Tuesday, February 11, 2014

Khidmat Kaunseling, Kuasai Kemahiran Psikologi Bantu Guru

Kerjaya sebagai seorang guru, suatu profesion mulia yang dihormati masyarakat dalam melahirkan modal insan berkualiti, kini semakin mencabar dan berhadapan dengan pelbagai tekanan.

Seperti bidang kerjaya lain, tekanan yang mereka hadapi perlu diberi perhatian bagi memastikan mereka tidak mengalami stres dan menyebabkan mereka mengambil tindakan di luar jangkaan.

Mungkinkah insiden melibatkan guru lelaki mendenda dua murid Tahun Empat kerana tidak menyiapkan kerja sekolah di Perak baru-baru ini berlaku akibat tekanan kerja?


KUASAI KEMAHIRAN PSIKOLOGI KANAK-KANAK

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari berpendapat golongan pendidik kini bukan sahaja perlu menangani tekanan tetapi juga perlu diterapkan dengan kemahiran menangani psikologi kanak-kanak.

"Setiap pelajar mempunyai masalah dan perwatakan yang berbeza. Dalam konteks ini guru perlu 'up-to-date' dengan perkembangan semasa malah guru perlu menjadi model contoh terbaik kepada para pelajar.

"Jika seseorang guru gagal menangani tekanan ia akan memberi kesan buruk dan segala masalah itu akan dilepaskan kepada murid-murid yang tidak berupaya berbuat apa," katanya kepada Bernama.

Sependapat dengan Dr Muhamad Muhsin, seorang guru muda Nur Syahirah Nur Khuzaizi, 23, berkata kerjaya perguruan memerlukan kesabaran yang tinggi dan pendekatan psikologi adalah satu alternatif yang boleh dipraktikkan bagi memastikan para pelajar mematuhi peraturan di sekolah.


TANGANI TEKANAN DAN KAWAL DIRI

Berikutan cabaran dan faktor bebanan tugas serta tanggungjawab yang berat, Dr Muhamad Muhsin berkata ramai guru hari ini menghadapi tekanan dalam kerjaya mereka.

Meskipun tidak mempunyai data tepat bilangan guru yang mendapatkan khidmat kaunseling, beliau berkata pertambahan bilangannya dapat dilihat berdasarkan kekerapan mereka datang untuk mendapatkan rawatan.

"Tanda-tanda am seperti sakit badan, pening kepala dan jantung berdebar-debar adalah sebahagian daripada tekanan secara fizikal. Jika tekanan keterlaluan seseorang individu akan tidak cukup tidur, suka menyendiri dan hilang selera makan.

"Oleh itu, mereka (guru) perlu menjalani cara hidup sihat dan terapi terbaik apabila berasa tertekan adalah meluahkan masalah kepada seseorang yang dipercayai," katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berpendapat guru-guru mesti bijak mengawal diri kerana sebarang tindakan melampau boleh memberi kesan kepada mutu pengajaran dan pembelajaran, dan akhirnya menjejaskan hubungan antara guru dan pelajar.

"Hal ini terutamanya apabila melibatkan emosi dan kelakuan pelajar. Tugas sebagai seorang guru tidak habis setakat di kelas, ada kala mereka terpaksa berdepan dengan kerenah ibu bapa yang mudah 'melenting' sekiranya anak mereka 'ditegur'.

"Justeru ibu bapa perlu membuat pertimbangan dan jangan terus menghukum guru andai kata mereka menegur atau memarahi anak-anak mereka ini kerana sudah menjadi tugas seorang guru untuk mendidik supaya menjadi insan berguna," katanya.


IBU BAPA DAN GURU PERLU DIBERI KAUNSELING

Apakah tindakan yang perlu diambil bagi menangani masalah seperti insiden yang berlaku seperti di Perak itu? Apakah jaminan insiden seumpamanya tidak berulang lagi?

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan berkata dalam isu ini satu tindakan menyeluruh perlu diadakan supaya keputusan dibuat secara adil dan saksama tanpa menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak.

Menganggap hukuman yang dikenakan ke atas murid terbabit tidak munasabah dan menjejaskan reputasi guru di kalangan masyarakat, beliau mengesyorkan guru berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan mental dan sesi kaunseling bagi memastikan beliau tidak mengalami tekanan emosi.

Bukan hanya melibatkan guru berkenaan, Dr Mohd Ali berkata sesi kaunseling mestilah juga membabitkan ibu bapa pelajar bagi membantu pelajar terbabit menjalani alam persekolahan seperti biasa.

Mengenai tindakan Kementerian Pendidikan menukarkan guru terbabit ke sekolah lain, beliau berkata kementerian perlu mempertimbangkan semula tindakan bagi mengenal pasti punca dan langkah terbaik yang perlu diambil terhadap guru itu.

"Kalau dihantar ke sekolah lain, bagaimana dengan penerimaan pelajar dan guru di sekolah baru itu? Kita tidak mahu guru berkenaan akan berasa terasing disebabkan isu ini. Itu bukan tindakan yang baik...kementerian perlu sediakan platform khusus untuk menangani isu seperti ini," katanya.


PERTUKARAN GURU JEJAS PROSES PEMBELAJARAN PELAJAR LAIN

Berkongsi pendapat dengan Mohd Ali, Hashim berkata keputusan menukarkan guru terbabit bukanlah satu tindakan yang tepat sebaliknya mengganggu proses pembelajaran di sesebuah sekolah.

"Proses pertukaran seseorang guru itu bukan mudah. Ia memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun untuk proses dilakukan kerana kebiasaannya proses pertukaran berlaku pada awal dan akhir tahun sahaja.

"Namun disebabkan insiden ini, murid-murid terpaksa menunggu guru baharu bagi menggantikan guru tersebut dan ini boleh menjejaskan pencapaian murid-murid lain," katanya.



- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi