KUALA
TERENGGANU: “Saya tertarik untuk memakai tudung apabila melihat rakan yang
bertudung kelihatan cantik, sopan serta tidak perlu mendandan rambut yang pasti
mengambil masa lama,” kata Lee Jing Hwa, 7, yang mencuri tumpuan apabila
memakai tudung ketika mendaftar sebagai pelajar tahun satu di Sekolah
Kebangsaan Kampung Tengah, Manir, di sini, semalam.
Jing
Hwa, satu-satunya pelajar berketurunan Cina di sekolah itu, hadir ke sekolah
dengan berbaju kurung dan kelihatan tidak kekok memakai tudung seperti pelajar
perempuan Islam.
Bapanya,
Lee Chee Peng, 50, berkata, anak perempuannya itu mula memakai tudung sejak
berusia lima tahun ketika belajar di Tadika Kemas berhampiran rumahnya di Taman
Sri Manir.
Menurutnya,
walaupun ada tadika Cina dekat rumahnya, dia memilih menghantar anaknya itu ke
Tadika Kemas bagi membolehkannya bergaul dengan kanak-kanak Melayu.
“Saya
mahu dia mengalami persekitaran berbeza dan bercampur dengan rakan dari bangsa
lain memandangkan negara kita berbilang kaum.
“Guru
di tadika tidak memaksanya memakai tudung, malah membenarkan dia memakai gaun,
tetapi dia lebih suka pakai baju kurung dan bertudung kerana baginya nampak
lebih comel,” katanya yang tidak kisah dengan penampilan anak kelima daripada
enam beradik itu.
Menurutnya,
semua anaknya belajar di sekolah kebangsaan supaya mereka menguasai bahasa
kebangsaan menerusi pergaulan dengan rakan Melayu.
“Bagi
mempelajari bahasa Cina, saya menghantar mereka ke kelas tambahan.
“Sebelum
ini, ramai rakan termasuk keluarga mempertikaikan keputusan saya menghantar
anak ke sekolah kebangsaan, tetapi akhirnya mereka faham dan kagum kerana semua
anak saya termasuk Jing Hwa dapat bercakap bahasa Melayu dan Cina dengan baik,”
katanya.
-
HMetro
0 comments:
Post a Comment