikut kehendaknya semata-mata tanpa memikirkan kesukaran atau masalah yang dihadapi orang yang disuruh.

Ada kalanya matlamat organisasi telah ditetapkan dengan perancangan yang baik oleh pemimpin sebelumnya atau pihak atasan yang lebih tinggi daripadanya. Tidak perlu sebenarnya untuk dia menetapkan matlamat organisasi yang baru melainkan dia hanya perlu membuat penjajaran (alignment) kepada pelaksanaan perancangan untuk mencapai matlamat yang  dikongsi bersama anggota dalam organisasi.

Dalam merancang matlamat organisasi, pemimpin abad ke-21 tidak membuatnya secara bersendirian atau sentiasa mengikut kehendaknya semata-mata. Pandangan dan buah fikiran orang ramai termasuk pakar dalam bidang berkenaan perlu diambil kira. Apabila percanggahan atau perbezaan pendapat berlaku, penjajaran dalam bentuk kata sepakat perlu diperoleh.


3. Daripada Memberi Nasihat kepada Menimbulkan Kesedaran - Pemimpin alaf baru tidak menganggap dirinya serba tahu sehingga dia mendakwa hanya layak memberi nasihat dan tidak layak untuk menerima nasihat apatah lagi tunjuk ajar. Sebanyak mana kita belajar, seluas mana pengalaman kita dan sejauh mana kita telah lalui liku-liku hidup pasti ada lagi perkara yang tidak kita ketahui. Kadang-kadang kita menyangka kita tahu dan mengambil tindakan yang betul tentang sesuatu perkara namun kerap kali sangkaan kita meleset kerana apa yang kita ketahui selalunya terbatas kepada konteks, masa, maklumat dan situasi tertentu sahaja.

Oleh itu, untuk mengajak dan mempengaruhi orang lain mencapai matlamat organisasi yang kita pimpin, lebih baik kita menimbulkan kesedaran mereka tentang pentingnya kita memikir, merancang dan mengambil tindakan yang strategik secara bersama untuk proses pembetulan dan penambahbaikan kepada dasar dan strategi sedia ada. Banyak cara boleh diteroka untuk menimbulkan kesedaran warga organisasi yang bukan dalam bentuk nasihat. Antaranya, coaching dan mentoring, pembelajaran dan pembangunan (learning and development) dan pembangunan profesional berterusan (continuous  professional development atau CPD). Kesemua kaedah tersebut boleh mendatangkan kesedaran kendiri warga organiisasi tanpa perlu terlalu memberi nasihat berulang-ulang yang boleh membosankan.


4. Daripada Tahu Semua Hal kepada Rasa Ingin Tahu - Sebagai ketua, perbanyakkan menyoal daripada menjawab. Soalan atau permintaan juga boleh dijawab atau direspons dengan soalan. Sebagai contoh, soalan permintaan “Tuan, bolehkah saya  bercuti esok?” boleh dijawab “Mengapa anda hendak bercuti?”. Banyak lagi contoh soalan yang boleh dijawab dengan soalan.

Menjawab soalan dengan jawapan atau memberi jawapan atau penyelesaian kepada permasalahan menggambarkan orang yang yang disoal atau dikemukakan masalah atau diminta pendapat, tahu semua hal. Seperti yang saya katakan sebelum ini, zaman seseorang mendakwa serba tahu telah berakhir. Satu perkara kita tahu, puluhan perkara malahan mungkin ribuan lagi yang kita tidak tahu walaupun dalam perkara yang sama.

Oleh itu, sebagai pemimpin mahupun pengikut adalah lebih baik kita timbulkan rasa ingin tahu dengan lebih lanjut sebelum membuat keputusan tentang sesuatu walaupun mungkin kita telah tahu konsekuennya.


5. Daripada Mengarah dan Mendesak kepada Mempengaruhi - Pemimpin yang hanya pandai mengarah, mengerah, memerah dan memarah akan berakhir dengan pengikut mengatakan porah kepadanya. Gambaran ini sesuai bagi seorang pemimpin yang mengarah dan mendesak dalam gaya kepimpinannya. Pemimpin sedemikian, terutama di sekolah dikuatiri boleh menjejaskan keberkesanan sekokah yang sekaligus kemenjadian murid kerana guru dan staf yang boleh bertindak negatif ekoran tindakan yang pasti tidak disukai.

Pemimpin sekolah sedemikian seringkali dikaitkan dengan pemimpin yang lemah, kurang berhemah dan seperti tidak pernah mengikuti latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan sebelum atau sepanjang perkhidmatannya. Pemimpin yang pernah mengikuti kursus kepimpinan dan pengurusan pendidikan seperti National Professional Qualification for Educational Leadership (NPQEL) atau lain-lain kursus anjuran Institut Aminudin Baki (IAB) pasti tahu bahawa definisi memimpin ialah usaha mempengaruhi orang lain dalam lingkungan kepimpinannya untuk mencapai matlamat organisasi.

Maksud mempengaruhi ialah mengajak, memujuk, memupuk dan menanamkan rasa suka untuk bekerja bersamanya bagi mencapai hasrat atau visi organisasi dengan bahasa dan kaedah yang baik. Selain mempengaruhi, memimpin juga membawa konotasi membuat perubahan (change) dari kurang baik kepada lebih baik.  Dalam pendidikan, Dato’ Dr Amin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia menyarankan bahawa istilah memimpin itu sendiri bermaksud mendidik atau sebaliknya mendidik itu adalah memimpin. Hal ini bermaksud mendidik ialah proses mempengaruhi orang lain iaitu murid dan orang-orang di  sekitarnya untuk mencapai objektif pembelajaran supaya perubahan berlaku kepada diri murid itu, sekolah dan sistem pendidikan negara.


6. Daripada Mengkritik atau Menghukum kepada Menghargai atau Memuji - Kritikan dan hukuman oleh pemimpin ke atas pengikut tidak dinafikan boleh membawa kebaikan kepada organisasi. Namun apabila selalu digunakan oleh pemimpin kepada pengikutnya boleh menyebabkan pengikut demotivated. Kritikan selalunya digunakan pemimpin ke atas pengikut yang rendah mutu kerja dan hasilnya. Hukuman pula ialah natijah yang diterima pengikut apabila kerja dan hasil kerjanya tidak mencapai jangkaan ketua atau organisasi. Kritikan juga merupakan hukuman. Malahan kadang-kadang hukuman berbentuk kritikan lebih berat kesannya daripada bentuk yang lain.

Oleh kerana kritikan dan hukuman selalu dikaitkan dengan kesan yang negatif, ramai yang tidak suka sama ada orang yang menerima kritikan dan hukuman atau orang lain di sekelilingnya atau pakar pengkaji bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Mereka lebih cenderung untuk menerima penghargaan, pengiktirafan atau pujian. Sememangnya, tiada siapa yang gemar kepada kelemahan, kekurangan dan kesilapan. Namun selain melakukan ksilapan, seseorang itu pasti banyak juga melakukan kebaikan kepada organisasi. Adalah lebih baik kita perbanyakkan menghargai, mengiktiraf dan memuji kerja atau hasil kerja seseorang terutama orang bawahan kita apabila membuat kerja dengan baik daripada mengkritik atau menghukum kesilapan kecil yang selalunya tidak disengaja.

Orang yang sering dihargai dan dipuji akan besar jiwanya. Sebaliknya orang yang sering dikritik dan dihukum kecil jiwa dan harga dirinya. Orang yang besar jiwa dan harga dirinya juga akan menghasilkan mutu kerja yang tinggi dan besar keuntungan yang diperoleh organisasi. Oleh itu sebarkan penghargaan dan pujian. Kesilapan kecil lupakan dan maafkan sahaja.


7. Daripada Mengurus kepada Mengupaya - Mengurus ialah proses mengekalkan (maintain) kecekapan dan keberkesanan organisasi. Untuk mengekal kecekapan dan keberkesanan organisasi ketua perlu aktif merancang, mengorganisasi, mengawal dan memimpin kumpulannya dengan pelbagai cara dan gaya pengurusan. Selalunya pihak yang menerima kesan daripada gaya dan cara pengurusan seseorang ketua ialah pengikut. Ketua yang mengurus selalunya aktif sedangkan pengikut pasif menerima arahan ketua tanpa atau kurang diberi pengupayaan (empowerment)..

Kepimpinan abad ke-21 adalah kepimpinan yang mengutamakan pengupayaan daipada pengurusan. Pemimpin yang mengupayakan pengikutnya adalah pemimpin yang memberi kepercayaan untuk msmbuat perubahan tanpa perlu terlalu disuruh dan diawasi. Dia cukup memberi garis panduan dan motivasi kepada pengikut untuk bekerja bersungguh untuk mencapai matlamat organisasi. Namun mengikut Ibrahim Bajunid, pengupayaan perlu didahului dengan pembolehdayaan (enablement) melalui kursus dan latihan.


8. Daripada Menyediakan Penyelesaian kepada Meneroka Kemungkinan - Walaupun pemimpin abad ke-21 memberi tumpuan atau fokus kepada penyelesaian masalah, namun dia tidak cenderung untuk menawarkan apatah lagi menyediakan jawapan atau penyelesaian kepada masalah. Sebaliknya dia lebih cenderung untuk meneroka kemungkinan untuk mencari jalan bagi bukan sahaja mengatasi atau menyelesaikan masalah malahan mendapat keuntungan yang lebih besar.

Pemimpin seperti ini selalu dikaitkan dengan pemimpin yang kreatif dan inovatif serta berani mencuba dan mengambil risiko. Mereka selalunya berfikiran terbuka dan berlapang dada terhadap sesuatu yang baharu. Berbekalkan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman serta bantuan tenaga muda, yang lebih kreatif, kritis dan inovatif, pemimpin seperti ini mampu msmbawa perubahan besar kepada organisasi.



- drjamiladimin

Sunday, February 8, 2015

Kepimpinan Untuk Pembelajaran


Apabila dikaji secara mendalam, konsep kepimpinan, lebih-lebih lagi dalam pendidikan, adalah sama dengan konsep pengajaran. Mengapa guru mengajar? Jawapannya tentulah untuk membantu murid belajar. Kata sendi ’untuk’ di atas bermaksud tujuan (purpose) iaitu tujuan pengajaran adalah membantu atau memudahcara (facilitate) murid belajar. Oleh itu, secara mudah bolehlah kita katakan bahawa pengajaran (teaching) adalah untuk pembelajaran. Hal ini bermaksud, guru yang baik pengajarannya (guru berkesan) mampu menghasilkan pembelajaran murid yang berkesan juga. Pengajaran dan pembelajaran berkesan mampu mengubah (transform) bukan sahaja individu yang terlibat dengan proses pendidikan itu, malahan organisasi pendidikan dan sistem pendidikan keseluruhannya.

Jika pengajaran mampu mempengaruhi perubahan diri dan orang lain secara individu atau kumpulan, pengajaran bolehlah disama ertikan sebagai kepimpinan kerana kepimpinan juga bermaksud tindakan mempengaruhi diri dan orang lain untuk berubah. Tepat sekali Kamras dan Kopp (2010) yang menganggap pengajaran sebagai kepimpinan (teaching as leadership). Hal ini selaras dengan MacBeth (2002) yang menyatakan ”Leadership, teaching and learning are integrally connected”. Dengan premis ’pengajaran adalah untuk pembelajaran’ dan ’pengajaran sebagai/adalah kepimpinan’ maka logiknya ialah ’kepimpinan adalah untuk pembelajaran’. Oleh itu, frasa kepimpinan untuk pembelajaran secara mudah bermaksud kepimpinan boleh membantu atau boleh bertujuan untuk membantu proses pembelajaran. Dalam konteks sekolah, kepimpinan untuk pembelajaran membawa maksud menyediakan pemimpin masa hadapan melalui proses pembelajaran, sama ada pembelajaran guru atau pembelajaran murid. Mereka dipimpin untuk memimpin.

Bagi The Cambridge Network seperti dilaporkan oleh MacBeth (2002) kepemimpinan untuk pembelajaran adalah model kepimpinan yang menggalakkan sifat-sifat berikut:

1. Independent of mind, inter-dependent, critical and informed
2. Persistent in its questioning of received wisdom
3. Demonstrating through its actions a persistent commitment to equality

Hal ini menggambarkan bahawa dalam kepimpinan untuk pembelajaran, pemimpin itu mempunyai pemikiran yang bebas, saling bergantung antara satu sama lain, kritikal dan sentiasa bermaklumat. Dia juga secara berterusan menyoal perkara-perkara penting dengan soalan tahap tinggi dengan tujuan untuk mempelajari kebijaksanaan (wisdom). Dia juga sentiasa mempamerkan tindakan-tindakan yang menggambarkan komitmen tinggi untuk memastikan kesamaan dalam pendidikan.

Dilaporkan juga oleh John MacBeth bahawa Hong Kong’s Education Commission Report (2000) telah mengusulkan tiga perubahan utama peranan guru kelas iaitu:

1. Daripada seorang yang menyampaikan ilmu kepada seorang yang memberi inspirasi kepada murid untuk membina dan membangun ilmu dengan kefahaman mendalam,
2. Daripada seorang yang melaksanakan kurikulum kepada seorang yang terlibat dalam pembangunan kurikulum berasaskan sekolah,
3. Daripada seorang yang melaksanakan dasar semata-mata kepada seorang yang memimpin dan menyumbang kepada perubahan.

Hal ini menggambarkan kepimpinan untuk pembelajaran sebagai kepimpinan yang akan membawa perubahan bukan sahaja kepada diri pemimpin itu sendiri, malahan organisasi, pengikut, murid dan seluruh warga yang dipimpin sebagai suatu sistem.



- drjamiladimin

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi