Sunday, January 2, 2011

Sasar 100 peratus kadar literasi murid sekolah rendah menjelang 2012

Kementerian Pelajaran menyasarkan mencapai kadar literasi dan numerasi 100 peratus menjelang 2012 bagi murid sekolah rendah menerusi program Literasi dan Numerasi (Linus).


Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, program berkenaan yang diperkenalkan tahun ini melibatkan tiga kali proses saringan iaitu pada Mac, Jun dan September untuk mengenal pasti murid-murid yang tidak mencapai tahap dikehendaki.


"Saringan ini dilakukan ke atas murid tahun satu dan mereka yang gagal dalam saringan ini akan ditempatkan sama ada di dalam kelas Linus untuk meningkatkan tahap kemahiran mereka atau ditempatkan menerusi program Pendidikan Khas seandainya mereka didapati menghadapi masalah ketidakmampuan belajar," katanya.


Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Walk to End Polio' di Skudai Kiri, dekat sini hari ini, beliau berkata, Kementerian Pelajaran yakin mencapai sasaran tersebut berdasarkan pencapaian kadar literasi dan numerasi sehingga penghujung tahun ini adalah hampir 90 peratus.


Kementerian berkenaan menjangkakan kadar tersebut akan meningkat kepada 95 peratus pada tahun depan dan seterusnya mencapai sasaran 100 peratus menjelang 2012.


"Sekolah di kawasan bandar tidak mempunyai masalah untuk menguasai program Linus yang menekankan aspek kemahiran asas bahasa dan matematik asas tetapi sekolah di luar bandar masih ada beberapa ruang untuk diperbaiki," katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan akan bekerjasama bagi mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah kesihatan kronik di peringkat lebih awal.


Pengesanan di peringkat lebih awal khususnya murid sekolah rendah adalah penting bagi membolehkan kedua-dua kementerian berkenaan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada pelajar yang menghidap penyakit kronik.


Diminta mengulas isu disiplin pelajar, Ka Siong berkata, sebanyak 97 peratus pelajar di seluruh negara mempunyai tahap disiplin yang baik dan hanya tiga peratus pelajar yang bermasalah.


"Punca masalah disiplin ini adalah ponteng sekolah sehingga menyebabkan mereka terlibat dalam masalah sosial.


"Justeru, kita berharap semua pihak khususnya ibu bapa berganding bahu bersama pihak sekolah bagi mengatasi masalah ini," katanya.


Menurutnya, kaedah paling berkesan untuk mengatasi masalah disiplin adalah menerusi kaunseling berbanding memberi hukuman semata-mata.



Sumber: Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi