Friday, February 28, 2014

Renungan: Kerja Halal Tapi Gaji Belum Pasti

"Gaji aku banyak tetapi tidak pernah cukup, makin banyak gaji makin tak cukup jadinya, mengapa ya? Adakah konsep "live below your mean" harus aku lakukan atau ada sebab lain disebaliknya? Tambahan pula dengan harga minyak yang naik sekarang ini adakah aku harus lebih berjimat cermat.

Pernah terdengar orang yang gajinya kecil tetapi mampu menyara keluarga yang ramai, rata rata memberi komen, kerjanya halal dan rezekinya berkat, bagaimana pula dengan diriku? Aku bukan melakukan kerja yang haram, macamana tidak berkat pula?"

Adakah persoalan ini sering melanda fikiran kita, tertanya-tanya mengapa, jawapannya memang mudah cuma diri kita tidak sedar akan hukum alam mengenai duit itu sendiri.

Sebenarnya kertas yang dipanggil duit, wang atau fulus yang tersimpan didalam dompet atau poket kita itu sebenarnya bukanlah duit, ia hanya mewakili duit. Saya yakin ramai yang tahu tetapi kelalaian kita membuatkan kita terlupa. Konsepnya sama dengan dosa dan pahala tetapi dosa dan pahala tidak dapat kita lihat kerana ianya perjanjian/perhitungan antara kita dengan Allah, tetapi duit pula dapat dilihat kerana ianya perjanjian kita sesama manusia, itupun setelah ia di"fizikal"kan oleh manusia sendiri.

Di zaman mulanya era perdagangan, manusia bertukar barangan (barter) untuk membolehkan mereka menikmati hasil kerja titik peluh orang lain dengan hasil diri mereka sendiri, Ali punya beras, Baba punya ubi, Ali dan Baba bersetuju bertukar sesama sendiri, si Ali merasa ubi si Baba, dan si Baba merasa beras si Ali, mereka memberi khidmat sesama sendiri dan dengan itu dapat merasa barangan lain hasil titik peluh manusia lain mengikut persetujuan dengan kadar mana yang dirasakan adil pada masa tersebut. Manusia ber"akad" bersetuju seakan kontrak atau perjanjian didalam semua urusan.

Bila urus niaga semakin kompleks, tidak lah lagi sesuai untuk bertukar barangan, disini tercipta lah duit, jadi duit sebenarnya adalah untuk mewakili ganjaran pada perkhidmatan yang diberikan. Jadi jika kita berkhidmat untuk orang lain baru lah ada ganjaran untuk kita, jika kita berbuat baik, pahala, berbuat jahat, dosa, berkhidmat atau berkerja, duit dari segi keuntungan perniagaan, gaji atau pendapatan. pendapatan.

Didalam dunia ini tiada yang percuma, semua ada tindakbalasnya, jika kita anggap udara yang kita sedut setiap masa ini adalah percuma, fikirkan kembali, ia tidak percuma sebenarnya, kita berkhidmat dengan tumbuh-tumbuhan, memberi karbon dioksida dan pokok memberi kita oksigen, disebabkan manusia memusnahkan pokok, lapisan ozone menjadi mangsa dan tak secara langsung kita jugak merasa bahananya. Jangan anggap kita tiada kena mengena dalam hal ini sebab bukan kita yang tebang pokok, bukan kita yang bakar hutan, kita kena ingat, perabot yang kita pakai, roti canai yang kita makan, semuanya disebabkan oleh kita yang mahukan kayu dan mahukan gandum dan ditambah dengan pembalak dan peladang yang tamakkan keuntungan, dari resepi ini, kita semua merasakan masakannya (recipe for disaster).

Jadi berbalik kembali kepada gaji kita yang kita terima setiap bulan, adakah ianya benar-benar hak kita? Katalah kita bersetuju/berakad/kontrak dengan majikan untuk bekerja selama 10 jam sehari dengan gaji $1000 sebulan (contoh untuk memudahkan pengiraan). Jika masa bekerja kita banyak gunakan untuk lepak lama dikafeteria, baca suratkhabar, berbual kosong dengan rakan-rakan, buat part time direct selling dan macam-macam lagi sedangkan ada fail-fail kerja yang bertangguh diatas meja, katakan lah secara puratanya kita berkerja/berkhidmat secara jujurnya 6 jam sahaja sehari, adakah $1000 sebulan itu duit kita? Sebenarnya gaji kita yang "halal" hanyalah $600 sahaja.

Baki $400 itu bukanlah hak kita dan bila ianya bukan hak kita (disebabkan kita menerima ganjaran yang tidak setimpal dengan perkhidmatan yang kita berikan) maka duit itu akan "lari" daripada kita.

Duit sebenarnya ber"nyawa", duit tahu yang kita bukan tuannya dan suasana dunia akan merubah untuk menegakkan keadilan, kerana Allah itu maha Adil. $400 yang akan lari dari kita itu bukan kerana Allah tidak sayangkan kita, tetapi kerana Allah maha adil memulangkan pada tuan punya duit tersebut.

Bagaimana caranya? Apa sahaja kejadian yang menyebabkan kita terpaksa keluarkan duit tanpa kerelaan kita, itu lah sebenarnya cara duit akan lari pada kita, sakit, anak isteri sakit, kemalangan, kena saman, dirompak, diragut, sangkut dalam traffic jam dan macam-macam lagi, semua itu adalah cara duit itu akan kembali pada tuannya. Contohnya, bila kita rosak, mekanik kereta tersenyum duit masuk, mekanik bayar cukai jadi duit itu kembali kepada tuan asalnya jika kita bekerja dengan kerajaan bagi contoh diatas.

Kita semua berkait antara satu sama lain, dari sudut quantum physic, kita semua berkait (entanglement), begitu juga jika diambil kira dari "teori big bang" dan juga kejadian Adam, kita semua berkait antara satu sama lain. Jadi jika kita ambil hak orang lain, sesuatu akan berlaku dalam hidup kita untuk memulangkan kembali hak tersebut.

Contoh yang saya berikan diatas untuk diri kita yang berkerja, bagaimana pula mereka yang mengambil rasuah, makan harta anak yatim, menipu, mencuri? Perhatikanlah hidup mereka adakah aman dan tenteram? Anak-anak kita, adakah mereka boleh menjadi soleh dan solehah jika makanan yang kita suap adalah bukan hak kita? Allah melarang kita makan harta anak yatim, rasuah, riba dan sebagainya itu adalah untuk melindungi kita sendiri sebenarnya, Allah mahu kita hidup aman dan damai tetapi sikap kita sendiri yang mengundang musibah.

Semuanya berpunca dari diri kita, jika kita sedar akan konsep ini, kita akan lebih berhati-hati dalam tindak tanduk perbuatan kita kerana kita tahu semuanya akan berbalik pada diri sendiri.

Jadi gaji $1000 sebulan, tolak duit rumah, ansuran motor, makan cukup-cukup $1000, tetapi disebabkan sakit, motor rosak, tayar pancit, duit $1000 tu tetap tak cukup. Jadi sebelum kita bentangkan budget bulanan, periksa dulu adakan gaji yang kita terima contohnya $1000 sebulan itu benar-benar $1000? Jika mahu 100%, ubah lah cara kerja, buat lah kerja dengan ikhlas dan jujur supaya gaji yang kita terima itu adalah hak kita sebenar-benarnya ganjaran atas perkhidmatan yang kita berikan. Jika tidak mahu ubah cara kerja,tetap nak "mengular", ponteng dan sebagainya, janganlah nak marah jika musibah berlaku kerana semuanya salah diri sendiri. Sebelum salahkan takdir, fikirkan dahulu adakah kita yang mengundangnya?

Jadi kenapa Islam menggalak kan sedekah dan zakat? Salah satu sebabnya menyucikan harta, pendapatan kita supaya ianya kembali pada yang hak. Agak sukar untuk betul mengira masa kerja dan gaji yang setimpal tetapi amat mudah untuk memberi sedekah, $1 atau $1000 bukan jadi ukuran, ikhlas yang lebih utama.

Berfikir itu mudah tetapi tidak ramai yang mahu melakukannya.



- syurgadidunia

Wednesday, February 26, 2014

Undian Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata Kementerian Pendidikan akan tetap meneruskan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana pelaksanaan itu yang dimahukan oleh semua rakyat di negara ini.

“Kita tetap akan meneruskan sistem PBS kerana ini yang dimahukan semua rakyat, kita tidak akan sesekali memansuhkan, hanya menangguhkan untuk penambahbaikan.”

Oleh itu UNDi.iN minta sama ada guru-guru, ibu bapa, pelajar dan sesiapa sahaja untuk memberi pandangan melalui undian berikut. Mudah-mudahan keputusan undian dapat dijadikan panduan kepada mereka yang terlibat untuk menjadikan sistem pendidikan negara ke arah lebih baik.

Status Undian Terkini Menunjukkan Undian Mahu PBS Dimansuhkan 
Dan Kembali Kepada Sistem Peperiksaan

Untuk undian sila klik link berikut: Undian Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)


- UNDi.iN

KENYATAAN MEDIA ISU PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)





- Kementerian Pendidikan Malaysia
 

Tuesday, February 25, 2014

EKSKLUSIF: Luahan Hati Guru Mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Assalamualaikum...
Bersua kita dalam entry yang serious...
Sebenarnya takut jugak nak tulis...
Sebab kot2 ada orang print letak atas meja pengarah...dan2 tu kne tindakan tatatertib... kne pindah Sabah ke mana... gelap la jalan hidupku...
Tapi...
Bila fikir...
Pendapat peribadi..
Takkan xboleh kot...
Takkan kita xboleh bercerita dan memberi pendapat...
Sebab kekadang dalam membuat tindakan...
Mungkin ada terlepas pandang mana2 sisi...
Maka kalau ada pendapat untuk ditambah baik... bukankah lebih bagus?

Dan aku terpanggil untuk menulis ini juga adalah untuk membersihkan nama baik tugas guru dari pandangan serong mereka-mereka yang selain dari kerjaya seorang guru... iya.. gambaran yang diberikan oleh sesetengah pihak seolah-olah bahawa guru sangat kerana hanya pandai mengomen dan tidak melaksanakan PBS dengan betul.. sedih tau... rasa macam sia-sia jek bertungkus lumus bersengkang mata cuba sehabis daya untuk melaksanakan PBS tp di akhir cerita seolah-olah cikgu ni apa pun xbuat... dan bertambah sedih bila kenyataan itu dikeluarkan oleh pihak yang sepatutnya membela nasib guru… T___T

Maka...sekali lagi aku tegaskan..bahawa ini adalah pandangan peribadi...tanpa sebarang niat untuk menghasut apatah lagi nak ajak demo gulingkan kerajaan... bukan ok... cuma nak cerita pasal PBS dan nasib guru kerana dipersalahkan...

Baca intri luahan hati seorang guru mengenai PBS sepenuhnya (klik) tajuk berikut: Luahan Hati Guru Mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)


Monday, February 24, 2014

Guru Tak Boleh Paksa Pelajar

Ketika penulis bersekolah dulu, antara perkara paling menjemukan ialah ‘dipaksa’ guru menyelesaikan kerja sekolah.

Penulis beranggapan, kerja sekolah dibekalkan guru cukup membebankan serta menjadi penghalang untuk menikmati kebebasan hidup sebagai pelajar.

Namun kerana tiada pilihan, penulis terpaksa meng­gagahkan diri, apatah lagi apabila mengenangkan hayunan rotan sebagai ‘hadiah’ jika gagal menyiapkan tugasan.

Sehingga kini, walaupun zaman persekolahan sudah lama berlalu, isu kerja sekolah yang menjadi mimpi ngeri generasi sezaman penulis tidak pernah selesai.

Kerja sekolah masih diang­gap membebankan pelajar manakala bagi pihak guru, kerja sekolah dianggap satu kemestian.


Dolak-dalik mengenai kerja sekolah yang tidak pernah selesai ini akhir­nya mengundang konflik dan polemik dunia pendidikan negara.

Benarkah tidak menyiap­kan kerja sekolah itu satu kesalahan besar bagi pelajar?

Ketua Jabatan Kepimpinan dan Polisi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Izham Mohd Hamzah berkata, pelaksanaan kerja sekolah oleh pelajar seharusnya dilihat dari pelbagai perspektif bagi mengelak salah faham banyak pihak.

Beliau berkata, kerja sekolah memang sinonim de­ngan pelajar, namun ia juga boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan guru bagi kebaikan golongan sasaran (pelajar).

“Definisi kerja sekolah itu sendiri boleh membawa pelbagai maksud iaitu dari sudut positif atau negatif bergantung kepada perkara utama yang disasarkan.

“Misalnya dari sudut negatif, kerja sekolah nampak membebankan namun dari sudut positif, ia boleh dijadikan pemangkin bagi memperkukuh dan memperbaiki kelemahan pelajar.

“Pelbagai penafsiran boleh diberikan mengenai kepentingan kerja sekolah kepada pelajar mengikut kriteria keperluan. Cuma jangan sampai mengganggu dan menimbulkan konflik lain,” katanya.

Beliau berkata, keperluan melaksanakan kerja sekolah tertakluk dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada pihak pelaksana seperti sekolah dan guru sejak 10 tahun lalu.

“Menerusi surat pekeliling pada 2004 itu, kerja sekolah adalah satu tuntutan yang perlu diberikan kepada pelajar sebagai salah satu cara pengukuhan atau memperkayakan pemahaman pelajar.

“Selain itu, ia turut me­nyasarkan objektif lain seperti meneruskan kesinambungan pembelajaran di kelas, mengisi masa seng­gang pelajar dan meningkat­kan kemahiran melalui latihan pemulihan.

“Jika melihat pada objektifnya, kerja sekolah memang penting kerana ia dilaksanakan bukan atas dasar ‘mendera’ golongan itu,” katanya.

Namun, walaupun kerja sekolah satu keutamaan yang perlu diberikan kepada pelajar, guru tidak boleh memaksa atau menggunakan bentuk fizikal seperti rotan.

“Jika menggunakan hukuman seperti itu, ia salah dan lari daripada matlamat sebenar pelaksanaan kerja sekolah itu.

“Hukuman berbentuk fizikal, apatah lagi melampaui batas tidak dibenarkan walau apa jua alasannya kerana ia di luar batas norma sistem pendidikan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan pelaksanaan ‘hukuman’ dilakukan kerana kurangnya maklumat guru atau sekolah mengenai polisi kerja sekolah.

“Dalam modul pengajian, bagi bakal guru, tiada modul khusus disediakan sebagai garis panduan untuk mereka melaksanakan pemberian tugasan kerja sekolah kepada pelajar.

“Yang banyak ditekankan ialah mengenai etika dan cara pembelajaran, namun terlepas pandang aspek keperluan etika kerja sekolah.

“Kekurangan maklumat atau pendedahan sebagai garis panduan itulah mewujudkan isu tidak diingini mengenai kerja sekolah,” katanya.

Ditanya pandangannya, adakah satu kesalahan besar jika pelajar enggan membuat kerja sekolah, beliau berkata, ia bukan kesalahan serius yang memerlukan mereka diberi hukuman keterlaluan.

Menurutnya, tidak me­nyiapkan kerja sekolah bukan satu kesalahan disiplin dari sudut sistem pendidikan normal, namun ketegasan perlu ada supaya pelajar sedar bahawa membuat kerja sekolah itu ada kebaikannya.

“Saya tidak kata tangan guru terikat dalam isu ini sebab memberi kerja sekolah juga sebahagian cara membantu pelajar memperbaiki prestasi mereka.

“Kebolehan pelajar yang berbeza memerlukan satu mekanisme digunakan bagi meningkatkan pencapaian.

“Melalui kerja sekolah, pelajar yang lemah boleh dibantu untuk meningkatkan pencapaian mereka,” kata­nya.

Namun jika pelajar enggan atau tidak mampu menyiapkan kerja sekolah, beliau berkata, guru boleh bertegas dan mencari punca mengapa mereka gagal melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Adalah melanggar hak pelajar jika guru terus memberikan hukuman tanpa mencari punca pelajar gagal menyiapkan kerja sekolah diberikan.

“Mungkin ada penyebabnya seperti kekangan masa, keletihan, kurangnya kefahaman dan sebagainya. Guru perlu menyelidik sebelum bertindak ke fasa seterusnya.

“Tidak adil jika terus memberikan hukuman. Tidak kira sama ada guru atau pelajar, jangan jadikan isu kerja sekolah sebagai satu konflik besar,” katanya.

Ditanya adakah jika guru bersikap ‘tidak apa’ terhadap pelajar yang enggan membuat kerja sekolah seperti memanjakan golongan itu, beliau berkata, ini bukan soal manja atau tidak sebaliknya menjurus kepada sikap toleransi.

“Tanggungjawab guru adalah memberi kerja sekolah dan memastikan pelajar membuatnya.

“Namun jika pelajar eng­gan, guru tidak boleh dipersalahkan kerana bidang kuasa mereka ada hadnya.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan meletakkan kesalahan pada guru,” katanya.

Beliau berharap agar pertikaian mengenai kerja sekolah tidak berpanjangan hingga mengganggu banyak aspek lain.

“Yang menjadi keutamaan ialah melahirkan pelajar berjaya, seimbang serta mampu menjadi generasi boleh dibanggakan.

“Wujudkan keharmonian dalam sistem pendidikan dan jauhi konflik,” katanya.



- Hmetro

Sunday, February 23, 2014

Pelaksanaan PBS Ditangguh Sehingga Kajian Selesai

Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguhkan sehingga ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS sedang dijalankan dan cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk keputusan.

"Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Khair berkata, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan supaya kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS, KPM mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya supaya dapat mengurangkan bebanan tugas guru.

“Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data berkaitan eviden dan pencapaian murid, termasuk juga pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru,” katanya.

Dr Khair berkata, di samping memastikan kajian dan penelitiannya dilaksana secara berkesan, KPM juga mengambil beberapa langkah segera bagi menanganinya termasuk menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari ini bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

Beliau berkata, KPM juga akan mengadakan bengkel membabitkan guru termasuk kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS.
“Bengkel berkenaan akan dilaksanakan pada awal dan pertengahan Februari ini dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, pihak KPM akan menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS,” katanya.

Sementara itu, bagi menangani isu berbangkit berkaitan PBS dengan segera dan berkesan, KPM akan mewujudkan ‘war room’ PBS di peringkat KPM.

“Usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem berkenaan secara lebih mudah dan berkesan.

“Semua tindakan berkenaan diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama, mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya,” katanya.


Guru Nadi Kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)

Selepas mengumumkan 10 pencapaian utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan tahun ini mencorakkan landskap pendidikan negara yang lebih mengutamakan kerjasama pelbagai pihak.

Bermula daripada pengurusan tertinggi kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah, pelajar dan guru, sokongan ibu bapa serta komuniti sangat diharapkan bagi memastikan program dirancang berjaya dilaksanakan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, penggemblengan tenaga semua pihak itu mempunyai satu matlamat asas iaitu menghasilkan modal insan yang berkualiti, sekali gus meletakkan sistem pendidikan negara sama hebat dengan negara lain.

Beliau berkata, sasaran utama bagi memastikan pelajar dipersiapkan dengan ilmu, nilai dan kemahiran yang membolehkan mereka bersaing di peringkat global menerusi pendidikan bertaraf dunia.

Tidak hanya menumpukan pelajar, PPPM memberi tumpuan kepada transformasi profesion keguruan dengan memastikan kepemimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di semua sekolah.

Guru, menurut beliau, merupakan penggerak utama kepada kejayaan pelaksanaan PPPM yang sangat berfokus kepada keberhasilan murid, justeru pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk mempertingkat kualiti guru dan pemimpin sekolah dalam sistem pendidikan.

“Bagi memperkasakan guru sedia ada, pada suku pertama tahun ini (Januari hingga Mac) kementerian menyediakan lebih 1,278 Pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) dan 339 Rakan Peningkatan Sekolah (SIPartner+) yang akan dilantik dan ditempatkan di setiap PPD menerusi Program Transformasi Daerah (PTD).

“SISC+ dan SIPartner+ akan berfungsi membantu mengukuhkan cara pengajaran guru, tahap kepemimpinan guru besar dan pengetua menerusi penilaian dan perbincangan yang dilakukan di antara mereka.

“Selain itu, dialog prestasi akan diadakan setiap bulan antara guru besar dan pengetua bersama PPD dan JPN bagi mengenal pasti serta mengatasi pelbagai isu berbangkit dengan kadar segera,” katanya yang menjelaskan, PTD akan diperluas ke seluruh negara mulai tahun ini selepas dirintis di Sabah dan Kedah pada 2013.

Menurutnya, kejayaan PTD tahun lalu membabitkan 2,500 sekolah, 89,000 guru dan kira-kira sejuta murid.

Keberkesanan program berkenaan di dua negeri itu dapat dilihat melalui keputusan UPSR dan PMR yang mencatatkan peningkatan memberangsangkan.

peningkatan memberangsangkan.

Tahun ini juga, kementerian akan memberi tumpuan kepada Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan skor Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA).

Dr Khair berkata, bagi mengubah daripada sistem persekolahan kepada sistem pembelajaran yang membabitkan komuniti, kementerian sedar kerjasama daripada semua pihak sangat penting.

“Oleh itu, tahun ini kita akan memastikan inisiatif ini bergerak lebih pantas dan berkesan.

“Mengambil contoh Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Senawang, Negeri Sembilan yang dilawati tahun lalu, lawatan kami disambut oleh ibu bapa dan bukan guru sekolah kerana mereka tidak mahu menjejaskan pembelajaran murid.

“Saya berharap, kerjasama dibina di antara pihak pengurusan sekolah, guru dan ibu bapa seperti ini akan berterusan bukan saja di sekolah ini, tetapi juga sekolah lain,” katanya.

Sementara itu, kementerian akan memastikan setiap pencapaian dalam inisiatif dan program yang dirancang menerusi PPPM sentiasa sejajar dengan sasaran yang ditetapkan.

Menurutnya, penekanan terhadap tindakan cepat juga diberi tumpuan supaya semua warga kementerian, termasuk guru dapat menghayati hasrat dan pelan dilaksanakan.

Bagi memastikan kelangsungan PPPM, program turun padang turut dilaksanakan supaya semua pihak memahami perancangan dan perubahan yang akan dilakukan, sekali gus memastikan transformasi berjalan lancar.

Beliau berkata, paling penting, transformasi berlaku dalam kelas supaya ia boleh berlaku secara menyeluruh, dan disebabkan itu kementerian akan ke kelas bersama-sama guru dan pemimpin sekolah supaya mereka, termasuk murid, memahami apa yang dihasratkan dalam PPPM.

“Transformasi dirancangkan bermula dari dalam bilik darjah.

Sedikit perubahan yang berlaku ini akan mencetuskan gelombang besar dalam perubahan dunia pendidikan kita.

“Harapan saya sangat besar kepada guru kerana mereka adalah individu yang pakar dalam bidang masing-masing bagi merealisasikan transformasi dimaksudkan.


- Hmetro

Alkisah Seorang Budak Nakal


SEORANG pelajar bernama Amin terkenal dengan kenakalannya di sekolah.

Amin suka memberontak, tidak memberikan penumpuan dalam kelas, keputusannya tidak cemerlang, suka mengacau rakan lain, mempersendakan dan melawan kata-kata cikgunya.

Selepas tamat sesi persekolahan tahun lepas, dan tiba masa untuk mengagihkan pelajar, tiada guru di sekolah yang sudi menerima Amin di dalam kelas mereka.

“Saya tak mahu. Nanti sakit jantung,” kata Puan Halimah.

“Saya tak mahu. Dah serik setahun dengannya,” kata Cikgu Kamala.

“Jangan pandang saya. Kalau saya, saya dah tendang dia keluar,” kata Tuan Kassim.

“Tak apa saya ambil,” jawab Ustaz Ismail Nihat.

Semua menarik nafas lega, tapi sahabat baik Ustaz Ismail, Cikgu Koh berkata, “Ustaz fikir baik-baik. Kena ada kesabaran tinggi untuk mengajar budak itu. Kalau tak tahan, ustaz tukar dengan saya.”

“Takkan budak ini saya tak dapat kawal hehehhe,” jawab Ustaz Ismail dengan berseloroh.

Malangnya, perbualan guru-guru itu telah didengari Amin.

Amin berbisik di hatinya, “Ustaz Ismail nak kawal saya ya? Kita tengok siapa lebih hebat!”

Sesi persekolahan baru pun bermula, Amin memasuki kelas Ustaz Ismail.

Ustaz Ismail mengaturkan Amin duduk di barisan depan kelas.

Amin cuba buat perangai, tapi Ustaz Ismail tetiba bersuara…

“Saya nak cadangkan seorang pelajar untuk jadi ketua kelas. Dia ini keputusan tak berapa baik. Akan tetapi, dia pandai bergurau. Jika dia jadi ketua kelas, sudah tentu kita dapat senyum tiap-tiap hari,” kata Ustaz Ismail sambil menunjuk kepada Amin.

Para pelajar kelas Ustaz Ismail terus terdiam dan berbisik sesama sendiri.

“Orang macam dia pun, Ustaz pilih jadi Ketua Kelas? Ustaz tahu ke dia terkenal sebagai pelajar ternakal di sekolah.”

Amin yang muka kemerahan kerana segan hendak menolak tawaran, tapi Ustaz Ismail tidak memberi peluang…

“Jadi ketua kelas bukan lihat pada keputusan sahaja. Yang paling penting dia boleh jadi contoh kepada pelajar lain. Saya percaya Amin boleh melakukannya dan dia amat berpotensi. Apa kata kita beri dia satu peluang?”

“Baik ustaz,” jawab para pelajar.

Kata-kata ini menyebabkan Amin terasa malu dan segan sehingga muka bertambah merah.

Akhirnya, Amin menjadi ketua kelas.

Besok harinya, apabila masuk ke kelas, pelajar mendapati Amin sudah berada di tempat duduknya dan tidak mengacau pelajar lain ketika Ustaz Ismail mengajar.

“Amin sudah tak buat perangai dan kacau orang?” tanya seorang pelajar bernama Zul yang selalu dibuli Amin.

“Saya ketua kelas. Saya perlu jadi contoh pada orang lain,” jawab Amin.

Apabila melihat Amin menumpukan perhatian di dalam kelas, seorang pelajar lain Jannah bertanya pada Amin, “Mengapa Amin tak perlekehkan ustaz seperti biasa sehingga cikgu menghalau Amin keluar?”

“Saya ketua kelas. Saya perlu jadi rajin dan bagus keputusan barulah orang lain boleh terima saya sebagai Ketua Kelas dengan hati terbuka ,” jawab Amin.

Peperiksaan menjelang dan keputusannya, Amin melonjak dari tangga terakhir di sekolah ke tangga ke 15.

“Dia meniru ke ustaz?” tanya Tuan Kassim pada Ustaz Ismail.

“Berdasarkan ketekunan dia, saya rasa keputusan ini benar. Ini memang hasil dia,” jawab Ustaz Ismail.

“Ustaz Ismail memang hebat,” kata Cikgu Koh.

“Apa yang Ustaz buat kat dia?” tanya Puan Halimah.

“Dia nakal sebab ego nak perhatian. Saya bagilah dia dapat perhatian secukupnya sebagai ketua kelas. Kerana egonya, maka dia memaksa dia menjadi baik supaya orang tak kata dia tak layak jadi ketua kelas,” jawab Ustaz Ismail sambil tersenyum.

Wahai anakku,
Semua yang dicipta ALLAH ada hikmahnya jika digunakan dengan betul.

Najis binatang, jika diletakkan pada tempat yang tidak betul, ia busuk dan tidak menyenangkan pandangan.

Jika ia terkena tanah dan ditanam, ia bertukar menjadi baja yang menghasilkan banyak pokok yang berbuah.

Begitu juga dengan kamu wahai anak kesayanganku, apakah kamu sedang menggunaan segala pemberian ALLAH (badan, minda dan jiwa kamu) dengan betul dan selayaknya? Atau kamu sedang membusukkannya.


Saturday, February 22, 2014

Gaji Gred DG41 Dan DG42 Adalah Sama

Info yang diperolehi dari Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) memaklumkan bahawa guru-guru baru yang keluar dari IPGM atau Universiti (sepenuh masa) yang memperolehi Ijazah akan  dianggap sebagai lantikan baru dan ditawarkan ke gred DG41.

Manakala bagi guru-guru yang telah berada dalam sistem atau telah dilantik oleh SPP dan melanjutkan pelajaran (PJJ/OUM) akan ditawarkan gred naik pangkat DG42.

Gred DG41 dan DG42 gaji adalah sama.

Untuk kumpulan guru yang tamat PJJ/OUM yang belum dilantik oleh SPP boleh menunggu iklan pada bulan April untuk memohon kegred DG42.


- KPPK

Saturday, February 15, 2014

Wednesday, February 12, 2014

E-book Ditambah Baik, Sasar Peningkatan Dalam UPSR

Kandungan dalam buku elektronik (e-book) yang diagih oleh kerajaan Terengganu kepada murid tahun lima di negeri itu ditambah baik dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata antara penambahbaikan yang dibuat ialah memuatkan lebih 1,000 soalan untuk setiap subjek Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Kalau murid menumpukan latihan berterusan terhadap lima subjek UPSR dalam e-book itu, pelajar kita mampu memperoleh (markah) 80 peratus dalam peperiksaan itu," katanya dalam sidang media, di sini Selasa.

Selain itu, Ghazali berkata kerajaan negeri juga sudah meminta syarikat Top IT yang mengeluarkan e-book berkenaan agar turut memuatkan subjek 'Trenglish' bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid.

"Walaupun subjek ini untuk pelajar tingkatan dua hingga empat, kita mahu murid kita didedahkan kepada bahasa Inggeris lebih awal," katanya.

Terdahulu Ghazali mengagihkan e-book kepada 516 murid dari 16 buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Ajil.


- BERNAMA

Tuesday, February 11, 2014

Khidmat Kaunseling, Kuasai Kemahiran Psikologi Bantu Guru

Kerjaya sebagai seorang guru, suatu profesion mulia yang dihormati masyarakat dalam melahirkan modal insan berkualiti, kini semakin mencabar dan berhadapan dengan pelbagai tekanan.

Seperti bidang kerjaya lain, tekanan yang mereka hadapi perlu diberi perhatian bagi memastikan mereka tidak mengalami stres dan menyebabkan mereka mengambil tindakan di luar jangkaan.

Mungkinkah insiden melibatkan guru lelaki mendenda dua murid Tahun Empat kerana tidak menyiapkan kerja sekolah di Perak baru-baru ini berlaku akibat tekanan kerja?


KUASAI KEMAHIRAN PSIKOLOGI KANAK-KANAK

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari berpendapat golongan pendidik kini bukan sahaja perlu menangani tekanan tetapi juga perlu diterapkan dengan kemahiran menangani psikologi kanak-kanak.

"Setiap pelajar mempunyai masalah dan perwatakan yang berbeza. Dalam konteks ini guru perlu 'up-to-date' dengan perkembangan semasa malah guru perlu menjadi model contoh terbaik kepada para pelajar.

"Jika seseorang guru gagal menangani tekanan ia akan memberi kesan buruk dan segala masalah itu akan dilepaskan kepada murid-murid yang tidak berupaya berbuat apa," katanya kepada Bernama.

Sependapat dengan Dr Muhamad Muhsin, seorang guru muda Nur Syahirah Nur Khuzaizi, 23, berkata kerjaya perguruan memerlukan kesabaran yang tinggi dan pendekatan psikologi adalah satu alternatif yang boleh dipraktikkan bagi memastikan para pelajar mematuhi peraturan di sekolah.


TANGANI TEKANAN DAN KAWAL DIRI

Berikutan cabaran dan faktor bebanan tugas serta tanggungjawab yang berat, Dr Muhamad Muhsin berkata ramai guru hari ini menghadapi tekanan dalam kerjaya mereka.

Meskipun tidak mempunyai data tepat bilangan guru yang mendapatkan khidmat kaunseling, beliau berkata pertambahan bilangannya dapat dilihat berdasarkan kekerapan mereka datang untuk mendapatkan rawatan.

"Tanda-tanda am seperti sakit badan, pening kepala dan jantung berdebar-debar adalah sebahagian daripada tekanan secara fizikal. Jika tekanan keterlaluan seseorang individu akan tidak cukup tidur, suka menyendiri dan hilang selera makan.

"Oleh itu, mereka (guru) perlu menjalani cara hidup sihat dan terapi terbaik apabila berasa tertekan adalah meluahkan masalah kepada seseorang yang dipercayai," katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berpendapat guru-guru mesti bijak mengawal diri kerana sebarang tindakan melampau boleh memberi kesan kepada mutu pengajaran dan pembelajaran, dan akhirnya menjejaskan hubungan antara guru dan pelajar.

"Hal ini terutamanya apabila melibatkan emosi dan kelakuan pelajar. Tugas sebagai seorang guru tidak habis setakat di kelas, ada kala mereka terpaksa berdepan dengan kerenah ibu bapa yang mudah 'melenting' sekiranya anak mereka 'ditegur'.

"Justeru ibu bapa perlu membuat pertimbangan dan jangan terus menghukum guru andai kata mereka menegur atau memarahi anak-anak mereka ini kerana sudah menjadi tugas seorang guru untuk mendidik supaya menjadi insan berguna," katanya.


IBU BAPA DAN GURU PERLU DIBERI KAUNSELING

Apakah tindakan yang perlu diambil bagi menangani masalah seperti insiden yang berlaku seperti di Perak itu? Apakah jaminan insiden seumpamanya tidak berulang lagi?

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan berkata dalam isu ini satu tindakan menyeluruh perlu diadakan supaya keputusan dibuat secara adil dan saksama tanpa menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak.

Menganggap hukuman yang dikenakan ke atas murid terbabit tidak munasabah dan menjejaskan reputasi guru di kalangan masyarakat, beliau mengesyorkan guru berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan mental dan sesi kaunseling bagi memastikan beliau tidak mengalami tekanan emosi.

Bukan hanya melibatkan guru berkenaan, Dr Mohd Ali berkata sesi kaunseling mestilah juga membabitkan ibu bapa pelajar bagi membantu pelajar terbabit menjalani alam persekolahan seperti biasa.

Mengenai tindakan Kementerian Pendidikan menukarkan guru terbabit ke sekolah lain, beliau berkata kementerian perlu mempertimbangkan semula tindakan bagi mengenal pasti punca dan langkah terbaik yang perlu diambil terhadap guru itu.

"Kalau dihantar ke sekolah lain, bagaimana dengan penerimaan pelajar dan guru di sekolah baru itu? Kita tidak mahu guru berkenaan akan berasa terasing disebabkan isu ini. Itu bukan tindakan yang baik...kementerian perlu sediakan platform khusus untuk menangani isu seperti ini," katanya.


PERTUKARAN GURU JEJAS PROSES PEMBELAJARAN PELAJAR LAIN

Berkongsi pendapat dengan Mohd Ali, Hashim berkata keputusan menukarkan guru terbabit bukanlah satu tindakan yang tepat sebaliknya mengganggu proses pembelajaran di sesebuah sekolah.

"Proses pertukaran seseorang guru itu bukan mudah. Ia memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun untuk proses dilakukan kerana kebiasaannya proses pertukaran berlaku pada awal dan akhir tahun sahaja.

"Namun disebabkan insiden ini, murid-murid terpaksa menunggu guru baharu bagi menggantikan guru tersebut dan ini boleh menjejaskan pencapaian murid-murid lain," katanya.



- BERNAMA

Saturday, February 8, 2014

KPM Memperkenalkan Buku Teks Versi Digital

Kementerian Pendidikan hari ini memperkenalkan buku teks versi digital yang boleh diakses secara dalam talian sebagai alternatif kepada buku teks bercetak.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata penggunaan buku teks digital itu yang mengandungi teks, grafik serta ciri flip (selak helaian) akan dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah di seluruh negara mulai tahun ini.

"Ini adalah proses pembangunan dan peningkatan sistem pendidikan bagi pastikan kita mencapai tahap yang baik dalam dunia. Kita merupakan antara satu per empat negara yang terawal di dunia yang melaksanakan perkara ini.

"Kita memberi penekanan kepada pembelajaran kendiri di mana pelajar boleh merujuk buku teks digital ini pada bila-bila masa dan di mana-mana mengikut tahap kemampuan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku teks digital di sini.

Beliau berkata dalam gelombang pertama (2013-2015), kementerian telah memuat naik 313 judul buku teks yang boleh diakses secara percuma melalui portal 1BestariNet menggunakan ID yang telah dibekalkan kepada semua guru dan murid.

Bagaimanapun, kata Idris, penggunaan buku teks bercetak masih dikekalkan buat masa ini.

Pendigitalan buku teks dilakukan dalam tiga gelombang seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula tahun 2013 hingga 2025.

Bagi gelombang kedua (2016-2020), kementerian merancang untuk menghasilkan buku teks dalam bentuk interaktif bagi mata pelajaran terpilih, yang mengandungi elemen teks, grafik, audio, video dan animasi untuk membantu pemahaman murid dalam pengajaran dan pembelajaran.

Gelombang ketiga (2021-2025) pula bakal menyaksikan penerbitan buku teks digital bagi semua mata pelajaran termasuk bagi murid berkeperluan khas.

Idris berkata para pelajar juga dibenarkan membawa peranti masing-masing (tablet, iPad) ke sekolah bagi tujuan mengakses buku teks digital untuk menggantikan buku teks bercetak.


- BERNAMA

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi