Thursday, July 5, 2012

Kerjasama Dengan Australia Dalam Program Bahasa Inggeris


YOGYAKARTA, 5 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan Australia terutama dalam program pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua

Katanya, kerjasama itu bukan sekadar untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar dalam bahasa Inggeris, malah lebih penting ialah meningkatkan kelancaran penguasaan guru-guru bahasa Inggeris sedia ada.

"Selain menambah guru, kita juga akan mengambil pakar-pakar bahasa Inggeris dari Australia atau menghantar guru-guru kita ke sana untuk menjalani latihan.

"Semua ini akan kita teroka dan belum diputuskan lagi," kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia di akhir mesyuarat pertama forum Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) peringkat Menteri Pelajaran di sini, pada Khamis.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran hari ini mengadakan pertemuan bilateral dengan Menteri Pendidikan Tinggi Australia Christopher Evans di luar mesyuarat EAS peringkat Menteri Pelajaran di sini.

Guru-guru bahasa Inggeris di seluruh negara kini berjumlah 60,000 orang yang ditempatkan dalam sistem persekolahan peringkat rendah dan menengah.

Timbalan Perdana Menteri berkata program kerjasama pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua antara Malaysia dan Australia merupakan kesinambungan kerjasama dalam beberapa program lain sebelum ini.

Kerjasama pendidikan dengan Australia meliputi usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan, ketrampilan perguruan dan kepimpinan para pendidik.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi