Sunday, February 8, 2015

Kepimpinan Untuk Pembelajaran


Apabila dikaji secara mendalam, konsep kepimpinan, lebih-lebih lagi dalam pendidikan, adalah sama dengan konsep pengajaran. Mengapa guru mengajar? Jawapannya tentulah untuk membantu murid belajar. Kata sendi ’untuk’ di atas bermaksud tujuan (purpose) iaitu tujuan pengajaran adalah membantu atau memudahcara (facilitate) murid belajar. Oleh itu, secara mudah bolehlah kita katakan bahawa pengajaran (teaching) adalah untuk pembelajaran. Hal ini bermaksud, guru yang baik pengajarannya (guru berkesan) mampu menghasilkan pembelajaran murid yang berkesan juga. Pengajaran dan pembelajaran berkesan mampu mengubah (transform) bukan sahaja individu yang terlibat dengan proses pendidikan itu, malahan organisasi pendidikan dan sistem pendidikan keseluruhannya.

Jika pengajaran mampu mempengaruhi perubahan diri dan orang lain secara individu atau kumpulan, pengajaran bolehlah disama ertikan sebagai kepimpinan kerana kepimpinan juga bermaksud tindakan mempengaruhi diri dan orang lain untuk berubah. Tepat sekali Kamras dan Kopp (2010) yang menganggap pengajaran sebagai kepimpinan (teaching as leadership). Hal ini selaras dengan MacBeth (2002) yang menyatakan ”Leadership, teaching and learning are integrally connected”. Dengan premis ’pengajaran adalah untuk pembelajaran’ dan ’pengajaran sebagai/adalah kepimpinan’ maka logiknya ialah ’kepimpinan adalah untuk pembelajaran’. Oleh itu, frasa kepimpinan untuk pembelajaran secara mudah bermaksud kepimpinan boleh membantu atau boleh bertujuan untuk membantu proses pembelajaran. Dalam konteks sekolah, kepimpinan untuk pembelajaran membawa maksud menyediakan pemimpin masa hadapan melalui proses pembelajaran, sama ada pembelajaran guru atau pembelajaran murid. Mereka dipimpin untuk memimpin.

Bagi The Cambridge Network seperti dilaporkan oleh MacBeth (2002) kepemimpinan untuk pembelajaran adalah model kepimpinan yang menggalakkan sifat-sifat berikut:

1. Independent of mind, inter-dependent, critical and informed
2. Persistent in its questioning of received wisdom
3. Demonstrating through its actions a persistent commitment to equality

Hal ini menggambarkan bahawa dalam kepimpinan untuk pembelajaran, pemimpin itu mempunyai pemikiran yang bebas, saling bergantung antara satu sama lain, kritikal dan sentiasa bermaklumat. Dia juga secara berterusan menyoal perkara-perkara penting dengan soalan tahap tinggi dengan tujuan untuk mempelajari kebijaksanaan (wisdom). Dia juga sentiasa mempamerkan tindakan-tindakan yang menggambarkan komitmen tinggi untuk memastikan kesamaan dalam pendidikan.

Dilaporkan juga oleh John MacBeth bahawa Hong Kong’s Education Commission Report (2000) telah mengusulkan tiga perubahan utama peranan guru kelas iaitu:

1. Daripada seorang yang menyampaikan ilmu kepada seorang yang memberi inspirasi kepada murid untuk membina dan membangun ilmu dengan kefahaman mendalam,
2. Daripada seorang yang melaksanakan kurikulum kepada seorang yang terlibat dalam pembangunan kurikulum berasaskan sekolah,
3. Daripada seorang yang melaksanakan dasar semata-mata kepada seorang yang memimpin dan menyumbang kepada perubahan.

Hal ini menggambarkan kepimpinan untuk pembelajaran sebagai kepimpinan yang akan membawa perubahan bukan sahaja kepada diri pemimpin itu sendiri, malahan organisasi, pengikut, murid dan seluruh warga yang dipimpin sebagai suatu sistem.



- drjamiladimin

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi