Sunday, February 23, 2014

Guru Nadi Kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)

Selepas mengumumkan 10 pencapaian utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan tahun ini mencorakkan landskap pendidikan negara yang lebih mengutamakan kerjasama pelbagai pihak.

Bermula daripada pengurusan tertinggi kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah, pelajar dan guru, sokongan ibu bapa serta komuniti sangat diharapkan bagi memastikan program dirancang berjaya dilaksanakan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, penggemblengan tenaga semua pihak itu mempunyai satu matlamat asas iaitu menghasilkan modal insan yang berkualiti, sekali gus meletakkan sistem pendidikan negara sama hebat dengan negara lain.

Beliau berkata, sasaran utama bagi memastikan pelajar dipersiapkan dengan ilmu, nilai dan kemahiran yang membolehkan mereka bersaing di peringkat global menerusi pendidikan bertaraf dunia.

Tidak hanya menumpukan pelajar, PPPM memberi tumpuan kepada transformasi profesion keguruan dengan memastikan kepemimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di semua sekolah.

Guru, menurut beliau, merupakan penggerak utama kepada kejayaan pelaksanaan PPPM yang sangat berfokus kepada keberhasilan murid, justeru pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk mempertingkat kualiti guru dan pemimpin sekolah dalam sistem pendidikan.

“Bagi memperkasakan guru sedia ada, pada suku pertama tahun ini (Januari hingga Mac) kementerian menyediakan lebih 1,278 Pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) dan 339 Rakan Peningkatan Sekolah (SIPartner+) yang akan dilantik dan ditempatkan di setiap PPD menerusi Program Transformasi Daerah (PTD).

“SISC+ dan SIPartner+ akan berfungsi membantu mengukuhkan cara pengajaran guru, tahap kepemimpinan guru besar dan pengetua menerusi penilaian dan perbincangan yang dilakukan di antara mereka.

“Selain itu, dialog prestasi akan diadakan setiap bulan antara guru besar dan pengetua bersama PPD dan JPN bagi mengenal pasti serta mengatasi pelbagai isu berbangkit dengan kadar segera,” katanya yang menjelaskan, PTD akan diperluas ke seluruh negara mulai tahun ini selepas dirintis di Sabah dan Kedah pada 2013.

Menurutnya, kejayaan PTD tahun lalu membabitkan 2,500 sekolah, 89,000 guru dan kira-kira sejuta murid.

Keberkesanan program berkenaan di dua negeri itu dapat dilihat melalui keputusan UPSR dan PMR yang mencatatkan peningkatan memberangsangkan.

peningkatan memberangsangkan.

Tahun ini juga, kementerian akan memberi tumpuan kepada Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan skor Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA).

Dr Khair berkata, bagi mengubah daripada sistem persekolahan kepada sistem pembelajaran yang membabitkan komuniti, kementerian sedar kerjasama daripada semua pihak sangat penting.

“Oleh itu, tahun ini kita akan memastikan inisiatif ini bergerak lebih pantas dan berkesan.

“Mengambil contoh Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Senawang, Negeri Sembilan yang dilawati tahun lalu, lawatan kami disambut oleh ibu bapa dan bukan guru sekolah kerana mereka tidak mahu menjejaskan pembelajaran murid.

“Saya berharap, kerjasama dibina di antara pihak pengurusan sekolah, guru dan ibu bapa seperti ini akan berterusan bukan saja di sekolah ini, tetapi juga sekolah lain,” katanya.

Sementara itu, kementerian akan memastikan setiap pencapaian dalam inisiatif dan program yang dirancang menerusi PPPM sentiasa sejajar dengan sasaran yang ditetapkan.

Menurutnya, penekanan terhadap tindakan cepat juga diberi tumpuan supaya semua warga kementerian, termasuk guru dapat menghayati hasrat dan pelan dilaksanakan.

Bagi memastikan kelangsungan PPPM, program turun padang turut dilaksanakan supaya semua pihak memahami perancangan dan perubahan yang akan dilakukan, sekali gus memastikan transformasi berjalan lancar.

Beliau berkata, paling penting, transformasi berlaku dalam kelas supaya ia boleh berlaku secara menyeluruh, dan disebabkan itu kementerian akan ke kelas bersama-sama guru dan pemimpin sekolah supaya mereka, termasuk murid, memahami apa yang dihasratkan dalam PPPM.

“Transformasi dirancangkan bermula dari dalam bilik darjah.

Sedikit perubahan yang berlaku ini akan mencetuskan gelombang besar dalam perubahan dunia pendidikan kita.

“Harapan saya sangat besar kepada guru kerana mereka adalah individu yang pakar dalam bidang masing-masing bagi merealisasikan transformasi dimaksudkan.


- Hmetro

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi