Saturday, June 28, 2014

Jadual Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa 1435H/ 2014M


Selamat menjalani ibadah puasa pada tahun ini. Alhamdulillah, ketemu lagi ramadhan bulan yang penuh dengan keberkatan.

Di sini disertakan Jadual Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa Tahun 1435H/ 2014M bagi seluruh daerah/zon negeri-negeri seluruh Malaysia. Jadual Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa Tahun 1435H/2014M ini diambil dari laman http://apps.islam.gov.my.

Untuk muat turun Jadual Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa Tahun 1435H/ 2014M, boleh klik link di bawah:

1.   Negeri Sabah
4.   Negeri Johor

Selamat menunaikan ibadah puasa. Semoga mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa.


Friday, June 27, 2014

Mengapa Allah Tidak Mengurniakan Pada Setiap Manusia Untuk Selalu Berbuat Baik Saja?

Beberapa waktu yang lalu ada teman yang bertanya, "Mengapa iman manusia (biasa seperti kita) itu kadang naik kadang turun?" Kemudian ada juga yang bertanya, "Mengapa Allah tidak mengurniakan pada setiap manusia untuk selalu berbuat baik. Apa susahnya bagi Allah Yang Maha Berkehendak untuk menjadikan manusia ini untuk bertaqwa semuanya, sehingga tidak akan ada azab dari-Nya."

Saat itu saya hanya boleh menjawab bahawa semua itu sudah menjadi fitrah bagi manusia biasa seperti kita ini. Ya, kerana kita ini manusia biasa, bukan malaikat yang kadar ketaatannya tetap terjaga, pun bukan nabi yang kadar keimanannya semakin tinggi.

Siang tadi secara tidak sengaja saya mencari tulisan dari Imam Ja'far Shadiq yang kurang lebih sebagai berikut, "Bayangkan seseorang yang (mempunyai) tubuh sihat dan aqidah benar serta berada dalam kehidupan yang selesa, sementara orang lain menyiapkan keperluan hidupnya tanpa usaha dan amal. Apakah seorang yang berakal dengan nalurinya akan rela dan mahu menerima keadaan orang di atas yang tanpa usaha apapun memperoleh ganjaran dan pahala? Meraih pahala dan ganjaran merupakan sebuah kenikmatan tersendiri bagi orang yang bersalah."

Bertolak dari kalimat mulia tersebut saya cuba kaitkan dengan realiti di kehidupan kita. Misalnya saja kita kaitkan dengan para pelajar yang sedang menempuh ujian. Apa susahnya seorang guru atau penilai untuk memberikan nilai tinggi dan meluluskan semua siswanya. Hanya beri saja jawapan dan hasilnya pelajar akan lulus semua, walaupun tanpa belajar atau bahkan tidak perlu susah payah datang tiap hari untuk mengikuti pelajaran.

Bisa juga kita umpamakan dengan sebuah kejohanan sukan. Dalam pertandingan Piala Dunia misalnya, boleh saja setiap pasukan yang akan bertanding diberi saja piala. Mereka tidak perlu bersusah payah berlatih dan bertanding. Mereka hanya perlu membentuk pasukan dan kemudian pasukan tersebut akan mendapat piala secara percuma tanpa usaha dan bertanding untuk mendapatkan piala tersebut.

Dari kedua-dua contoh tersebut kita dapat menilai bahawa hasil ujian bagi pelajar ataupun piala bagi pasukan tersebut bukan hanya tidak bernilai, akan tetapi tidak akan ada kenikmatan dan kebanggaan saat menerima hasil ujian atau piala tersebut. Semua itu kerana dalam mendapatkannya tidak ada usaha yang perlu dilakukan.

Akan tetapi jika hasil kelulusan atau piala tersebut tidak diberikan kepada semua pelajar atau pasukan, mereka akan berjuang lebih keras lagi untuk meraih kejayaan. Seorang pelajar akan belajar lebih giat agar bisa lulus. Sebuah pasukan akan berlatih dan bertanding sebaik-baiknya untuk mendapatkan piala. Mereka akan terpacu dan percaya bahawa setiap ganjaran yang akan diterimanya seiring dengan usaha yang dilakukannya.

Mereka akan merasakan kenikmatan, kebanggaan, dan kebahagiaan saat menerima ganjaran tersebut. Seorang pelajar akan merasa puas bahawa hasil jerih payahnya dalam menuntut ilmu berbuah hasil baik dan kelulusan. Begitu juga sebuah pasukan akan merasakan indah yang luar biasa saat memenangi sebuah perlawanan yang semua itu diraih atas hasil kerja keras mereka.

Kembali kita kaitkan dengan kadar ketaatan manusia, Allah sudah berjanji bahawa balasan bagi hamba-Nya yang bertaqwa adalah syurga yang di dalamnya penuh dengan kenikmatan. Tapi bukan hanya di situ sahaja yang ingin Allah berikan pada hamba-Nya. Allah menginginkan hamba-Nya merasakan kenikmatan berlipat ganda pada hamba-Nya yang bertaqwa.

Syurga itu sendiri sudah nikmat, seperti kelulusan atau piala tadi. Tapi Allah masih menambah kenikmatan dengan memberikan kesempatan bagi kita untuk berlumba-lumba menggapai syurga tersebut. Dengan demikian jika kita menginginkan kenikmatan berlipat ganda di syurga-Nya, kita harus meraihnya dengan memperbanyakkan amal soleh.

Semoga setiap usaha yang kita lakukan diredhai Allah dan membawa kita pada kenikmatan yang berlipat-ganda di syurga nanti.

Amin Ya Robbal'alamin.

Saturday, June 14, 2014

Pentaksiran Tingkatan Tiga Bermula 1 Julai Ini

Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang menggantikan peperiksaan berpusat awam Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan bermula 1 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata ia dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai, di mana murid-murid perlu menyiapkan kerja kursus berdasarkan tajuk yang diberi dalam tempoh berkenaan.

Ujian lisan meliputi kemahiran mendengar dan bertutur bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula akan diadakan pada 6 hingga 29 Ogos.

Seterusnya, murid-murid terlibat akan menduduki ujian bertulis pada 12 hingga 17 Oktober bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Iban.

"Bagi tahun pertama, kita sedar ada pihak yang belum faham dengan sistem ini. Kita nak masukkan kemahiran berfikir yang lebih tinggi selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global.

"Sebab itu cara pelaksanaan di awal-awal ini agak berbeza tapi akan stabil beberapa tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Amal Bukit Damansara di Pusat Komuniti Bukit Damansara di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata menerusi PT3, pelajar terlibat akan dinilai mengikut Band iaitu Band Satu bagi pencapaian yang lemah sehingga Band Enam bagi pencapaian cemerlang.

Tahun 2014 merupakan tahun pertama pelaksanaan PT3 menggantikan peperiksaan PMR, selaras dengan pengenalan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjurus kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik. "Semua guru Tingkatan Tiga telah dilatih memandangkan kini mereka perlu mengajar secara berbeza.

Kita harap semua pihak khususnya ibu bapa tidak ragu-ragu dan beri peluang untuk sistem ini dilaksanakan," kata Muhyiddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi peringkat permulaan, Lembaga Peperiksaan Malaysia akan membantu pihak sekolah mengolah soalan peperiksaan dan seterusnya sekolah boleh memilih daripada bank soalan yang disediakan itu bagi menyediakan kertas peperiksaan.

Bagi mengelakkan timbulnya isu sekolah-sekolah mengambil kesempatan menaikkan prestasi masing-masing, Muhyiddin berkata guru-guru dan pemeriksa dari sekolah lain akan diminta menilai keputusan PT3 sesebuah sekolah supaya dapat diselaraskan.

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri sekali lagi menegaskan pelaksanaan PT3 adalah untuk melihat pencapaian pelajar sejak dari awal, dan membolehkan pelajar yang lemah dibantu untuk menjadi lebih cemerlang pada pentaksiran akhir.

"Ibu bapa juga boleh datang ke sekolah pada bila-bila masa untuk melihat pencapaian anak-anak," katanya.

Tambahnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Sarana PIBG telah dan akan terus memberi penjelasan kepada waris murid berhubung pelaksanaan PT3.



Friday, June 13, 2014

Renungan: Himpunan Hadis Nabi SAW Mengenai Keadaan Akhir Zaman

Dicatat Hadis-hadis Nabi SAW mengenai keadaan akhir zaman petanda kiamat untuk renungan bersama.

Orang Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka” (HR Muslim).

Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik
Daripada Anas r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW “Akan ada pada akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik ” (HR Ibnu Ady)
[Orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasik]

Menjual Agama Kerana Dunia
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada mereka “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung” (HR Tirmizi).

Pendusta Dan Pengkhianat
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (HR Ibnu Majah).

Kefasikan Berleluasa
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian pada keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia” (HR Muslim).

Penindasan Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya “Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Daud).

Namanya Saja Islam
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW “Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali ” (HR Al-Baihaqi).

Budaya Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?” Nabi SAW menjawab “Siapa lagi?” (HR Muslim).

Ulama Tidak Dipedulikan
Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab” (HR Ahmad).

Ulama Agama Semakin Berkurang
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah ditiadakan para ulama, orang banyak akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu ditanyakan, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain” (HR Muslim).

Golongan Anti Hadis
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis dari hadisku maka dia berkata “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya) “Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah).

Berbangga-Bangga Dengan Masjid
Dari Anas bin Malik r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid” (HR Abu Daud).

Tak Ada Imam Untuk Solat Berjemaah
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat mengimami mereka solat” (HR Ibnu Majah).

Penyakit Umat Islam Masa Kini
Daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab “Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim menzalimi” (HR Hakim).

Perangkap Riba
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena debunya” (HR Ibnu Majah).

Manusia Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah saw, “Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram” (Riwayat Muslim).

Banyaknya Sumber Galian
Daripada Ibnu Omar r.a. Beliau berkata “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari lombong (galian) mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah! Emas ini adalah hasil galian kita” Lalu Nabi SAW menjawab “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat ” (HR Baihaqi).

Khamar
Daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a. Katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum khamar dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Sambil diiringi dengan alunan muzik dan suara biduanita. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi” (HR Ibnu Majah).

Banyaknya Perzinaan
Dari Anas r.a. Beliau berkata “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah Hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan” (HR Bukhari Muslim).

Berpakaian Tetapi Telanjang
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda ”Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya belum pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol (belakang unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk syurga, malah tidak akan dapat mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu akan terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim).

Perilaku Manusia Masa Kini
Dari Aisyah r.a. Dia berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (HR Thabrani).

Anak Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah SAW ” Maka khabarkan kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu Nabi SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka Jibrail berkata “Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya” maka Nabi SAW menjawab “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan” (Riwayat Muslim).

Peperangan Demi Peperangan
Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya “Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Peperangan, peperangan, peperangan” Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah).

Perang Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata “Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu” Di dalam riwayat lain disebutkan “Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun dari harta tersebut” (HR Bukhari Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis ini sebenarnya petroleum].

Waktu Terasa Pendek
Daripada Anas bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi kiamat sehingga waktu terasa pendek, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu kilatan api” (HR Tirmizi).

Hilangnya Sifat Amanah
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. Katanya, …”Kemudian jadilah orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah, sehingga dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan “Alangkah tekunnya dia dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.” (HR Bukhari & Muslim).

Islam Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian, sehingga orang tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran akan hilang semuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini darinya walaupun hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah).

Bilakah Akan Terjadi Kehancuran?
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata “Pada suatu hari ketika Nabi SAW sedang berada dalam suatu majlis dan berbicara dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW “Bilakah akan terjadi hari Kiamat?” Nabi SAW terus saja berbicara. Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Nabi SAW) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disenanginya” Sementara yang lain berkata “Sesungguhnya beliau tidak mendengar pertanyaan itu” Sehingga apabila Nabi SAW selesai berbicara, beliau bersabda “Di mana orang yang bertanyakan mengenai hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut “Ya! Saya wahai Rasulullah” Maka Nabi SAW bersabda “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi SAW menjawab “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari Kiamat” (HR Bukhari).

Kebinasaan Umat Islam
Daripada Ummul Mukminin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau berkata,”(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud seperti ini”, dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak” (Riwayat Bukhari & Muslim).

Punca Kebinasaan Seseorang
Dari Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain. Maka apabila zaman itu telah tiba, segala sumber pendapatan tidak dapat diperoleh kecuali dengan melaksanakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Apabila ini telah terjadi, maka kebinasaan seseorang adalah disebabkan memenuhi kehendak isteri dan anak-anaknya. Kalau dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya disebabkan memenuhi kehendak kedua ibu bapanya. Dan jikalau ibu bapanya sudah tidak ada lagi, maka kebinasaannya disebabkan mengikuti kehendak keluarganya atau disebabkan mengikuti kehendak jiran tetangganya” Sahabat bertanya “Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud perkataan engkau itu?” Nabi SAW menjawab “Mereka akan menghinanya dengan kesempitan hidupnya. Maka ketika itu sesungguhnya dia telah menceburkan dirinya ke jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya” (HR Baihaqi).

Perselisihan Yang Banyak
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. Beliau berkata “Telah menasihati kami Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami” Lalu baginda pun bersabda “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Golongan Yang Selamat
Daripada ‘Auf bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua akan masuk neraka. Sahabat bertanya “Golongan mana yang selamat?” Nabi SAW menjawab “Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah).

Orang Asing
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Bersabda Rasulullah SAW “Islam mula berkembang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing” (HR Muslim).

Kepayahan Orang Yang Beriman
Daripada Anas r.a. Berkata Rasulullah SAW bersabda ”Akan datang pada manusia suatu zaman di mana orang yang berpegang teguh di antara mereka kepada agamanya laksana orang yang memegang bara api. (HR Tarmizi).

Kesusahan Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. Dan tidak ada di badannya kecuali hanya selembar selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya), dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Kaabah?” Maka jawab sahabat “Wahai Rasulullah, tentunya keadaan kami pada waktu itu lebih baik daripada keadaan kami pada hari ini. Kami akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada masalah ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi untuk mencari rezeki” Lalu Nabi SAW bersabda “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu” (HR Tirmizi).

Golongan Yang Sentiasa Menang
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Sentiasa di kalangan umatku ada golongan yang sentiasa menang (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah pada suatu waktu yang dikehendaki Allah SWT. Mereka senantiasa menang. (HR Bukhari).

 Subhanaallah.



- peribadirasulullah

Wednesday, June 11, 2014

Jadual Perlawanan Piala Dunia Waktu Malaysia

[Eksklusif]Jadual Perlawanan Piala Dunia Waktu Malaysia

World Cup 2014 akan bermula pada hari Khamis ini dengan perlawanan pembukaan di rasmikan pasukan tuan rumah, Brazil dengan menentang Crotia pada pukul 4.00 pagi waktu Malaysia.

Perlawanan World Cup 2014 ini akan di langsungkan pada waktu berikut:

  • 12.00 tengah malam
  •  3.00 pagi
  •  4.00 pagi
  •  6.00 pagi
  •  9.00 pagi
Kami di Stylo Sport ingin berkongsi jadual perlawanan kepada anda semua. Bagi yang ingin download, sila klik di sini World Cup 2014 Schedule atau World Cup 2014 Waktu Malaysia secara eksklusif!!

Bagi memudahkan semua peminat sukan bola sepak, Stylo Sport dengan bangganya telah menukar format jam World Cup mengikut waktu Malaysia seperti di bawah. So, sediakan mata anda pada waktu-waktu ini.



Monday, June 9, 2014

Tuisyen, Keperluan Atau Pembaziran?


Tuisyen: Satu Keperluan? Ya atau Tidak?

1) Mungkin YA:

Jika anak kita telah berusaha, iaitu:
- Telah bersedia sebelum kelas.
- Telah bagi tumpuan 100% dalam kelas.
- Telah buat ulangkaji selepas kelas.
- Telah usaha buat sendiri homework.
- Telah berusaha buat banyak latihan/latihtubi sendiri.
- Telah berusaha dapat bantuan guru.

Namun:
- Masih tak faham.
- Masih lemah subjek tertentu.
- Masih tak yakin boleh score A.

Rumusan:
- Dia telah berusaha bersungguh-sungguh.
- Dia serius target all / banyak "A".
- Dia yakin dengan EXTRA bantuan dari tiusyen dia berupaya capai targetnya.

Dalam Situasi Begini:
- Tuisyen MUNGKIN satu keperluan baginya


2) Seratus Peratus TIDAK

Mereka tidak perlu tuisyen, jika ada ciri berikut:
- Tidak pernah bersedia sebelum kelas.
- Tidak bagi tumpuan/main dalam kelas.
- Tidak ulangkaji selepas kelas.
- Tidak serius habiskan homework.
- Tidak ada target untuk semua/banyak "A"
- Tidak usaha dapat bantuan guru kelas
- Tidak jika di rumah asyik dengan smartphone.
- Tidak jika masa lapang hanya menghadap TV.
- Tidak jika balik tuisyen hanya relaks.
- Tidak jika ke tuisyen dan tak ke tuisyen prestasi akademik sama saja.

Anak ini jika pergi tiusyen:
- Buang duit mak bapak.
- Buang masa saja.
- Seronok berpeluang keluar rumah dan berpeluang gedik di luar rumah.


MAK AYAH...

Majoriti pelajar yang ke tuisyen bagi kategori Dua. Di sekolah pun bermain, di rumah pun tak studi dan di tempat tiusyen pun tak bersungguh-sungguh.

Bagaimana anak anda ?

Check.

- Usah lepas tangan didik anak.
- Jadi ibubapa bertanggungjawab.
- Usah hanya pandai buat anak.
- Kena pandai juga jaga anak.

Catatan:
Semua 10 orang anak saya (semua dah tamat sekolah) tidak pergi tuisyen (kecuali kelas tambahan anjuran sekolah). Mereka saya minta amalkan Strategi SATU - satu strategi yang saya perolehi setelah mengkaji amalan pelajar cemerlang negara (Malaysian Top Students) dan yang telah saya perincikan dalam seminar saya.

Catatan Tambahan:
Kalau ibu bapa izinkan anak kategori Dua ke tuisyen, apatah lagi lagi anak ada smartphone, ada pacar (lebih-lebih lagi seperti banyak pelajar sekolah kawasan desa yang ada motorsikal...) apakah ibubapa tahu mereka betul-betul ke tuisyen atau tidak. Kena kelentong lagi!

Namun kalau ibu bapa yang hantar dan ambil, tetapi mereka pergi bermain-main saja ditempat tuisyen (sesetengah berpacaran di tempat tuisyen)... ibu bapa jadi drebar sajalah! Kesian juga dikelentong anak!

FIKIR. RENUNG. KENA JADI IBUBAPA YANG BIJAK

Oleh: Dr. Shukri Abdullah


- mymediahub

Sunday, June 8, 2014

Prestasi Pelajar Lemah Sebabkan Jurang Ekonomi Di Malaysia


Pelajar yang menghadapi kesukaran untuk berprestasi baik di sekolah mungkin 
akan menjadi golongan kelas berpendapatan rendah dan akhirnya 
membesarkan lagi jurang sosio-ekonomi negara. 

 
Malaysia berada dalam keadaan bahaya kerana sejumlah besar golongan muda berdepan dengan kesukaran di sekolah dan tampak cenderung untuk menjadi golongan kurang bernasib baik dan kelas berpendapatan rendah sementara para guru terlalu mengejar markah tinggi, kata persatuan ibu bapa dan guru.

Mereka berkata, kumpulan ini akan meninggalkan sistem pendidikan dan hanya akan mempunyai sedikit harapan bagi mobiliti sosial dan menyumbang kepada jurang yang semakin meningkat antara golongan berada dan kurang berada di negara ini.

“Kerajaan mesti membetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi, kerana itulah yang sedang berlaku,” kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Muhammad Ali Hassan kepada The Malaysian Insider.

Muhammad Ali berkata, pelajar lemah kebiasaannya datang daripada keluarga berpendapatan rendah yang tidak mampu menghantar anak mereka ke kelas tuisyen dan menyediakan makanan berkhasiat kepada anak sedang membesar.

“Kita tidak seharusnya hanya melabur kepada yang cemerlang, tetapi juga kepada yang paling lemah. Mereka tidak boleh dipinggirkan kerana turut mempunyai potensi untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau mengulas tentang laporan The Malaysian Insider semalam tentang ramai pelajar sekolah menengah berprestasi rendah di sekolah-sekolah bermasalah di Malaysia yang  berada pada tahap purata dua hingga tiga tahun di belakang rakan sekelas mereka yang lebih baik.

Teach for Malaysia (TFM) yang merekrut golongan profesional muda dan graduan baru, mendapati selepas dua tahun bertugas sepenuh masa di sekolah-sekolah menengah bahawa kebanyakan pelajar yang ketinggalan gred ini datang daripada keluarga berpendapatan rendah.‎

Pada masa yang sama, para guru mereka tidak dapat memberikan mereka perhatian tambahan yang diperlukan disebabkan tekanan di luar bilik darjah seperti kerja-kerja pentadbiran dan arahan untuk melengkapkan sukatan pelajaran kelas.

Disebabkan tekanan untuk melengkapkan silibus pada akhir penggal sekolah, guru-guru kebiasaannya tidak mempunyai masa untuk memberi tumpuan kepada pelajar lemah untuk memahami sukatan pelajaran, kata TFM dan Teach for the Needs (TFTN) yang diwawancara.

Muhammad Ali mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan sekolah berasrama di kawasan bandar dan luar bandar khusus untuk pelajar daripada keluarga miskin, sama seperti sekolah berasrama yang disediakan untuk pelajar berprestasi tinggi.

Dibekalkan dengan guru terlatih dalam bidang kaunseling dan motivasi, sekolah seperti ini dapat menyediakan persekitaran yang membantu pelajar miskin untuk membesar berbanding di rumah mereka, katanya.

Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) bagaimanapun berkata, sesetengah sekolah meminggirkan ibu bapa pelajar berkaitan yang boleh membantu meningkatkan prestasi pelajar.

“Di sesetengah sekolah, ibu bapa hanya berpeluang bertemu guru setahun sekali semasa hari kad laporan. Jika ibu bapa menyertai PIBG, kita hanya dapat bertemu guru semasa mesyuarat tahunan.

“Tetapi ini tidak mencukupi. Perlu ada hubungan dua hala,” kata Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Rahim kepada The Malaysian Insider.

Menurut Noor Zaimah, terdapat salah faham di kalangan pentadbir sekolah yang merasakan lebih banyak penglibatan ibu bapa bermakna mereka akan mempunyai lebih banyak kerja.

“Tetapi jika kita bekerjasama, kita akan dapat tangani jurang (dalam pencapaian pelajar),” katanya.

Pengasas bersama TFM, Dzameer Dzulkifli berkata kebanyakan pentadbir sekolah bergantung kepada pelajar pintar untuk meningkatkan gred keseluruhan sekolah.

“Namun mengikut pengalaman kami, apabila kita bantu meningkatkan kemampuan pelajar yang corot, gred akan meningkat lebih tinggi.

“Apabila pelajar corot lain melihat pelajar corot bertambah baik, mereka juga akan bermotivasi untuk bekerja lebih keras.”


Friday, June 6, 2014

Renungan: Kisah Budak Penjual Kuih

Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? " - ar-rahman

 

- Harakahdaily

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi