Tuesday, June 21, 2011

BAYAR GURU LEBIH MASA

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya guru yang terpaksa bekerja lebih masa hingga lewat petang bagi melatih murid antaranya guru sukan, diberi insentif atau bayaran tambahan bagi menaikkan semangat guru seterusnya menghasilkan pelajar lebih cemerlang.


Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya menyokong penuh sekiranya guru yang membuat kerja tambahan atau menjalankan pelbagai tugas termasuk mengajar lebih satu subjek diberi insentif bersesuaian dengan kerja keras mereka.


Beliau berkata, sekiranya guru mendapat bayaran bagi kerja tambahan yang dilakukan, ia bukan saja lebih adil bagi mereka malah guru akan lebih berkobar-kobar untuk mengajar selain akan memastikan isu paksaan bekerja lebih masa di sekolah tidak lagi timbul.


“Saya mencadangkan supaya insentif ini mendapat pengesahan daripada pengetua atau guru besar masing-masing serta dibayar mengikut jam,” katanya ketika dihubungi semalam.


Beliau berkata, ada antara guru biarpun terpaksa melatih atau mendidik murid hingga lewat petang, mereka tetap perlu hadir awal pagi ke sekolah keesokannya seperti biasa dan ia tidak adil kepada mereka sekiranya dibayar sama dengan guru yang sering mengelak bekerja lebih masa dengan pelbagai alasan.


Katanya, sekiranya bayaran tambahan itu menjadi kenyataan, kemungkinan besar, guru sendiri akan berjumpa dengan pengetua atau guru besar masing-masing untuk meminta tugasan tambahan.


“Apa salahnya jika guru dibayar bagi kerja tambahan yang dilakukan mereka kerana ini insentif yang sangat baik. Ia bukan saja baik untuk guru tetapi untuk murid-murid juga,” katanya.


Dalam pada itu, NUTP turut berharap Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) yang bakal menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Julai, bakal memberi lebih banyak kebaikan kepada kakitangan awam, termasuk guru di seluruh negara berbanding sebelumnya.


Katanya, NUTP turut berharap semua kakitangan awam termasuk guru akan lebih berpuas hati dan gembira menjalankan tugas dengan ganjaran serta kelebihan yang diterima menerusi Prospek.


“Secara keseluruhannya, kita berharap Prospek dapat memberikan yang terbaik terhadap apa saja cadangan yang dikemukakan Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini,” katanya.


Semalam, akhbar melaporkan Cuepacs baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Prospek bagi menggantikan PTK bermula 1 Julai, dan mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.


Sumber: Harian Metro

Monday, June 13, 2011

EC MALAYSIA TAWAR LEBIH PELUANG PENDIDIKAN

Bangunan akademik di EC UK bercirikan era Victoria dan dihiasi lanskap menarik


SEAWAL penulis menjejakkan kaki ke pekarangan Epsom College (EC), sekolah berasrama dan harian yang menempatkan pelajar berusia 13 hingga 18 tahun yang terletak di Epsom Downs, United Kingdom (UK), mata sudah terpukau dengan keindahan landskap dan keunikan bangunan bercirikan era Victoria yang terdapat dalam kawasan seluas 32 hektar itu.


Sambil berjalan menuju ke bangunan utama untuk dibawa bertemu Pengarah Kemasukan dan Komunikasi EC, Paul Green, kelihatan beberapa pelajar bergerak pantas menuju ke lokasi tujuan masing-masing sambil melemparkan senyuman dan ucapan selamat tanda hormat.


Pelajar lelakinya kelihatan segak berkot dan seluar biru gelap manakala skirt bagi pelajar perempuan, semuanya nampak cergas, berketerampilan, memiliki keyakinan tinggi dan berdisiplin dalam menjalani kehidupan seharian di EC.


Itulah anak-anak generasi muda hasil didikan EC yang kini terkenal dengan pelajarnya yang cemerlang dalam akademik selain menyerlah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.


EC bermula sebagai Royal Medical Benevolent College dan diasaskan oleh Dr John Propert pada 1853 yang mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim dan balu pegawai perubatan memperoleh pendidikan terbaik pada ketika itu.


Kini EC berkembang sebagai sebuah sekolah terkemuka di UK dan menempatkan hampir 800 pelajar terdiri daripada pelajar harian, mingguan dan mendiami asrama sepenuh masa.


Memiliki lebih daripada 50 bilik darjah yang menempatkan pelajar dalam jumlah yang kecil, dengan setiap bilik darjah dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang diintegrasi dalam proses pembelajaran.


Malah pelajar memiliki akses untuk menggunakan kemudahan ICT yang terdapat di semua blok bangunan akademik dan asrama bagi menggalakkan penggunaan multimedia, internet dan emel dalam kalangan pelajar.


Selain kecemerlangan akademik, EC turut membekalkan pelajar dengan pendidikan dan pengalaman baru dalam segala aspek serta diseimbangkan lagi dengan aktiviti kokurikulum yang bukan saja membabitkan sukan dan permainan, malah merangkumi bidang seni dan reka bentuk, muzik dan drama.


Berlandaskan konsep sukan untuk semua, lebih 25 jenis sukan ditawarkan di EC. Antaranya olahraga, ragbi, kriket, hoki, bola jaring, tenis, merentas desa, golf, seni mempertahankan diri, perahu layar dan ‘rounders’.


Menurut Paul, setiap pelajar diberi peluang sama rata untuk menyertai pertandingan sama ada pada peringkat dalaman atau wakil sekolah dan sehingga kini, EC sudah melahirkan ramai atlet sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.


Selain itu, program seni dan reka bentuk direka khusus bagi pelajar yang mahu menyerlahkan bakat mereka dengan kemudahan studio khas bagi kerja seramik, pembuatan tembikar, arca, tekstil, fotografi dan seni lukis.


Studio turut dilengkapi teknologi terkini seperti reka bentuk tambahan komputer dan pemotongan laser bagi membekalkan pelajar dengan pengetahuan tambahan seiring perkembangan semasa.


Atas dasar mahu memberi peluang kepada masyarakat luar yang mahu anak mereka memperoleh pendidikan terbaik seperti di EC UK, EC bakal melebarkan sayapnya ke negara ini dan memilih kawasan seluas 28.3 hektar di Kuala Lumpur Education City yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan sebagai lokasi pertama di luar UK.


EC Malaysia yang sudah mengadakan majlis pecah tanah secara rasminya pada Ogos tahun lalu dan kampusnya dijangka siap menjelang hujung tahun depan.


Berbeza dengan UK, EC Malaysia akan menawarkan lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda bermula dengan kanak-kanak seawal empat hingga 11 tahun yang akan mengikuti sekolah junior harian di lokasi berhampiran. Sementara pelajar berusia 12 hingga 18 tahun akan mengikuti sekolah senior di dalam kampus utama.


Di bawah pentadbiran pengetuanya, Gareth Eynon, EC Malaysia menjanjikan kecemerlangan pendidikan yang sama seperti di EC UK dengan menggunakan Kurikulum Kebangsaan British dan sesi pembelajaran dikendalikan dalam bahasa Inggeris.


Pelajar sekolah senior akan mengikuti program di bawah International General Certificate of Secondary Education dan A-level manakala pelajar sekolah junior mengikuti New English Curriculum.


Seperti juga di UK, EC Malaysia juga akan memiliki kemudahan pendidikan bertaraf dunia. Antaranya kelas matematik, kelas sains, kelas bahasa, makmal sains, bilik ICT, perpustakaan, studio reka bentuk, 14 bangunan asrama, bilik seni, padang sukan dan permainan serta pusat kesihatan.


EC Malaysia juga akan mengekalkan reputasi EC sebagai pembekal pendidikan berkualiti tinggi selain menjadi landasan utama dalam menyediakan pelajar terbaik terutama yang bakal memasuki bidang perubatan di universiti di UK, Russell Group Universities selain universiti, kolej dan sekolah perubatan tempatan.


Orang ramai yang ingin membuat pertanyaan atau memperoleh keterangan lanjut mengenai EC boleh menghantar e-mel kepada enquiries@epsomcollege.edu.my atau layari laman web www.epsomcollege.edu.my.


Sumber: Berita Harian Online

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi