Friday, February 22, 2013

Renungan: Cara Membaiki Diri

Tiada siapa yang dapat melepaskan diri dari musibah atau malapetaka atau kesusahan. Tidak kira samada manusia itu mukmin atau kufur. Itu juga merupakan bukti yang sangat jelas dan nyata bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Bagi manusia kufur sepatutnya mereka insaf dan sedar bahawa Allah SWT itu wujud dan berkuasa ke atas sekelian alam ini. Bagi orang beriman pula akan bertambah keimanannya kerana menyedari bahawa manusia ini lemah dan mesti tunduk kepada Allah SWT samada secara terpaksa mahupun sukarela.

Musibah atau malapetaka akan menambah dan meningkatkan iman orang mukmin kerana mereka semakin dapat melihat dengan hatinya betapa Allah SWT telah menzahirkan kekuasaanNya yang tidak mampu ditolak oleh sebarang makhluk termasuk manusia. Bertambah keinsafan, bertambah sabar, bertambah redha terhadap ketentuan Allah SWT dan akan bertambah pula rasa kehambaan seperti rasa takut, rasa malu, rasa lemah, rasa hina, rasa dhaif, rasa camas, rasa bimbang, dan rasa harap. Para mukmin juga akan menyedari bahawa musibah yang Allah SWT datangkan itu merupakan peringatan langsung daripada Allah SWT. Peringatan kepada manusia bahawa mereka sudah terlalu derhaka, lalai, banyak dosa, maksiat dan berbuat mungkar. Peringatan itu agar segera membaiki diri, bertaubat dan membuat perubahan. Itu baru kesengsaraan di dunia sernentara, betapalah andainya dihadapkan dengan azab hakiki iaitu neraka di akhirat.

Ujian dan musibah yang Allah SWT timpakan kepada para mukmin ada dua maksud:

Pertama:
Sebagai penghapusan dosa sekiranya dihadapi dengan sabar.

Kedua:
Bagi golongan yang tidak berdosa, ujian dan musibah itu sebagai meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Hanya sebagai beradab dan menepati sebagai hamba walaupun tidak melakukan dosa, maka perlu dirasakan berdosa juga.

Setelah jelas kepada kita bahawa tiada siapa yang dapat menghindari dari ditimpa musibah, bukankah lebih baik menjadi orang mukmin yang ditimpa musibah berbanding menjadi kafir yang juga tidak dapat lari dari musibah. Banyak keterangan dari hadis-hadis Rasulullah SAW yang membawa erti iaitu musibah biar kecil sekalipun berpunca dari dosa yang dilakukan manusia. Ertinya setiap dosa, maksiat dan kemungkaran merupakan anak kunci terbukanya pintu musibah dan bencana yang Allah turunkan kepada manusia itu sendiri.

Umpama Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tiada seseorang itu ditimpa musibah di hadapannya, di belakangnya, di kanannya, di kirinya, di atasnya dan di bawahnya melainkan berpunca dari dosa yang dilakukannnya.”

Apabila sesuatu musibah, bencana atau malapetaka itu didatangkan oleh Allah SWT yang sifatnya terlalu berat, menggerunkan, menyakit dan amat menyukarkan manusia, berpanjangan dan buntu dari penyelesaian, itu tandanya penduduk sesuatu tempat itu sudah terlalu melupai Allah SWT, banyak kezaliman, penindasan, dosa, maksiat dan kemungkaran sudah berlaku tanpa kawalan. Malah mereka berbangga pula dengan kemungkaran. Maksiat tidak disekat malah dipromosi dan digalakkan. Terutama sekali apabila pemimpinnya sangat zalim dan menindas, para ulamanya jahat dan mabuk dunia, orang kayanya bakhil dan perampas, orang miskinnya tidak sabar dan laiai, maka kemurkaan Allah SWT akan turun secara merata yang dirasai oleh semua golongan. Inilah punca sebenar mengapa kini tidak putus-putus umat Islam mengalami kesenosaraan dari berbagai bencana. Silih berganti, berpanjangan dan ada yang menggerunkan seperti kebuluran, peperangan, kemarau dan wabak penyakit. Bukan sahaja musibah itu menimbulkan berbagai-bagai kesusahan kepada manusia, tetapi juga buntu dalam mendapatkan jalan penyelesaiannya. Berbagai kaedah dicuba dan diiringi oleh kegagalan.

Ambil satu contoh, di negara kita yang dilanda gejala negatif. Bukan sahaja yang terlibat, semua pihak turut merasa bahangnya dirundung kegelisahan dan keresahan. Berbagai kaedah pula telah dicuba yang berakhir dengan kegagalan. Sepatutnya umat Islam kembali kepada kaedah yang tepat iatu ajaran Islam itu sendiri. Tidak usah `mengimpot` kaedah dari sumber lain terutamanya barat yang terbukti masyarakatnya telah rosak dan hancur. Sebagaimana musibah itu sendiri berpunca dari dosa dan maksiat. Maka untuk menghindari musibah berpanjangan dan terlalu mencengkam kehidupan maka hendaklah bersungguh-sungguh membaiki did. Membaiki diri itu hendaklah dalam beberapa aspek penting.

Di antaranya:

1. Hendaklah benar-benar merasai diri itu adalah hamba Allah SWT. Rasa hamba itu mestilah tidak lekang dari jiwa sehingga dengan itu dapat pula merasai bahawa Allah SWT itu Maha Agung, Maha Besar, Maha Hebat, Maha Mendengar, Maha Melihat dan memiliki segaia sifat-sifat kesempumaan. Segala rasa-rasa itu hendaklah sampai ke tahap merasai takut hendak berbuat maksiat dan mungkar. Umpamanya seseorang itu merasai Allah SWT Maha mengetahui lubuk hatinya. Ertinya dia akan sedar bahawa bukan sahaja perkara lahiriah, malah bisikan atau lintasan hatinyapun Allah SWT mengetahui. Orang seumpama ini bukan sahaja gerak geri lahirnya dikawal dari dosa malah lintasan hatinya pun diawasi agar tidak terdorong kepada perkara jahat

2. Rasa kehambaan yang mendalam,yang dijiwai dan dihayati itu sangat penting yang sekaligus akan menjiwai pula rasa keTuhanan yang tinggi,ini akan menjadikan seseorang itu bersih dari dosa terutamanya dosa batin atau penyakit-penyakit hati yang berupa mazmumah. Mazmumah itu ibarat racun yang sangat merosakkan. Mazmumah itulah yang paling utama membawa berbagai angkara, kerosakan, krisis, peperangan, penindasan di dalam kehidupan manusia. Sifat-sfat mazmumah ini tidak akan hilang atau padam atau terbakar musnah kecuali seseorang itu memiliki rasa kehambaan yang mendalam dan menjiwai rasa keTuhanan.

Ini adalah agenda utama dan penting bagi seluruh umat Islam; Aspek inilah yang sangat terabai dan dipinggirkan oleh umat Islam. Natijahnya umat Islam sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT. Yakni bukan sahaja jauh dari bantuan dan pertolongan Allah SWT malah sebaliknya kemurkaan Allah SWT yang ditimpakan kepada umat Islam. Bukan sahaja tidak memperolehi kejayaan dan kemenangan, sebaliknya kehinaan di mana saja dan berpanjangan silih berganti.

3. Perbaiki sembahyang dan sempurnakan lahir dan batin. Sembahyang itu sendiri mestilah berperanan. Memanglah menunaikan sembahyang itu adalah wajib. Namun ianya mestilah berkesan dan berperanan bagi seorang hamba itu benar-benar menghadap Allah SWT dengan sepenuh hati. Tempat di mana seorang hamba itu benar-benar meletakkan dirinya sebagai sehina-hina makhuk. Menghina diri di hadapan Allah SWT yang Maha Agung. Penuh dengan rasa malu, menyerah dan mengharap sehingga dengan itu terbakar segala mazmumah.

Kalau seseorang itu di saat di mana dia benar-benar sepenuhnya menghadapkan hatinya kepada Allah SWT, pun lalai dan leka tidak dapat merasai kehambaan dan membakar mazmumah maka di luar sembahyang lebih sukar lagi. Maka di luar sembahyang dalam mengendalikan urusan kehidupan sudah tentulah penuh didorong oleh nafsu rakus dan jahat. Sembahyang yang sempuma lahir batin itu ialah yang dapat memahami dan menghayati setiap lafaz atau bacaan. Yang dengan itu apa yang difahami dari sembahyang itu dapat membina dan membentuk peribadi yang benar-benar mulia. Kedudukan mereka dekat dengan Allah SWT, dan layak mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT.

Di dalam sembahyang, mereka sangat membesar dan mengagungkan Allah SWT. Di luar sembahyang juga tidak lekang dari membesarkan Allah SWT, dengan hidup bersyariat, menjauhi mungkar dan maksiat, akhlak dan disiplinnya tinggi dan luhur. Allah SWT menaungi mereka. Dan semua orang merasa puas dan seronok, selamat dan sejahtera bernaung di bawah mereka. Orang yang mencapai taraf ini saja yang layak memimpin umat kerana mereka adil kepada diri mereka sendiri iaitu berjaya mengembalikan rohnya kenal dan takut kepada Allah SWT, mengembalikan dirinya, mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Keadilan mereka itu pula akan melimpah dan merata kepada umat yang lain. Mereka inilah yang dikatakan orang soleh, orang Ashabul Yamin (golongan kanan), Al Muflihun (yang mendapat kemenangan). Mereka yang dimaksudkan oleh Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud,“Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba hambaNya yang soleh” ‘ Siapakah orang soleh itu? Salah satu cirinya ialah dalam firman Allah bermaksud “Beruntunglah (menanglah/berjayalah) orang mukmin, iaitu mereka yang di dalam sembahyangnya khusyuk.” (Al Mukminun: 1-2)

Mereka jugalah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Barangsiapa memperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya.”. (Riwayat AI Hakim)

Bagi umat Islam yang ditimpa musibah silih berganti dan berpanjangan tiada pilihan lain untuk mengatasinya kecuali kembali menhambakan harapan kepada Allah SWT. Caranya pula ialah memperbaiki diri dalam hubungan dengan Allah SWT.,Sungguh-sungguh bertaubat dan membersihkan dosa, kemungkaran, maksiat serta lebih-lebih lagi dosa batin iaitu mazmumah Selagi Allah SWT tidak sudi memandang kita lebih-lebih lagi berada dalam kemurkaan Allah SWT, biar berbuih mulut meminta melalui doa, atau hitam dahi kerana sujud sembahyang hajat, Allah SWT tidak akan tunaikan permintaan itu.

Wassalam.

Tuesday, February 19, 2013

Seramai 2,791 Graduan Pendidikan Dilantik Terus Ke DG41

KUALA LUMPUR: Seramai 2,791 daripada 7,824 graduan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) tahun lepas akan dilantik terus ke Gred DG41.

Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dalam satu kenyataan di sini Selasa memaklumkan mereka tidak perlu menghadiri temu duga kerana mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.5 dan ke atas, serta mendapat sekurang-kurangnya keputusan A- dalam latihan praktikal.

"Bagaimanapun, graduan tersebut perlu menjalani sesi penilaian khas yang akan dilaksanakan oleh SPP, dan diperakui oleh IPTA dan IPGM," menurut kenyataan itu.

Menurut SPP, baki 5,033 graduan pendidikan pula perlu menduduki temu duga yang akan diadakan di seluruh negara mulai hari ini sehingga 27 Mac depan.

- BERNAMA

Saturday, February 16, 2013

Guru Perlu Bersiap Siaga Tinggi, Terus Tingkat Kualiti Pendidikan

ALOR SETAR: Guru harus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk terus meningkatkan tahap serta kualiti pendidikan ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata guru juga harus mempunyai semangat patriotisme, profesionalisme dan mempunyai iltizam yang tinggi sehingga ke peringkat persaraan wajib dalam menjana modal insan negara yang berkualiti.

"Hakikatnya untuk tempoh 12 tahun akan datang, guru sebagai ejen pelaksana utama perlu berada di tahap siap siaga yang tinggi berlandaskan komitmen, kesungguhan dan kesediaan untuk bekerja dengan tekun dan ikhlas untuk membina negara bangsa yang maju.

"Dalam konteks yang lain, para guru perlu bersedia mengubah cara bekerja yang lebih efektif dan tersusun. Guru muda harus mengambil peluang menimba pengalaman daripada guru-guru senior supaya lebih cekap dan kalau boleh lebih baik lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata setiap warga pendidik khususnya guru muda juga harus memikirkan dan memastikan bahawa setiap tindakan yang dilakukan selari dengan matlamat ditetapkan dalam dasar pendidikan negara.

Katanya dalam 100 hari pertama tahun ini, empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sedang dilaksanakan melibatkan bimbingan untuk guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik; menilai lebih 70,000 guru opsyen Bahasa Inggeris melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT); mengaktifkan penglibatan ibu bapa dan melancarkan e-video tentang amalan pengajaran cemerlang di bilik darjah.

"Di samping empat inisitif itu, kementerian tidak mengenepikan inisitif yang harus dicapai dalam gelombang pertama untuk 2013 ini, khususnya dalam usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, yang ini akan dilaksanakan untuk murid-murid seluruh negara," katanya.

Beliau berkata isu seperti rungutan dan keluh kesah dalam kalangan warga pendidik khususnya guru muda dalam menghadapi cabaran profesion perguruan juga harus dielakkan.

Katanya warga pendidik perlu dilihat sentiasa sempurna di hadapan anak didik walaupun mereka hakikatnya hanyalah manusia biasa.

"Usaha untuk merealisasikan agenda transformasi pendidikan negara ini amat memerlukan kerjasama yang padu, pemikiran yang inovatif dan kreatif dan tindakan yang utuh daripada kalangan warga pendidikan secara menyeluruh dan tidak seorang pun warga pendidik tertinggal untuk menggalas peranan utama untuk menjayakannya," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata kerajaan sedar bahawa sesuatu sistem memerlukan tempoh agak panjang untuk mencapai matlamat dan melihat hasilnya.

Katanya di negara-negara berjaya proses tranformasi pendidikan untuk meningkatkan kualiti ke tahap terbaik mengambil masa 20 hingga 25 tahun.

"Jika kita tidak bergerak sekarang, sampai bilapun tak capai tahap yang kita impikan. Satu langkah yang berani, tegas dan pantas, mentransformasi sistem pendidikan ke satu arah lebih baik harus dilakukan sekarang.

"Apa yang dirancang tidak akan berjaya jika peringkat pelaksana tidak memainkan peranan dan memikul bersama tanggungjawab itu," katanya.

- BERNAMA

Hanya Satu Kredit Dalam SPM Untuk Masuk Ke Kolej Komuniti

PASIR GUDANG: Mulai tahun ini, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya memerlukan kelulusan minima satu kredit untuk melanjutkan pengajian di kolej komuniti berbanding kelulusan tiga kredit sebelum ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia merupakan antara penambahbaikan dan inisiatif baharu kementerian terhadap kolej komuniti dalam usaha menjayakan dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

"Selain itu, golongan yang sudah bekerja boleh menyambung pengajian peringkat sijil dan diploma di kolej komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Mesra Komuniti 1Malaysia dan Pelancaran Usahasama Strategik Kolej Komuniti bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan industri peruncitan, di sini Sabtu.

Menurutnya, mulai tahun ini, tempoh pengajian untuk Sijil Kolej Komuniti (SKK) berterusan atau jangka panjang juga akan dipendekkan kepada minimum 16 bulan berbanding 24 bulan sebelum ini.

"Pada tahun lalu sahaja seramai 258,949 orang telah menyertai 11,855 program dan kursus pembelajaran sepanjang hayat di kolej komuniti dan pada tahun ini pula sebanyak 221,660 tempat telah disediakan dalam 11,158 buah program dan kursus sepenuh masa dan jangka pendek di seluruh negara," katanya.

Mohamed Khaled berkata dalam usaha menjamin pelajar lepasan institusi itu mendapat tempat dalam pasaran kerja, kerjasama strategik turut dijalinkan dengan pihak industri untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi.

Ia termasuk jalinan kerjasama dengan lima koridor wilayah pembangunan ekonomi iaitu Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score).

Mohamed Khaled berkata kerajaan bercadang untuk membuka empat lagi kolej komuniti tahun ini iaitu di Kota Marudu, Tambunan, dan Penampang di Sabah, manakala sebuah lagi di Sarikei, Sarawak.

- BERNAMA

Friday, February 15, 2013

Meteor besar terhempas di Rusia

MOSCOW: Sebuah meteor besar menjunam dan meletup di wilayah tengah Rusia hari ini dan mencetuskan gelombang kuat yang memecahkan tingkap dan mencederakan sekitar 950 orang dalam kejadian yang belum pernah berlaku di zaman moden ini.

Kejadian luar biasa itu mengakibatkan lalulintas terhenti di bandaraya Chelyabinsk apabila orang ramai yang terkejut, berhenti memandu untuk melihat meteor yang menyala bergerak melintasi ruang udara.

Para pakar berkata hentaman meteor sebesar itu yang dianggarkan seberat puluhan tan, amat jarang berlaku, begitu juga dengan jumlah mangsa di tempat kejadian.

Kementerian kecemasan pada awalnya menganggarkan lebih 500 orang cedera, 112 dimasukkan ke hospital.

Tingkap hancur dilanda gelombang tersebut di wilayah bandaraya itu, dengan pihak kementerian menganggarkan hampir 300 bangunan rosak termasuk, sekolah, hospital, sebuah kilang zink dan sebuah stadium hoki ais.

Dalam perkembangan terkini, gabenor wilayah tersebut, Mikhail Yurevich berkata angka kecederaan telah meningkat kepada sekitar 950 orang.

Mikhail yang dipetik oleh agensi berita RIA Novosti, berkata dua pertiga daripada mereka cedera ringan terkena pecahan kaca dan bahan-bahan lain.

Di bandaraya Chelyabinsk sahaja, 758 orang memerlukan bantuan perubatan.

Berikut adalah gambar dan video kejadian:


- dailymail

Renungan: Mengapa Pentingnya Menjaga Hati


Lazimnya manusia sangat memberi perhatian dan mengawasi kesihatan fizikal. Pengawasan dibuat dengan seribu macam cara. Apabila mengalami sakit atau sebarang gangguan, biasanya tanpa lengah lagi manusia akan segera menemui doktor. Andainya tidak berkesan, berpindah pula ke doktor lain atau rawatan pakar.

Anehnya, tidak demikian sikap manusia dalam menghadapi penyakit hati atau rohani. Sama ada manusia mengambil sikap terus tidak peduli langsung atau mereka memandang remeh terhadap persoalan hati atau roh. Padahal kesan dan akibat daripada penyakit hati atau roh bukan sahaja mencetuskan berbagai kejahatan dan kemungkaran malah akan diseksa di Neraka Allah SWT di Akhirat kelak, wal’iyazubillah.

Marilah sama-sama kita lihat mengapa terlalu pentingnya menjaga hati atau roh yang di antaranya seperti berikut:

1. Kerana roh itu kekal atau dikekalkan, tidak seperti fizikal (jasad lahir), ia binasa. Di Akhirat kelak, roh itu akan diberi jasad baru.

2. Roh itulah yang akan menerima atau merasa nikmat atau azab bersama jasad barunya di Akhirat kelak.

3. Ia adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan yang mana sama-sama ingin mengisi. Malaikat dengan iman, syaitan dengan kekufuran atau malaikat dengan keyakinan, syaitan dengan keraguan.

4. Ia adalah tempat jatuhnya ilham atau ilmu laduni (dapat ilmu tanpa belajar), ia merupakan wahbiah (anugerah) daripada Allah. Akal tempat ilmu nazali (ilmu yang dipelajari).

5. Roh kalau ia bersih, Allah beri ia rasa yang tepat atau firasat.

6. Roh kalau ia terlalu bersih, matanya lebih tajam dari mata lahir atau mata kepala, sebahagian perkara yang ghaib Allah perlihatkan kepadanya. Itulah yang dikatakan mukasyafatul qulub.

7. Roh atau hati adalah raja dalam diri. Kalau hati itu baik, ia akan arahkan tentera-tenteranya iaitu anggota lahir atau jawarih kepada kebaikan. Kalau ia jahat, ia akan arah tenteranya membuat kejahatan.

8. Kerana ia boleh menerima sifat-sifat mahmudah yang dikehendaki dan juga boleh menerima sifat-sifat mazmumah yang dibenci dan dikeji yang sayugianya hendaklah dibuang atau dijauhi.

9. Ia adalah merupakan tempat merasa iaitu susah atau senang, bahagia atau dukacita, rasa sempit atau rasa lapang, rasa keluh-kesah atau tenang, rasa kecewa atau ceria, rasa putus asa atau harapan yang cerah, rasa benci atau suka, rasa ragu atau percaya, rasa pesimis atau optimis, rasa rindu atau simpati.

10. Sikap jasad lahir atau tingkah laku adalah pancaran dari hati atau roh sama ada baik ataupun buruk.

11. Hati tempat penglihatan dan nilaian Tuhan manakala jasad lahir tempat pandangan makhluk.

12. Hidayah yang lahir, ia adalah punca dari yang batin atau roh atau hati.

13. Sifat mahmudah yang paling terpuji ialah ikhlas, penentu segala amalan seseorang itu diterima atau ditolak ialah bertapak pada roh atau hati, malaikat pun tidak tahu, hanya Allah yang mengetahui.

14. Seseorang yang membuat kebaikan, orang tidak kata baik tangannya, kakinya, tapi orang berkata baik hatinya.

15. Ketahanan yang lahir adalah berpunca daripada ketahanan yang baik yakni roh atau hati.

16. Segala perubahan yang lahir ini berpunca daripada perubahan yang batin yakni roh atau hatinya.

17. Penyakit roh atau hati membawa ke Neraka, penyakit lahir membawa ke Syurga (segala kesusahan dan kesakitan lahiriah merupakan kifarah dosa).

18. Penyakit lahir walau bagaimana teruk sekalipun, ia hanya merosakkan badan, tapi penyakit roh atau hati menghancurkan apa yang ada di dunia ini.

19. Penyakit badan kalau sudah teruk sangat, membawa mati badan, tapi penyakit roh atau hati membawa matinya iman dan Islam.

20. Penyakit badan sakitnya tidak kekal, tapi penyakit roh atau hati seksanya kekal abadi.

21. Penyakit lahir hanya manusia yang benci, tapi penyakit batin Allah benci.

22. Penyakit lahir menguruskan badan, tapi penyakit batin menguruskan iman.

23. Di dalam tidur, adakalanya mendapat alamat di dalam mimpi sama ada secara jelas atau ibarat. Ia diperlihatkan kepada roh, bukan kepada mata kasar.

24. Rasulullah SAW menyuruh takut dengan pandangan mata hati atau pandangan roh. Allah tidak mengatakan agar takut kepada pandangan mata kasar.

Sabda Baginda: “Takutilah firasat orang mukmin, kerana ia melihat dengan cahaya Allah.” (Riwayat At Tarmizi)

1. Penyakit lahir tidak dipandang hina oleh Islam, tapi penyakit batin dipandang hina.

2. Penyakit lahir tidak sampai hilang kepercayaan orang, tapi penyakit batin sampai menghilangkan kepercayaan orang.

3. Penyakit lahir tidak membawa permusuhan, perpecahan dan peperangan, tapi penyakit batin membawa pergaduhan, perpecahan dan peperangan.

4. Roh boleh mengembara tanpa jasad dan dapat melihat perkara-perkara yang ajaib dengan izin Allah.

5. Selepas mati, roh boleh balik ke dunia dan dapat melihat keluarganya, tidak seperti jasad.

6. Penyakit lahir orang simpati, penyakit batin orang tidak simpati.

Oleh kerana pentingnya hati dan roh, maka ia hendaklah dijaga sungguh-sungguh iaitu:

1. Wajib kita memberi makanan yang cukup. Makanannya ialah sembahyang, zikrullah, membaca Al Quran, tasbih, tahmid, selawat, melihat kebesaran-Nya melalui pemandangan dan mengingati mati.

2. Memberi ia pakaian iaitu dengan sifat-sifat taqwa.

3. Jauhkan dari sebarang penyakit seperti marah, bakhil, pendendam, sombong, riak dan sebagainya.

Wassalam.

Thursday, February 14, 2013

NPQEL Sebagai Prasyarat Pelantikan Pengetua/Guru Besar

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menetapkan bahawa mulai 2014 Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) yang dikeluarkan oleh Institut Aminufin Baki (IAB) Kementerian Pelajaran Malaysia menjadi prasyarat pelantikan pengetua/guru besar di Malaysia.

Ketetapan ini bermakna sesiapapun guru di Malaysia yang ingin menjadi pengetua di sekolah menengah dan guru besar di sekolah rendah diwajibkan memiliki NPQEL selain syarat-syarat lain. Sama ada para guru menyedarii atau tidak perkara ini, mereka tidak boleh protes jika tidak boleh dilantik dan tidak boleh menikmati kenaikan pangkat sebagai pengetua/guru besar hanya kerana tidak memiliki sijil atau diploma NPQEL.

Mengapa kerajaan menetapkan syarat ini? Kerajaan mahu memastikan semua sekolah di Malaysia dipimpin oleh pengetua/guru besar yang berkompetensi tinggi sahaja. Kajian menunjukkan bahawa sekolah yang didatangkan pengetua/guru besar yang baik akan meningkat pencapaian muridnya sebanyak 20% percentile.  Kajian juga menunjukkan pengetua/guru besat yang mengikuti kursus atau latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan, latihan kepengetuaan, pembangunan profesionalisma dan kursus-kursus lain yang berkaitan memberi impak yang tinggi kepada kepimpinannya.

Adakah bilangan pemegang NPQEL mencukupi untuk mengisi 4000 kekosongan pengetua/guru besar yang akan berlaku dalam tempoh 2013-2015 ini? Bagaimanakah operasi penggantian dan pengisian pengetua/guru besar dengan prasyarat baru ini?

Data menunjukkan satu perempat sahaja daripada 2,073 pemegang NPQEL atau NPQH sebelumnya telah dilantik menjadi pengetua/guru besar. Mulai tahun 2013 ini pengambilan peserta kursus NPQEL oleh IAB ditambah daripada 300 setahun kepada 1000. Dua ambilan setiap satu 500 orang peserta akan dilaksanakan pada bulan Februari dan Julai. Sehingga tahun 2015 dijangka jumlah pemegang sijil NPQEL/NPQH ialah 5,316 satu jumlah yang melebihi keperluan.

IAB akan melakasanakan kursus NPQEL ambilan pertama 2013 ini mulai 12 Februari untuk seramai 500 orang. Kampus IAB Genting dan Utara diJitra masing-masing mengambil seramai 210 orang peserta manakala kampus Sarawak dan Sabah masing-masing 40 peserta.

Nama-nama peserta akam dimuktamatkan dan panggilan kursus akan dibuat pada 31 Januari ini. Peserta yang telah dipilih melalui permohonan dan temuduga akan diarahkan (bukan ditawarkan) menghadiri kursus selama lima bulan dalam mod bercampur (blended mode) iaitu bersemuka, e-pembelajaran, penandaarasan, sandaran dan pentaksiran atau ujian akhir kursus.

Pada masa yang sama IAB dan pihak-pihak lain akan terus menjalankan kajian keberkesanan dan kajian impak pelaksanaam NPQEL bagi menambah bilangan kajian sedia ada iaitu lapan kajian sehingga kini. Pelbagai pihak dialu-alukan memberi input dan pandangan mengenai perkara ini untuk menambahbaik program NPQEL.

Wednesday, February 13, 2013

Trauma Akibat Dirotan Dan Dihalau Guru

BUTTERWORTH: Seorang bapa mendakwa anaknya kini mengalami tekanan emosi setelah seorang guru wanita merotan dan mengusirnya dari sekolah kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.

Syahrul Asmawi Rashid, 35, berkata akibat kejadian Jumaat lepas itu, anaknya Nur Emilia, 12, murid Tahun Enam sebuah sekolah rendah di sini, kini trauma dan tidak lagi mahu ke sekolah.

Bercakap kepada pemberita di sini Rabu, katanya anaknya memaklumkan guru itu turut mengarahkannya mengambil borang tukar sekolah dan berpindah sekolah.

Syahrul yang berkerja sendiri berkata dia mengetahui kejadian itu pada kira-kira 9.30 pagi Jumaat apabila dihubungi guru terbabit yang memaklumkan anaknya telah pulang ke rumah kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.

"Saya terkejut dan terus keluar mencari Emilia kerana dia tidak pulang ke rumah sedangkan rumah kami terletak tidak sampai 100 meter sahaja dari sekolah tetap kemudiannya berjaya menemui anak sulungnya itu sedang menangis di kawasan kampung," katanya.

Syahrul berkata anaknya tidak menceritakan insiden yang menimpa dirinya itu sehingga rakannya datang pada sebelah petang dan memaklumkan kejadian sebenar.

Katanya dia membuat laporan polis semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang Tarmizi Kamaruddin ketika dihubungi berkata guru besar sekolah itu diarah menyiasat dakwaan itu.


Sunday, February 10, 2013

Pembinaan Watak Bermula Di Sekolah


Pendidikan 6 tahun di sekolah rendah penting bina minda kelas pertama

Selepas lebih 50 tahun meninggalkan Sekolah Kebangsaan Jementah, Sagamat, baru-baru ini saya telah diundang untuk mewakili alumni menyampaikan ucapan sempena Majlis Menyambut Maulidur Rasul. Bangunan kayu tempat pertama kali saya menjejakkan kaki ke sekolah telah dirobohkan dan diganti dengan dua blok bangunan konkrit bertingkat. Suasananya banyak berubah, tetapi Sungai Jementah yang mengalir di belakang sekolah masih kelihatan seperti dahulu, cuma ia semakin menyempit dan airnya berkurangan.

Jemputan ini sangat bermakna bagi saya. Terima kasih kepada Mohmad Jaafar Maskor insan prihatin yang menjemput saya, serta pengetua sekolah Sharuddin Adanan dan guru yang telah menerima saya dengan tangan terbuka. Kehadiran saya di Sekolah Kebangsaan Jementah ini sangat nostalgik sehingga mencetus perasaan untuk berkongsi dengan anda apa yang telah saya sampaikan ketika berucap di hadapan pelajar, guru dan ibu bapa sekolah itu.


Saya telah berkongsi tiga peristiwa manis yang masih segar dalam ingatan ketika belajar di sekolah berkenaan dari 1958 hingga 1964. Pertama, ketika Darjah (sekarang disebut Tahun) Satu belajar Ilmu Hisab (Matematik), seluruh kelas telah dimarahi dan diminta berdiri di atas bangku oleh seorang guru yang sangat tegas, kerana kami tidak menyelesaikan kerja rumah. Guru itu ialah Cikgu Abdul Majid Madisan, kebetulan ayah saudara saya. Peristiwa itu telah menyentuh hati kecil saya sehingga berazam tidak akan mengabaikan tanggungjawab menyelesaikan semua kerja rumah. Sejak itu, saya telah mendapat markah penuh untuk mata pelajaran Ilmu Hisab sejak Tahun Satu hingga Enam.

Titik pemula kejayaan

Apabila masuk ke sekolah menengah rendah dan seterusnya ke sekolah menengah atas, Matematik sentiasa menjadi kegemaran saya. Saya telah mendapat keputusan cemerlang dalam subjek Matematik dan Matematik Tam-bahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan penuh Matematik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah faktor utama membolehkan saya diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bagi saya, peristiwa berdiri di atas bangku ketika tahun pertama di sekolah rendah adalah titik pemula kejayaan saya untuk meneruskan pengajian pada peringkat universiti.

Peristiwa kedua ialah apabila saya dipilih oleh sekolah untuk menyertai sukan lompat jauh antara sekolah rendah seluruh daerah Segamat ketika berada di Darjah Empat. Saya sememangnya telah menjuarai beberapa acara sukan olahraga di Sekolah Kebangsaan Jementah sejak dari Darjah Satu lagi. Tetapi ketika itu saya mengetahui ia adalah juara kampung yang hanya membabitkan rakan sekolah yang semuanya saya kenali.
Apabila sampai ke Segamat dan berjumpa dengan pelajar dari beberapa sekolah rendah di seluruh Segamat, hati saya mulai berdebar dan seolah-olah seluruh anggota badan saya tidak bermaya. Lebih-lebih lagi, pada ketika itu, hanya saya seorang yang melakukan lompat jauh berkaki ayam. Pelajar lain semuanya lengkap dengan pakaian olahraga dan kasut berpaku (spike). Beberapa lompatan awal saya jauh tertinggal di belakang berbanding jarak lompatan pelajar lain.

Atasi perasaan rendah diri

Bagaimanapun, pada lompatan keempat, saya berjaya mengatasi perasaan rendah diri, dan membuat lompatan yang jauh sehingga berjaya menjuarai kejohanan itu. Peristiwa ini telah membuka minda saya mengenai bakat sukan yang ada pada saya yang turut mencetus kepada kejayaan dalam pelbagai bidang sukan ketika berada di sekolah menengah dan universiti.

Peristiwa ketiga berlaku ketika di Darjah Enam iaitu apabila saya dipilih untuk mewakili sekolah dalam Majlis Syarahan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Saya berjaya menjadi juara daerah Segamat, dan seterusnya mewakili daerah untuk pertandingan seluruh negeri Johor. Oleh kerana masa yang diberikan sangat terhad dan saya tidak mampu menghafal semua kandungan utama syarahan, Cikgu Roslan, guru Darjah Enam yang ditugaskan membawa saya pulang ke rumah dan melatih saya menghafal fakta dan memberikan saya kopi pekat supaya boleh bertahan tidak mengantuk hingga jam 2 pagi.

Keesokan paginya, kami perlu bertolak ke Johor Bahru untuk menyertai pertandingan. Walaupun saya tidak berjaya menjadi johan, peristiwa ini agaknya yang mencetus keinginan untuk menjadi seorang pensyarah.

Tiga peristiwa ini memainkan peranan penting dalam pencetus hala tuju kehidupan saya. Minat yang berterusan dalam bidang Matematik telah membina gaya pemikiran logik sehingga membawa saya menjejakkan kaki ke universiti.

Apa yang ingin diperkatakan, pendidikan selama enam tahun di sekolah rendah adalah sangat penting untuk membina asas dan perwatakan seorang pelajar. Jika kita inginkan warga negara yang menunjukkan sikap positif, kecemerlangan serta kewibawaan yang tinggi, didikan asasnya adalah di sekolah rendah.

Pengetua dan guru di sekolah rendah adalah warga pendidik yang penting dan perlu diberikan keutamaan. Kementerian Pelajaran perlu melihat kembali perancangan mereka untuk membina warga minda kelas pertama pada peringkat sekolah.

- Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu

Friday, February 8, 2013

SEMAK KEPUTUSAN AKHIR NPQEL 2013


Setelah beberapa hari memantau laman Institut Aminuddin Baki (IAB) bagi mengetahui status keputusan temuduga Kursus NPQEL, hari ini barulah pihak IAB mengeluar Keputusan Kelayakan Kursus NPQEL 2013 yang boleh disemak di Portal IAB.

Semakan keputusan kelayakan NPQEL 2013 juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas telefon mySMS;

Taip : iabsemaknpqel2013no kad pengenalan
dan hantar ke : 15888

Semakan segera keputusan temuduga Kursus NPQEL boleh dibuat dengan mengklik link berikut: SEMAK KEPUTUSAN AKHIR NPQEL 2013.

- Institut Aminuddin Baki

Pengurangan Beban Tugas Guru Akan Diberi Perhatian Segera

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kaedah untuk mengurangkan beban tugas pentadbiran guru akan diberi perhatian segera dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Perdana Menteri berkata langkah tersebut memerlukan tindakan supaya guru boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka pada fungsi pengajaran teras.

Beliau berkata aspek bebanan tugas guru merupakan antara perkara yang telah dibincangkan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.

"Itulah pembaharuan yang kita akan laksanakan bagi mengurangkan beban guru dalam tugas yang tiada kaitan dengan tugas utama sebagai pendidik," katanya pada majils perayaan jubli emas Sekolah Sultan Alam Shah, di sini, malam Khamis.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Pada majlis itu Najib turut mengumumkan pemberian peruntukan khas sebanyak RM1 juta untuk sekolah tersebut.

Najib berkata keperluan guru harus diberi keutamaan sebagai motivasi untuk mereka menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik serta pencapaian dan kejayaan sesebuah sekolah itu bergantung kepada warga pendidik.

Perdana Menteri berkata usaha itu juga selaras dengan hasrat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis.

"Kita perlu memahami bahawa persaingan dalam abad ke-21 menuntut kepada kita untuk berjaya ketengahkan idea-idea lebih unggul, kerana sesiapa yang mempunyai idea lebih unggul maka mampu mengatasi negara lain," katanya.

- BERNAMA

Renungan: Belajar Sedikit Tapi Faham Banyak

Para Sahabat di zaman awal Islam, sedikit sahaja diajar oleh Rasulullah SAW, mereka dapat faham dengan banyak, luas dan mendalam. Segala apa yang Rasulullah ajar, mereka mampu mengembangkan, mengaitkan, mengkiaskan dan mensyarahkannya hingga ia menjadi sumber ilmu yang lengkap dan menyeluruh.

Berlandaskan ilmu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW itu juga, para Sahabat mampu mentafsir dan mengembangkan ayat-ayat AI Quran. Sayidina Ali contohnya, mampu mengupas Surat Al Fatihah hinggakan kalau sepuluh ekor unta pun tidak akan cukup untuk memikul kitab-kitab kupasan dan tafsirannya itu.

Rasulullah SAW sendiri memang percakapannya ringkas dan pendek, tetapi isinya padat. Baginda tidak bercakap terlalu panjang tentang sesuatu perkara. Apa yang disabdakan baginda padat, lengkap dan penuh berisi. Untuk dapat faham banyak dari ilmu atau minda yang matan, ilmu itu mesti difikir-fikirkan. Kalau boleh ia perlu juga dimuzakarahkan dan dibawa berbincang. Dengan cara ini, ilmu yang matan itu akan bercambah dan berkembang.

Sebenarnya dalam ilmu ada ilmu, dan dalam ilmu kita boleh dapat penambahan ilmu. Daya fikir pula akan menjadi lebih murni dan tajam dengan roh atau hati yang bersih dan yang sentiasa terhubung dengan Tuhan. Bila roh atau hati itu bersih, Allah SWT akan mudahkan bagi akal untuk meneroka dan memahami perkara-perkara yang bersangkutan dengan ilmu. Itu sebabnya, di zaman kegemilangan Islam, di kalangan para Sahabat, Tabiin dan Tabiit Tabiin, ramai yang dapat menguasai berbagai-bagai bidang ilmu. Tidak hanya ilmu Islam seperti tauhid, fekah, tasawuf, tafsir, ilmu Hadis dan lain-lain lagi tetapi juga ilmu falsafah, astronomi, astrologi, perubatan, matematik, ketenteraan dan sebagainya.

Tambahan pada itu ramai daripada mereka yang dapat menguasai berbagai-bagai ilmu pada satu masa. Walhal sebelum Islam, mereka hanyalah pengembala-pengembala kambing dan ilmu tentang kambing itu sajalah yang ada pada mereka. Dengan didikan Rasulullah SAW menjadikan insan mereka terbina, hati dan roh menjadi bersih, akal mereka mampu memahami, mengupas, menyaring dan menterjemah berbagai-bagai ilmu dari tamadun Yunani dan Parsi. Selepas itu mereka pula menambah dan menyumbangkan ilmu-ilmu tersebut dengan berbagai-bagai penemuan yang baru hingga negara Islam menjadi pusat ilmu bagi semua bangsa ketka itu.

Cara kedua, untuk mendapat faham banyak dari ilmu atau minda yang matan ialah dengan mengamalkannya. Dengan amalan, ilmu akan jadi meluas dan terhurai. Allah SWT ada berfirman:

“Barangsiapa mengamalkan ilmu, Aku akan ajarnya ilmu.”

Apabila kita amalkan ilmu yang kita pelajari (ilmu yang tersurat), maka lama-kelamaan, Allah SWT akan ajar kita ilmu hikmah (ilmu yang tersirat). Ilmu seperti ini tidak perlu belajar. Allah SWT akan jatuhkannya terus ke hati kita.

Wassalam.

Thursday, February 7, 2013

Diterima Masuk Ke Kursus NPQEL


Sebelum ini saya telah menghadiri temuduga Kursus NPQEL dan saya telah menjangkakan, saya berjaya dalam temuduga tersebut. Seperti dimaklumkan semasa temuduga, kursus akan bermula 12 Februari 2013. Oleh kerana sekolah ditempat bertugas akan mula bercuti sempena Tahun Baru Cina bermula 8 Februari hingga 16 Februari 2013, atas dasar tanggungjawab terhadap sekolah dan anak murid, saya telah menghubungi pihak Institut Aminuddin Baki (IAB) untuk mendapat keputusan temuduga yang telah dihadiri. Alhamdulillah, saya telah dimaklumkan secara lisan (surat menyusul kemudian tapi agak dukacita sebab rakan iaitu PKKO SK Pulau Redang gagal dalam temuduga) diterima masuk kekursus tersebut dan kursus akan bermula pada 16 Februari 2013.

Tujuan saya menghubungi pihak IAB adalah ingin membuat persediaan awal sekiranya saya diterima masuk kekursus tersebut. Untuk pengetahuan, saya adalah Guru Data, Penyelaras SAPS, Penyelaras SPPBS, dan guru subjek Matematik UPSR dan Matematik Tahun 5. Oleh itu banyak yang perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah dan murid sekiranya saya diterima berkursus yang dianggarkan selama lima bulan (dimaklumkan semasa temuduga).

Saya telah pun mengambil langkah awal menyiapkan tugasan yang diamanahkan berkaitan Data Emis, APDM, SMM, SAPS dan SPPBS. Sehinggakan saya terpaksa menghubungi sekolah guru yang bertukar masuk ke SKU supaya memindahkan senarai nama guru bertukar. Alhamdulillah, sehingga kini segala data-data berkenaan telah saya siapkan tanpa ada sebarang ralat.

Bagi murid Tahun Enam pula, saya telah pun membuat persediaan awal dengan mendaftarkan murid yang berminat dengan Program Pembelajaran Interaktif Zoom-A (Sekurang-kurangnya saya dapat memantau dan menghantar soalan-soalan latihan secara atas talian), dan semalam saya telah mendapatkan buku latihan Matematik untuk persediaan UPSR dan menyerahkannya kepada murid pada hari ini. Bagi murid Tahun Lima, buku latihan Ulangkaji Matematik akan diberi kemudian. Insyaallah, buka sekolah selepas cuti Tahun Baru Cina akan dikirim melalui rakan guru yang lain.

Semasa di dalam kelas, saya telah maklum kepada murid bahawa saya akan berkursus selama 5 bulan, dan sudah pasti guru lain akan mengambil alih subjek matematik yang diajar. Sempat juga memberi motivasi kepada anak murid supaya fokus dan berjaya dalam UPSR khususnya dalam subjek Matematik.

Terharu juga menerima ucapan dan kad dari murid. Sempat juga anak murid membuat kad ucapan, ya! Buat anak muridku belajarlah rajin-rajin dan banyakkan ulangkaji. Walau siapa pun yang mengambil alih mengajar Matematik, berilah tumpuan dan rajin-rajinlah bertanya. Insyaallah ada kesempatan kita akan bertemu kembali.

Kad ucapan dari murid, sempat lagi membuat kad ya! Terima kasih

Terima kasih dan salam buat semua.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi