Saturday, March 31, 2012

KADAR KENAIKAN GAJI SSM 2012


Pekeliling perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan sebagaimana diumumkan pada 8 Mac 2012 mengenai kenaikan gaji sebanyak 13% berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) antara RM80.00 hingga RM320.00 kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana. Bagi pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi, kenaikan gaji diberi sebanyak 7% hingga 9% dengan KGT berdasarkan pelarasan peratusan yang ditetapkan.


Kadar gaji minimum-maksimum dan kenaikan gaji tahunan DG41-DG54


Kadar gaji minimum-maksimum dan kenaikan gaji tahunan DGA29-DGA38


Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012 bagi kenaikan gaji pegawai perkhidmatan awam persekutuan di bawah sistem saraan Malaysia bagi seluruh perkhidmatan boleh dimuat turun (download) di sini: KENAIKAN GAJI PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM PERSEKUTUAN DI BAWAH SISTEM SARAAN MALAYSIA


Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia


Monday, March 26, 2012

ANGGOTA SURUHANJAYA PERLU DIUMUM SEBELUM 31 MAC

KOTA BAHARU, 25 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengumumkan individu yang akan menganggotai suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara ini selewat-lewatnya penghujung bulan ini.


Presidennya Datuk Omar Osman berkata kongres itu mendapat banyak pertanyaan daripada anggota gabungannya yang mahu mengetahui individu yang akan dilantik menganggotai suruhanjaya itu.


"Kita mahu tahu siapa pengerusi suruhanjaya dan siapa lagi di pihak kerajaan yang berada dalam suruhanjaya itu kerana sehingga kini kita tidak mendapat sebarang maklumat.


"Sebab itu kita berharap kerajaan dapat mengumumkan nama-nama anggota suruhanjaya ini selewat-lewatnya sebelum 31 Mac ini," katanya kepada pemberita selepas seminar Pengurusan Kewangan Penjawat Awam serta Taklimat Penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia di sini, hari ini.


Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas.


Mengulas perkara itu, Omar berkata Cuepacs juga telah bersetuju untuk meletakkan sembilan pegawainya menganggotai suruhanjaya berkenaan yang mampu memberikan cadangan dan pendapat bagi penambahbaikan penjawat awam itu.


"Cuepacs harap penubuhan suruhanjaya ini dapat dilakukan segera dan esok akan diadakan mesyuarat penambahbaikan SSM ini dan jawatankuasa mesyuarat itu akan membuat laporan kepada pihak kerajaan selepas itu," katanya.


Omar berkata draf pekeliling mengenai SSM yang ditambah baik itu akan diteliti di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada 1.4 juta penjawat awam seluruh negara secepat mungkin.


Beliau berkata Kelantan adalah negeri yang pertama diberikan taklimat oleh Cuepacs berhubung penambahbaikan SSM itu sebelum ke seluruh negara secara berperingkat.

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT


KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Universiti Terbuka Malaysia (OUM) akan terus komited terhadap usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat melalui Institut Pembangunan Profesional (IPD), Sekolah Pembelajaran Sepanjang Hayatnya, kata naib canselornya Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali hari ini.


Beliau berkata sejajar dengan matlamat itu, institut berkenaan menawarkan latihan berasaskan modul yang relevan dengan keperluan industri.


Bermula dengan hanya empat program, kini institut itu menawarkan 57 program, 43 daripadanya mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," kata beliau pada majlis konvokesyen ke-8 IPD di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.


Beliau berkata sejak 2005, institut itu melahirkan lebih 30,000 lepasan dalam pelbagai jurusan di peringkat diploma dan sijil.


"Malah, IPD berjaya menembusi pasaran antarabangsa, terutama di Sudan dan India," katanya.


Pada majlis itu, Masako Masuda, 60, dari Jepun, yang mempamerkan prestasi cemerlang keseluruhan dalam program Diploma Psikologi Kaunseling Profesional menerima Anugerah Presiden, manakala 11 graduan, yang lulus dengan cemerlang dalam program yang mereka ikuti, menerima Anugerah Pengarah.


OUM, institusi terbuka dan pembelajaran jarak jauh pertama negara ini, ditubuhkan pada 2000. Setakat ini, ia telah melahirkan lebih 100,000 lepasan dan menyasarkan mempunyai pendaftaran kemasukan sekurang-kurangnya 130,000 pelajar menjelang 2015.


-- BERNAMA

Tuesday, March 20, 2012

GURU TAK DAPAT CUTI 90 HARI


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menyiasat dakwaan CUEPACS bahawa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor pendidikan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari.


Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata isu itu tidak seharusnya timbul terutama di kalangan guru kerana peruntukkan cuti bersalin 90 hari adalah hak mereka dan ketua jabatan tidak boleh sewenang-wenangnya menolak atau memotong tempoh cuti berkenaan.


“Isu ini tidak seharusnya timbul kerana apabila guru memohon cuti, pihak sekolah selalunya akan menyediakan guru ganti bagi meneruskan kerja mereka sepanjang tempoh cuti bersalin.


“Kementerian akan menyiasat dakwaan CUEPACS itu bagi menentukan sama ada isu berkenaan benar-benar timbul,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, semalam.


Kelmarin, Setiausaha Agung CUEPACS, Lok Yim Pheng mendakwa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor perguruan dan kejururawatan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari seperti diperuntukkan.


Yim Pheng berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada guru dan jururawat yang mendakwa permohonan cuti bersalin mereka ditolak oleh ketua jabatan masing-masing.


CUEPACS kecewa dengan tindakan sedemikian kerana alasan yang sering diberikan oleh ketua jabatan ialah berlaku kekurangan tenaga kerja untuk menggantikan mereka bagi tempoh 90 hari.


Mohd Puad berkata, kementerian akan menghubungi CUEPACS bagi mendapatkan bukti mengenai dakwaan itu.


- BERITA HARIAN


Wednesday, March 14, 2012

KEPUTUSAN SPM DIUMUM 21 MAC INI


PUTRAJAYA, 14 Mac (Bernama) -- Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 21 Mac depan, menurut kenyataan Kementerian Pelajaran.


Sementara pengumuman analisis keputusan pula akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di sini, pukul 9 pagi pada hari yang sama.


Calon-calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi.


Bagi calon persendirian keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri.


Keputusan juga boleh disemak menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SPM jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888.


Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi 21 Mac hingga 12 tengah malam 27 Mac.


Seramai 468,808 calon mendaftar telah menduduki peperiksaan tersebut di 3,533 pusat peperiksaan seluruh negara tahun ini.


-- BERNAMA

Sunday, March 11, 2012

PELARASAN SKIM PERKHIDMATAN GURU

KULAIJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Jabatan Perkhidmatan Awam dapat melaksanakan pelarasan skim perkhidmatan perguruan secepat mungkin.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ini selaras dengan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


"Kita berharap tempoh pelarasan itu dapat disegerakan berdasarkan pengumuman (pembatalan SBPA) oleh PM (Perdana Menteri). Mereka pun menunggu dan mengharapkannya di dalam tempoh terdekat," katanya menambah pengumuman itu disambut baik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan.


Muhyiddin juga berkata apa yang telah dijanjikan kerajaan kepada golongan guru akan ditunaikan.

Friday, March 9, 2012

Thursday, March 8, 2012

PELARASAN GAJI BERKUATKUASA 1 JAN


PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak Khamis akan berkuatkuasa 1 Jan tahun ini dan dibayar mulai bulan ini atau April, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.


"Sama ada pembayaran akan dibuat secara penuh atau berperingkat, ia bergantung kepada jabatan masing-masing," kata Omar ketika ditemui pemberita selepas itu.


Pada perhimpunan itu Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.


Mengenai penubuhan suruhanjaya yang akan turut disertai wakil Cuepacs untuk mengkaji secara menyeluruh perkhidmatan awam Malaysia, beliau berharap suruhanjaya itu akan memberi tumpuan kepada tuntutan Cuepacs yang lain.


Mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) beliau berkata, PTK kekal dimansuhkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dan diganti dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).


Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata pengumuman Perdana Menteri itu turut menggembira kaum guru.


"Ia jelas menunjukkan golongan pendidik tetap diberi keutamaan oleh kerajaan kerana kenaikan pangkat tidak perlu menunggu masa yang lama iaitu selama 10 tahun," katanya.


Kerajaan mengumumkan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang dimumkan dalam Bajet 2012.

SBPA Batal, SSM Yang Ditambah Baik Kembali


PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.


Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.


Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.


Dalam pengumuman beliau pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di sini, Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.


Katanya struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.


Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.


Najib berkata kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.


Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.


Semakan gaji yang terakhir dilakukan pada 2007, yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara 7.5 dan 35 peratus.

Wednesday, March 7, 2012

KPPK RAYU LAKSANA KUP TAHUN PERKHIDMATAN


KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) merayu kerajaan agar terus melaksanakan skim perkhidmatan kenaikan gred Khas Untuk Penyandang (KUP) mengikut kaedah tahun perkhidmatan yang membabitkan kira-kira 450,000 warga pendidik di seluruh negara.


Presiden KPPK Hashim Adnan berkata ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012 pada Oktober lepas yang menjanjikan laluan kerjaya lebih baik kepada warga pendidik melalui Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).


"Kita harap pengumuman Perdana Menteri berhubung penambahbaikan SBPA pada 8 Mac ini akan mengambil kira perkara ini (KUP Tahun Perkhidmatan).


"Ini kerana melalui KUP Tahun Perkhidmatan, apabila sudah cukup masa, guru berkenaan akan menikmati peluang kenaikan pangkat," katanya kepada pemberita di Wisma KPPK di sini Selasa. Turut hadir Setiausaha Agung KPPK Lok Yim Pheng.


Hashim berkata telegram berhubung perkara itu sudah dihantar ke pejabat Perdana Menteri semalam.


-- BERNAMA

Friday, March 2, 2012

KEPUTUSAN STPM DIUMUMKAN RABU DEPAN


KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan.


Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini Khamis berkata calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.


Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM Result No.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.


Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh tersebut.


Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada pukul 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.


Tahun lepas 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian.


-- BERNAMA

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi