Thursday, November 27, 2014

Sediakan Komputer Riba Lengkap Perisian

Kementerian Pendidikan perlu menyediakan komputer riba yang lengkap dengan perisian setiap mata pelajaran kepada kesemua murid dan pelajar di seluruh negara sebelum melaksanakan Buku Teks Digital Interaktif Pintar pada 2016.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, penyediaan kesemua kemudahan tersebut perlu dilakukan dalam tempoh setahun supaya gelombang kedua transformasi buku teks berjalan lancar.

Katanya, kementerian juga disaran menyemak semula senarai sekolah yang mempunyai kemudahan internet berkelajuan tinggi 4G memandangkan banyak kawasan di luar bandar masih tertinggal.

“NUTP menyambut baik usaha kerajaan untuk meningkatkan pendidikan negara ke tahap yang lebih baik seiring dengan negara-negara maju lain, namun masih banyak perkara perlu diteliti sebelum inovasi itu dilaksanakan.

“Contoh paling mudah, sekiranya kita ingin menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada seseorang, kita perlu memastikan kemudahan jalan raya turut disediakan supaya pihak berkenaan dapat menikmati kemudahan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai langkah Kementerian Pendidikan yang bakal melancarkan buku teks digital bermula 2016 hingga 2025 sebagai kesinambungan daripada pelaksanaan gelombang pertama transformasi buku teks.

Tambah Hashim, pihaknya juga berharap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan dapat meneliti semula kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang akan memberi Netbook 1Malaysia kepada semua warga pendidik di seluruh negara.

Katanya, pengumuman Ahmad Shabery itu dibuat sempena Hari Guru lalu, bagaimanapun difahamkan masih ramai guru belum menerima kemudahan tersebut sehingga kini.

Sementara itu, Ketua Moderator Kelab Intelek dan Pendidikan Malaysia (KiTM), Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari berkata, kementerian perlu memastikan saiz pangkalan data buku teks digital mampu menampung jumlah penggunaan supaya kelemahan yang berlaku dalam sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (SPPBS) tidak berulang.

Katanya, kelemahan SPPBS sebelum ini menyebabkan ramai guru merungut kerana mereka gagal menyiapkan tugas tepat pada masanya, malah terpaksa memasukkan data pelajar pada lewat malam kerana sistem tersebut tidak boleh dilayari walaupun selepas waktu pejabat.

“Kejadian tersebut adalah memalukan kerana usaha membangunkan pendidikan secara menyeluruh dan holistik gagal akibat kelemahan capaian internet.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan komputer riba yang bakal digunakan dalam sistem buku teks digital mempunyai spesifikasi lengkap tidak seperti pemberian Netbook 1Malaysia yang hanya mampu bertahan beberapa bulan,” katanya.


- Utusan

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi