Mulai
tahun ini, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan memperkenalkan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah dalam
usaha mengamalkan budaya tandas sekolah bersih terutama kepada golongan
pelajar.
Timbalan
Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu bakal digerakkan
melalui penyebaran poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas bersih
termasuk buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah di semua sekolah bermula
bulan ini.
"Usaha
berkenaan bagi mempergiat amalan menjaga kebersihan dalam kalangan murid dan
diharapkan melalui golongan ini, amalan itu dapat diperhebatkan kepada
masyarakat secara menyeluruh," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya,
baru-baru ini.
Selain
itu, beliau memberitahu, tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di seluruh
negara semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati
bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan
Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan pada tahun 2012.
''Kementerian
mempunyai senarai kantin dan dapur sekolah yang menerima markah bawah 70
peratus dan mereka ini diberi perhatian khusus seperti pemeriksaan akan dibuat
pada bila-bila masa supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan,"
katanya.
Beliau
turut menegaskan, mana-mana kantin yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan
pihaknya akan dikenakan tindakan tegas seperti premis mereka disita serta
merta.
Pada
masa yang sama, katanya, pada tahun lalu, sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan
dapur asrama ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Kata
Ka Siong, antara aspek yang diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap
kebersihan pengendali, penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis
serta kawalan serangga seperti lipas dan tikus.
Beliau
berkata, selain menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak
boleh atau tidak digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan
kempen bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan golongan itu.
Usaha
itu menurut beliau, termasuk memaparkan jumlah kalori dalam makanan yang dijual
di kantin, di sekitar kawasan sekolah serta memaklumkan pelajar jumlah kalori
yang ideal untuk kegunaan atau keperluan mereka
-
Utusan
0 comments:
Post a Comment