Monday, September 30, 2013

E-book Beri Kesan Baik Kepada Pelajar Di Terengganu

Usaha kerajaan negeri Terengganu memperkenal penggunaan e-Book di kalangan pelajar sekolah rendah menampakkan kejayaan dengan sesetengah sekolah menunjukkan perkembangan akademik memberangsangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata sebagai contoh kejayaan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga di sini dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas apabila melaksanakan sistem kelas maya secara optimum.

"Apa yang kita lihat, penggunaan e-Book walaupun tidak capai tahap 100 peratus, tetapi ada kemajuan dari segi penggunaan ICT.

"Projek e-Book yang dilaksanakan bukan dalam bentuk perkakasan semata-mata, malah ia mengandungi buku-buku teks, Al-Quran, Fardhu Ain, kamus dan lain-lain perisian persekitaran kelas yang dikenali sebagai kelas maya," katanya.

Dalam keputusan UPSR tahun lepas, kedudukan SK Paya Bunga meningkat apabila gred purata sekolah itu berada pada kedudukan 620 daripada 7,696 berbanding 3,173 daripada 7,617 pada 2008 di peringkat kebangsaan.

"Ini bermakna penggunaan e-Book bukan satu perkara yang membazir dari sudut ilmu dan kebolehan di mana semua sekolah maya yang mengintegrasikan e-Book dalam pengajaran dan pembelajaran, pencapaian UPSR telah meningkat pada 2012," katanya.

Ghazali berkata pada 2009 kerajaan telah mengagihkan e-Book kepada 23,702 pelajar sekolah rendah membabitkan peruntukan lebih RM22 juta dan kepada 23,313 murid dengan peruntukan lebih RM22 juta pada tahun 2010.

Bagi 2011 pula, peruntukan itu membabitkan lebih RM21 juta (23,194 murid), lebih RM20 juta (22,117 murid) pada tahun lepas. Sebanyak RM21 juta pula diperuntukkan tahun ini dengan sedikit penambahbaikan.

- BERNAMA

Friday, September 27, 2013

Renungan: Tertipu Dalam Ibadat?

Suatu hari Hasan al-Basri menyuruh murid-muridnya untuk membantu hajat seseorang. Beliau berkata: "Ajak sekali Thabit al-Bunani bersama kalian."

Apabila Thabit didatangi, beliau tidak dapat pergi bersama kerana tengah beriktikaf.

Hasan berkata: "Tidakkah engkau tahu bahawa membantu hajat seorang Muslim lebih baik daripada melakukan haji sunat?"

Thabit lalu meninggalkan iktikafnya dan turut serta bersama mereka.


Antara Sunat Dan Fardu

Seringkali kita tidak menyedari adanya tangga keutamaan dalam ibadat. Kita beribadat berasaskan selera sendiri sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih baik. Jika benar ibadat kita kerana Allah SWT, semestinya kita melakukan yang paling Allah SWT cintai, bukan yang paling kita sukai.

Pemahaman mendalam tentang tangga keutamaan beramal sangat penting dijadikan pegangan. Antara ibadah fardu dan sunat misalnya, kita mesti dahulukan yang fardu. Sebab amalan fardu lebih Allah SWT sukai daripada amalan sunat.

Dalam hadis Kudsi, Allah berfirman: "Tidaklah seorang hamba mendekat kepadaKu dengan satu ibadat yang paling Aku sukai daripada ia melakukan perkara yang difardukan kepadanya." (riwayat al-Bukhari)

Justeru, sesedap apa pun perasaan kita ketika melakukan ibadah sunat, ia mesti segera ditinggalkan apabila tuntutan fardu telah menjelang.

Mendengar ceramah agama mesti ditinggalkan apabila suami memanggil. Mengaji al-Quran segera dihentikan sementara untuk menyahut seruan ibu bapa. Begitu seterusnya.

Para ulama berkata: "Jika kita berasa sedap dalam ibadat sunat, namun malas melakukan yang fardu, maka itu pertanda kita tertipu dalam ibadat."


Membantu Fakir Miskin

Antara ibadah sunat dan membantu orang yang memerlukan, sebenarnya membantu orang yang memerlukan itu lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda: "Amalan yang paling baik ialah menggembirakan seorang Mukmin. Engkau memberinya pakaian, memberinya makan dan membantu hajat keperluannya." (riwayat al-Tabarani)

Selain menggembirakan orang lain, perbuatan baik yang kita lakukan akan memberi kedamaian dalam hati kita terlebih dahulu. Senyuman orang yang menerima sedekah kita akan membawa keberkatan dalam hidup kita.

Dan kesyukuran fakir miskin yang menerima bantuan kita akan membuat hidup kita lebih bermakna.

Oleh yang demikian, jangan lewatkan kesempatan melakukan ibadat yang sangat mulia ini. Membantu hajat orang yang memerlukan merupakan amalan ulama terdahulu yang membawa mereka ke darjat yang sangat tinggi di sisi Allah.

Suatu malam, Talhah bin Ubaidillah melihat Umar bin Al-Khattab memasuki rumah seorang wanita. Pada esok harinya, Talhah mendatangi rumah tersebut. Ternyata di dalamnya hanya terdapat seorang nenek tua yang buta dan lumpuh.

Talhah bertanya kepadanya: "Apa yang biasa dilakukan pemuda ini setiap malam di rumahmu?"

Wanita itu menjawab: "Pemuda itu sejak beberapa tahun lepas selalu menjaga keperluanku. Ia membawakan bagiku makanan dan mengeluarkan kotoran daripada rumahku."

Talhah berkata: "Celaka diriku. Adakah aku hendak mencari-cari kesalahan Umar?"

Kisah ini diceritakan oleh Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitab Jami' Ulum wal Hikam.

Semoga Allah SWT memberikan kita kemampuan untuk meniru amalan dan ibadat orang-orang soleh yang terdahulu.

Subhanaallah.

Wednesday, September 25, 2013

Profesion Guru Perlu Dimartabat

Profesion keguruan perlu diberi pengiktirafan dan dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi bagi menjadikannya kerjaya rebutan setanding bidang profesional kritikal seperti doktor.

Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Hussein Ahmad, berkata usaha itu perlu bagi memastikan profesion itu mampu menarik penyertaan lebih ramai lulusan cemerlang.
Beliau berkata, antara langkah ialah menawarkan gaji lebih tinggi setimpal beban tugas, selain menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran mencukupi serta berkesan dengan suasana kerjaya terbaik.

“Pengiktirafan ini penting kerana tugas mendidik anak bangsa berat, selain menggalakkan individu cemerlang menjadi guru dan melahirkan lebih banyak idea hebat dalam membantu meningkatkan sistem pendidikan negara.

Pembelajaran interaktif

“Ini juga akan membantu usaha kerajaan yang meletakkan pencapaian 7A sebagai syarat kelayakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya selepas Forum Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025: Bagaimana Merealisasikannya?’ di Fakulti Pendidikan UM, di sini semalam.

Forum turut disertai dua panel lain, iaitu Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron; serta Profesor (Kurikulum) Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Nagendralingan Ratnavadivel.
Ia dipengerusikan Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran UM, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Bakar Nordin.

Nagendralingan berkata, setiap guru sekolah rendah dan menengah perlu lebih bijak mewujudkan suasana pembelajaran interaktif serta aktif dan bukan pasif ketika mengajar.

“Guru harus berfikir dan mengeluarkan pendapat secara terbuka dalam mencari teknik pengajaran lebih menyeronokkan serta menarik minat dan keyakinan pelajar, selagi ia tidak menimbulkan masalah,” katanya.

- bharian

Monday, September 23, 2013

Guru Perlu Berubah Selari Transformasi

Isu mengenai kredibiliti guru tidak pernah selesai walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi memperkukuh dan meninggikan taraf guru pada alaf baru.

Antara pertikaian yang sering dipersoalkan ialah sejauh mana kemampuan golongan itu menjalankan tanggung­jawab serta tekanan dunia pekerjaan yang semakin meningkat.

Biarpun banyak pembaharuan dibuat bagi menangani masalah ‘kelemahan’ guru terutama guru baru, banyak kepincangan yang menyebabkan golongan itu mendapat kritikan.

Persoalannya, apakah kualiti guru baru yang dihasilkan hari ini masih rendah dan jauh daripada piawaian ditetapkan, sekali gus menunjukkan kegagalan institusi me­nyediakan guru berprestasi tinggi?

Apakah sistem yang diguna pakai tidak relevan dan memerlukan pendekatan terkini bagi menyaingi kemajuan pendidikan global?

Atau adakah guru berkenaan yang bermasalah?

Seterusnya, mengapa sebahagian guru baru masih gagal mengaplikasikan ilmu diperoleh di institusi untuk mempertingkatkan kualiti diri sesudah menceburi alam pekerjaan?

Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Ahmad Jazimin Jusoh berkata, kegagalan guru baru mengaplikasi ilmu diperoleh tidak boleh diletakkan di bawah tanggungjawab institusi semata-mata.

Beliau berkata, institusi sudah menyediakan modul lengkap bagi melahirkan kalangan guru terbaik sebelum memasuki pasaran kerjaya.

“Namun, ada sebila­ngan mereka ‘gagal’ meng­aplikasikannya kerana menyangka dunia kerjaya sebenar hanya memerlukan kekuatan teori semata-mata.

“Mereka masih teraba-raba menyesuaikan diri dengan bidang perguruan yang dipilih.

“Mereka juga mungkin beranggapan, dunia pendidikan masih sama seperti dulu sedangkan bidang ini melalui pelbagai transformasi yang memerlukan guru bertindak di luar kepompong lama,” katanya.

Beliau berkata, setiap guru atau bakal guru perlu bersedia menunjukkan tanggungjawab yang dituntut bagi mengelak imej mereka dipertikaikan.

Menurutnya, biar apapun status guru sama ada berpengalaman atau tidak, mereka perlu ‘membiasakan’ diri dengan perubahan dunia pendidikan moden seperti dikehendaki persekitaran semasa.

“Tuntutan untuk berubah atau menerima pembaharuan boleh dijadikan pemangkin guru terus memperbaiki diri atau kelemahan mengajar.

“Ia juga sebagai isyarat memberitahu masyarakat bahawa guru bukan sentiasa ketinggalan dengan cara pengajaran lapuk, tapi sebaliknya mengikuti perubahan semasa.

“Jika ia ditonjolkan, saya yakin isu pertikaian mengenai kemampuan guru masa kini dalam apa jua aspek mampu dikurang­kan, sekali gus mengubah pandangan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, guru perlu komited untuk melaksanakan tugasan dan tidak harus tertakluk pada aspek pengajaran berbentuk tradisional.

“Cara pengajaran seperti itu sudah kurang relevan kini kerana pelajar moden mengkehendaki satu elemen pembelajaran yang berupaya mencabar kemampuan mereka dari pelbagai sudut.

“Jika guru me­ngajar dengan hanya duduk dan berpandukan buku semata-mata, percayalah hanya segelintir kecil pelajar yang mengikuti proses pembelajaran.

“Tapi, jika guru aktif, mempunyai daya tarikan dalam pembelajaran seperti penggunaan bahan interaktif, saya percaya pelajar lebih bersema­ngat dan mampu menguasai pembelajaran dengan baik,” katanya yang tidak menafikan guru baru berdepan masalah ketika memulakan kerjaya.

“Itu tidak dapat dielak kerana mereka belum mempunyai pengalaman mantap dalam pengajaran. Tapi, ia juga bukan alasan untuk tidak berusaha memperbaiki kelemahan.

“Ya benar, mereka ada ilmu yang dipelajari di universiti dan sedikit pengalaman ketika menjalani latihan industri.

“Tapi, berada dalam dunia pendidikan sebenar tidak sama dengan belajar atau menjalani latihan. Jika tidak berusaha, perubahan tidak mungkin boleh berlaku,” katanya.

Pada masa sama, guru baru juga perlu akur mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar guru lama manakala guru lama juga perlu menerima hakikat bahawa cara pengajaran lama perlu berubah.

Menurutnya, konflik pasti timbul andai kata cara pengajaran dan pembelajaran tidak diselarikan dengan perubahan semasa.

“Sekarang abad baru yang memerlukan tindakan aktif, pantas, menarik dan pelbagai lagi pendekatan untuk mendekati pelajar.

“Tetapi, ada lagi guru yang menggunakan pendekatan sehala selain me­ngabaikan penggunaan tek­nologi dalam pengajaran sehingga menimbulkan konflik yang lain pula.

“Cara pengajaran tradisi itu bukan saja dilakukan guru lama, malah ada juga guru baru melakukan perkara sama sedangkan ketika di institusi sudah diajar bagaimana cara pengajaran yang betul,” katanya.

Latihan praktikal yang diterapkan institusi, katanya, hanya sebagai pemangkin kepada bakal guru untuk merasai suasana pekerjaan sebenar, namun tindakan lanjut bergantung kepada usaha guru bagaimana mahu memperbaiki kelemahan atau melonjakkan kemampuannya.

“Sebab itu, guru kena berusaha sendiri untuk mengolah cara pengajaran supaya sesuai dengan kehendak pelajar kerana matlamat akhirnya sudah tentu kepada pelajar.

“Saya tidak salahkan masyarakat sepenuhnya andai kata mereka mempertikaikan kewibawaan guru kerana akui ada guru walaupun sudah lama berkhidmat masih tidak mampu ‘mengikat’ pelajar dengan sesi pembelajaran bagus.

“Justeru, jalan penyelesaian perlu dicari supaya senario ini tidak mengganggu guru lain yang komited melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.

- Harian Metro

Friday, September 20, 2013

Renungan: Manusia Tiada Istimewa Jika Tidak Beri Manafaat

Manusia itu kalau kita kaji, nilai, analisa, di segi fiziknya tidak ada apa-apa keistimewaannya. Kerana pada fizikal manusia itu, ada dua perkara yang negatif;


Pertama: Kelemahan

Kelemahan yang kita maksudkan di sini ialah tubuh atau badan kasarnya tidak ada ketahanan. Ia mudah terdedah kepada bermacam-macam penyakit. Mudah diserang oleh demam, mudah ditimpa sakit kepala. Mudah sakit mata, sakit gigi. Ada penyakit yang lebih berat lagi seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, barah, strok atau angin ahmar dan lain-lain.

Selain itu ketahanan badannya sangat lemah dibandingkan jiwanya. Kalau terantuk, mudah saja luka atau bengkak dan sakit. Kalau jatuh atau terlanggar benda yang kuat atau kena langgar benda yang keras, mudah saja tergeliat, luka, patah, remuk dan hancur. Jika digunakan tenaga, mudah saja letih, lesu. Kalau tidak berhati-hati, ia membawa kepada sakit juga. Bahkan selepas menerima nikmat pun memberi kesan kepada badan. Contohnya, selepas makan, lebih-lebih lagi kalau makan terlalu banyak, badan menjadi berat dan juga boleh membawa kepada berbagai-bagai penyakit. Selepas jimak iaitu selepas bersama dengan isteri, lebih-lebih lagi kalau ia kerap berlaku, badan menjadi lesu, lemah, hilang tenaga. Kalau lambat saja tidur di waktu malam, mata jadi mengantuk di waktu siangnya. Bukan setakat itu, badan pun menjadi lesu.

Begitulah lemahnya manusia itu. Ketahanan fizikalnya sangat tercabar dan selalu tercabar. Ketahanan fizikalnya sangat teruji. Dari cabaran luaran ini memberi kesan sampingan pula kepada manusia iaitu rohaninya pula tercabar, menjadikan emosinya tinggi, dia akan jadi pemarah, mudah tersinggung, benci, jemu dan lain- lain. Kalau tidak dibendung dengan didikan Islam serta lemah pula bermujahadah, sifat batin yang negatif itu akan merosakkan orang lain. Maka timbul pula krisis dan perbalahan di dalam masyarakat manusia. Terjejas pula perpaduan, kasih sayang dan keharmonian hidup.


Kedua: Apa yang keluar daripada badan manusia, semuanya kotor dan menjijikkan

Mari kita kaji kebenaran itu;

- Air yang keluar daripada badan, peluh namanya, baunya masam, menjijikkan orang.

- Yang keluar daripada telinga, tahi telinga atau nanah yang busuk yang meloyakan.

- Yang keluar daripada hidung, hingus namanya atau tahi hidung, menjijikkan dan meloyakan, tiada siapa yang suka sekalipun yang punya diri.

- Yang keluar daripada mulut iaitu air liur, berbau busuk terutamanya air liur di waktu tidur, sangat busuk baunya lagi kotor. Adakalanya air liur itu najis (air liur basi).

- Air mata walaupun tidak busuk, tetap dipandang jijik dan tidak digemari.

- Apatah lagi yang keluar daripada dua jalan, pintu depan dan pintu belakang, qubul dan dubur. Bukan saja terlalu busuk, jijik, bahkan najis. Lagi kotor. Benda yang keluar daripada manusia yang paling dibenci. Baunya sangat menyakitkan hidung manusia. Ia wajib dibasuh. Kalau tidak ia akan merosakkan ibadah kita, mengotorkan dan mencemarkan udara dan boleh menjejaskan kesihatan manusia serta boleh mengganggu ketenteraman.

Apa yang kita perkatakan tadi ialah perkara-perkara jijik semula jadi yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Ia merupakan tabiat semula jadi badan. Belum lagi kita memperkatakan perkara-perkara yang menjijikkan dan dibenci yang sangat menghinakan manusia serta menyusahkan manusia, iaitu penyakit-penyakit yang mendatang kemudian yang menimpa tubuh manusia seperti kudis, kencing manis, kayap, tokak, bisul, barah yang mengeluarkan nanah yang begitu busuk, kotor dan menjijikkan serta menyakitkan dan melemahkan tubuh manusia. Dengan itu lebih-lebih lagilah manusia itu tidak ada harga dan nilai dirinya. Adakalanya orang yang kita sayangi seperti anak dan isteri boleh tiba-tiba saja benci dan lari dari kita.

Kalaulah manusia itu tidak ada kebaikan dan keistimewaannya di sudut-sudut yang lain, yang ada hanya seperti apa yang telah disebutkan sebelum ini, dimanalah istimewanya?

Maka apalah erti hidup manusia? Tidak ada erti apa-apa kehadiran mereka di dunia ini. Hanya susah dan menyusahkan orang lain saja. Tidak ada harga dan nilai diri manusia itu. Mereka laksana sampah masyarakat. Bahkan lebih hina daripada sampah sarap. Kalau sampah yang tidak berguna yang mengganggu itu boleh disapu, kemudian dibuang atau dikumpulkan atau dilonggokkan kemudian dibakar saja, maka abunya boleh juga dibuat baja. Sedangkan manusia itu, tidak boleh dibuang apatah lagi hendak dibakar. Ia benar-benar bangkai bernyawa yang menyusahkan dan mengganggu kehidupan orang lain semata-mata.

Oleh yang demikian, dengan rahmat Allah dan kasih sayangNya kepada manusia sebagai hambaNya maka Allah mahu muliakan manusia dan meninggikan darjatnya. Maka Allah utus para nabi dan rasul dan kepada mereka diberi panduan dan petunjuk. Nabi yang akhir ialah Muhammad SAW. Padanya diberi Al Quran sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia, bagaimana manusia itu menjadi orang yang berguna. Di samping menjadi hambaNya yang mengabdikan diri kepadaNya, manusia juga adalah khalifahNya untuk membangun, memajukan dan mentadbir dunia ini agar selamat dan bahagia di dunia. Di Akhirat kelak diberi ganjaran yang lebih besar, lagi istimewa iaitu Syurga yang tiada bandingannya sebagai anugerah Allah kepada manusia. Kerana rahmatNya kepada manusia yang telah membuat kebaikan waktu di dunia seperti yang Dia mahu.

Oleh itu, manusia ambillah peluang berpandukan petunjuk dari Allah dengan cara besarkanlah Allah, cintailah Dia, takutlah kepadaNya, sucikanlah Dia, merendah dirilah kepadaNya, malulah kepadaNya, bersyukurlah kepadaNya, bertawakallah kepadaNya, berharaplah kepadaNya, redhalah dengan ketentuanNya, sabar terhadap ujian-ujian daripadaNya melalui sembahyang, puasa, haji, membaca Al Quran, zikir, tasbih, tahmid, taqdis, mujahadah, jihad. Inilah caranya manusia berhubung dengan KhaliqNya sebagai hamba ciptaanNya.

Seterusnya sebagai khalifahNya pula; bangunkanlah dunia ini. Majukan dan tadbirlah mengikut sistem dan peraturan dari Allah kerana dunia ini Allah yang punya. Kita jangan memandai-mandai dan melakukan sewenang-wenangnya supaya dunia tidak rosak. Dan berkhidmatlah untuk sesama manusia demi untuk mencetuskan kasih sayang, perpaduan, kerjasama, keharmonian, keselamatan, keamanan dan kebahagiaan bersama melalui kuasa, pentadbiran, ilmu, tenaga, pengaruh, wang ringgit, harta dan lain-lain. Sesuaikan dengan panduan daripada Allah agar Allah redha dan Allah rahmati serta berkati. Kemudian takutilah Allah di dalam setiap perkara itu. Dengan itu moga-moga apa yang dibuat oleh manusia tidak ada berlaku  yang negatif yang akan merosakkan manusia itu sendiri.

Siapa di kalangan manusia yang dapat melakukan sedemikian rupa, inilah manusia yang bertaqwa di sisi Allah. Dia dapat kemuliaan daripada Allah dan keampunanNya. Di dunia pula orang yang berjasa dengan manusia kerana kebaikan yang telah dicetuskannya, maka orang itu telah menutup kelemahan-kelemahan yang ada. Dia telah mendapat martabat di sisi Allah dan di sisi manusia kerana walaupun di dalam kelemahan, dia telah menjadi manusia yang berguna. Di Akhirat kelak layaklah dia mendapat keampunan dari Allah serta dapat masuk ke SyurgaNya.

Dalam pada itu kalau manusia itu tidak dididik dengan didikan Islam, menjadikan manusia tidak takut dengan Tuhan, lupa dengan kehidupan hari Akhirat maka manusia itu berani pula melakukan berbagai-bagai bentuk kejahatan sama ada terang-terangan mahupun secara sembunyi melalui anggota lahirnya. Tangannya digunakan untuk mencuri, merompak, merasuah, memukul, membunuh. Kakinya dihalakan ke tempat-tempat kejahatan dan maksiat, ke kelab malam, ke disko-disko, ke tempat-tempat pelacuran, ke tempat-tempat judi, ke tempat-tempat berpeleseran dan pergaulan bebas. Mulutnya digunakan untuk mengumpat, menghina, memfitnah, berbohong, memaki, mengherdik, bercakap lucah. Matanya digunakan untuk melihat perempuan-perempuan ajnabi, gambar-gambar lucah, melihat-lihat kecacatan orang untuk disebarkan. Telinga pula suka mencuri-curi dengar rahsia orang untuk disebar-sebarkan. Dengan akalnya pula manusia selalu sahaja berfikir untuk melakukan berbagai kejahatan, merancang untuk melakukan kerosakan di bumi Tuhan ini.

Setelah kita mengkaji tentang manusia, fizikalnya atau badan lahirnya dan badan kasarnya tidaklah istimewa mana. Lantaran itulah manusia berusaha untuk menutup kelemahan semula jadi yang lahir ini. Terpaksalah badan mereka dibersihkan selalu, disabun, disyampu, dibedak, disapu minyak wangi. Dihias pula dengan pakaian yang cantik lagi mahal untuk menarik perhatian orang agar orang boleh dekat dan bergaul. Kalau tidak, orang akan lari kerana bau peluh saja orang tidak tahan. Bahkan ampun maaf, untuk menunaikan fitrah semula jadi diantara suami isteri pun kalau tidak berhias-hias dan disapu badan dengan minyak wangi dan bedak, tuntutan fitrah itu boleh terbantut atau kemahuan terus mati. Akibatnya boleh timbul krisis rumah tangga.

Begitu jugalah untuk menyihatkan badan agar ia sentiasa segar dan cergas, perlu riadhah dan joging selalu. Dijaga makan minum, cukup tidur, dijauhi tempat-tempat yang mendatangkan penyakit. Begitulah hakikat diri manusia semula jadi, tiada seorang pun boleh melepaskan diri atau mengelak diri daripada ditimpa oleh apa yang telah disebutkan.

Di sinilah kalau manusia itu sedar hakikat diri masing-masing yang tidak dapat mengelak daripada kelemahan-kelemahan sepertimana disebutkan di atas sekalipun dia raja dan orang yang berkuasa, berilmu dan berharta, maka manusia itu akan sentiasa insaf dan malu. Mereka akan tawadhuk dan merendah diri. Dengan itu mereka tidak akan sombong, megah, apatah lagi menindas dan menzalimi orang lain.

Subhanaallah.

Thursday, September 19, 2013

24 Buah Sekolah Lagi Diiktiraf SBT

Sejumlah 24 lagi sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), membabitkan 14 sekolah rendah dan sepuluh sekolah menengah di bawah kohort keempat tahun ini.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 115.

"Sehubungan itu, sasaran kementerian bagi membangunkan dan mewujudkan sepuluh buah SBT setiap tahun dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 telah tercapai serta melepasi sasaran," katanya pada majlis penyerahan sijil pengiktirafan SBT di sini Rabu.

Beliau berkata pengiktirafan itu membolehkan setiap sekolah berkenaan menerima peruntukan khas berjumlah RM700,000 untuk tahun pertama, RM500,000 tahun kedua dan RM300,000 tahun ketiga.

Senarai kali ini katanya, turut menyaksikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Ladang Rem, Kota Tinggi Johor menjadi SKJT pertama menerima pengiktirafan sebagai SBT.

Sekolah-sekolah lain yang terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mariam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat di Johor; Sekolah Menengah (SM) Sains Kubang Pasu Kedah, SM Sains Machang Kelantan; SK Convent Pahang, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Jempol Negeri Sembilan; dan SK Putrajaya Presint 11 (1), Putrajaya.

SK Convent Of The Infant Jesus 1 (M) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah di Melaka; SK Sultan Idris II, SK Marian Convent, SM Sains Raja Tun Azlan Shah dan SBP Integrasi Gopeng di Perak; dan SK Convent Green Lane, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang dan SMKA Al-Irshad di Pulau Pinang.

SK Taman Megah, SK Bukit Jelutong, SK Sri Petaling, Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Kajang dan SBP Integrasi Rawang di Selangor; serta SK Convent Bukit Nanas (1) dan SJKC Kuen Cheng 2 di Kuala Lumpur.

Menurut Idris lagi, kementerian sangat berpuas hati dengan pelaksanaan dan pencapaian cemerlang 91 SBT terdahulu yang telah diiktiraf pada tahun 2010, sehubungan itu kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan SBT sehingga 2015.

Selain itu katanya, dalam usaha merapatkan jurang antara sekolah, SBT perlu menjadi aspirasi dan rujukan kepada sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan ke tahap yang lebih tinggi melalui penanda aras, bimbingan dan jaringan dengan SBT.

- BERNAMA

Wednesday, September 18, 2013

Pengetua Dan Guru Besar Lantikan 2013 Diwajibkan Mempunyai Sijil NPQEL

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menetapkan bahawa mulai 2014 Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) yang dikeluarkan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pelajaran Malaysia menjadi prasyarat pelantikan pengetua/guru besar di Malaysia.

Ketetapan ini bermakna sesiapa pun guru di Malaysia yang ingin menjadi pengetua di sekolah menengah dan guru besar di sekolah rendah diwajibkan memiliki NPQEL.

Maklumat terkini dari IAB juga memaklumkan bahawa semua pengetua dan guru besar lantikan 2013 juga diwajibkan mempunyai sijil NPQEL sebelum boleh disahkan dalam jawatan mereka. Justeru itu, pihak IAB telah diminta menyediakan Program NPQEL khas bagi kumpulan tersebut.


Diwajibkan Mempunyai Sijil NPQEL 
(Klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas)

Sunday, September 15, 2013

Guru Bahasa Inggeris Perlu Tingkat Kemahiran

Guru Bahasa Inggeris perlu mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan kaedah pengajaran mereka dan bukan hanya bergantung semata-mata kepada program Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, inisiatif itu boleh jadi dalam bentuk menghadiri kelas, persidangan malah bertukar-tukar pengalaman sesama kelompok mereka.

"Salah satu bentuk pembangunan profesionalisme ialah guru itu berusaha sendiri untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui kelas tuisyen dan sebagainya.

“Sebagai contoh semasa saya jadi guru besar, bila dapat tahu Bahasa Inggeris akan jadi bahasa yang digunakan, guru Bahasa Inggeris ambil inisiatif mengajar guru-guru lain. Itu sepatutnya kita lakukan begitu. Jangan hanya berharap pada kementerian semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bahasa Inggeris Negeri Johor kali ke-5, di sini, semalam.

Persidangan itu dihadiri 200 guru sekolah Bahasa Inggeris dari sekolah rendah dan menengah dari Johor serta Tawau, Sabah.

Mary berkata, persidangan tiga hari itu merupakan medan buat guru berkongsi idea dan pendapat dalam meningkatkan pengajaran Bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.

Menurutnya, usaha Jabatan Pendidikan Johor menganjurkan persidangan sedemikian patut dicontohi Jabatan Pendidikan di negeri-negeri lain.

“Ini penting kerana apabila hanya membaca dari buku teks sahaja, ia hanya konsep dan teori. “Tapi di sini kita boleh berkongsi pengalaman dan idea bersama guru-guru dan pensyarah lain,” katanya.

- Sinar Harian

Wednesday, September 11, 2013

Terengganu Yakin Ulangi Sejarah Negeri Terbaik UPSR 2013

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yakin dapat mengembalikan status negeri terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Pengarahnya Zakaria Husin berkata keyakinan itu berlandaskan komitmen dan persediaan mantap yang dijalankan sebelum calon menduduki peperiksaan itu yang bermula Selasa.

"Kita mensasarkan 20 peratus daripada keseluruhan calon iaitu 22,359 orang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini.

"Sebelum ini, kita merupakan negeri yang mencapai keputusan UPSR paling cemerlang selama 11 tahun berturut-turut, namun tahun lepas kita terpaksa akur dengan negeri Kelantan yang mendahului kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi persediaan UPSR pada tahun ini dan pihaknya sangat berterima kasih atas sokongan kerajaan negeri serta semua pihak terutamanya ibu bapa dalam memastikan calon mendapat keputusan cemerlang.

"Untuk persediaan peperiksaan tahun ini kita memperkenalkan modul pembelajaran yang dipanggil modul 5P2M iaitu Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular yang mana untuk murid-murid akan mendapat tiga modul satu mata pelajaran yang diambil.

"Modul yang disediakan oleh guru Angkatan Kerja Rajin Mulia (AKRAM) ini mengandungi latihan, ujian formatif dan sumatif, latihan ini berdasarkan pembelajaran dalam kelas," katanya.

Bagi peringkat sekolah, program bimbingan melibatkan semua pelajar diadakan bagi semua sekolah di negeri itu, manakala bagi peringkat daerah, program tutorial melibatkan 20 peratus murid di setiap daerah yang berpotensi untuk mendapat keputusan yang cemerlang dilaksanakan.

"Bagi peringkat negeri pula, kita adakan program yang dipanggil program akademik yang mana seramai 2,500 orang murid yang terbaik di seluruh negeri terlibat dalam 20 siri kem selama 16 jam," katanya.

Zakaria berkata JPNT juga telah mengenal pasti punca kelemahan prestasi UPSR pada tahun lalu iaitu, kelemahan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Kita telah mengadakan pelbagai program bagi memastikan mata pelajaran tersebut tidak lagi menjadi subjek yang menjadi penghalang untuk calon mendapat 5A dalam peperiksaan kali ini," katanya.

Tinjauan Bernama ke beberapa sekolah sekitar bandar raya hari ini mendapati surau sekolah dipenuhi ibu bapa yang membaca Al-Quran dan melakukan solat hajat, sebagai usaha akhir meraih kejayaan.

Ada antara ibu bapa yang sanggup mengambil cuti tiga hari untuk membaca Al-Quran dan solat hajat di surau-surau sekolah sementara anak mereka menjawab peperiksaan di dewan peperiksaan.

Salah seorang bapa kepada calon, Mohd Hasyim Sulaiman, 50 berkata beliau sanggup mengambil cuti untuk bersama-sama ibu bapa yang lain membaca Al-Quran di sekolah sementara menunggu anaknya menjawab peperiksaan.

"Segala usaha telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dan anak saya, ini sahaja yang dapat saya bantu anak saya dan ini merupakan usaha terakhir saya sebagai seorang bapa yang sangat mengharapkan anak saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini," katanya.

- BERNAMA

Tuesday, September 10, 2013

PBS: Kerajaan Akui Kelemahan, Bukan Niat Bebankan Guru

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengakui wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah pada 2011 telah membebankan golongan pendidik selain daripada tugas mengajar di bilih darjah.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pelaksanaan PBS itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya guru tidak tertekan dengan tambahan tugas terbabit menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan kerjaya terbabit.

"Pelaksanaannya ada sedikit masalah, lebih beri arahan terperinci dan ia menyusahkan guru.

"Sistem baru itu baik, cuma pelaksanaan perlu diperbaiki, saya akui kelemahannya," katanya pada program Bicara Minda yang bertajuk 'Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Satu Perspektif', di sini, hari ini.

Tambah beliau, pengenalan PBS itu bagi memastikan sekolah tempatan tidak lagi berorientasikan kepada peperiksaan dan mata pelajaran, sebaliknya ia berasaskan kepada penilaian pelajar itu sendiri.

Katanya, ia bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan negara.

“Guru akan menilai cara pelajar belajar, berinteraksi dan sebagainya, kemudian direkod penilaian itu secara menyeluruh, bukan peperiksanan semata-mata sahaja.

“Keadaan bertambah baik, kita akan pastikan guru tidak terbeban dengan PBS supaya kita boleh mencapai matlamat ke arah sekolah satu pertiga terbaik di dunia,” katanya sambil menyifatkan kerjaya sebagai guru itu merupakan profesional mulia dan murni kerana berupaya mendidik masyarakat ke arah lebih baik.

- Sinar Harian

Monday, September 9, 2013

Selamat Menghadapi Peperiksaan UPSR 2013

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a,w, guru yang paling baik dan penunjuk kebenaran kepada jalan ilmu.

Kecemerlangan dalam pelajaran mempunyai kepentingan yang amat besar dalam kehidupan muslimin. Oleh itu, setiap orang daripada kita hendaklah bertanya dirinya: Kenapa aku perlu cemerlang? Dia juga hendaklah bertanya, kenapa aku tidak cemerlang?

Bagi menjawab soalan ini, kita mendengar banyak jawapan yang dikemukakan. Tetapi seorang muslim mempunyai jawapannya yang tersendiri kerana dia memiliki objektif yang mulia:

  • Saya mahu cemerlang kerana Allah: Allah s.w.t berfirman dalam surah al-An‘am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Maka seseorang muslim mengetahui bahawa seluruh kehidupannya adalah kerana Allah. Antara kehidupannya ialah pelajaran, ilmu dan kecemerlangannya.
  • Saya mahu cemerlang kerana keluarga dan kedua ibu bapa saya: Antara cara saya berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya ialah dengan menggembirakan mereka. Alangkah besarnya kegembiraan dan kebahagiaan mereka jika saya cemerlang dan berjaya.
  • Saya mahu cemerlang kerana diri saya sendiri: Setiap muslim mempunyai matlamat dalam kehidupannya. Jika dia mempunyai matlamat dan cita-cita yang tinggi, maka matlamat dan cita-citanya itu tidak akan tercapai melainkan dengan kecemerlangan.
  •  Saya mahu cemerlang kerana ingin mengembalikan keagungan Islam: Keagungan Islam dahulu adalah melalui ilmu dan para ulama. Keagungan ini tidak akan datang kembali melainkan melalui para ulama yang benar, beriman dan ikhlas mempelajari dan mendalami dalam pelbagai bidang yang bermanfaat.

Selamat menduduki peperiksaan UPSR pada 10 hingga 12 September 2013, setelah berusaha dan berdoa, segalanya terserah kepada Qadar dan Qadha Allah s.w.t. Semoga kejayaan bersama kalian. InsyaAllah.

Sunday, September 8, 2013

Broshur Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025








Klik Pada Gambar-Gambar Yang Dipos Di Atas
Untuk Kelihatan Lebih Jelas

Gambar broshur PPPM boleh dimuat turun dengan mengklik tajuk di bawah:

- Kementerian Pelajaran Malaysia


Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi