"Jika orang-orang melihat seorang
yang zalim tapi mereka tidak mencegahnya dikhuatiri Allah akan menimpakan
hukuman terhadap mereka semua," (HR. Abu Daud).
Maha Suci Allah yang mencipta alam
begitu indah, serasi, dan sempurna. Siang memperlihatkan keindahannya sendiri.
Begitu pun dengan malam dan manusia punya sisi lain di antara makhluk-makhlukNya.
Tegurlah Saudaramu, Walau Ia Tidak Meminta
Tidak semua orang punya kepekaan
tinggi. Kadang-kadang seseorang melakukan kesalahan di luar kesedarannya.
Sekali, dua kali, dan seterusnya. Setelah itu, kesalahan menjadi rutin.
Jarang orang mampu mencari kesalahan
diri tanpa bantuan orang lain. Bahkan, Rasul pun boleh khilaf dan Allah langsung
menegur melalui firmanNya.
Kerana itulah, seorang mukmin wajib
menegur saudaranya tanpa menunggu permintaan. Kesedaran akan kesalahan memang
bukan untuk ditunggu, apalagi dibiarkan. Justeru itu, ia perlu ditegur, itulah
hadiah mahal yang boleh kita berikan buat saudara seiman.
Tegurlah Saudaramu, Walau Ia Yang Paling Kamu Hormati
Malangnya, penghormatan yang sebenarnya
baik, boleh jatuh menjadi keburukan. Kerana penghormatan yang berlebihan dan
rasa segan, orang merasa bersalah jika melakukan teguran. Seolah, kesalahan
orang-orang yang dihormati menjadi sebuah kewajaran dan dilarang untuk
diperbetulkan. Padahal, kesalahan itu punya impak besar. Bukan cuma buat
dirinya, tapi juga orang lain.
Memang berat menegur orang yang
dihormati. Kadang-kadang teguran berhemah dipandang sinis atau diperlekehkan
oleh orang atasan, manakala orang bawahan lain memberi tanggapan serong pula
kepada kita kerana dianggap menentang, walaupun mereka tahu teguran itu ada
kebenaran. Perlu adanya kesedaran bahawa kesalahan dan kekhilafan milik semua
manusia. Siapa pun tidak terlepas membuat salah. Boleh jadi juga, orang yang
kita hormati sama sekali tidak menyedari kalau langkah atau perilakunya
tergolong salah.
Masalahnya tinggal pada cara. Agar,
maksud baik tidak diterjemahkan buruk. Teguran tidak dianngap menentang.
Justeru itu perlu memilih suasana dan kalimat yang bersesuaian. Seperti kisah Hasan
dan Husein ketika masih kanak-kanak pernah menegur seorang tua yang salah dalam
berwuduk. Mereka pun mencari cara yang begitu berakhlak.
Dua anak kecil yang ingin menegur ini minta
dinilai bagaimana cara berwuduk mereka sama ada salah atau benar. Selama
menyaksikan demonstrasi wuduk itulah, orang tua itu tersenyum menyedari
kesalahannya tanpa ia mengurangkan penghormatan terhadap dirinya.
Tegurlah Saudaramu, Walau Ia Jauh Lebih Pandai
Tidak ada manusia yang pandai dalam
segala bidang akan ada keterbatasan. Seorang pakar perubatan, tidak begitu
faham tentang enjin kereta. Seorang guru besar, tidak menguasai secara utuh
dalam mengurus emosi manusia. Begitu pun seorang pakar agama, jarang yang mampu
menangkap secara detail perjalanan politik.
Ketika kesalahan muncul, siapa pun dia,
patut ditegur. Memang, teguran untuk orang pandai tidak sama dengan yang biasa.
Perlu diberikan penerangan. Tidak cuma menyalahkan, tapi mampu menjelaskan
kenapa ia dianggap salah. Dari situ, lahirlah kesedaran bersama tentang sebuah
kebenaran. Tetapi yang menjadi halangan sejauh manakah tembok keegoan orang
berpangkat boleh menerima teguran dan mengucap terima kasih kerana menegur atau
memberi pandangan.
Tegurlah Saudaramu, Walau Ia Akan Marah
Adalah hak setiap manusia merasa benar
dalam semua sikap dan langkah yang diambilnya. Saat itulah orang merasa
bermaruah. "Inilah pilihan langkah saya." Dan itu akan ia pertahankan
walau apa pun halangannya. Sesiapa menentang dianggap lawan atau dipanjangkan
ke pihak atasan untuk “disingkirkan” tanpa diberi ruang pembelaan dan
penjelasan.
Inilah harga yang mungkin kita terima.
Sebuah teguran bukan lagi mendapat penghargaan, tapi penangan marah dan dilabel
sebagai bermasalah. Namun, inilah yang boleh dilakukan bagi yang perjuangkan
kebenaran. Diharap teguran baik boleh menjadi pertimbangan seseorang. Mudah-mudahan
kelak, akan mendapat kesedaran. Maha Benar Allah dalam firman-Nya, "Demi
masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang
beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati
kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. "(Surah
Al-'Asr: 1-3).
Wassalam.
Anda minat barangan
berikut:
0 comments:
Post a Comment