Monday, January 24, 2011

KONFLIK IBU BAPA - GURU

APABILA Joshua Jr, 15 menunjukkan keputusan peperiksaan akhir kepada ibu bapanya, tampak kekecewaan pada wajah mereka kerana keputusan itu tidak seperti disasarkan.


Mereka sukar percaya anak yang kelihatan bijak itu hanya mampu mencatatkan keputusan biasa padahal mereka yakin anak mereka mempunyai kebolehan dan berbakat.


Ibu bapanya yang sukar menerima kenyataan segera ke sekolah dan tanpa usul periksa meletakkan kesalahan terhadap guru dan institusi sekolah kerana didakwa lepas tangan.


Senario ini membuktikan seluruh masyarakat akan berdepan konflik dengan guru dan sekolah jika membabitkan soal pendidikan anak.


FAHAMI KAEDAH...pelajar tidak perlu
takut untuk bertanya kepada guru.

Ibu bapa hanya mengharapkan yang terbaik sejajar dengan pelaburan yang mereka keluarkan manakala guru serta sekolah menganggap ibu bapa membayar dengan menjadikan mereka ‘hamba’ yang boleh diperintah sesuka hati.


Pakar pendidikan dan kanak-kanak merangkap sukarelawan di Pusat Kebangsaan dan Polisi Awam, Amerika Syarikat, Joseph Abeyta, berkata sikap ibu bapa yang mudah menyalahkan menyebabkan guru serta institusi berbalah selain konflik emosi membelenggu semua pihak.


Menurutnya, meskipun ibu bapa berhak mengetahui pencapaian anak
, mereka perlu mengikut prosedur atau berinteraksi dengan guru untuk mengetahui perkara sebenar.


“Menyerang atau menuduh guru adalah tidak profesional malah menyebabkan masalah menjadi semakin buruk.


“Akhirnya, bukan saja ibu bapa berkonflik dengan guru malah anak turut menjadi mangsa padahal ia boleh diselesaikan melalui rundingan,” katanya.


Dalam kajian dilakukan di London mendapati pelajar gagal menerima sepenuhnya ilmu daripada guru meskipun golongan itu menerima gaji lumayan dan ada kelayakan profesional.


Ini menimbulkan persoalan, apakah dimahukan guru dan mengapa mereka gagal melaksanakan amanah itu, adakah tidak komited atau kurang berminat? Abeyta berkata, semua pihak perlu faham kehidupan kanak-kanak sangat kompleks dan memerlukan bimbingan untuk memilih mana betul atau salah.


Mereka, katanya, sentiasa menjadikan rakan atau contoh depan mata sebagai rujukan.


“Apabila mendapat contoh salah, keputusannya juga salah. Sebaliknya ibu bapa melihatnya daripada pandangan dewasa dengan menjadikan persoalan demi persoalan sebagai sesuatu yang sensasi.


CELIK TEKNOLOGI MAKLUMAT...pelajar

perlu bersaing dengan kepantasan globalisasi.


“Ibu bapa menganggap jika guru gagal memberikan perkhidmatan terbaik, mereka golongan gagal.


“Sebaliknya pelajar tidak melihatnya begitu, mereka melihat guru sebagai model yang baik. Keputusan peperiksaan yang teruk mungkin cara semula jadi untuk memprotes dalam diam,” katanya.


Bekas pengetua di Santa Fe Indian School; Ann Cook, of Urban Academy, Kat Crosby bagaimanapun kurang bersetuju dengan Abeyta sambil menganggapnya prejudis dan mengamalkan diskriminasi.


Beliau berkata, ibu bapa sama sekali tidak wajar mencampuri urusan remeh persekolahan anak dan tidak hanya menyasarkan pencapaian akademik sebagai fokus utama.


“Banyak lagi boleh dilakukan bagi menilai kejayaan anak, bukan hanya peperiksaan atau menyerang guru dan sekolah jika tidak berpuas hati.


“Ini tindakan tidak profesional, sangat memalukan dan tidak beretika. Mereka langsung tidak menghormati institusi sekolah dan guru.


“Bukankah masih ada lagi jalan elok boleh dilakukan, antaranya duduk berbincang tanpa dikuasai emosi dan ego?


“Ini soal masa depan membabitkan anak yang juga pelajar. Bayangkan jika ibu bapa, sekolah dan guru tidak sehaluan, siapakah yang rugi?,” katanya.


Sumber: Hmetro

Sunday, January 23, 2011

KEPIMPINAN BERKESAN

Semua orang boleh menjadi pentadbir tetapi bukan semua boleh menjadi pemimpin. Pemimpin yang berkeliber memerlukan ciri-ciri positif bagi dirinya diiktiraf sebagai seorang pemimpin. Pemimpin yang baik bukan lahir dengan sendirinya tetapi diperoleh melalui latihan berterusan, pengalaman mahupun ilmu.


Memimpin sesebuah organisasi bukanlah satu tugas yang mudah. Sungguhpun begitu, bersama-sama gabungan ilmu, pengetahuan, personaliti dan visi, kepimpinan bukanlah satu misi yang mustahil bagi setiap orang yang mahu menjadi seorang pemimpin yang berjaya. Seseorang pemimpin berkesan sentiasa melihat kejayaan organisasinya sebagai satu usaha yang berterusan antara dirinya dengan semua anggota dalam organisasi itu.


Dalam erti kata lain, kejayaan sesebuah organisasi itu adalah kejayaan bersama. Namun begitu, keberkesanan, keunggulan dan kecemerlangan bergantung kepada kepimpinan sesebuah orgnisasi. Sarjana disiplin pengurusan dan kepimpinan ada berkata “ apa yang berada di belakang kita dan apa yang berada di hadapan kita adalah perkara yang kecil berbanding dengan apa yang ada di dalam diri kita. Jadi, diri pemimpin dan apa yang tersirat di dalam dirinya adalah penting dalam memanifestasikannya menjadi sebuah realiti.


Mengapa kepimpinan berkesan perlu dalam sesebuah organisasi:

· kepimpinan berkesan ada kaitan dengan jatuh bangun sesebuah organisasi

· kepimpinan berkesan ada kaitan dengan keberkesanan dan kecekapan organisasi

· kepimpinan berkesan ada kaitan dengan prestasi kerja orang bawahan

· kepimpinan berkesan ada kaitan dengan kepuasan kerja orang bawahan


Siapa pemimpin berkesan:

· pemimpin berkesan mesti ada pengikut

· pemimpin berkesan mestilah boleh mempengaruhi dan memotivasikan orang lain

· pemimpin berkesan ialah pemimpin yang boleh membuat perubahan kepada organisasi dan ke atas sikap dan tingkah laku orang bawahan.


Apa peranan pemimpin berkesan? Seorang pemimpin berkesan haruslah berperanan sebagai:

· pemikir

· perancang

· pengurus

· pengerak perubahan

· pendidik

· pembimbing

· penasihat

· pendorong


Dalam usaha menjadi pemimpin berkesan, individu itu harus menguasai tiga kemahiran:

1. Kemahiran konseptual – iaitu kemahiran menganalisi, berfikir secara logik, kreatif dalam menjana idea dan penyelesai masalah.

2. Kemahiran tektikal – iaitu kemahiran berkaitan dengan kaedah-kaedah, prosedur dan teknik-teknik untuk menjalankan aktiviti khusus serta kebolehan menggunakan peralatan yang digunakan dalam menjalanakan aktiviti tersebut.

3. Kemahiran hubungan kemanusiaan- iaitu kemahiran berhubung dengan orang lain serta boleh memahami perasaan dan sikap orang lain. Terkandung dalam kemahiran ini ialah kemahiran berkomunikasi dengan jelas dan berkesan.


Untuk menjadi seorang pemimpin yang benar-benar boleh mempengaruhi orang bawahan supaya menjadi pengikut yang setia bukanlah suatu perkara yang senang. Untuk itu, seseorang pemimpin yang berkesan hendaklah menguasai kemahiran- kemahiran tertentu, mengamalkan tinkah laku yang sesuai dengan memadankannya dengan keadaan-keadaan tertentu. Dalam konteks ini ada pepatah arab mengatakan bahawa “jika engkau terlalu keras, nanti engkau dipatahkan. Jika engkau terlalu lembut, nanti engkau diramas. Justeru bertindaklah secara sederhana kerana sederhana itu adalah bijaksana”.


Sumber: Unit Sekolah Rendah JPNT

Friday, January 21, 2011

USAH PAKSA GURU KERJA HARI SABTU

KUALA LUMPUR: Pengetua dan guru besar sekolah di seluruh negara diminta tidak memaksa guru mereka bertugas pada Sabtu, selain patuh pada peraturan dikeluarkan kerajaan yang menetapkan hari berkenaan sebagai cuti buat kakitangan sekolah.


Sehubungan itu, guru yang tidak berpuas hati ditugaskan pengetua mereka untuk bekerja pada setiap Sabtu di sekolah masing-masing, diminta tampil membuat aduan bertulis kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya hak mereka untuk berehat pada hari itu dapat dibela.


Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, masih ada pengetua atau guru besar sekolah yang tidak memahami peraturan serta ingkar dengan arahan kerajaan yang menetapkan Sabtu sebagai hari cuti berehat untuk semua guru.


Bagaimanapun, beliau berkata, peraturan itu masih fleksibel kerana guru berkenaan boleh dipanggil oleh pengetua untuk bertugas pada mana-mana dua Sabtu dalam sebulan jika keadaan benar-benar memerlukan bagi menjayakan sesuatu acara yang tidak dapat dilakukan pada hari persekolahan biasa.


“Ada pengetua menganggap keputusan mereka mengarah guru bertugas pada Sabtu terutama untuk mengadakan kelas tambahan kononnya untuk mempertingkatkan lagi pencapaian pelajar sedangkan kelas yang sudah diadakan dari Isnin hingga Khamis sepatutnya sudah mencukupi “Pengetua yang mahu mengarah guru bekerja pada Sabtu sepatutnya mengeluarkan arahan dalam bentuk surat arahan rasmi dan bukannya secara lisan kerana jika apa-apa perkara tidak diingini berlaku, pihak sekolah dan pengetua akan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi semalam.


Hashim berkata, guru mempunyai hak untuk berehat pada Sabtu bersama keluarga serta menenangkan fikiran dan tidak sepatutnya dikerah bekerja hingga mengganggu masa senggang mereka.


Katanya, beliau memahami keadaan guru yang tersepit dan serba salah dengan arahan pengetua serta akan mengikut saja berikutan bimbang dikenakan tindakan jika enggan bertugas pada Sabtu walaupun ia sudah diisytiharkan sebagai hari cuti buat mereka.


“Ada guru yang sukarela bertugas dengan mengadakan kelas tambahan pada Sabtu atau menganjurkan program berbentuk sukan, tetapi bagi mereka yang tidak rela, jangan duduk diam dan kita minta mereka membuat aduan supaya hak mereka terbela.


“Manakala guru yang terpaksa bertugas pada Sabtu perlu berani meminta pengetua mengeluarkan satu surat rasmi yang tertera arahan mengenai tugas supaya pihak sekolah akan bertanggungjawab jika ada masalah,” katanya.


Sementara itu, Hashim turut memberi pandangan supaya beberapa perkataan yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum India di negara ini seperti yang terkandung dalam novel Interlok dihitamkan saja dengan dakwat bagi memuaskan hati semua pihak.


Sumber: Hmetro

Sunday, January 9, 2011

Kecekapan Pendidik Penting Dalam Bentuk Generasi Masa Depan

Antara cabaran paling besar yang dihadapi para guru dan pendidik masa kini ialah sama ada mereka memiliki kecekapan yang secukupnya dalam mempersiapkan dan membentuk generasi akan datang, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.


Beliau berkata profesion sebagai pendidik pada era globalisasi berdepan dengan cabaran yang lebih besar berbanding pada era sebelum ini.


"Berlalu sudah zaman di mana para pelajar menjadi pendengar setia, tanpa banyak benda lain yang boleh menarik tumpuan mereka daripada memberi perhatian kepada guru dan buku.


"Hari ini, dengan revolusi yang dibawa oleh ICT (Teknologi Komuniksi Maklumat), pengajaran dan pembelajaran tidak lagi terkepung di dalam bilik darjah semata-mata," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya bertajuk "Kompetensi Guru Dalam Membentuk Generasi Akang Datang" pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan K-12 di sini Ahad.


Dalam ucaptama 30 minit itu, Rosmah, yang juga pengerusi jawatankuasa kerja dasar Permata Negara, berkata kecekapan pada abad ke-21 menuntut para guru memiliki kecekapan di luar batas bidang kandungan atau pengetahuan serta kemahiran mudah untuk membolehkan mereka memenuhi tuntutan kontemporari dan masa depan yang kompleks.


"Kecekapan ini termasuk berhubung pemikiran kritis dan penyelesaian masalah kreativiti dan inovasi, ketangkasan dan kebolehsesuaian, kepintaran dan keusahawanan, semangat ingin tahu dan imaginasi untuk meningkatkan keupayaan dalam urusan pembelajaran sepanjang hayat," kata Rosmah.


Di samping itu, kata beliau, guru juga perlu memiliki pengetahuan dan kepakaran untuk membentuk pengalaman pembelajaran bersifat produktif serta mampu mengenal pasti gaya pemikiran dan pembelajaran para pelajar.


Beliau berkata oleh kerana dalam bidang pendidikan tidak wujud pendekatan yang mampu memenuhi keperluan semua kelompok pelajar, maka seseorang guru yang cekap perlu memahami dan mampu memenuhi keperluan pelbagai gaya pembelajaran pelajar.


Sesetengah pelajar mampu memahami pelajaran lebih cepat daripada pelajar lain, manakala pelajar istimewa pula mampu menyempurkan silibus dalam masa separuh daripada tempoh biasa yang diperlukan.


"Oleh itu, guru perlu memiliki kepekaan tinggi tentang kadar penyerapan ilmu yang berbeza antara pelajar dan perlu memiliki kemampuan untuk mengendalikan kelas secara interaktif, menarik dan berkesan.


"Ini melibatkan penggunaan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran, termasuk peralatan teknologi komunikasi maklumat," katanya.


Rosmah berkata generasi hari esok perlu sedar tentang tentang isu kemasyarakatan yang bersifat global, faham tentang integrsi ekonomi, menghargai hubung kait dan keperluan pergantungan antara manusia, menghormati dan memelihara kepelbagaian budaya serta memahami tentang kesan tindakan manusia terhadap alam sekitar.


"Persoalannya ialah sudahkah kita memupuk pengetahuan yang diperlukan itu dalam diri anak-anak kita untuk membolehkan mereka menjadi pemimpin dan warga yang baik serta bertanggungjawab untuk membentuk masa depan dunia?


"Adakah kita mendidik mereka supaya berusaha ke arah mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan teknologi serta memupuk dan membentuk masyarakat yang harmoni, yang mengambil kira kebajikan anggotanya?," tanya beliau.


Pendekatan pendidikan ini memerlukan kefahaman lebih mendalam tentang masalah global dan mengutamakan cara beretika untuk memajukan, mengguna pakai dan mengamalkan teknologi serta komited terhadap tadbir urus yang betul dan amalan terbaik secara global, kata beliau.


"Untuk membentuk hari esok yang lebih baik, kita perlu memulakan langkah hari ini juga dan kita perlu memastikan anak-anak kita dipersiapkan sepenuhnya untuk menghadapi sebarang cabaran yang mungkin mereka hadapi.


"Oleh kerana para guru mempunyai peranan amat penting dalam aspek ini, kita perlu memantapkan kecekapan mereka agar mereka mampu memberi yang terbaik dalam apa jua perkara yang mereka lakukan," katanya.



Persidangan itu dianjurkan Kementerian Pelajaran Arab Saudi di bawah naugan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Bin Abdul Aziz, yang bertujuan mengeratkan gandingan antara kerajaan, pertubuhan awam dan sektor swasta untuk menyokong TQM dalam Pendidikan K-12.


Sumber: BERNAMA

Sunday, January 2, 2011

INISIATIF SEORANG GURU

DUSUN BUKU


Minat dan inisiatif seorang Guru besar iaitu En. Mokhtar bin Yusof terhadap buku telah mewujudkan sebuah perpustakaan persendirian dengan mendirikan sebuah bangunan sendiri di kawasan rumah beliau bagi menempatkan buku-buku koleksi beliau yang berjumlah 7000 buah buku pelbagai genre dikenali dengan nama DUSUN BUKU.


Dusun Buku terletak 100 meter dari jalan utama telah pun beroperasi bermula pada 1 April 2010. Nama tersebut diberikan sempena nama kampung beliau iaitu Kampung Dusun, Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Dusun Buku boleh dilawati di alamat Lot 604, Lorong Tok Payung, Kampung Dusun, Kuala Ibai, 20400 Kuala Terengganu.


Penubuhan Dusun Buku adalah bertujuan:

- Menggalakkan kegemaran membaca dalam kalangan masyarakat.

- Menanamkan sifat mencintai buku dan ilmu melalui pembacaan seawal usia kanak-kanak.

- Menjalinkan kerjasama sesama anggota masyarakat dan komuniti melalui aktiviti "Bersama Membaca".


Dusun Buku dibuka secara percuma kepada orang ramai khususnya kanak-kanak dan golongan remaja. Waktu operasi adalah seperti berikut:

Hari Ahad - Rabu : 2.00 – 6.00 petang

Hari Jumaat - Sabtu/Cuti umum : 9.00 – 6.00 petang


Beliau juga mengalu-alukan sumbangan buku-buku terpakai daripada orang ramai bagi menambah koleksi di Dusun Buku. Beliau boleh dihubungi melalui talian 019-9341955 atau email: mokhtaryusof@yahoo.com.my.

Sasar 100 peratus kadar literasi murid sekolah rendah menjelang 2012

Kementerian Pelajaran menyasarkan mencapai kadar literasi dan numerasi 100 peratus menjelang 2012 bagi murid sekolah rendah menerusi program Literasi dan Numerasi (Linus).


Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, program berkenaan yang diperkenalkan tahun ini melibatkan tiga kali proses saringan iaitu pada Mac, Jun dan September untuk mengenal pasti murid-murid yang tidak mencapai tahap dikehendaki.


"Saringan ini dilakukan ke atas murid tahun satu dan mereka yang gagal dalam saringan ini akan ditempatkan sama ada di dalam kelas Linus untuk meningkatkan tahap kemahiran mereka atau ditempatkan menerusi program Pendidikan Khas seandainya mereka didapati menghadapi masalah ketidakmampuan belajar," katanya.


Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Walk to End Polio' di Skudai Kiri, dekat sini hari ini, beliau berkata, Kementerian Pelajaran yakin mencapai sasaran tersebut berdasarkan pencapaian kadar literasi dan numerasi sehingga penghujung tahun ini adalah hampir 90 peratus.


Kementerian berkenaan menjangkakan kadar tersebut akan meningkat kepada 95 peratus pada tahun depan dan seterusnya mencapai sasaran 100 peratus menjelang 2012.


"Sekolah di kawasan bandar tidak mempunyai masalah untuk menguasai program Linus yang menekankan aspek kemahiran asas bahasa dan matematik asas tetapi sekolah di luar bandar masih ada beberapa ruang untuk diperbaiki," katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan akan bekerjasama bagi mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah kesihatan kronik di peringkat lebih awal.


Pengesanan di peringkat lebih awal khususnya murid sekolah rendah adalah penting bagi membolehkan kedua-dua kementerian berkenaan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada pelajar yang menghidap penyakit kronik.


Diminta mengulas isu disiplin pelajar, Ka Siong berkata, sebanyak 97 peratus pelajar di seluruh negara mempunyai tahap disiplin yang baik dan hanya tiga peratus pelajar yang bermasalah.


"Punca masalah disiplin ini adalah ponteng sekolah sehingga menyebabkan mereka terlibat dalam masalah sosial.


"Justeru, kita berharap semua pihak khususnya ibu bapa berganding bahu bersama pihak sekolah bagi mengatasi masalah ini," katanya.


Menurutnya, kaedah paling berkesan untuk mengatasi masalah disiplin adalah menerusi kaunseling berbanding memberi hukuman semata-mata.



Sumber: Utusan Malaysia

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi