Wednesday, November 26, 2014

Pencapaian UPSR 2014 Menurun

Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 menurun sebanyak 0.02 Gred Purata Nasional (GPN) daripada tahun 2013. GPN pada tahun 2013 ialah 2.27 mata manakala GPN tahun ini 2.29 mata. Nilai GPN lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR di kementerian itu di PUTRAJAYA hari ini, berkata calon yang mendapat keputusan cemerlang semua gred A tahun ini ialah sebanyak 36,304 orang. Jumlah itu ialah 7.89 peratus daripada 460,407 calon yang menduduki peperiksaan. Pencapaian itu juga menurun sebanyak 1.26 peratus berbanding 2013 yang mencatatkan 42,646 calon mendapat keputusan cemerlang semua gred A, katanya.

Di SARAWAK, sebanyak 1,862 calon berjaya mencapai keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran yang diduduki mereka, menurun 0.08, peratus berbanding 1,916 orang pada tahun lepas. Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni berkata jumlah sekolah mencatat pencapaian 100 peratus kelulusan bagaimanapun meningkat kepada 116 buah sekolah berbanding 84 buah sekolah tahun lepas.

Di TERENGGANU, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Mohammed Embong berkata pencapaian GPN negeri meningkat sebanyak 0.06 mata iaitu 2.14 berbanding 2.20 pada tahun 2013, dan jumlah ini mengatasi pencapaian peringkat nasional sebanyak 2.29.

Bagaimanapun jumlah pelajar mencapai keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran menurun sebanyak 1.90 peratus atau 476 calon berbanding tahun lepas.

Tahun ini hanya 2,563 pelajar daripada 21,099 iaitu 12.10 peratus yang berjaya memperolehi semua A berbanding 3,039 pelajar tahun lepas, katanya
semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR negeri itu di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di Kuala Terengganu.

"Berdasarkan analisis yang dibuat, faktor utama penurunan pencapaian calon mendapat semua A adalah disebabkan oleh pencapaian mata pelajaran Sains yang 1,286 orang atau 55.70 peratus murid gagal mendapat A, bermakna mereka memperoleh 4A 1B," katanya.

Sementara itu sebanyak 49 daripada 377 sekolah di negeri itu berjaya memperoleh peratus semua A, dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok, Hulu Terengganu merupakan sekolah terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.23, katanya.

"Bagaimanapun, pencapaian keputusan UPSR pada tahun ini adalah terbaik dalam tempoh 14 tahun dari segi pencapaian Baik (minimum C bagi semua mata pelajaran) dan menunjukkan peningkatan dari segi pencapaian Gred Purata (GP)," katanya,

Di KELANTAN, pencapaian keputusan UPSR mencatatkan pencapaian membanggakan apabila mendapat GPN sebanyak 2.16 mata. Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Ab Aziz Abdullah berkata pencapaian GPN negeri itu menyamai pencapaian tahun lepas.

Sebanyak 3,600 calon negeri atau 11.15 peratus daripada 31,987 calon yang menduduki UPSR tahun ini, memperoleh A bagi semua mata pelajaran yang diambil, katanya pada majlis pengumuman keputusan UPSR negeri itu di Kota Bharu.

Di PERAK, sebanyak 2,847 atau 7.6 peratus daripada 37,479 murid yang menduduki UPSR lulus cemerlang dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. Pengarah Pendidikan Negeri Mohd Idris Ramli berkata peratusan calon yang mencapai keputusan cemerlang itu bagaimanapun mengalami sedikit penurunan berbanding 8.49 peratus tahun lepas.

Di NEGERI SEMBILAN, sebanyak 1,833 atau 10.5 peratus daripada 17,510 calon yang menduduki UPSR 2014 mencapai keputusan penuh 5A atau 7A. Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pkharuddin Ghazali berkata dalam penguasaan semua A, jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar berkurangan daripada 4.4 peratus kepada 3.5 peratus.

Di SABAH, pencapaian pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan UPSR meningkat 0.14 peratus iaitu sebanyak 1,231 daripada 44,427 calon. Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip memberitahu pemberita di Kota Kinabalu bahawa dari segi GPN juga pencapaian calon UPSR Sabah meningkat  dengan mencatat 2.71, berbanding 2.76 tahun lalu, dan adalah yang terbaik berbanding pencapaian dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, di JOHOR, jumlah pelajar yang mendapat semua A menurun 1.12 peratus berbanding tahun lepas dengan 4,811 pelajar catat keputusan cemerlang.


- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi