Tuesday, May 29, 2012

Lepasan SPM Boleh Ke IPT Berdasarkan Pengalaman Kerja


TEMERLOH, 28 Mei (Bernama) -- Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi berdasarkan pengalaman kerja atau perniagaan masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata peluang berkenaan adalah selaras dengan agenda kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Kerajaan akan mewujudkan satu kaedah kelulusan baharu dengan mengambil kira pengalaman kerjaya serta perniagaan seseorang lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi termasuk di universiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 pelajar cemerlang SPM yang mengikuti Program Empower di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini, Isnin.

Saifuddin menjelaskan pendekatan baharu itu diharap dapat melahirkan tenaga kerja mahir setanding dengan status negara maju dan seterusnya mampu menjayakan agenda rakyat berpendapatan tinggi.

-- BERNAMA

Friday, May 25, 2012

Kejahilan Mereka Aset Kita


Mungkin ramai diantara kita yang merasai menjadi muslim kerana faktor keturunan. Namun pernahkah kita terfikir adakah kita mengamalkan cara hidup islam? Adakah kita selalu bermuhasabah dan bertanya pada diri kita sendiri “Adakah aku seorang individu muslim yang baik?” Tapi pasti ramai diantara kita lebih memilih untuk terus khayal dengan cinta manusia yang merosakkan, atau kita lebih memilih untuk berfikir soal hidup daripada mati. Akhirnya kita menjadi manusia yang jauh dari Ilmu Allah dan tersungkur di lembah kejahilan yang penuh nista. Persoalannya kini, siapakah yang akan menyelamatkan mereka yang hidup dalam dunia bergelumang dosa dan jahil tentang hakikat kehidupan di dunia ini?

Firman Allah:
“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz -Dzariyat, 56)

Hidup ini sebuah perjuangan, dan perjuangan untuk membebaskan saudara seislam kita dari kejahilan merupakan satu jihad yang sangat mulia. Adakah Allah anugerahkan ilmu kepada insan-insan yang fakeh tentang islam hanya bertujuan untuk mengauli “kaki-kaki masjid dan surau”? Adakah ilmu Allah ini terpilih kepada mereka yang mahukan islam ? Ilmu Allah itu tiada batasnya. Menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim yang Allah kurniakan sedikit ilmu untuk mendekati golongan-golongan jahil ini.

Firman Allah:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Surah Fussilat : 33)

Wahai para daei, adakah dakwah itu hanya semata-mata kalian mengajak mereka yang hanya mahukan islam dan tidak menyantuni mereka yang jauh dari Islam? Adakah ilmu kamu terlalu suci sehingga kamu merasakan terhina apabila berkongsi ilmu dengan penjahil-penjahil ini ? Kenapa kalian tinggalkan penjahil-penjahil ini jauh di belakang? Mengapa apabila kalian melintasi mereka hanya pandangan sinis yang kalian lontarkan? Adakah penjahil-penjahil ini tiada nilai di sisi Allah? Muhasabah wahai para daei, mujahid dan mujahiddah. Tegar kamu membiarkan saudaramu sedemikian rupa? Terlalu hinakah mereka? Adakah uslub dakwah yang kalian gunakan hanya semata-mata untuk insan yang kalian sangka baik? Jika kamu berfikir sedemikian rupa, betapa kita kini mempunyai para daei yang tiada jiwa ummah.

Percayalah, setiap insan yang Allah ciptakan itu punya nilai disisi Allah “Kejahilan Mereka adalah Aset Kita”.

- Ismi Asraf

Sunday, May 20, 2012

SEKOLAH VOKASIONAL AKAN JADI KOLEJ VOKASIONAL PADA 2015

NILAI, 19 Mei (Bernama) -- Semua sekolah vokasional di negara ini dijangka dapat dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2015, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya pada masa ini sebanyak 15 sekolah vokasional yang mewakili setiap negeri telah dinaik taraf kepada status itu, dan bertindak sebagai program rintis yang bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan.

"Secara keseluruhannya penaiktarafan ini akan memberi tumpuan kepada kemahiran, pelajar tidak perlu memakai pakaian sekolah dan kita ubah persekitarannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival dan Ekspo Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA, di sini Sabtu.

Kurikulum vokasional juga akan dirombak secara komprehensif agar mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan beberapa kursus baharu seperti kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar, katanya.

Katanya pelajar akan mengikuti kursus selama lapan semester, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian Sumber Manusia.

-- BERNAMA

Friday, May 18, 2012

Mereka bukan umat yang membaca...

Budaya yang belum wujud di Malaysia

Terlalu sedikit di kalangan umat kini yang giat membaca. Daripada sedikit yang membaca itu, terlalu sedikit pula yang memahaminya. Daripada sedikit yang memahami ini, lebih sedikit lagi yang beramal dengannya. Inilah realiti sebenar umat Islam masa kini biarpun ianya adalah sebuah realiti yang pahit untuk ditelan kita semua.

Umat Islam kini dilemaskan dengan kehidupan yang melalaikan serta hiburan yang tidak mendidik jiwa sehingga minda dan intelektual yang merupakan senjata ampuh umat ini telah semakin tumpul untuk digunakan bagi membangunkan diri, keluarga dan telah menyebabkan umat kini semakin ketinggalan di arus kehidupan yang deras ini.

Tahukah anda, berapa buah buku yang dibaca oleh rakyat negara lain jika dibandingkan dengan masyarakat kita dalam setahun ?
  • Jepun – 40 buah buku setahun
  • Eropah – 10 buah buku setahun
  • Arab – 20 muka surat setahun
  • Malaysia – 2 muka surat setahun

Nah, sebab itulah seorang tokoh Yahudi pernah berkata bahawa,”Kita tidak perlu takut dengan orang Islam kerana mereka bukanlah umat yang membaca.”

Membaca adalah suatu keperluan yang diibaratkan sebagai oksigen kepada sistem pernafasan kepada kehidupan umat Islam. Ia adalah satu keperluan dan tuntutan kepada umat ini bagi membangunkan kembali umat ini yang telah lama terleka.

Wahyu yang pertama dengan roh iqra’ umat terdahulu mesti dibangunkan dan dengan roh itu jugalah umat Islam kini akan dibangunkan untuk kali keduanya.

Apakah rahsia kepada kejayaan umat kini ? Rahsianya ialah pada membaca dan terus membaca, belajar dan terus belajar, beramal dan terus beramal.

Harga atau nilai kehidupan yang sebenar bagi kita dan umat ini secara keseluruhannya hanyalah dengan kehidupan yang berpaksikan bimbingan al Qur’an dan bukan bersumberkan kepada nafsu atau aqal semata-mata.

Apakah kaedah yang boleh menyuburkan minat membaca?
  1. Berniat membaca kerana Allah akan menghasilkan pahala yang banyak, dapat menguasai ilmu dan berpeluang untuk menyampaikannya kepada yang lain.
  2. Merancang bacaan samada bahan yang di baca dan bersesuaian dengan target pembacanya
  3. Mengatur hidup yang berjadual serta menetapkan waktu yang sesuai untuk terus konsisten membaca dan meneruskan pembacaan serius secara bertahap agar tidak hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’.
  4. Sediakan perbelanjaan bulanan untuk buku-buku dan biasakan membawa anak-anak seisi keluarga menyertai pameran-pameran atau ke kedai-kedai buku secara berkala.
  5. Memberi penumpuan untuk membaca dan mengujudkan suasana sekeliling yang kondusif untuk berlumba-lumba membaca
  6. Mencatatkan isi-isi penting daripada bahan yang dibaca agar lekat dalam ingatan dan boleh dikongsikan
  7. Buat perpustakaan mini di rumah untuk diri dan anak-anak yang diatur kemas setiap masa.
  8. Sampaikan apa yang dibaca di laman sosial seperti facebook dan blog, bercerita kepada kawan-kawan atau ahli keluarga atau memberi tazkiran bila berpeluang
  9. Bantu sahabat dan kenalan anda dengan ‘membudayakan hidup membaca’ dengan saling memotivasikan di antara satu sama lain atau boleh juga diwujudkan kelab membaca.
  10. Dekatilah para ulama dan galilah ilmu daripada ilmuan ini serta mencontohi kehidupan mereka yang menjadikan al Quran sebagai pembimbingnya.

Marilah kita ingati firman Allah swt yang bermaksud, “Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula orang-orang yang dikurniakan ilmu beberapa darjat.” (Surah al Mujadalah ayat 11).

Oleh: Dr Zainur Rashid Zainuddin

Thursday, May 17, 2012

Omar Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012

KUALA KANGSAR 16 Mei - Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Omar Mohd. Hashim dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012, manakala empat lagi warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2012 sempena sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 di sini hari ini.

Penerima Tokoh Guru Kebangsaan 2012 ialah bekas Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib; Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Datuk Mary Yap Kain Ching; bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Pulai, Kluang, Johor, Mohd. Azman Abdul Rashid dan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2010, Lim Ai Lee @ Lim Irene.

Pada sambutan tahun ini, satu anugerah baru turut diperkenalkan iaitu Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 dan ia menjadi milik pengasas Sekolah Kadir Adabi dan sekolah Wadi Sofia, Datuk Hassan Harun.

Mereka semua menerima sebutir pingat emas, plak, sijil dan wang tunai sebanyak RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

– UTUSAN

Guru Perlu Berinovasi, Kreatif Dalam Mendidik Generasi Y & Z


KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Saban tahun, 16 Mei tetap dan akan terus dirai sebagai Hari Guru meskipun dunia pendidikan semakin berubah, menjadikan cabaran yang dihadapi guru kini lebih hebat, sekaligus menuntut pendekatan inovasi serta kreativiti bagi melaksanakan tugas mendidik generasi Y dan Z.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Malaysia Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata guru perlu bijak memanfaatkan teknologi terkini, khususnya teknologi maklumat bagi mendekati pelajar.

"Guru perlu memanfaatkan media sosial seperti Facebook atau Twitter dan mengunakan media itu sebagai alternatif untuk menyampaikan bahan pembelajaran di samping mendekati dan memahami pelajar mereka," katanya ketika dihubungi Bernama sempena sambutan Hari Guru.

Generasi Y merujuk kepada kelompok yang lahir antara 1977 dan 1997 manakala generasi Z lahir antara 1998 hingga sekarang.

Meskipun perubahan pendekatan itu perlu, beliau berkata guru jangan sesekali melupakan cara lama seperti sentiasa mendekati pelajar secara bersemuka selain mengenali serta bermesra dengan keluarga pelajar mereka.

– BERNAMA

Wednesday, May 16, 2012

J/Kuasa kerja tangani isu bebas guru


KUALA KANGSAR 16 Mei - Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, antara langkah yang dilaksanakan Jawatankuasa Kerja itu adalah memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.

"Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringkat kebangsaan ke-41 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian turut menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 hingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.

"Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi peluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah kementerian," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah.

Oleh itu, katanya, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan.

"Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasa mulai 2013, di mana semua ujian akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Katanya, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugasan dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah.

Beliau berkata, kualiti guru perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik serta sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan cekap.

"Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu," katanya. – BERNAMA

Tuesday, May 15, 2012

Friday, May 11, 2012

HARGAI PENGORBANAN, DOAKAN KESEJAHTERAAN WARGA PENDIDIK


Jasa bimbing pelajar jadi insan berguna tidak ternilai

KECEMERLANGAN hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari daripada sumbangan dan pengorbanan ibu bapa, keluarga, rakan dan guru. Sumbangan dan pengorbanan itu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan guru membimbing ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Tarikh 16 Mei setiap tahun amat bermakna bagi warga guru yang pasti diingati, dihargai dan diraikan. Tidak kiralah siapapun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu dicurahkan, bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita.

Merekalah yang mengajar membaca, menulis dan mengira supaya kita menjadi insan berilmu. Oleh itu, adalah wajar kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat serta negara.

Berdasarkan sumbangan guru, maka tema sambutan Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Inovatif Melonjakkan TransformasiPendidikan Negara’.

Guru Inovatif mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru dalam bentuk sumber atau kaedah sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda lebih dinamik.

Atas dasar itu, guru harus menggarap elemen inovasi dalam melonjak transformasi pendidikan negara, dengan menerapkan idea serta kepakaran sebagai proses pengajaran dan pembelajaran supaya sumber ilmu disebarkan secara paling kreatif.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal.” (Surah Ali-Imran, ayat 190)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini mengandungi perintah Allah supaya manusia menggunakan akal dan fikiran untuk melakukan penelitian serta penyelidikan terhadap dalil kekuasaan Allah. Budaya mengkaji dan bermuhasabah ini diharapkan mampu menjana guru berinovasi.

Usaha melahirkan modal insan beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha mudah yang boleh dipandang remeh. Usaha itu memerlukan ilmu dan kemahiran tinggi. Guru berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat serta perasaan jemu memastikan anak didiknya menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Guru berperanan sebagai ejen perubahan berganding dengan ulama dan umara menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan guru, lahirlah mereka yang berjaya dan tersohor.

Guru membangun minda anak dengan ilmu fardu ain, fardu kifayah, ilmu kehidupan termasuklah sains dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah membentuk akhlak terpuji supaya pelajar bukan saja hebat intelek malah beradab dan berintegriti.

Itulah matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertepatan dengan maksud hadis Nabi SAW: “Apabila seorang anak Nabi Adam meninggal dunia maka terputuslah (pahala) amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan (rahmat dan keampunan) untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)

Suasana harmoni dan hubungan mesra antara guru, ibu bapa dan masyarakat perlu diperkukuhkan demi melicinkan proses pendidikan. Janganlah diperbesar atau disensasikan isu remeh-temeh, sebaliknya setiap isu diselesaikan secara bijaksana.

Budayakan amalan perundingan seperti tuntutan Islam bagi mengelak timbulnya pelbagai kesan tidak diingini kepada semua pihak.

Jasa guru perlu dihargai dengan cara mendoakan kebahagiaan mereka sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturahim, menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan kepada institusi pendidikan.

Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru. Ucapkan terima kasih kepada guru dan semua insan yang pernah menabur bakti kepada kita.

-  KHUTBAH JUMAAT

'i-Hadir' KESAN PELAJAR PONTENG


KOTA BHARU: Jabatan Pelajaran Kelantan menjadi perintis mengguna perisian yang dikenali sebagai 'i-Hadir' bagi mengenal pasti kehadiran pelajar ke sekolah dan mengesan pelajar ponteng.

Inovasi baru yang diperkenalkan oleh Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Kelantan itu boleh diakses bila-bila masa serta memudahkan pihak sekolah dan ibu bapa mengetahui kedatangan anak mereka ke sekolah.
Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata, i-Hadir adalah aplikasi mudah, cepat dan tepat, dengan pihak sekolah akan memasukkan rekod kedatangan harian murid ke dalam komputer yang dilengkapi perisian berkenaan.
Pada masa sama, katanya, data itu boleh dipantau oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) walaupun berada di tempat lain.

“Sekiranya ada pelajar yang kerap tidak hadir, pihak JPN akan merujuk semula kepada pihak sekolah berhubung tindakan yang diambil.

“Secara tak langsung, aplikasi ini akan menjadi penghubung antara pihak sekolah dan PPD seterusnya JPN,” katanya pada majlis pelancaran i-Hadir pada perhimpunan ‘Bulanan Jabatan Pelajaran Kelantan di Dewan Bestari, Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Kelantan, Rosnah Wan Ibrahim.
Perisian yang mula diguna dua bulan lalu itu adalah program perintis, dilihat mampu mengesan kehadiran pelajar ke sekolah dan pada masa sama dapat mengurangkan masalah ponteng membabitkan pelajar sekolah bandar dan luar Bandar.

 - BERITA HARIAN

Wednesday, May 9, 2012

DOA-DOA BELAJAR-MENGHADAPI PEPERIKSAAN


Buat pelajar-pelajar yang bertungkus lumus belajar untuk mencapai kejayaan, di sini dimuatkan beberapa doa untuk diamalkan. Insyaallah dengan usaha dan keikhlasan dalam mengulangkaji pelajaran, berdoalah kepada Allah semoga kita mendapat kerahmatan dan tercapai segala usaha yang dilakukan.

Antara doa-doa yang dimuatkan adalah:
  • Doa agar dikurniakan kefahaman yang baik dan ingatan yang sempurna sewaktu menelaah mata pelajaran.
  • Doa sebelum masuk kelas/dewan peperiksaan.
  • Doa sewaktu lupa semasa menjawab soalan.
  • Doa memohon kejayaan cemerlang - dibaca sebelum tidur setiap hari sehinggalah keputusan peperiksaan diumumkan.
Klik di sini: DOA-DOA MENGHADAPI PEPERIKSAAN untuk dimuat turun

Sunday, May 6, 2012

LAWATAN PPD KE SKU SUSULAN KEJADIAN RIBUT



SK UNDANG – Hari ini Ahad 6 Mei 2012, SK Undang (SKU) telah dilawati oleh Pegawai Bahagian Pembangunan Pejabat Pelajaran Daerah K.Terenngganu bersama kontraktor bagi memantau kerosakan susulan kejadian ribut yang melanda SKU.

Walaupun hari ini merupakan hari cuti umum, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada pihak berkenaan di atas keperihatinan dan kesanggupan meninjau keadaan SKU. Semoga kerosakan yang dihadapi dapat diperbaiki dengan segera bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti sediakala.

Saturday, May 5, 2012

SK UNDANG DILANDA RIBUT


SK Undang - Keadaan SK Undang yang dilanda ribut pada petang Jumaat  iaitu 4 Mei 2012. Diharap ia mendapat perhatian segera oleh pihak yang berkaitan bagi menggelakkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak tergendala dan dapat berjalan dalam keadaan selesa.






Lain-lain gambar kejadian boleh dilihat dalam  Album SK Undang atau klik di sini: ALBUM SK UNDANG

 

SEKOLAH DAN PPD DIBERI LEBIH KUASA AUTONOMI


MUAR, 4 Mei (Bernama) -- Sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara berkemungkinan diberi lebih banyak kuasa autonomi bagi membolehkan usaha meningkatkan akedemik yang lebih tepat dilakukan bersesuaian mengikut sekolah masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini merupakan antara langkah kementerian itu untuk menjadikan hala tuju pendidikan di negara ini lebih mantap setanding dengan negara maju.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata autonomi peringkat sekolah dan daerah dinyatakan buat kali pertama bukanlah kerana Kementerian Pelajaran mahu melepaskan tanggungjawab, sebaliknya menyedari wujudnya keadaan yang berbeza antara satu daerah dan daerah lain. Perbezaan itu, katanya bukan sahaja dari segi keluasan kawasan dan saiz tetapi juga isu serta masalah disebabkan eko-sistem yang tidak serupa.

"Jadi ia perlukan satu pendekatan dan cara untuk tangani untuk menentukan sekolah di kawasan itu dapat mencapai tahap kecemerlangan yang kita hendak miliki," katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra Warga Pendidik dan Perasmian Bangunan PPD Muar di sini.

Muhyiddin berkata dengan langkah itu, PPD boleh bertanggungjawab dan mengambil langkah penambaikan secepat mungkin sekiranya timbul sebarang masalah di sekolah itu.

Malah, katanya bagi keadaan di sesetengah negeri seperti Sabah dan Sarawak, PPD akan menjadi organisasi yang lebih penting untuk menentukan apa sahaja dasar yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan, dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Katanya jika perkara itu dapat dilaksanakan, maka keadaan di sekolah sama ada dari segi pentadbiran mahupun akedemik akan bertambah baik.

-- BERNAMA

Wednesday, May 2, 2012

TAWARAN JAWATAN GURU DAN PENSYARAH CEMERLANG

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama)-- Kementerian Pelajaran menawarkan pengisian jawatan Guru Cemerlang dan Pensyarah Cemerlang secara khas untuk penyandang (KUP) tahun 2012.

Tawaran pensyarah cemerlang terbuka kepada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran yang berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB), Kolej Matrikulasi (KM) dan English Language Teaching Centre (ELTC) manakala tawaran guru cemerlang pula terbuka kepada semua guru sekolah.

Menurut kenyataan kementerian itu pada Rabu, gred jawatan yang ditawarkan pada guru sekolah adalah gred DGA32, DGA34, DGA38, DG44, DG48, DG52, DG54 dan Khas C.

Sementara itu pensyarah IPG dan IAB membabitkan gred DG48, DG52, DG54, Khas C, gred bagi pensyarah KM ialah DG48, DG52, DG54 manakala gred yang ditawarkan pada pensyarah ELTC adalah DG44, DG48, DG52 dan DG54.

"Borang permohonan serta maklumat lanjut boleh didapati dari semua Pejabat Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK), bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah serta menerusi laman web http://www.moe.gov.my/jnjk atau http://www.moe.gov.my ," menurut kenyataan itu.

Tarikh tutup permohonan 25 Mei. Permohonan dari sekolah perlu melalui Pengetua/Guru Besar sekolah masing-masing, manakala permohonan dari IAB, KM, ELTC dan IGP adalah melalui Pengarah institusi masing-masing.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi