Thursday, November 27, 2014

Sediakan Komputer Riba Lengkap Perisian

Kementerian Pendidikan perlu menyediakan komputer riba yang lengkap dengan perisian setiap mata pelajaran kepada kesemua murid dan pelajar di seluruh negara sebelum melaksanakan Buku Teks Digital Interaktif Pintar pada 2016.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, penyediaan kesemua kemudahan tersebut perlu dilakukan dalam tempoh setahun supaya gelombang kedua transformasi buku teks berjalan lancar.

Katanya, kementerian juga disaran menyemak semula senarai sekolah yang mempunyai kemudahan internet berkelajuan tinggi 4G memandangkan banyak kawasan di luar bandar masih tertinggal.

“NUTP menyambut baik usaha kerajaan untuk meningkatkan pendidikan negara ke tahap yang lebih baik seiring dengan negara-negara maju lain, namun masih banyak perkara perlu diteliti sebelum inovasi itu dilaksanakan.

“Contoh paling mudah, sekiranya kita ingin menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada seseorang, kita perlu memastikan kemudahan jalan raya turut disediakan supaya pihak berkenaan dapat menikmati kemudahan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai langkah Kementerian Pendidikan yang bakal melancarkan buku teks digital bermula 2016 hingga 2025 sebagai kesinambungan daripada pelaksanaan gelombang pertama transformasi buku teks.

Tambah Hashim, pihaknya juga berharap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan dapat meneliti semula kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang akan memberi Netbook 1Malaysia kepada semua warga pendidik di seluruh negara.

Katanya, pengumuman Ahmad Shabery itu dibuat sempena Hari Guru lalu, bagaimanapun difahamkan masih ramai guru belum menerima kemudahan tersebut sehingga kini.

Sementara itu, Ketua Moderator Kelab Intelek dan Pendidikan Malaysia (KiTM), Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari berkata, kementerian perlu memastikan saiz pangkalan data buku teks digital mampu menampung jumlah penggunaan supaya kelemahan yang berlaku dalam sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (SPPBS) tidak berulang.

Katanya, kelemahan SPPBS sebelum ini menyebabkan ramai guru merungut kerana mereka gagal menyiapkan tugas tepat pada masanya, malah terpaksa memasukkan data pelajar pada lewat malam kerana sistem tersebut tidak boleh dilayari walaupun selepas waktu pejabat.

“Kejadian tersebut adalah memalukan kerana usaha membangunkan pendidikan secara menyeluruh dan holistik gagal akibat kelemahan capaian internet.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan komputer riba yang bakal digunakan dalam sistem buku teks digital mempunyai spesifikasi lengkap tidak seperti pemberian Netbook 1Malaysia yang hanya mampu bertahan beberapa bulan,” katanya.


- Utusan

Wednesday, November 26, 2014

Pencapaian UPSR 2014 Menurun

Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 menurun sebanyak 0.02 Gred Purata Nasional (GPN) daripada tahun 2013. GPN pada tahun 2013 ialah 2.27 mata manakala GPN tahun ini 2.29 mata. Nilai GPN lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR di kementerian itu di PUTRAJAYA hari ini, berkata calon yang mendapat keputusan cemerlang semua gred A tahun ini ialah sebanyak 36,304 orang. Jumlah itu ialah 7.89 peratus daripada 460,407 calon yang menduduki peperiksaan. Pencapaian itu juga menurun sebanyak 1.26 peratus berbanding 2013 yang mencatatkan 42,646 calon mendapat keputusan cemerlang semua gred A, katanya.

Di SARAWAK, sebanyak 1,862 calon berjaya mencapai keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran yang diduduki mereka, menurun 0.08, peratus berbanding 1,916 orang pada tahun lepas. Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni berkata jumlah sekolah mencatat pencapaian 100 peratus kelulusan bagaimanapun meningkat kepada 116 buah sekolah berbanding 84 buah sekolah tahun lepas.

Di TERENGGANU, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Mohammed Embong berkata pencapaian GPN negeri meningkat sebanyak 0.06 mata iaitu 2.14 berbanding 2.20 pada tahun 2013, dan jumlah ini mengatasi pencapaian peringkat nasional sebanyak 2.29.

Bagaimanapun jumlah pelajar mencapai keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran menurun sebanyak 1.90 peratus atau 476 calon berbanding tahun lepas.

Tahun ini hanya 2,563 pelajar daripada 21,099 iaitu 12.10 peratus yang berjaya memperolehi semua A berbanding 3,039 pelajar tahun lepas, katanya
semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR negeri itu di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di Kuala Terengganu.

"Berdasarkan analisis yang dibuat, faktor utama penurunan pencapaian calon mendapat semua A adalah disebabkan oleh pencapaian mata pelajaran Sains yang 1,286 orang atau 55.70 peratus murid gagal mendapat A, bermakna mereka memperoleh 4A 1B," katanya.

Sementara itu sebanyak 49 daripada 377 sekolah di negeri itu berjaya memperoleh peratus semua A, dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok, Hulu Terengganu merupakan sekolah terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.23, katanya.

"Bagaimanapun, pencapaian keputusan UPSR pada tahun ini adalah terbaik dalam tempoh 14 tahun dari segi pencapaian Baik (minimum C bagi semua mata pelajaran) dan menunjukkan peningkatan dari segi pencapaian Gred Purata (GP)," katanya,

Di KELANTAN, pencapaian keputusan UPSR mencatatkan pencapaian membanggakan apabila mendapat GPN sebanyak 2.16 mata. Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Ab Aziz Abdullah berkata pencapaian GPN negeri itu menyamai pencapaian tahun lepas.

Sebanyak 3,600 calon negeri atau 11.15 peratus daripada 31,987 calon yang menduduki UPSR tahun ini, memperoleh A bagi semua mata pelajaran yang diambil, katanya pada majlis pengumuman keputusan UPSR negeri itu di Kota Bharu.

Di PERAK, sebanyak 2,847 atau 7.6 peratus daripada 37,479 murid yang menduduki UPSR lulus cemerlang dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. Pengarah Pendidikan Negeri Mohd Idris Ramli berkata peratusan calon yang mencapai keputusan cemerlang itu bagaimanapun mengalami sedikit penurunan berbanding 8.49 peratus tahun lepas.

Di NEGERI SEMBILAN, sebanyak 1,833 atau 10.5 peratus daripada 17,510 calon yang menduduki UPSR 2014 mencapai keputusan penuh 5A atau 7A. Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pkharuddin Ghazali berkata dalam penguasaan semua A, jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar berkurangan daripada 4.4 peratus kepada 3.5 peratus.

Di SABAH, pencapaian pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan UPSR meningkat 0.14 peratus iaitu sebanyak 1,231 daripada 44,427 calon. Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip memberitahu pemberita di Kota Kinabalu bahawa dari segi GPN juga pencapaian calon UPSR Sabah meningkat  dengan mencatat 2.71, berbanding 2.76 tahun lalu, dan adalah yang terbaik berbanding pencapaian dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, di JOHOR, jumlah pelajar yang mendapat semua A menurun 1.12 peratus berbanding tahun lepas dengan 4,811 pelajar catat keputusan cemerlang.


- Bernama

Thursday, November 20, 2014

Keputusan UPSR 2014 Pada 26 Nov

Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 akan dikeluarkan pada 26 Nov.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan pada Rabu, calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi pada hari tersebut.

Selain itu, calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan UPSR 2014 melalui mySMS 15888 dengan perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi hari yang sama dan akan ditamatkan pada pukul 11.59 malam, 2 Dis.

Sejumlah 473,175 calon menduduki UPSR di 8,299 pusat peperiksaan di seluruh negara.



BERNAMA

Tuesday, November 18, 2014

Guru Lewat Ke Sekolah, Kesilapan Libatkan Integriti

Kehadiran lewat ke sekolah secara berterusan hampir setiap hari walaupun hanya satu atau dua minit adalah antara kesilapan melibatkan integriti dalam kalangan warga sekolah termasuk guru, kata anggota Exco Perak Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri itu berkata dalam persekitaran pendidikan, terdapat sebilangan warga sekolah yang masih tidak mengendahkan isu integriti.

Beliau berkata banyak contoh kesilapan kecil yang dilakukan itu, kemudian mendatangkan masalah kepada guru atau penjawat awam berkenaan.

"Kes seperti lewat masuk ke kelas, guru masuk kelas tetapi pembelajaran dan pengajaran tidak berlaku, tidak memeriksa buku latihan murid, tidak menulis Buku Rekod Mengajar dan sebagainya masih berlaku.

"Kes-kes ini sebenarnya termasuk dalam tafsiran ketiadaan integriti yang boleh mendorong seseorang itu melakukan salah laku yang lebih besar selepas itu," katanya ketika merasmikan Hari Integriti Jabatan Pendidikan (JPN) Perak di sini hari ini.

Muhammad Amin berkata integriti penting dalam membina jati diri insan sebagai komponen kekuatan sesebuah negara bangsa.

"Semua agama, kerajaan, masyarakat, jabatan serta perniagaan melihat integriti sebagai elemen yang sangat penting untuk dipelihara kerana ketiadaan integriti akan menyebabkan negara menjadi huru hara, perniagaan menjadi bankrap dan masyarakat akan hilang norma kemanusiaan," katanya.





Thursday, November 13, 2014

Pembestarian Sekolah Melalui ICT Perlu Ditekankan Untuk Kemudahan Guru Dan Pelajar

Pelaksanaan pembestarian sekolah yang menekankan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) perlu dijalankan bagi menjadikan institusi sekolah lebih berdaya saing, kondusif dan moden mengikut arus perkembangan semasa yang semakin pesat.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Nor Sabrina Mohd Noor berkata penggunaan ICT perlu diterapkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian di sekolah dalam usaha untuk menerapkan pengunaan teknologi ini secara berkesan dan bermakna kepada guru dan murid.

"Semua sekolah perlu melaksanakan pembestarian sekolah menggunakan ICT tanpa jurang pemisah antara bandar dan luar bandar supaya semua guru dan murid dapat dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan bagi menggunakan teknologi ini secara berkesan dan bermakna.

"Pelaksanaan pembestarian mengambil kira semua inisiatif ICT yang sedia ada di sekolah seperti projek pengkomputeran dan makmal komputer sekolah, projek penyediaan prasarana jalur lebar untuk capaian internet di semua sekolah serta melibatkan infrastruktur ICT dan aplikasi pengurusan, pengisian dan latihan," katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Karnival Pembestarian dan Teknologi Pendidikan sempena Minggu Sains Kedah 2014 di Kompleks Pendidikan di sini Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah Mohd Jamil Md Noh.

Nor Sabrina berkata usaha itu amat bersesuaian dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang berhasrat membuat perubahan besar terhadap pendidikan termasuk memperkasa kemahiran ICT.

Beliau berkata sasaran penggunaan ICT ini adalah untuk meningkatkan nisbah komputer kepada murid, masa penggunaan komputer, dan mengaplikasikan teknologi yang berkesan dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah serta dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Murid dapat memperoleh akses kandungan pelajaran yang lebih luas, menarik dan interaktif selain dapat belajar mengikut kadar sendiri dan mempunyai pilihan yang lebih luas melalui program jarak jauh.

"Pengetua, guru besar dan guru juga boleh mengakses dengan mudah kepada sumber dan komuniti pembelajaran nasional dan antarabangsa secara lebih meluas dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran mereka," katanya.

Sementara itu, Nor Sabrina berkata budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia juga perlu dipupuk kerana pembacaan itu penting dalam kehidupan untuk digunakan sebagai sumber ilmu dan kebijaksanaan dalam merancang, membentuk dan melayari kehidupan untuk mengecap kejayaan.

"Kini bahan bacaan berbentuk digital semakin banyak di pasaran, terutamanya di internet dan penyediaan kemudahan berbentuk teknologi ICT ini sesuai dengan teknologi dan keperluan masa kini bagi memudahkan warga sekolah mengakses maklumat bagi tujuan memperkayakan ilmu pengetahuan," katanya.



- BERNAMA

Friday, November 7, 2014

Tanda Biru Whatsapp: Tiada Lagi Alasan Mesej 'Tak Sampai'

Aplikasi WhatsApp memperkenalkan tanda semak () berwarna biru pada Khamis menandakan mesej yang dihantar telah dibaca.

Menurut Pasukan Sokongan aplikasi tersebut, isyarat baru itu adalah bagi menghapuskan sepenuhnya kekeliruan 600 juta penggunanya.

Tanda semak yang baharu ini turut menerima reaksi pelbagai dan mula diperkatakan di media sosial.

Ada di antaranya merasakan bahawa penerima yang tidak mahu membalas mesej kini tidak boleh menggunakan alasan bahawa mesej yang dihantar ‘tidak sampai’.

Ada juga yang tidak senang dengan kemaskini terbaru aplikasi tersebut kerana ia dikatakan mengganggu privasi pengguna.

Tanda semak pertama pada Whatsapp menandakan mesej telah dihantar, manakala tanda semak kedua menandakan mesej sudah diterima.

Apabila kedua-dua tanda semak tersebut bertukar warna kepada biru, ia menandakan mesej telah dibaca.

Pengguna juga boleh memeriksa sesiapa yang sudah membaca mesej yang dihantar dalam mesej berkumpulan di WhatsApp.

Pengumuman yang dibuat Pasukan Sokongan Whats App




- astroawani

Wednesday, November 5, 2014

Al-Fatihah: Bekas Adun Gual Periok Meninggal Dunia


Bekas Adun Gual Periok, Abdul Rahman Awang, 76, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Pasir Mas malam ini.
   
Adik ipar kepada Allahyarham Fauziah Che Wook berkata, Abdul Rahman meninggal dunia jam 7.45 malam ketika menerima rawatan.
   
"Petang tadi, Allahyarham mengadu sakit di bahagian belakang badan dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang yang kemudiannya dihantar ke Hospital Pasir Mas," katanya ketika dihubungi di rumah Allahyarham di Rantau Panjang.
   
Allahyarham Abdul Rahman yang juga bekas timbalan ketua Umno bahagian Rantau Panjang, menjadi Adun Gual Periok selama satu penggal dari 1986 hingga 1990.
   
Fauziah yang juga Ketua Wanita Umno bahagian Rantau Panjang berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang pagi esok.



P/S: Saya dan dua orang rakan iaitu Cg. Aziz (Pulau Pinang) dan Cg. Nadarajah (Selangor) pernah tinggal berjiran dengan Allahyarham Abe Man semasa bertugas di Rantau Panjang, Kelantan (1989-1993). Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Aaamiin

TH Agih RM2.26 Juta Zakat Pendidikan Untuk Pelajar Seluruh Negara

Lembaga Tabung Haji (TH) mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM2.26 juta kepada 4,531 pelajar miskin melibatkan 163 sekolah di seluruh negara, tahun ini.

Pengarah Operasi TH Terengganu Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata Terengganu merupakan negeri pertama menerima sumbangan dan pengagihan akan disusuli negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Tahun ini, sebanyak 10 sekolah terpilih dari Hulu Terengganu melibatkan 500 pelajar miskin sekolah rendah dan menengah yang akan menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah serta wang tunai berjumlah RM500 seorang, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan agihan zakat pendidikan TH bagi Projek Iqra' di sini Selasa.

Beliau berkata TH berharap sumbangan itu menjadi suntikan motivasi kepada pelajar untuk berusaha lebih gigih dan menempa kecemerlangan dalam bidang akademik.

"Di samping itu, kita harap pelajar dapat menjadi pemangkin perubahan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara," katanya.

Pengagihan zakat menerusi Projek Iqra' itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik di samping menyokong usaha kerajaan dalam membangun serta melestarikan komuniti Islam di negara ini.

Selain itu, katanya TH juga melaksanakan dua lagi program CSR iaitu Projek Ehsan yang mengagihkan wang zakat kepada golongan warga emas, fakir miskin dan ibu tunggal yang dilaksanakan sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Projek Baiti pula, merupakan agihan zakat yang diperuntukkan untuk pembinaan atau penambahbaikan rumah bagi golongan fakir dan miskin, katanya.




Monday, November 3, 2014

13 Sekolah Diiktiraf SBT Kohort 5

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan watikah pengiktirafan dan replika cek kepada guru besar SK Air Merah, Indon Osman dan wakil pelajar, Aida Fathini Abdul Jalil pada Majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohart 5 di Audiotorium Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara, di Kuala Lumpur.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengiktirafan 13 buah sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort 5.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan membuat pengumuman itu pada Majlis Pengiktirafan SBT Kohort 5 di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan di sini.

Sekolah-sekolah berkenaan adalah:

1. Sekolah Kebangsaan (SK) Air Merah, Kedah

2. SK Seri Wakaf Baharu, Kelantan

3. SK Kubang Kerian 3, Kelantan

4. Sekolah Menengah (SM) Sains Rembau, Negeri Sembilan

5. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ringlet, Pahang

6. SK St. Thomas, Pahang

7. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Pahang

8. SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang

9. SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Pulau Pinang

10. SK Lingga Baru, Sabah

11. SK Saujana Impian, Selangor

12. SK Kampong Raja, Terengganu

13. SK Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya.



Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi