Thursday, July 5, 2012

Pendidikan Tingkatan Enam Lalui Penjenamaan Semula



YOGYAKARTA, 5 Julai (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara langkah-langkah yang akan diambil ialah memisahkan para pelajar berkenaan dari sekolah-sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat-pusat pengajian khas untuk tingkatan enam.

"Kami sedang memikirkan untuk menyatukan tingkatan enam, menggunakan pakaian yang berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang tidak sama, kategori yang lain sedikit (secara perbandingan dengan sekolah biasa)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, pada Khamis.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak semalam kerana menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengannya yang berakhir Khamis.

Timbalan Perdana Menteri berkata bagi menjayakan cadangan itu, pelajar-pelajar tingkatan enam wajar ditempatkan di pusat-pusat pengajian khas kerana bilangan mereka kini bertaburan di seluruh negara belajar dalam satu atau dua kelas di sekolah-sekolah tertentu.

Pada tahun ini, ada sejumlah 83,000 pelajar tingkatan enam dan 26,000 pelajar matrikulasi di seluruh negara.

Langkah untuk memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah biasa juga selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelajar pra universiti.

Umum pada masa ini melihat pendidikan tingkatan enam adalah kesinambungan daripada pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka enam adalah dalam kategori yang berbeza dan lebih matang daripada segi pemikiran, katanya.

Muhyiddin berkata penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihat bahawa tingkatan enam memang sebenarnya adalah pendidikan pra universiti yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan pusat asasi sains anjuran universiti-universiti awam tempatan.

Persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi adalah lebih baik daripada di tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing masuk ke universiti awam adalah sama.

Masyarakat, katanya, tidak harus melihat bahawa pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya, pencapaian pelajar tingkatan enam malah lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.

Sehubungan itu pelajar-pelajar lepasan SPM harus juga melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga merupakan antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra universiti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan dalam sistem pendidikan tingkatan enam telahpun dimulakan tahun ini melalui sistem pembelajaran tiga semester namun secara perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan pengajian mereka enam bulan lebih awal.

Ditanya tentang kemungkinan pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal supaya bersamaan dengan tempoh pembelajaran di kolej matrikulasi, beliau berkata perkara itu akan dikaji oleh Kementerian Pelajaran.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi