Wednesday, June 30, 2010

PERLUKAH UPSR DAN PMR DIMANSUHKAN

Pada pendapat saya, penilaian perlu dilaksanakan tetapi tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. Justeru itu, kita semua perlu mengubah minda, tidak terlalu mendambakan kecemerlangan dalam peperiksaan. Biarlah kecemerlangan akedemik disertakan juga dengan kecemerlangan sahsiah.


Saya melihat, peperiksaan itu tidak salah dan perlu dalam proses P&P tetapi dalam isu ini orang-orang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang menyebabkan penilaian itu lebih menjurus kepada berorientasikan peperiksaan. Sebagai contoh, apabila sesuatu peperiksaan itu diumumkan, semua pihak mendambakan kecemerlangan peperiksaan tersebut dan pelajar yang berjaya diangkat dipuja. Pelajar yang tidak cemerlang tersisih, sedangkan pelajar ini mungkin cemerlang dari segi sahsiah dan pengurusan diri mereka, yang dilihat boleh membentuk insan yang seimbang dalam melalui kehidupan mendatang.


Di peringkat sekolah, timbulnya tekanan untuk melahirkan kecemerlangan akedemik dengan sedikit sebanyak mengabai aspek yang lain. Jika gagal sekolah tersebut akan dilabel sekolah bermasalah dari segi pentadbiran dan gurunya. Tetapi bagi yang cemerlang selepas peperiksaan tersebut tiada pula pemantauan terhadap tahap pencapaian atau perjalanan kehidupan pelajar tersebut. Adakah kecemerlangan mereka dulu mempunyai kesinambungan dan memperlihatkan kecermalangan sahsiah dalam kehidupan mereka, seterusnya menjadikannya seorang insan yang benar-benar berjaya dan berkualiti dalam kehidupan mereka untuk kesejahteraan negara, bangsa dan agama; atau kecemerlangan yang dicapai dulu terhenti setakat peperiksaan di situ sahaja, kalau terus mencapai cemerlang pun kehidupan mereka mungkin mundur dari segi sahsiah yang dapat dilihat pada sahsiah remaja sekarang ini.


Justeru itu, berbalik kita kepada matlamat pendidikan negara, apakah kita hanya mendambakan kecemerlangan akedemik semata-mata. Biarlah institusi pendidikan itu dapat melahirkan insan yang dapat menjana kehidupan pelajar masa hadapan dalam semua aspek; yang dilihat lebih mencabar dan komplek untuk ditempuhi dimasa hadapan......

Wednesday, June 23, 2010

Ujian khas ganti UPSR, PMR

PUTRAJAYA: Ujian khas mungkin diwujudkan bagi menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi memilih pelajar yang layak dan ingin memasuki sekolah berasrama penuh (SBP)

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ujian berkenaan tidak wajib kepada semua pelajar, tetapi hanya diadakan untuk mereka yang memilih SBP untuk meneruskan pelajaran ke peringkat menengah.


“Ujian khas ini pernah dilaksanakan dulu untuk kemasukan ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Ia mungkin akan diselaraskan, tetapi bukan dijadikan peperiksaan wajib.


“Ramai pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR tidak berminat untuk ke SBP. Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat cadangan,” katanya selepas majlis lawatan sambil belajar 49 anak yatim dan pengasuh Asrama Anak yatim Johor di Aceh di kementerian Pelajaran di sini, semalam.


Beliau berkata, kementerian menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk tokoh akademik berhubung cadangan itu.


“Maklum balas daripada masyarakat amat penting kerana pendidikan satu perkara dinamik yang perlu ditransformasikan berdasarkan kehendak semasa.


“Malah, kementerian sudah membuat kajian kerana sistem pentadbiran sudah berubah sama ada kita mahu menggunakan sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan atau sebaliknya,” katanya.


Dr Mohd Puad berkata, pemansuhan UPSR dan PMR adalah perlu untuk menjadikan sistem vokasional sebagai pendidikan arus perdana.


Beliau berkata, ia juga perlu bagi memastikan sistem pendidikan negara mempunyai dua aliran iaitu vokasional dan akademik.


“Kalau nak mengarus perdanakan sistem vokasional supaya ia mempunyai sistem peperiksaan sendiri berbanding Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maka menghapuskan dua peperiksaan awam ini amat perlu.


“Maka, barulah kita dapat menunaikan di negara ini ada dua aliran yang menjadi pilihan, iaitu vokasional dan akademik,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Monday, June 21, 2010

Memansuhkan Ujian UPSR dan PMR

KUALA LUMPUR: Beberapa pihak berkaitan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengelakkan sistem pendidikan negara daripada terus berorientasikan peperiksaan.

Masing-masing juga berpendapat pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar menumpukan kepada peperiksaan yang lebih penting dalam menentukan hala tuju mereka.


Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Jais Abdul Karim, berkata langkah itu akan dapat memantapkan sistem pendidikan dan seterusnya melahirkan pelajar yang lebih fokus dan tenang.


“Sistem kita hari ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan ini memberi tekanan kepada pelajar dan mereka belajar secara membuta tuli semata-mata untuk lulus peperiksaan tanpa memikirkan sama ada ilmu yang diperoleh boleh digunakan pada masa akan datang,” katanya.


Pemansuhan itu juga katanya akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar secara lebih berkesan dan tidak terikat dengan jadual peperiksaan.


Bagaimanapun katanya, pada masa yang sama kementerian wajar mencari kaedah lain yang lebih sesuai untuk mengukur pencapaian pelajar.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata, kementerian itu mungkin memansuhkan dua peperiksaan tersebut. Ini berikutan aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.


Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata pemansuhan PMR wajar dilaksana memandangkan peranan peperiksaan tingkatan tiga itu hanya untuk menentukan aliran yang akan diikuti mereka ketika di tingkatan empat.


“Akan tetapi UPSR wajar dikekalkan kerana masih relevan sebagai penarafan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan lebih bersedia sebelum memasuki sekolah menengah,” katanya.


Pegawai Perhubungan Pesatuan Bekas Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Abdul Karim Abdullah pula berkata, pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar dan guru menumpukan perhatian kepada kegiatan kokurikulum dan sukan. - Bernama

Sumber: Harian Metro

Wednesday, June 16, 2010

Pengajaran lebih kreatif tarikan pelajar

PEMBELAJARAN melalui eksperimen, reka cipta serta penyelidikan yang kini dilaksanakan melalui subjek sains turut meliputi kemahiran hidup dan keusahawanan sejajar pelaksanaan kurikulum baru.

TURUN PADANG...sistem pengajaran dan pembelajaran akan lebih  efektif jika pelajar diberi penerangan sambil menunjukkan contoh  mengenai sesuatu topik. - Gambar hiasan

Sistem pengajaran dan pembelajaran akan lebih efektif jika pelajar diberi penerangan
sambil menunjukkan contoh mengenai sesuatu topik - gambar hiasan

Menerusinya elemen kreatif, inovasi dan kemahiran hidup diterapkan dalam proses pengajaran, pembelajaran dan pengajaran dalam semua subjek.


Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menurut laporan akhbar berkata, menerusi pelaksanaan kurikulum baru itu, strategi pengajaran dan pembelajaran bakal menggunakan pendekatan tertentu.


Ia membabitkan pendekatan penyelidikan membina, pembelajaran mengikut konteks serta penguasaan pembelajaran yang menggabungkan pelbagai teknik fokus.


Malah, ia turut merangkumi uji kaji, perbincangan rakan sebaya, rangsangan, lawatan lapangan dan aktiviti menyelesaikan masalah yang membolehkan aplikasi sumber di dalam dan di luar bilik darjah.


Namun, keberkesanan kurikulum baru ini bergantung kepada keupayaan guru memperbaiki amalan pengajaran dalam bilik darjah dan strategi yang harus diguna pakai.


Antaranya pendekatan pertanyaan yang membina, pembelajaran mengikut konteks serta penguasaan penuh yang menggabungkan pelbagai teknik berpusatkan pelajaran.


Bermakna guru perlu lebih inovatif dalam amalan pengajaran dan menggunakan pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif serta memacu potensi inovatif generasi muda.


Pelaksanaan kurikulum baru itu juga adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan menyediakan dan memperluaskan pendidikan berkualiti.


Persoalannya, sudahkah guru bersedia dan adakah mereka mampu melakukannya?

Berdasarkan bebanan guru yang semakin meruncing, tidakkah pelaksanaan ini menambahkan beban dan tekanan selain persoalan sejauh manakah aspek kualiti boleh ditampilkan?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan berkata, pelaksanaan kurikulum baru itu perlu dilakukan kerana guru pada masa ini perlu lebih inovatif dan kreatif dalam pengajaran.


Menurutnya, cara pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlulah terkini dan tidak boleh terikat dengan modul lama kerana pemikiran pelajar sudah berubah.

"Kaedah yang digunakan kini lebih kepada teori, namun pada zaman serba baru ini, cara itu sudah ketinggalan kerana pelajar lebih agresif dalam pencarian ilmu.

"Sudah sampai masanya guru menggunakan mekanisme baru dengan menukar kaedah yang diguna pakai ke arah yang lebih inovasi, kreatif dan ke depan supaya pelajar juga tidak berasa bosan," katanya.


Pembelajaran subjek geografi umpamanya, pelajar lebih gemar maklumat berbentuk fizikal berbanding teori kerana mereka suka meneroka, bertanya dan melihat subjek yang dipamerkan termasuk tanah dan batuan.


"Jika teori saja, sudah tentu mereka bosan dan natijahnya bukan saja tidak berminat, malah boleh menyebabkan maklumat yang ingin disampaikan gagal.


"Tapi jika digabungkan dengan fizikal serta kerja luar, sudah tentu mereka suka dan berminat. Guru perlu tahu perbezaan ini, justeru pelaksanaan kurikulum itu memang bersesuaian dengan kehendak sektor pendidikan masa kini," katanya.

Azam berkata, guru berinovasi perlu bersedia kerana cabaran dunia pendidikan kini sebagai tinggi dan sukar.


"Zaman sudah jauh berubah, pelajar semakin kreatif dan ada kalanya guru gagal memberi jawapan dikehendaki.

"Mengendalikan pelajar perlukan persediaan yang kuat, bukan saja emosi tapi juga pengetahuan ilmiah. Guru jangan berpeluk tubuh, sebaliknya perlu 'bergerak' seiring permintaan dunia semasa," kata Azam.


Sementara itu, Guru Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Agama Bestari Subang Jaya, Abdul Raouf Dahlan berkata, pelaksanaan kurikulum baru berkenaan lebih membebankan guru jika tugas remeh yang digalas tidak dimansuhkan.


"Kurikulum adalah tugas hakiki guru dan perlu dilaksanakan dengan cara terbaik. Bagaimanapun, dengan adanya tugas bukan hakiki guru seperti perkeranian, pelaksanaan ini lebih membebankan.


"Jika mahu melaksanakannya, tugas kurang penting itu wajar dimansuhkan supaya guru dapat beri sepenuh perhatian kepada pelaksanaannya," katanya.

Sumber:Harian Metro

Guru sukan akan dilatih semula

GURU sukan akan dilatih semula melalui pusat latihan di sekolah tertentu sebagai langkah awal untuk memastikan kerajaan dapat melaksanakan program satu sekolah satu sukan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Ini cukup penting bagi memastikan pelajar dapat dibangunkan potensi mereka berasaskan kepada aktiviti kokurikulum dan ditumpukan kepada sukan,” katanya.


Beliau berkata, sekolah tertentu akan dipilih untuk dijadikan pusat melahirkan guru sukan yang boleh dipinjamkan atau digunakan sekolah di sekelilingnya.


“Usaha ini bukan sahaja untuk melahirkan juara dalam bidang sukan, malah memastikan anak-anak kita terbabit dengan aktiviti yang dapat membangunkan potensi mereka dan tidak terlalu obses dengan peperiksaan,” katanya ketika menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) berkaitan guru sukan bagi satu pelajar satu sukan dan keperluan kepada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Dewan Rakyat.

Sumber: Harian Metro

Monday, June 14, 2010

Syor wajib Tamil, Mandarin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji cadangan mewajibkan subjek Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di sekolah kebangsaan bagi membolehkan murid pelbagai kaum di negara ini menguasai lebih daripada dua bahasa, termasuk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pembelajaran bahasa ibunda memang sudah ada dalam dasar Kementerian Pelajaran, tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Justeru, ia (cadangan) akan diteliti. Saya sedar dengan usaha itu, mungkin rakyat kita bukan saja daripada keturunan India atau Cina tetapi keturunan lain boleh belajar lebih daripada dua bahasa seperti bahasa Mandarin dan Tamil serta bahasa kita sendiri.

“Dengan cara itu, kita dapat berinteraksi dengan mudah dan dapat menghayati cara kehidupan masyarakat pelbagai kaum serta menghargai nilai seni budaya dan bangsa, selain menimba ilmu daripada bahasa berkenaan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan 2010, di sini semalam.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas permintaan Presiden PPP, Datuk M Kayveas dalam ucapannya sebelum itu supaya Mandarin dan Tamil dijadikan sebagai subjek wajib dalam sistem pendidikan negara bagi menggambarkan gagasan 1Malaysia yang sebenar.

Kayveas juga meminta kerajaan menyelesaikan isu berhubung pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang didakwanya ada pelajar tidak layak mendapat biasiswa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, isu biasiswa sudah dibangkitkan di peringkat Kabinet dan kerajaan sedang meneliti langkah untuk memastikan pelajar yang layak dengan keputusan cemerlang tidak diabaikan, termasuk memberikan pinjaman pelajaran.

“Mereka harus diberikan peluang untuk membolehkan mereka belajar sampai ke peringkat universiti. Kalau pun tidak biasiswa, mungkin dengan bantuan pinjaman pelajaran bagi menyelesaikan pengajian mereka,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan memperuntukkan RM40 juta setahun bagi menanggung kos pembayaran utiliti sekolah bantuan modal termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Mubaligh.

Katanya, ia sebahagian daripada usaha kerajaan yang bermula tahun ini bagi mengurangkan beban sekolah berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Sunday, June 6, 2010

Atur Cuti Sabtu Guru

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mencadangkan guru besar dan pengetua mengeluarkan takwim serta mengatur jadual guru dengan terancang supaya pelaksanaan cuti dua kali Sabtu sebulan dapat dilaksanakan seperti ditetapkan pekeliling Kementerian Pelajaran.

Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata hanya perancangan teratur akan menjamin pelaksanaan cuti dua kali Sabtu itu berjalan lancar dan sebaiknya guru terbabit dimaklumkan lebih awal.


Katanya, beliau tidak mahu perkara berkenaan hanya tertulis sebagai pekeliling saja tetapi tidak dapat dipraktik dan guru terus menerima bebanan tugasan yang banyak.


“Kita harap dengan adanya pekeliling itu, tiada pihak lain seperti Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengambil kesempatan untuk melaksanakan program atau kursus pada Sabtu yang sepatutnya menjadi waktu rehat guru. Apa yang penting, hal berkaitan sekolah dan pelajar perlu diutamakan berbanding program peringkat PPD,” katanya.


Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, kelmarin mengenai usaha terbaru Kementerian Pelajaran mewajibkan guru besar dan pengetua memberikan guru dua kali Sabtu setiap bulan untuk mengurangkan beban tugas mereka.


Katanya, guru besar dan pengetua tidak boleh memaksa guru bertugas pada setiap Sabtu untuk aktiviti kokurikulum dan akademik bagi memberi ruang kepada mereka berehat.


Sabri berkata, beliau berpendapat pemberian cuti dua kali Sabtu setiap bulan itu memberi kebaikan kepada sekolah yang mempunyai dua sesi yang menggunakan bangunan sekolah yang sama.


“Pemberian cuti itu akan memudahkan guru di sekolah dua sesi merancang jadual mereka dan bagi sekolah satu sesi kita harap dengan pemberian cuti dua kali Sabtu itu tidak timbul lagi guru bertugas sehingga 4.30 petang selepas memulakan tugas seawal 7.30 pagi,” katanya.


“Sepatutnya dengan adanya cuti pada Sabtu, guru boleh merancang aktiviti kokurikulum dan akademik dengan lebih sistematik dan mereka boleh pulang awal kerana tidak perlu melaksanakan aktiviti selepas waktu pengajaran,” katanya.


Kelmarin, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, meminta semua pengetua dan guru besar supaya akur dengan surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran itu.


Katanya, tindakan segelintir pengetua dan guru besar yang memaksa guru mereka mengajar kelas tambahan pada setiap hari Sabtu hanya merugikan pihak sekolah dan guru itu sendiri.


Sumber: Berita Harian

Wednesday, June 2, 2010

Bahasa Indonesia kelima popular dalam Facebook

Menurut kajian terbaru dilakukan ke atas laman rangkaian sosial itu, lebih 20 juta penutur bahasa Indonesia menjadi ahli Facebook.


Kajian dilakukan syarikat penyelidik berpangkalan di California, Amerika Syarikat, Inside Network.


Sementara itu, bahasa Inggeris menjadi bahasa paling lazim digunakan, membabitkan separuh daripada lebih 200 juta pengguna Facebook, diikuti Sepanyol, Perancis dan Turki.


Bahasa Indonesia digunakan meluas berbanding bahasa Asia lain walaupun infrastruktur komunikasi dan akses komputer di negara itu belum menyeluruh.


Pola penggunaan bahasa itu juga, kata Inside Network, membuka peluang kepada penjanaan pendapatan.


“Ketika Facebook terus berkembang di seluruh dunia dan menarik perhatian di luar AS, penggunaan bahasa mungkin menjadi faktor lebih penting kepada pasaran dan pemaju,” kata laporan itu.


Bulan lalu, firma penyelidik, comScore menyatakan, Facebook memaparkan 176.3 bilion iklan - hanya di AS saja - dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini. Pada masa sama, ketika Facebook semakin popular, kritikan ke atasnya turut meningkat.


Pakistan menyekat laman itu hampir dua minggu - sebelum ditarik balik kelmarin - kerana ada pihak menggunakannya bagi menggalak orang ramai menghina Nabi Muhammad.


Mei lalu, ratusan ulama Indonesia menggesa pihak berkuasa mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook di kalangan umat Islam. Alasannya, laman web sosial itu membuka ruang maksiat. - AFP



Sumber: Harian Metro

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi