Monday, April 30, 2012

Saturday, April 28, 2012

GRADUAN PENDIDIKAN IPTA AKAN DISERAP KE SEKOLAH


KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran telah membuat beberapa ketetapan dan penyelarasan bagi memastikan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam yang belum ditempatkan dapat diserap di sekolah-sekolah mulai Mei ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 29 daripada 4,859 graduan pendidikan yang berjaya dalam temuduga berfasa yang diadakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) telah diberi penempatan di Pusat Anak Permata Negara sejak 8 April lepas.

"Baki seramai 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa dengan penempatan Fasa Satu akan dilaksanakan pada 23 Mei ini dengan melibatkan 4,671 graduan.

"Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Muhyiddin berkata baki 159 orang graduan pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa Dua pada Julai ini.

Muhyiddin berkata kesemua graduan yang berjaya itu merupakan antara 5,510 graduan IPTA yang mendapat panggilan temuduga daripada SPP mulai Januari lepas.

Daripada jumlah itu, SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap, sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila tidak hadir temuduga, katanya.

Beliau berkata kesemua mereka merupakan graduan daripada Universiti Utara Malaysia (90 orang), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017).

Universiti Putra Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).

Muhyiddin juga berkata kementerian telah melantik seramai 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan tersebut sebagai guru interim bagi memenuhi keperluan guru di Sekolah Menengah.

"Berikutan penempatan ini, perkhidmatan guru interim tersebut akan ditamatkan. Walau bagaimanapun, guru interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei ini berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT," katanya.

Muhyiddin berkata bagi 2,484 graduan J-QAF Institut Pendidikan Guru yang akan menamatkan pengajian pada Jun ini, mereka akan melalui temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.

Timbalan Perdana Menteri berkata urusan temuduga dan pengambilan graduan dari institusi pengajian tinggi swasta tidak dapat dijalankan pada masa ini kerana kementerian memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah dianjurkan oleh kementerian itu lebih awal kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

"Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan Kementerian Pelajaran," katanya.

Para graduan boleh melayari laman web www.spp.gov.my bagi mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan kementerian sedikit masa lagi.

-- BERNAMA

Friday, April 27, 2012

BANTUAN RM500 UNTUK SETIAP KELAB PENGGUNA SEKOLAH


PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Bantuan RM500 akan diberikan kepada setiap Kelab Pengguna Sekolah (KPS) pada tahun ini bagi membolehkan kelab itu menjalankan aktiviti kepenggunaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Untuk tujuan itu, beliau berkata kementerian memperuntukkan RM1.129 juta.

Sehingga suku tahun pertama ini sebanyak 1,417 program kepenggunaan telah berjaya dijalankan KPS di seluruh negara, katanya pada sidang akhbar selepas menutup Cabaran Interaktif Pengguna (CIP) KPS peringkat kebangsaan di sini pada Jumaat.

CIP yang bermula Februari lepas, melibatkan penyertaan seramai 2,928 pelajar daripada 732 sekolah menengah dengan 16 pasukan berjaya ke peringkat akhir.

Ismail Sabri berkata adalah menjadi hasrat kementerian supaya bilangan anggota KPS dapat dipertingkatkan lagi tahun ini selain memastikan setiap KPS menjalankan sekurang-kurangnya satu program.

KPS ditubuhkan sejak 1992 dengan agenda utama untuk memupuk kesedaran kepenggunaan di kalangan pelajar sekolah bagi mencapai matlamat mewujudkan kumpulan pengguna baru yang bermaklumat, bijak dan bertanggungjawab.

Kini terdapat sebanyak 2,258 KPS di seluruh negara dengan 69,456 anggota.

-- BERNAMA

Thursday, April 26, 2012

'TABLET' MENGGANTIKAN BUKU TEKS

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Penggunaan komputer mudah alih "tablet" di sekolah-sekolah boleh menjadi jalan penyelesaian bagi mengurangkan beban membawa buku teks di kalangan pelajar, menurut seorang bapa yang mempunyai dua anak perempuan yang belajar di sekolah rendah Cina.


Editor pengurusan majalah Mobile World Kashminder Singh berkata, tablet adalah sesuai bagi sekolah-sekolah dan daripada memberi RM100 bagi setiap pelajar (bantuan kerajaan), adalah lebih baik dalam tempoh jangka panjang untuk melihat bagaimana tablet boleh menjadi buku teks baharu.

Beliau berkata seseorang atau sebuah perbadanan perlu berusaha bagi menghasilkan satu "android" atau mana-mana platform tablet terbuka yang boleh disesuaikan untuk menjadi e-pembaca.

"Di India, seseorang menghasilkan tablet Aakash yang berharga kurang daripada RM200," katanya.

Kashminder berkata tablet boleh dikunci supaya ia hanya boleh memasuki talian kepada laman-laman yang dibenarkan dan versi e-buku buku-buku teks boleh dimuatkan setiap tahun bagi para pelajar manakala penerbit-penerbit boleh menerima yuran bagi setiap buku yang dimuatmasuk.

"Kedua-dua anak perempuan saya yang belajar di sekolah rendah Cina membawa beg setiap hari dan bagi orang dewasa akan mendapatinya sukar untuk menyeretnya. Saya berpendapat masalah itu ada penyelesaiannya dan seseorang perlu memulakannya," katanya.

"Bayangkan semua pelajar masing-masing mempunyai sebuah tablet. Dengan setiap orang memiliki tablet, kecurian tidak akan berlaku kerana tidak akan ada jualan semula di pasaran secara besar-besaran untuk menjualnya," katanya dalam majalah terbitan bulanan bagi edisi Mac.

"Teknologi tidak boleh dinafikan dan ia hanya menunggu masa bahawa buku-buku akan berubah sebagai tablet pula. Seseorang perlu mempunyai kesungguhan dan juga pengetahuan bagi memastikan keberkesanan projek itu," katanya.

-- BERNAMA



Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi