SABAK
BERNAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih 200,000
guru muda di seluruh negara mempunyai peranan untuk melonjakkan kualiti dan
melaksanakan transformasi pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (2013-2025).
Muhyiddin,
yang juga Menteri Pelajaran, berkata guru muda adalah sebahagian daripada
bilangan keseluruhan guru di negara ini yang akan terus berada dalam sistem
pendidikan negara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
Oleh
itu, katanya, menjadi amanah besar kepada mereka untuk memikul tugas penting
melonjakkan kualiti pendidikan dan transformasi pendidikan menerusi pelan
pembangunan itu agar dapat mencapai sasaran mulai tahun ini sehingga 2025.
"Ini
bermakna anda berperanan bukan sahaja melonjakkan kualiti pendidikan tetapi
juga menentukan di mana sistem pendidikan kita akan berada dalam tempoh tiga
dekad yang akan datang.
"Dalam
erti kata lain, masa depan sistem pendidikan negara kita terletak di tangan
anda," katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M)
peringkat Zon Tengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di sini
hari ini.
Muhyiddin
berkata kementerian turut menekankan kepentingan 'Higher Order Thinking
Skills" (HOTS) iaitu mahu guru mempunyai keupayaan baru, penguasaan ilmu
yang lebih tinggi, bijak berbicara dan dapat menganalisis serta menterjemah
ilmu pengetahuan yang bukan setakat dalam bidang biasa.
Sehubungan
itu, katanya program bimbingan guru akan ditingkatkan pada masa akan datang
selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Katanya
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermurah hati memperuntukkan RM500
juta mulai tahun ini bagi melatih semula dan meningkatkan kemahiran guru dalam
bidang Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya bidang utama
dalam kurikulum dapat dikuasai semua guru.
"Ini
dianggap sebagai langkah awalan dan pelbagai langkah lain akan dilaksanakan.
Seperti yang diketahui, dalam pelan tersebut terdapat 11 anjakan besar, dan
antara yang akan diberi tumpuan ialah menjadikan profesion perguruan sebagai
profesion pilihan dan bukan memilih profesion guru untuk mendapat pekerjaan.
"Guru
bukan satu pekerjaan tetapi satu profesion. Guru adalah orang yang bijak dan
mahir yang berperanan untuk memajukan masyarakat dan negara," katanya.
-
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment