Monday, January 30, 2012

15 SEKOLAH LAGI KLUSTER KECEMERLANGAN


PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Sebanyak 15 buah sekolah lagi iaitu tujuh sekolah menengah dan lapan sekolah rendah menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).


Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata ini merupakan fasa keenam, dan dalam lima fasa sebelum ini sebanyak 167 sekolah telah menerima pengiktirafan tersebut.


"Semua sekolah yang telah menerima pengiktirafan akan diberi peruntukan khas bagi tujuan membangunkan kecemerlangan sekolah masing-masing," katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu, di sini Isnin.


Beliau berkata menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.


"SKK juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dalam dan luar negara," katanya.


Tujuh sekolah menengah terbabit ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Muhammad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SM Sains Dungun, Terengganu; SM Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor; SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan SM Kebangsaan Alor Akar di Pahang; serta SM Tinggi Kluang dan SM Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar di Johor.


Bagi sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Infant Jesus 1, Melaka; SK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur; SK Agama Sibu, Sarawak; SK Seliau, Rantau, Negeri Sembilan; SK USJ 2, Subang Jaya, Selangor; Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis; dan SK Minden Heights, Gelugor dan SK Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa, Bayan Lepas, di Pulau Pinang.


-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi