Thursday, August 25, 2022

BENGKEL PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU BESAR

 

Alhamdulillah hari ini selesai saya dan rakan-rakan Guru Besar dari daerah Kuala Terengganu menghadiri Bengkel Peningkatan Profesionalisme Guru Besar Daerah Kuala Terengganu yang dijalankan selama 2 hari bermula 24 hingga 25 Ogos 2022.

 

Bengkel tersebut telah  dijalankan di Dewan SMK Sultan Sulaiman dengan kerjasama Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands, dimana pensyarahnya adalah;

1.     Pn. Rohani binti Sadan (Ketua Jabatan Pembangunan Profesional Berterusan)

2.     En. Mohd Zaidi bin Basir  (Pensyarah Kanan)

3.     Pn. Nurfatimah binti Awangda (Pensyarah Kanan)

4.     Sapinah binti Zakaria  (Pensyarah Kanan)

Selamat datang ke Negeri Terengganu;, Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Baik-baik dan terima kasih diucapkan di atas perkongsian ilmu yang diberikan.

 

Sudah lama, saya tidak membuat coretan atau sebarang `posting’ diblog ini. Dikesempatan ini, saya ingin berkongsi pandangan dan buah fikiran dengan mengaitkan konsep SekolahKu Sejahtera dalam penampilan dan kemenjadian seorang pemimpin sekolah atau pemimpin dalam sesebuah organisasi.

 

Seperti yang kita sedia maklum 14 elemen dalam SekolahKu Sejahtera, saya cuba kait dan terapkan dalam diri seseorang pemimpin iaitu;

 

S – sihat, seronok, selamat

Sebagai seorang pemimpin sudah pasti perlu menjaga kesihatan dan sihat untuk membolehkan kita mengurus organisasi dengan baik dan lancar. Keberadaan kita di sekolah atau organisasi perlu menimbulkan rasa seronok dan selamat  dengan erti kata lain mempunyai hubungan baik dalam kalangan warga organisasi kita.

 

E – etika, empati

Seorang pemimpin perlu mempunyai etika yang tinggi sebagai seorang penjawat awam yang boleh diikuti oleh warga organisasi dan perlu ada rasa empati dan kecaknaan bagi membangkitkan rasa hormat dikalangan warga organisasi yang dipimpin.

 

J – jati diri

Tonjolkan jati diri sebagai penjawat awam yang baik dan menjadi contoh kepada warga organisasi yang dipimpin atau menjadi sanjungan pihak luar,

 

A – adab sopan

Adap sopan perlu diberi perhatian supaya warga organisasi yang dipimpin  atau orang yang berhubungan  dengan kita, rasa diri mereka dihormati dan dihargai.

 

H – Harmoni

Pemimpin perlu wujudkan suasana dan emosi harmoni dalam warga organisasi yang dipimpin supaya warga atau pihak luar rasa selesa berada bersama kita atau berurusan dengan organisasi yang kita pimpin

 

T – tekun, teliti, terampil

Seorang pemimpin yang baik sudah pasti mempunyai ketekunan yang tinggi dalam mengurus pengoperasian organisasi serta tidak mudah kecewa atau putus asa dalam menghadapi sesuatu kesulitan. Ketelitian dan keterampilan perlu diberi keutamaan supaya organisasi yang dipimpin bergerak mengikut lunas-lunas yang betul.

 

E – eksplorasi

Eksplorasi perlu diberi perhatian supaya organisasi yang dipimpin terus cemerlang dan dapat bersaing dengan organisasi lain. Di sini sebagai seorang pemimpin perlu berani dan kreatif bagi membuat perubahan kearah kemajuan organisasi yang dipimpin.

 

R – rasional

Ibarat mengukur baju di badan sendiri, segala tindakan dan keputusan yang diambil perlu rasional mengikut nilai, pengetahuan, persekitaran dan budaya organisasi yang dipimpin. Ia juga dapat menghindarkan rasa `stress’ dalam kalangan warga organisasi sekiranya segala tindakan dan keputusan yang rasional dapat dibuat.

 

A – artikulasi

Pemimpin perlu mempunyai daya pemikiran yang baik dan dapat  membuat keputusan dengan baik dan berkesan. Komunikasi yang berkesan, hujahan yang baik dapat mengangkat martabat seseorang pemimpin. Justeru, pemimpin perlu mendalami ilmu bagi mengikuti sebarang arus perubahan dalam mencemerlangkan organisasi.

 

Semoga perkongsian ini memberi manafaat buat seluruh pemimpin organisasi.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi