Kementerian
Pendidikan hari ini memperkenalkan buku teks versi digital yang boleh diakses
secara dalam talian sebagai alternatif kepada buku teks bercetak.
Menteri
Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata penggunaan buku teks digital itu
yang mengandungi teks, grafik serta ciri flip (selak helaian) akan dilaksanakan
secara berperingkat di semua sekolah di seluruh negara mulai tahun ini.
"Ini
adalah proses pembangunan dan peningkatan sistem pendidikan bagi pastikan kita
mencapai tahap yang baik dalam dunia. Kita merupakan antara satu per empat
negara yang terawal di dunia yang melaksanakan perkara ini.
"Kita
memberi penekanan kepada pembelajaran kendiri di mana pelajar boleh merujuk
buku teks digital ini pada bila-bila masa dan di mana-mana mengikut tahap
kemampuan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan
buku teks digital di sini.
Beliau
berkata dalam gelombang pertama (2013-2015), kementerian telah memuat naik 313
judul buku teks yang boleh diakses secara percuma melalui portal 1BestariNet
menggunakan ID yang telah dibekalkan kepada semua guru dan murid.
Bagaimanapun,
kata Idris, penggunaan buku teks bercetak masih dikekalkan buat masa ini.
Pendigitalan
buku teks dilakukan dalam tiga gelombang seperti yang termaktub dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula tahun 2013 hingga 2025.
Bagi
gelombang kedua (2016-2020), kementerian merancang untuk menghasilkan buku teks
dalam bentuk interaktif bagi mata pelajaran terpilih, yang mengandungi elemen
teks, grafik, audio, video dan animasi untuk membantu pemahaman murid dalam
pengajaran dan pembelajaran.
Gelombang
ketiga (2021-2025) pula bakal menyaksikan penerbitan buku teks digital bagi
semua mata pelajaran termasuk bagi murid berkeperluan khas.
Idris
berkata para pelajar juga dibenarkan membawa peranti masing-masing (tablet,
iPad) ke sekolah bagi tujuan mengakses buku teks digital untuk menggantikan
buku teks bercetak.
-
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment