Tuesday, April 27, 2010

Lebih ramai guru lelaki diambil berkhidmat

KUALA LUMPUR: Lebih ramai guru lelaki diperlukan bagi menjalankan tugas sebagai guru disiplin, memudahkan penghantaran ke sekolah pedalaman dan sesuai dengan hasrat menjadikan sukan elemen penting mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata disebabkan faktor itu pihaknya akan mengambil lebih ramai guru lelaki, malah berusaha untuk memastikan pengambilannya seimbang, dengan masing-masing 50 peratus di antara guru lelaki dan perempuan.


Menurutnya, sehingga April 2010, nisbah guru lelaki dan perempuan di sekolah rendah dan menengah kerajaan serta bantuan kerajaan di seluruh negara ialah pada kadar 1:2.


“Sebab itu antara faktor kita mahu seimbangkan guru wanita dan lelaki, kerana guru lelaki ini kita dapat tumpukan mereka untuk menjalankan tugas sebagai guru disiplin, untuk memudahkan penghantaran mereka mengajar di sekolah pedalaman, sebab guru lelaki lebih sesuai dihantar ke pedalaman kerana faktor keselamatan.


“Kita akan menjadikan sukan sebagai elemen penting mulai tahun depan, sebab itu kita memerlukan lebih ramai guru lelaki,” katanya, menjawab soalan Senator Datuk Azizah Abd Samad mengenai kuota pengambilan dan masalah kekurangan guru lelaki, dalam soalan lisan, di Dewan Negara, di sini, semalam.


Menurutnya, sehingga kini guru lelaki berjumlah 126,580 orang dengan 70,808 di sekolah rendah dan 55,772 orang di sekolah menengah manakala guru perempuan berjumlah 279,650 membabitkan 160,064 orang di sekolah rendah dan 119,586 orang di sekolah menengah.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Saturday, April 3, 2010

kenaikan pangkat buat biar telus

HULU SELANGOR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta satu lagi makmal diwujudkan untuk menilai kedudukan dan tahap pencapaian setiap guru supaya proses kenaikan pangkat dapat dibuat secara lebih telus.

Menurutnya, penilaian terperinci mengenai masalah guru termasuk isu kenaikan gaji dapat dilakukan melalui makmal khusus itu.


“Saya minta satu lagi makmal diwujudkan bagi menilai kedudukan dan tahap pencapaian setiap guru untuk memastikan supaya proses kenaikan pangkat dapat dibuat lebih telus.


“Jangan ada terlepas pandang, hanya kerana mereka jauh di pedalaman, seolah-olah mereka tidak diambil kira.


“Saya rasa ada sesetengah guru berasa begitu, seolah-olah tidak diberikan perhatian dan disebabkan itu, kita hendak memastikan supaya ada satu sistem lebih telus, mesti ada pengurusan lebih cekap, supaya rekod yang ada dikemaskini.


“Kita mahu memastikan setiap profil guru disimpan dengan lengkap dan apabila guru berkhidmat prestasi mereka dinilai dari semasa ke semasa dengan lebih rapi supaya kita dapat memberikan pengiktirafan pada guru sama ada kenaikan pangkat dan pembayaran elaun.

“Ini walaupun sudah dibuat dulu, tetapi nak kita laksanakan secara lebih kemas lagi pada masa depan,” katanya, pada majlis bersama warga pendidik di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Hulu Yam, di sini, semalam.


Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengarah Pelajaran Selangor, Sulaiman Wak.


Muhyiddin berkata, melalui program menambah baik sekolah yang akan diperkenalkan, warga pendidik juga akan mendapat imbuhan.


“Kita akan perkenalkan program menambah baik sekolah. Ini kita akan usahakan dengan pendekatan kit sekolah, akan mengenal pasti apakah perkara tertentu perlu diambil untuk membolehkan sekolah itu meningkat dari segi pencapaiannya. “Bila dinilai, ada peningkatan, tidak semestinya sampai tahap cemerlang atau tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Kalau pun masih di tahap sederhana, ada peningkatan dari segi pencapaian, ia akan diiktiraf,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Makmalnilaiguru/Article

__________________________________________________________________________

Pada pandangan saya, kenaikan pangkat perlu juga melihat kepada bakat kepimpinan dan kemahiran yang ada pada seseorang di samping tempoh berkhidmat mereka. Tidaklah wujud pentadbiran yang kaku dan hanya mengarah sahaja. Ubahlah budaya daripada Kepimpinan Mengarah Kepada Kepimpinan Teladan.

Thursday, April 1, 2010

Seksa jadi cikgu



KUALA LUMPUR, 1 April 2010: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan aduan NUTP, selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.

“NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.

“Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana tidak mahu tugas hakiki guru, iaitu mendidik pelajar tidak terganggu disebabkan bebanan macam-macam tugas yang terpaksa dibuat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan NUTP di bangunan Parlimen, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.
“Piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi boleh kita contohi,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyedari tugas sebenar guru ialah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, bukannya melakukan tugas tertentu yang sepatutnya dilakukan kerani.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah mendapat maklum balas positif daripada NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

“NUTP turut menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan jaringan pendidikan kepada rakyat. Kementerian akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada guru dan rakyat,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online | Seksa jadi cikgu

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi