Thursday, November 13, 2014

Pembestarian Sekolah Melalui ICT Perlu Ditekankan Untuk Kemudahan Guru Dan Pelajar

Pelaksanaan pembestarian sekolah yang menekankan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) perlu dijalankan bagi menjadikan institusi sekolah lebih berdaya saing, kondusif dan moden mengikut arus perkembangan semasa yang semakin pesat.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Nor Sabrina Mohd Noor berkata penggunaan ICT perlu diterapkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian di sekolah dalam usaha untuk menerapkan pengunaan teknologi ini secara berkesan dan bermakna kepada guru dan murid.

"Semua sekolah perlu melaksanakan pembestarian sekolah menggunakan ICT tanpa jurang pemisah antara bandar dan luar bandar supaya semua guru dan murid dapat dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan bagi menggunakan teknologi ini secara berkesan dan bermakna.

"Pelaksanaan pembestarian mengambil kira semua inisiatif ICT yang sedia ada di sekolah seperti projek pengkomputeran dan makmal komputer sekolah, projek penyediaan prasarana jalur lebar untuk capaian internet di semua sekolah serta melibatkan infrastruktur ICT dan aplikasi pengurusan, pengisian dan latihan," katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Karnival Pembestarian dan Teknologi Pendidikan sempena Minggu Sains Kedah 2014 di Kompleks Pendidikan di sini Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah Mohd Jamil Md Noh.

Nor Sabrina berkata usaha itu amat bersesuaian dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang berhasrat membuat perubahan besar terhadap pendidikan termasuk memperkasa kemahiran ICT.

Beliau berkata sasaran penggunaan ICT ini adalah untuk meningkatkan nisbah komputer kepada murid, masa penggunaan komputer, dan mengaplikasikan teknologi yang berkesan dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah serta dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Murid dapat memperoleh akses kandungan pelajaran yang lebih luas, menarik dan interaktif selain dapat belajar mengikut kadar sendiri dan mempunyai pilihan yang lebih luas melalui program jarak jauh.

"Pengetua, guru besar dan guru juga boleh mengakses dengan mudah kepada sumber dan komuniti pembelajaran nasional dan antarabangsa secara lebih meluas dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran mereka," katanya.

Sementara itu, Nor Sabrina berkata budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia juga perlu dipupuk kerana pembacaan itu penting dalam kehidupan untuk digunakan sebagai sumber ilmu dan kebijaksanaan dalam merancang, membentuk dan melayari kehidupan untuk mengecap kejayaan.

"Kini bahan bacaan berbentuk digital semakin banyak di pasaran, terutamanya di internet dan penyediaan kemudahan berbentuk teknologi ICT ini sesuai dengan teknologi dan keperluan masa kini bagi memudahkan warga sekolah mengakses maklumat bagi tujuan memperkayakan ilmu pengetahuan," katanya.



- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi