Wednesday, October 27, 2010

Pemilihan KWAPM ikut data pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memutuskan hanya murid yang berdaftar dengan eKasih akan menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), mulai tahun depan.


Keputusan itu dijelaskan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2009 mengenai penyata kewangan dan aktiviti kementerian, jabatan serta pengurusan syarikat kerajaan 2009.


Berikutan keputusan baru itu, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan tidak lagi perlu membuat pemilihan kerana data murid akan diambil daripada eKasih yang dibangunkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.


“Kementerian Pelajaran sudah menghantar surat peringatan kepada semua sekolah mengenainya April lalu, supaya mematuhi syarat berikutan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara,” kata laporan itu.

Sumber: bharian

Sunday, October 24, 2010

Sejarah Mata Pelajaran Wajib Lulus

Kerajaan memutuskan untuk menaik taraf status Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah tersebut bererti setiap calon perlu lulus mata pelajaran Sejarah sebagai syarat untuk mendapat sijil SPM seperti mana mata pelajaran Bahasa Malaysia sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada masa ini di peringkat sekolah menengah, mata pelajaran Sejarah adalah mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua pelajar.

"Selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh sebahagian besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO, saya mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat SPM mulai 2013 seperti mana mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapat sijil SPM,'' katanya.

Sunday, October 10, 2010

Format baru UPSR dan tiada lagi PMR

FORMAT baru Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diganti penilaian sekolah, akan diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rundingan meja bulat terakhir mengenai pelaksanaan UPSR dan PMR bersetuju UPSR dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan, manakala PMR diganti penilaian sekolah.

“Sistem pendidikan ini ada putarannya. Kalau anak kita belajar sekarang, takkanlah tahun depan tiba-tiba (belajar) dengan sistem baru, dia akan menanggung beban, susah esok pada dia.

“Tapi kohort (kumpulan) yang baru mungkin akan masuk 2011 dan ujian pertama (diadakan) pada 2016. Pada waktu itu, kita akan adakan UPSR baru dan PMR dalam bentuk penilaian sekolah,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di bandar raya ini, semalam.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan berangkat ke Melbourne bagi menghadiri beberapa acara termasuk perasmian Dewan Malaysia Melbourne.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementerian.
Beliau berkata, antara perubahan dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik.

“Bagi UPSR, maknanya walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, tapi bentuk dan formatnya agak berbeza. Ini dikatakan penambahbaikan yang kita akan lakukan.

“Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tetapi Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah,” katanya.

Muhyiddin berkata, proses transformasi membabitkan penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR memerlukan tempoh enam tahun untuk disiapkan mengambil kira semua aspek dalam sistem pendidikan itu.

“Saya fikir dalam tempoh seminggu dua ini apabila selesai dan laporan lengkap (diterima), kita akan maklumkan secara muktamad (proses penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR),” katanya.

Sumber: Berita Harian

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi