Friday, July 13, 2012

BERANIKAH KITA MELAFAZKAN KATA MAAF

Dendam biasanya bermula dengan marah. Rasa tidak puas hati dan akhirnya syaitan menyalutnya dengan benci. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai pesalah. Kita tidak puas hati ditegur. Kita timbulkan berbagai alasan untuk membuatkan teguran itu sesuatu yang perlu kita marahkan. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai tidak bersalah. Tiba-tiba ada orang aniaya kita, kadang-kadang menerima kata keji atau segala tindakan sengaja yang membuatkan kita marah. Maka kita timbulkan berbagai alasan untuk membuatkan situasi itu sebagai untuk menghamburkan amarah atau memendam rasa marah.

Mungkin kita akan rasa puas hati selepas menghamburkan segala kata amarah. Tetapi, ia memberikan luka yang dalam. Baik kepada yang dimarahi, atau kita sebagai pemarah.

Sebab itu, Islam menganjurkan bermaafan, dengan kemaafan, hati manusia itu akan bahagia.

Memang tidak mudah melafazkan kata maaf atau meminta maaf. Kita akan rasa diri kita rendah. Kita akan rasa bahawa kitalah yang kalah. Kita akan rasa bahawa dengan meminta maaf atau memaafkan maka kita kelihatan seperti pesalah atau kita berasa lemah.

Kita sedar, yang menghadang antara memaafkan dengan tidak atau melafazkan kata meminta maaf adalah sebuah tembok bernama EGO!

Kita sentiasa mendambakan kebahagiaan dan ketenangan hati tetapi, apakah jalan ke arah kebahagiaan itu mudah sentiasa? Tidak. Ia memerlukan pengorbanan.

Maka, untuk mendapat ketenangan hati dari tindakan memaafkan atau meminta maaf, kita perlu mengorbankan ego kita.

Percayalah bahawa, Allah akan memberikan kita sesuatu yang lebih baik, apabila kita memaafkan sesiapa yang menganiaya kita atau meminta maaf atas kealpaan kita sesama manusia.

“…dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nuur ayat 22.

Ganjarannya adalah keampunan Allah. Hanya dengan keajaiban kata MAAF. Tidakkah ganjaran itu sangat besar berbanding kesakitan jiwa memendam amarah?

Memaafkan mempunyai khasiat yang banyak. Selain menjaga hubungan harmonis antara sesama manusia, ia juga mengetuk kesedaran jiwa akan kesalahan diri sendiri terhadap orang lain.

Sebagaimana Rasulullah saw yang amat pemaaf, sifatnya itu mengetuk kesedaran pada ramai musuh-musuhnya. Kita dapat melihat betapa besarnya peribadi Rasulullah s.a.w apabila baginda memaafkan seluruh kaum Musyrikin Makkah ketika peristiwa Fathu Makkah.

Betapa memaafkan itu dapat mengurangkan tekanan, dan mengekalkan kemudaan. Manakala menyimpan dendam, menahan kemaafan mampu merosakkan sistem tubuh. Hal ini kerana apabila manusia berterusan marah, maka kitar suhu tubuh dan peraliran darahnya menjadi tidak teratur dan tidak seimbang.

Sentiasalah kita meminta maaf dan memaafkan. Jadilah orang yang hebat dan besar jiwanya, bukan orang yang besar egonya. Sesungguhnya kita manusia yang lemah, yang sentiasa diulit keegoan dengan kebolehan, kedudukan  dan pangkat diri yang tidak seberapa. MasyaAllah

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi