Tuesday, October 28, 2014

Pelajar Gagal Bertutur BM

Peranan sekolah tertentu yang sebahagian besar pelajarnya terdiri daripada pelajar Cina dan India yang gagal bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik akan dikaji semula, kata Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, ia susulan kajian Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, ramai kalangan pelajar bukan Melayu tidak boleh bertutur bahasa Melayu walaupun lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu Penyelidik Utama ATMA, Datuk Profesor Dr Teo Kok Seong dalam masa terdekat untuk meneliti kajiannya yang membabitkan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2010 itu.

“Kami akan ambil maklumat sebenar dan perlu melihatnya secara menyeluruh termasuk di mana dan kenapa ia berlaku.

“Jadi, satu kajian berhubung peranan sekolah pelajar berkenaan akan dibuat selepas melengkapkan maklumat berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 peringkat Sektor Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kementerian Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

ATMA mendedahkan hasil kajian yang dilakukan terhadap 14,000 pelatih di 79 kem PLKN di seluruh negara pada 2010 mendapati 604 pelatih bukan Melayu langsung tidak boleh berbahasa Melayu.

Sementara itu, mengulas perbezaan standard pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Idris berkata, perkara itu juga diambil serius dan pihaknya akan menanganinya menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.



0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi