Friday, December 31, 2010

Sunday, December 26, 2010

Dasar 1M1S hanya untuk murid sihat

PUTRAJAYA 14 Dis. - Kementerian Pelajaran mengingatkan pihak pentadbir sekolah bahawa pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) mulai tahun depan adalah dikhususkan untuk murid yang tidak mempunyai masalah kesihatan.


Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, semua murid termasuk yang berkeperluan khas wajib didaftarkan untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan.


''Selain itu, pihak sekolah hendaklah membuat perancangan bagi pengurusan aktiviti sukan secara sistematik supaya dapat meningkatkan penyertaan dan membantu dalam perkembangan potensi setiap murid dalam sukan.


''Pihak sekolah hendaklah mengoptimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada di sekolah atau kawasan persekitaran dengan mengutamakan keselamatan murid," katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu surat pekeliling yang dipetik dari laman web rasmi kementerian di sini, hari ini.


Pada 17 Mac lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan Sekolah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan bahawa Dasar 1M1S akan dilaksanakan mulai tahun depan di semua sekolah kementerian.


Dasar itu diwajibkan untuk tahun empat hingga tahun enam di sekolah rendah dan peralihan, tingkatan satu hingga tingkatan enam di sekolah menengah.


Abdul Ghafar memberitahu, pihak sekolah digalakkan untuk mewujudkan rangkaian kerjasama dengan agensi atau pihak luar bagi program pembangunan sukan di sekolah masing-masing.


''Pihak sekolah hendaklah memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun berdasarkan aktiviti rumah sukan dan kelab sukan," katanya.


Beliau berkata, buat masa ini, sistem penilaian bagi penyertaan murid itu adalah berdasarkan kepada sistem sedia ada yang berasaskan kehadiran, jawatan serta sumbangan, penglibatan dan pencapaian.


''Perubahan pada sistem penilaian sedia ada akan berkuatkuasa dengan murid tahun empat dan tingkatan satu mulai tahun 2012," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

PROGRAM-PROGRAM SEKOLAH DI SELURUH NEGARA

PERBEZAAN UTAMA ANTARA PROGRAM-PROGRAM SEKOLAH
DI SELURUH NEGARA


* Sila klik pada gambar di atas untuk kelihatan lebih jelas.

Sumber: Mingguan Malaysia-26 Dis. 2010

Wednesday, December 22, 2010

PENGIKTIRAFAN IJAZAH OUM (UNITEM)

PENGIKTIRAFAN IJAZAH SARJANA MUDA PENGAJARAN DENGAN KEPUJIAN DARI UNIVERSITI TERBUKA MALAYSIA (UNITEM)

Adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan telah mengiktiraf Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Pra Sekolah) dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) dengan Kepujian dari UNITEM. Sehubungan itu, bagi calon yang telah memohon, permohonan tuan/puan tidak dibatalkan. Permohonan adalah lengkap dari sudut Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 mulai Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan pengiktirafan kelayakan ijazah berkenaan pada 29 November 2010.

Sumber: Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran

Monday, December 13, 2010

DUA GURU SATU KELAS

Syor Dikemukakan Jawatankuasa Khas Tangani Peningkatan

Beban Tugas Pendidik


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran merancang menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.


Cadangan itu adalah antara 28 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.


Dalam laporannya, jawatankuasa itu mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada peningkatan beban tugas guru, termasuk penyertaan dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.


Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata satu pelan operasi latihan juga sedang dibangunkan untuk dilaksanakan tahun depan bagi mengurangkan kekerapan guru meninggalkan kelas untuk berkursus.


Malah, katanya, antara perakuan yang sudah diambil tindakan ialah memohon agensi Pusat menempatkan 100 jawatan pembantu tadbir N17 melalui urusan pindah butiran perjawatan di 50 sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1,500 murid untuk mengurangkan tugas perkeranian yang terpaksa dilakukan guru.


Beliau berkata, semua perakuan itu dikemukakan selepas isu beban tugas guru dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.


Katanya, jawatankuasa itu dalam laporannya turut mendedahkan ada guru memegang dan melaksanakan sehingga 30 tugasan di sekolah serta peringkat daerah dan negeri.


Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa pelaksanaan ditubuhkan dan akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menyemak status pelaksanaan semua perakuan yang kemukakan jawatankuasa berkenaan.


Mengenai aduan aktiviti sekolah pada Sabtu, Mohd Puad berkata, pekeliling sudah dikeluarkan dengan membenarkan hanya dua Sabtu dalam sebulan dibenarkan aktiviti sekolah dan kegagalan mematuhinya perlu dilaporkan kepada kementerian.


Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jawatankuasa berkenaan turut memaklumkan kepada pihaknya berhubung kajian yang dilakukan di beberapa sekolah di Johor dan Melaka, termasuk cadangan mengurangkan peperiksaan dan ujian yang diganti dengan penilaian.


“NUTP difahamkan mulai Januari depan, penilaian itu akan diamalkan setiap bulan yang menjurus kepada ujian pendek dengan soalan disediakan guru.


“Ini bermakna beban guru semakin bertambah lagi dan tiada pengurangan, kita berharap kerajaan akan mengkaji semula perkara ini,” katanya.


Sumber: Berita Harian

Monday, December 6, 2010

DOA AKHIR DAN AWAL TAHUN HIJRAH

SALAM MAAL HIJRAH 1432
1 Muharam 1432

Doa Akhir Tahun

Doa akhir tahun dibaca tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:


“Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”.



Doa Awal Tahun

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata;


" Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".



Doa Akhir dan Awal Tahun di atas boleh dimuat turun di sini.

Sumber: JAKIM

Saturday, December 4, 2010

Friday, December 3, 2010

Kunci Kepimpinan Sekolah Yang Berkesan


Menyoroti pengalaman saya sebagai guru bermula 1989, sehingga kini seramai 9 orang  guru besar (4 buah sekolah) yang pernah saya berada di bawah pentadbiran mereka dengan pelbagai ragam gaya kepimpinan ditonjolkan. Melalui pemerhatian dan komunikasi dengan mereka, berbagai pengalaman dan pengajaran yang boleh saya kutip untuk dijadi ikutan dan juga sempadan. Ada yang bersikap positif dengan ciri kepimpinan yang baik dan ada sebaliknya.

Justeru itu dapat dititipkan di sini sebagai perkongsian, kunci untuk seseorang itu menjadi pemimpin yang berkesan bolehlah merujuk kepada aspek berikut:

1. Mentaliti
  • Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
  • Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.
  •  Mempunyai inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain datang kepadanya minta bertindak.
  • Mempunyai kreativiti sendiri, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam organisasi.

2. Kemasyarakatan
  • Kesediaan memberi dan menerima pendapat. 
  • Sikap positif dan terbuka.
  • Daya penggerak dan semangat juang yang kuat
  •  Kebolehan berkomunikasi secara berkesan.

3. Moraliti
  • Mempunyai disiplin diri yang unggul.
  • Kebersihan jiwa terutamanya dari segi keadilan, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan pendirian dan ketahanan diri.
  • Iman yang teguh, terutama orang yang beragama Islam.

Pemimpin memerlukan juga sikap tertentu untuk mempengaruhi orang lain. Perkara yang paling penting ialah pemimpin harus mempunyai pengertian dan tanggapan yang tajam terhadap individu-individu yang saling berurusan dengannya. Seorang pemimpin juga harus mempunyai:
  • Empati - iaitu kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati.
  • Kesedaran - akan kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri. Sedar tentang bagaimanakah dirinya dianggap oleh orang lain. Hanya apabila ini berlaku maka barulah kepercayaan kebolehan dirinya akan timbul.
  • Kebolehan - untuk melihat secara objektif akan masalah-masalah dan tingkah laku anggota-anggota lain. Pemimpin harus bersikap adil boleh memberi analisa yang adil dan tidak emosional.
  
Selain itu, sekiranya seseorang itu ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima sebagai baik:
  • Harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman.
  • Mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya.
  • Berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus.
  • Mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pemimpin yang baik juga tidak berkasar dengan orang-orang bawahannya.
  • Pandai mengurus masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana saja dia berada.
  • Tahu dan mahu berbincang dengan orang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti bukan hanya pandai mengeluarkan arahan saja.
  • Mempunyai banyak pengetahuan (boleh dikutip melalui pembacaan/ perkongsian bicara) dan pengalaman mengenai tugas dan tingkahlaku manusia.
  • Pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.
  • Tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.

Tidak dinafikan dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai ragam manusia; ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.

Seseorang pemimpin juga boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan, “ibarat motosikar, walaupun hebat mana jenamanya tapi jika tidak digunakan tentu ia tidak membawa erti dan apabila hendak dihidupkan tentu sukar jadinya”

Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa; secara formal melalui jawatan dan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan, iaitu penerimaan orang-orang bawahan.

Semoga titpan ini dapat memberi manfaat untuk dikutip pengajarannya.
 

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi