Kementerian
Pendidikan sedang dalam peringkat pembaikan sistem Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) dan dijadual dapat beroperasi dengan lebih berkesan pada April
ini.
Pengarah
Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak berkata, usaha meningkatkan keberkesanan
sistem tersebut sedang giat dijalankan sejak beberapa bulan lalu bagi
mengelakkannya menjadi bebanan kepada guru.
Menurutnya,
beberapa kaedah termasuk mengganti sistem baharu dan membuat ujian keberkesanan
sedang dijalankan sebelum sistem itu dapat berfungsi dengan lebih baik untuk
memudahkan guru mengisi data murid.
''Memang
sistem PBS menghadapi masalah dan kementerian sedang dalam usaha mengatasi
kelemahan ini, ia sedang dalam peringkat pembaikan.
''Pembaikan
sistem ini memerlukan sedikit masa lagi sebelum dapat digunakan sepenuhnya pada
April kerana yang penting ia dapat membantu guru menjalankan tugas mereka
dengan baik dan berkesan tanpa mendatangkan sebarang masalah selepas ini,"
katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya Putrajaya, baru-baru ini.
Pelaporan
ini diharap dapat memberi gambaran tentang potensi murid secara holistik dan
maklumat tersebut dapat membantu murid membuat keputusan yang lebih tepat dalam
pemilihan aliran pendidikan di peringkat menengah atas.
PBS
merupakan transformasi sistem pendidikan negara yang sebelum ini berfokuskan
peperiksaan diubah kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik
namun didakwa membebankan guru ekoran sering tergendala menyebabkan data murid
terpaksa dimasukkan pada lewat malam.
Selain
itu, Na'imah berkata, berbanding PMR yang mana murid akan diuji pada akhir
tingkatan 3 dengan peperiksaan pusat yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan,
penilaian PBS melalui empat komponen tersebut ditaksir mengikut pengetahuan, kefahaman,
kemahiran dan nilai yang menjurus kepada profil, pencapaian, perkembangan serta
penyertaan murid.
''Ibu
bapa akan mengetahui tahap pencapaian anak mereka melalui pernyataan keputusan
bagi empat komponen PBS yang mengandungi komponen akademik dan bukan akademik
yang dikeluarkan pihak sekolah mengikut Band 1 hingga 6.
''Keputusan
pernyataan Pentaksiran Pusat (PP) A hingga F iaitu Cemerlang atau belum
mencapai tahap minimum masih dikeluarkan oleh pihak Lembaga Peperiksaan
manakala Pentaksiran Sekolah, keputusan kokurikulum dan inventori murid
dikeluarkan pihak sekolah," jelas Na'imah.
Katanya,
beberapa penambahbaikan dilakukan dalam pelaporan PBS antaranya termasuklah
semua mata pelajaran murid ditaksir menyeluruh dari tingkatan 1, 2 hingga 3
mengikut Band dan pelaporan dijana oleh sistem.
Penilaian
melalui PBS itu merangkumi empat komponen iaitu Pentaksiran Sekolah (PS),
Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
(PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).
Menurutnya,
konsep PBS menekankan pentaksiran bersifat holistik bertujuan membangunkan
modal insan menyeluruh dengan memiliki ciri profil murid PBS, maklumat tentang
kebolehan murid dikumpul lebih komprehensif melalui profil dan pencapaian
murid.
-
Utusan
0 comments:
Post a Comment