Monday, September 24, 2012

PPD Tonggak Kejayaan Pendidikan Negara

KUALA TERENGGANU, 24 Sept (Bernama) -- Peranan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) akan lebih mencabar sebagai pendukung bagi merealisasikan pelan transformasi pembangunan pendidikan negara, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Senin.

Menurut beliau peranan PPD kini sudah berubah dan tidak lagi terbatas hanya kepada aspek akademik lebih-lebih lagi dengan adanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Bagi mengukuhkan dan memantapkan profesionalisme pendidikan, PPD akan membantu pengetua sekolah, program dan dasar kementerian.

"Sebab itulah, kita buat program pemantapan PPD ini bagi mengukuhkan peranan mereka," katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemantapan Profesionalisme PPD peringkat kebangsaaan di sini Isnin.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan kepada guru dan tumpuan kepada kemahiran asas.

-- BERNAMA

Sunday, September 23, 2012

DIMANA TAHAP NILAI KERJA BUAT KITA

Tidak terlewat sekiranya saya berkongsi pengalaman, dimana saya diarah mewakili pentadbiran sekolah tempat bertugas ke Taklimat Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang diadakan di semua daerah negeri Terengganu. Bagi daerah Kuala Terengganu diadakan pada Khamis 20 September 2012, bertempat di Bilik Mesyuarat SMK Kompleks Mengabang Telipot (rujuk surat).

  Surat Taklimat PBS - Klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas
 
Untuk pengetahuan, surat yang dikeluar oleh Jabatan Pelajaran Terengganu dan ditandatangani sendiri oleh pengarah Pelajaran Negeri Terengganu ini mewajibkan  pentadbir sekolah hadir ke taklimat tersebut tetapi oleh kerana Guru Besar bercuti, manakala GPK Pentadbiran pula sibuk dengan urusan pertukaran beliau, saya pula dikerah ke taklimat tersebut.

Di sini bukan isu mengganti tempat pihak pentadbiran sekolah yang ingin saya ketengahkan tapi cara pihak yang mengendalikan taklimat tersebut agak tidak profesional di mana setelah mengambil masa perjalanan lebih kurang 45 minit untuk ketempat tersebut barulah diketahui taklimat tersebut dibatalkan. Di sini menunjukkan tiadanya perancangan teliti bagi menjalankan sesuatu program tersebut. Dimana letaknya integriti dalam melaksanakan tugasan pihak yang menguruskan taklimat tersebut. Andai memang terdapat halangan dalam melaksanakan taklimat ini disaat akhir, rasanya di zaman yang serba kemudahan ini, mungkin boleh memaklumkannya dengan lebih awal.

Saya percaya, pembatalan ini telah dibuat lebih awal, memandangkan pihak jabatan juga menyediakan minum pagi dan makan tengahari, sudah tentu pembatalan ini dimaklumkan lebih awal kepada pihak yang menguruskan makan minum.

Setelah pembatalan tersebut, saya terpaksa pula bergegas ke sekolah bagi meneruskan sessi P&P yang masih sempat untuk saya laksanakan pada hari tersebut.  Manakala bagi kelas yang tertinggal saya terpaksa memohon maaf kepada pelajar atas ketidak hadiran saya ke kelas mereka (walaupun mungkin ada guru yang menggantikan kelas saya).

Saya percaya, jika seseorang itu tiada komitmen sudah pasti mereka yang pergi ke taklimat tersebut pulang ke rumah sahaja setelah taklimat dibatalkan.  Terdapat juga guru yang berkata, jika keadaaan itu berlaku terhadap mereka, sudah tentu mereka tidak akan lagi hadir ke sekolah pada hari itu.  Bagi saya kehadiran saya semula ke sekolah bukan kerana sesiapa, tapi rasa bersalah dan amanah untuk laksanakan tanggungjawab terhadap pelanggan saya iaitu murid-murid saya.

Kesimpulan yang boleh saya ambil, di pihak jabatan perlulah membuat kerja lebih terancang dan profesional kerana kesilapan kita akan membuka ruang untuk orang yang kurang integriti mengambil kesempatan atas kelemahan kita. Mohon maaf juga kepada pihak-pihak terbabit, moga tulisan saya ini diterima secara positif untuk pengajaran kita semua.

Wassalam.

Cuepacs Harap Kerajaan Tambah ITP Penjawat Awam


KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menambah Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada penjawat awam dalam belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen 28 September ini.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata ini perlu kerana kos perumahan kini khususnya di bandar raya amat tinggi.

"Di kawasan bandar raya apabila wujudnya projek perumahan baharu, timbul masalah di mana orang yang berkemampuan sahaja yang dapat membeli rumah," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berharap bahagian cukai pendapatan tidak memotong cukai penjawat awam untuk satu jumlah yang besar sekali gus.

Sebagai contoh, katanya ketika penjawat awam mendapat kenaikan gaji 13 peratus baru-baru ini, cukai pendapatan dipotong antara RM600 hingga RM1,000 dan ini amat membebankan penjawat awam seolah-olah mereka tidak mendapat pelarasan gaji.

Lok berkata menerusi belanjawan itu juga penjawat awam bagi kumpulan yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun berharap dapat diberi pelepasan cukai.

-- BERNAMA

Tuesday, September 11, 2012

Guru Akan Dijadikan Profesion Berprestij

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan.

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara - mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama.

Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan.

Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

-- BERNAMA

Monday, September 10, 2012

Friday, September 7, 2012

Kaedah Temuduga Mungkin Diguna Pakai Pilih Pelajar Ke IPTA

SHAH ALAM, 6 Sept (Bernama) -- Kaedah temuduga mungkin dilaksanakan secara meluas bagi pemilihan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila persaingan menjadi sengit berikutan peningkatan jumlah pelajar cemerlang, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA kini dibuat menerusi komputer dengan 90 peratus berdasarkan pencapaian akademik sementara baki 10 peratus berdasarkan aktiviti ko-kurikulum, katanya.

Menurut Mohamed Khaled setakat ini, hanya dua IPTA menggunakan kaedah temuduga iaitu Universiti Sains Malaysia manakala Universiti Malaya menemuduga pelajar bagi kursus-kursus tertentu.

"Kemungkinan kita lakukan perkara yang sama, ketika ini, untuk secara meluas saya belum nampak, tetapi mungkin satu hari kelak bila persaingan menjadi semakin sengit pencapaian pelajar cemerlang semakin banyak," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dengan pelajar baru Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.

-- BERNAMA

Thursday, September 6, 2012

Kurikulum baharu sejarah sekolah menengah sedang dirangka

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Kerajaan sedang merangka kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah untuk pelajar sekolah menengah dalam usaha melahirkan warganegara yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha itu dijalankan dengan berpandukan kepada perakuan-perakuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

“Kerajaan memberi perhatian khusus terhadap kandungan kurikulum mata pelajaran Sejarah di sekolah. Laporan (Jawatankuasa Khas) telah kami terima, InsyaAllah kami akan laksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis ke-57 Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Wisma Sejarah, di sini hari ini.

Jawatankuasa Khas yang ditubuh pada Mei 2011 itu dianggotai 10 pakar sejarah dan dipengerusikan Tan Sri Omar Mohd Hashim yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM.

Jawatankuasa Khas itu berfungsi untuk mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah bagi memastikan ia mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cinta akan tanah air dan sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warga Negara Malaysia.

 — Bernama

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi