Monday, January 30, 2012

15 SEKOLAH LAGI KLUSTER KECEMERLANGAN


PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Sebanyak 15 buah sekolah lagi iaitu tujuh sekolah menengah dan lapan sekolah rendah menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).


Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata ini merupakan fasa keenam, dan dalam lima fasa sebelum ini sebanyak 167 sekolah telah menerima pengiktirafan tersebut.


"Semua sekolah yang telah menerima pengiktirafan akan diberi peruntukan khas bagi tujuan membangunkan kecemerlangan sekolah masing-masing," katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu, di sini Isnin.


Beliau berkata menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.


"SKK juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dalam dan luar negara," katanya.


Tujuh sekolah menengah terbabit ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Muhammad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SM Sains Dungun, Terengganu; SM Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor; SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan SM Kebangsaan Alor Akar di Pahang; serta SM Tinggi Kluang dan SM Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar di Johor.


Bagi sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Infant Jesus 1, Melaka; SK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur; SK Agama Sibu, Sarawak; SK Seliau, Rantau, Negeri Sembilan; SK USJ 2, Subang Jaya, Selangor; Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis; dan SK Minden Heights, Gelugor dan SK Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa, Bayan Lepas, di Pulau Pinang.


-- BERNAMA

Sunday, January 29, 2012

PENSYARAH KOREA BIMBANG TULISAN JAWI SEMAKIN DILUPAKAN

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Seorang pakar tulisan jawi berbangsa Korea melahirkan kebimbangan tulisan itu semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.


Prof Dr Kang Kyoung Seok, daripada Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.


Menurutnya, tulisan jawi sedang "tenat" dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.


"Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?," kata Dr Kang yang fasih berbahasa Melayu kepada Bernama.


Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, menegaskan media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas.


Dr Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat di negara ini membacanya.


Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemahkan lebih banyak buku ke tulisan jawi, katanya.


"Di Korea, kami terjemah banyak buku ke bahasa dan tulisan Korea kerana kami mahu rakyat kami lebih menguasai bahasa dan tulisan Korea daripada bahasa-bahasa lain.


"Bagi kami, bahasa dan tulisan Korea adalah jati diri rakyat kami. Dan pada pendapat saya, tulisan jawi merupakan jati diri Malaysia sendiri.


"Maka rakyat Malaysia perlu mempelajari tulisan jawi bagi memastikan mereka mempunyai jati diri Malaysia yang sejati," kata Dr Kang yang mula menjejak kaki ke Malaysia pada 1984 untuk melakukan kajian lebih mendalam terhadap tulisan jawi.


Menurut Dr Kang, rakyat Malaysia kini lebih selesa dengan tulisan rumi yang digunakan secara lebih meluas berbanding tulisan jawi, dan ini menjadi faktor faktor utama kenapa tulisan jawi semakin dilupakan.


"Selain itu pengaruh barat juga menjadi penyebab kerana sistem ejaan rumi diambil daripada bahasa Inggeris, yang menjadikan rakyat Malaysia lebih selesa dengan sistem rumi," jelasnya.


Dr Kang menarik perhatian bahawa sistem ejaan jawi sekarang perlu dikembalikan kepada sistem ejaan jawi Za'ba yang lebih ringkas dan mudah dipelajari bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya generasi muda menggunakan sistem tulisan itu.


Beliau berkata jika rakyat Malaysia menguasai sistem ejaan jawi Za'ba, mereka akan lebih mudah memahami sistem ejaan jawi yang lebih kuno, malah mampu memahami manuskrip jawi berusia ratusan tahun.


"Ini kerana asas ejaan jawi Za'ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan jawi kuno yang berasal daripada tulisan Al-Quran. Tulisan jawi sekarang asasnya daripada tulisan rumi yang 'lari' daripada asas tulisan jawi kuno," jelas beliau.


Beliau berkata Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar tulisan jawi terutamanya daripada kalangan generasi muda bagi menggantikan pakar yang telah bersara.


-- BERNAMA

Wednesday, January 18, 2012

KAJI MASALAH PONTENG SEKOLAH

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Universiti Malaya akan menjalankan kajian terperinci mengenai masalah ponteng sekolah, kata Timbalan Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong.


Beliau berkata isu ponteng sekolah masih menjadi penyumbang terbesar kepada masalah disiplin pelajar.


Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, di sini Wee berkata, kajian yang dijangka mengambil masa enam bulan itu akan berusaha mengenalpasti punca sebenar ponteng sekolah.


Beliau berkata, jumlah murid yang terlibat dengan masalah disiplin pada tahun lepas didapati telah menurun kepada 2.05 peratus daripada 2.06 peratus pada 2010.


"Kadar purata salah laku disiplin murid yang direkodkan oleh pihak kementerian dalam tempoh lima tahun (2007 hingga 2011) adalah pada kadar 2.07 peratus setahun.


Sementara itu, Wee berkata pelaporan dan tindakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 akan dilaksana bagi menyelesaikan sebarang kes disiplin sekolah dalam masa tujuh hari saja.


Wee berkata melalui prosedur itu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah perlu menyelesaikan sesuatu masalah dalam tempoh yang ditetapkan.


Katanya, menerusi prosedur tersebut sesuatu masalah disiplin yang berlaku dalam sekolah mesti dilaporkan kepada pihak kementerian dalam masa satu hari.


Surat arahan untuk pematuhan SOP ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata beliau.


Beliau berkata, prosedur tersebut secara tidak langsung tidak akan memberi ruang kepada pihak sekolah untuk menyembunyikan sebarang kes disiplin.


Wee berkata Bilik Gerakan Disiplin akan diwujudkan di peringkat kementerian dan JPN untuk proses analisis dan tindakan terhadap sebarang masalah disiplin pada setiap minggu.


-- BERNAMA

Thursday, January 12, 2012

SBPA DITANGGUH, PM AKAN UMUM BUTIRAN

CYBERJAYA - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengesahkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu, ditangguhkan bagi membolehkan kajian semula yang lebih mendalam dijalankan.


Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut sambil berkata, maklumat lanjut akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelak.


"Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai perkara tersebut," katanya kepada media di sini hari ini.


Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengalu-alukan keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA bagi memastikan semua penjawat awam berpuas hati.


Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, Cupeacs faham akan keprihatinan Perdana Menteri dalam menuntut hak sama rata bagi semua penjawat awam supaya tidak timbul ketidakseimbangan dalam kenaikan gaji.


“Cuepacs faham apa yang kerajaan cuba lakukan, dan itu resolusi terbaik supaya penjawat awam tidak merasa tersisih dalam menerima insentif dan saraan baru kerajaan itu,” katanya.


Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.


Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.


Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.


Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.


Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.


"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.

_______________________________________________________

Klik untuk baca lain-lain berita berkaitan:

Wednesday, January 11, 2012

DILEMA PELAJAR TERENGGANU

GURU PRIHATIN
Terengganu


Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah saya dapati pemilihan pelajar-pelajar ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau ke sekolah-sekolah pilihan di Terengganu, termasuk sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri, seakan-akan dikuasai oleh kuasa-kuasa politik.


Selaku guru sukan yang diarahkan oleh Guru Besar, saya diminta memastikan pelajar sentiasa aktif dalam bidang kokurikulum sama ada dalam sukan dan koakademik. Malah saya selalu menekankan kepada pelajar betapa pentingnya pencapaian kokurikulum sebagai satu tiket ke asrama penuh.


Penekanan ini telah berjaya melahirkan pelajar yang berjaya sehingga ada yang terpilih mewakili negeri dalam kejohanan sukan anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Malah ada pelajar yang terlibat dengan perkhemahan badan beruniform di peringkat kebangsaan.


Apabila mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), saya menjangkakan pelajar ini tidak menghadapi masalah untuk ke sekolah pilihan masing-masing.


Namun jangkaan saya meleset apabila ada pelajar yang gagal untuk ke sekolah yang dihajatinya. Malah pelajar yang tidak berapa aktif pula (hanya aktif di peringkat sekolah sahaja) yang terpilih. Ada pelajar cemerlang kokurikulum yang seolah-olah menjadi pengemis kerana terpaksa membuat rayuan seolah-olah sijil di peringkat kebangsaan tidak laku.


Bagi ibu bapa yang mempunyai kenalan politik, kenalan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan juga mengenal pengetua-pengetua serta orang-orang penting di Yayasan Terengganu, mereka ini tiada masalah untuk menempatkan anak-anak mereka di sekolah yang menjadi rebutan di negeri ini.


Bagi saya, selain pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah yang diberi keutamaan, pelajar yang cemerlang kokurikulum patut diberi keistimewaan ini. Mereka ini berhempas-pulas berlatih pada tiap-tiap hari dan hujung minggu semata-mata untuk mendapat tiket ke sekolah yang dihajati tetapi akhirnya belajar di sekolah harian biasa.


Sebagai guru yang terbabit dengan bidang kokurikulum, saya merasa amat kecewa sekali. Melihat keadaan ini, saya rasa lebih baik saya menyuruh pelajar hanya mengikuti aktiviti sekolah yang biasa diadakan pada tiap-tiap minggu. Tiada gunanya cemerlang di peringkat kebangsaan kalau akhirnya hanya belajar di sekolah biasa.


Saya sendiri kadang-kadang malu apabila berjumpa ibu bapa pelajar ini. Kalau dulu, saya memujuk anak-anak mereka untuk lebih aktif membantu sekolah, daerah dan negeri dengan alasan peluang untuk belajar di sekolah terbaik lebih cerah. Tetapi sekarang saya hanya mampu menebal muka kerana tidak mampu menjawab soalan berkenaan dengan penempatan anak-anak mereka.


Kepada pihak di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yang terlibat dengan urusan pengambilan pelajar diharap lebih peka dengan perkara ini. Untuk guru-guru mengajak pelajar di kelas yang cerdik agar lebih aktif dalam kokurikulum bukannya senang.


Kebanyakan mereka hanya aktif di peringkat sekolah dan tidak mahu ke peringkat yang lebih tinggi walaupun berbakat. Alasan yang diberikan oleh ibu bapa biasanya mereka tidak mahu anak-anak mereka meninggalkan persekolahan kerana terbabit dengan latihan. Memang benar, bagi pelajar yang terpilih mewakili negeri, kebiasaannya mereka akan meninggalkan sekolah sehingga dua atau tiga minggu untuk menjalani latihan pusat.


Sebagai guru biasa, saya hanya berharap pihak JPNT memandang serius perkara ini. Hubungilah sekolah-sekolah rendah di Terengganu dan tanyalah pelajar-pelajar 5A yang mewakili negeri dalam apa jua pertandingan, di mana mereka belajar sekarang. Cemerlang akademik dan kokurikulum tetapi terpaksa merayu untuk ke sekolah terbaik adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.


Berilah keutamaan kepada pelajar ini sebagaimana yang dinikmati oleh pelajar-pelajar luar bandar dan miskin. Saya merasakan inilah jalan terbaik untuk menggalakkan pelajar lebih aktif. Kalaulah pelajar yang cemerlang akademik ditambah lagi dengan penglibatan di peringkat kebangsaan diberi peluang terus belajar di sekolah yang di pohon, nescaya saya merasakan ibu bapa akan berlumba-lumba menggalakkan anak-anak mereka aktif.


Sumber: Utusan Online

PROGRAM KHAS - TIDAK TAHU MEMBACA, MENULIS DAN MENGIRA

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan mengendalikan program khas kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang masih tidak menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan mengenal pasti latar belakang pelajar tersebut dan aliran sekolah yang telah mereka lalui bagi mencari penyelesaian terbaik.


"Kita nak kenal pasti mereka ini datang dari sekolah mana, bandar atau luar bandar, sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan. Dari situ kita akan susun balik, mungkin sekolah-sekolah yang dikenal pasti, kalau perlu ada program khas kita laksanakan untuk mengatasi masalah itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan khas kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas laporan mengejut Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dimana 8 peratus daripada 6,667 pelatih PLKN dari 30 pusat latihan didapati tidak boleh membaca dan menulis.


Keputusan itu berdasarkan satu projek perintis menggunakan satu modul yang dipanggil I-Smart yang dijalankan ke atas kumpulan ketiga pelatih PLKN pada Ogos tahun lepas.


Mengambil kira kelemahan proses pembelajan sebelum ini, Muhyiddin berkata kerajaan telah memperkenalkan 'literasi dan numerasi' dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menguji tahap kefahaman dan keupayaan pelajar termasuk dari sergi fizikal, pendengaran, penglihatan sejak darjah satu lagi.


"Nanti saya akan dapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Pertahanan. Harapan saya ialah dengan program literasi dan numerasi yang kita perkenalkan ini, saya harap masalah seperti ini tidak berlaku lagi," katanya.


-- BERNAMA

Tuesday, January 10, 2012

BAYARAN GAJI JAN 2012 PENJAWAT AWAM BERDASARKAN SSM


KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Jan ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM).


Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan Isnin, perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibayar pada 31 Jan ini.


"Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Jan 2012 berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Dis 2011 kepada 15 Jan 2012," katanya.


Menurut kenyataan itu, pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA akan dibuat seperti biasa mengikut jadual mulai Februari.


-- BERNAMA

Thursday, January 5, 2012

PEMBANTU PENGAJAR BAHASA INGGERIS

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Kumpulan terakhir seramai 50 orang pengajar bahasa Inggeris (ETA) Fulbright dari Amerika Syarikat, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA, Sepang petang Rabu untuk memulakan tugasan mereka selama 10 bulan di Terengganu, Johor dan Pahang.


Mereka akan berada di Malaysia untuk memperkaya dan meningkatkan pengarahan bahasa Inggeris di sekolah menengah dengan menyediakan penceramah bahasa itu sebagai contoh siapa yang boleh menawarkan maklumat dan pemahaman dalam masyarakat dan budaya Amerika Syarikat.


"ETA akan menyumbang dengan menganjurkan kelab dan aktivtiti kurikulum tambahan yang akan dijalankan dalam bahasa Inggeris," menurut kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di sini hari ini


Ia juga akan mendapatkan pemahaman mendalam mengenai budaya Malaysia dengan tinggal dan bekerja di bandar dan bandar raya di Terengganu, Johor dan Pahang, menurut kenyataan itu.


Objektif ETA adalah untuk memenuhi hasrat program Fulbright, meningkatkan persefahaman bersama antara rakyat Amerika Syarikat dan warga negara lain di dunia bagi menjalin keamanan sejagat.


ETA mempunyai tiga program tahun ini berdasarkan komitmen bersama antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperluaskan program pertukaran rakyat-ke-rakyat kedua-dua negara.


Program itu ditadbir bersama oleh Suruhanjaya Malaysia-Amerika mengenai Pertukaran Pelajaran (Macee) dan Kementerian Pelajaran Malaysia.


"ETA dari universiti-universiti di seluruh Amerika Syarikat dan mewakili pelbagai bidang utama yang luas dan akan ditugaskan di sekolah rendah dan menengah di setiap daerah di tiga negeri itu.


"Setiap ETA akan mempunyai hubungan langsung, kekal dengan beratus-ratus pelajar di sekolah mereka," menurut kenyataan itu.


Dalam memberikan sumbangan kemahiran dan keazamannya untuk pengajaran, ETA membawa bantuan teknikal tambahan untuk sekolah mereka seperti pakar-pakar bahasa bagi mengajar guru dan menasihatkan mengenai kurikulum serta bahan terkini bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (ESL) secara percuma oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.


-- BERNAMA

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi