Sunday, January 9, 2011

Kecekapan Pendidik Penting Dalam Bentuk Generasi Masa Depan

Antara cabaran paling besar yang dihadapi para guru dan pendidik masa kini ialah sama ada mereka memiliki kecekapan yang secukupnya dalam mempersiapkan dan membentuk generasi akan datang, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.


Beliau berkata profesion sebagai pendidik pada era globalisasi berdepan dengan cabaran yang lebih besar berbanding pada era sebelum ini.


"Berlalu sudah zaman di mana para pelajar menjadi pendengar setia, tanpa banyak benda lain yang boleh menarik tumpuan mereka daripada memberi perhatian kepada guru dan buku.


"Hari ini, dengan revolusi yang dibawa oleh ICT (Teknologi Komuniksi Maklumat), pengajaran dan pembelajaran tidak lagi terkepung di dalam bilik darjah semata-mata," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya bertajuk "Kompetensi Guru Dalam Membentuk Generasi Akang Datang" pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan K-12 di sini Ahad.


Dalam ucaptama 30 minit itu, Rosmah, yang juga pengerusi jawatankuasa kerja dasar Permata Negara, berkata kecekapan pada abad ke-21 menuntut para guru memiliki kecekapan di luar batas bidang kandungan atau pengetahuan serta kemahiran mudah untuk membolehkan mereka memenuhi tuntutan kontemporari dan masa depan yang kompleks.


"Kecekapan ini termasuk berhubung pemikiran kritis dan penyelesaian masalah kreativiti dan inovasi, ketangkasan dan kebolehsesuaian, kepintaran dan keusahawanan, semangat ingin tahu dan imaginasi untuk meningkatkan keupayaan dalam urusan pembelajaran sepanjang hayat," kata Rosmah.


Di samping itu, kata beliau, guru juga perlu memiliki pengetahuan dan kepakaran untuk membentuk pengalaman pembelajaran bersifat produktif serta mampu mengenal pasti gaya pemikiran dan pembelajaran para pelajar.


Beliau berkata oleh kerana dalam bidang pendidikan tidak wujud pendekatan yang mampu memenuhi keperluan semua kelompok pelajar, maka seseorang guru yang cekap perlu memahami dan mampu memenuhi keperluan pelbagai gaya pembelajaran pelajar.


Sesetengah pelajar mampu memahami pelajaran lebih cepat daripada pelajar lain, manakala pelajar istimewa pula mampu menyempurkan silibus dalam masa separuh daripada tempoh biasa yang diperlukan.


"Oleh itu, guru perlu memiliki kepekaan tinggi tentang kadar penyerapan ilmu yang berbeza antara pelajar dan perlu memiliki kemampuan untuk mengendalikan kelas secara interaktif, menarik dan berkesan.


"Ini melibatkan penggunaan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran, termasuk peralatan teknologi komunikasi maklumat," katanya.


Rosmah berkata generasi hari esok perlu sedar tentang tentang isu kemasyarakatan yang bersifat global, faham tentang integrsi ekonomi, menghargai hubung kait dan keperluan pergantungan antara manusia, menghormati dan memelihara kepelbagaian budaya serta memahami tentang kesan tindakan manusia terhadap alam sekitar.


"Persoalannya ialah sudahkah kita memupuk pengetahuan yang diperlukan itu dalam diri anak-anak kita untuk membolehkan mereka menjadi pemimpin dan warga yang baik serta bertanggungjawab untuk membentuk masa depan dunia?


"Adakah kita mendidik mereka supaya berusaha ke arah mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan teknologi serta memupuk dan membentuk masyarakat yang harmoni, yang mengambil kira kebajikan anggotanya?," tanya beliau.


Pendekatan pendidikan ini memerlukan kefahaman lebih mendalam tentang masalah global dan mengutamakan cara beretika untuk memajukan, mengguna pakai dan mengamalkan teknologi serta komited terhadap tadbir urus yang betul dan amalan terbaik secara global, kata beliau.


"Untuk membentuk hari esok yang lebih baik, kita perlu memulakan langkah hari ini juga dan kita perlu memastikan anak-anak kita dipersiapkan sepenuhnya untuk menghadapi sebarang cabaran yang mungkin mereka hadapi.


"Oleh kerana para guru mempunyai peranan amat penting dalam aspek ini, kita perlu memantapkan kecekapan mereka agar mereka mampu memberi yang terbaik dalam apa jua perkara yang mereka lakukan," katanya.



Persidangan itu dianjurkan Kementerian Pelajaran Arab Saudi di bawah naugan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Bin Abdul Aziz, yang bertujuan mengeratkan gandingan antara kerajaan, pertubuhan awam dan sektor swasta untuk menyokong TQM dalam Pendidikan K-12.


Sumber: BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi