Friday, October 11, 2013

Renungan: Hasad Dengki Sesama Manusia


Setiap orang mungkin pernah mengalami perasaan ini, iaitu satu perasaan irihati terhadap orang lain yang memiliki kebaikan atau kelebihan. Perasaan ini mungkin bersama dengan harapan untuk mendapat kebaikan atau kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Dan pada masa yang sama juga mungkin irihati itu bersama cita-cita untuk melihat kejatuhan orang yang diirihatikan itu. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud;

"Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak menyelesakan hati mereka sedang jikalau kamu semua mendapat kemudaratan, maka merekapun bergembira disebabkan kemudaratan tersebut." (Surah al-Imran: 120)

Apakah pandangan Islam terhadap perasaan ini? Jika dilihat dari aspek sejarah kehidupan manusia, dengki ini sebenarnya telahpun lahir sejak zaman Nabi Adam a.s. sebagaimana kisah yang terdapat di dalam al-Quran. Allah berfirman;

"Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Nabi Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa". (Al-Mai'dah: 27)

Pengajaran yang boleh dapati berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad dengki menyebabkan seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang sesat. Telah dinyatakan bahawa;

"Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir."

Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: "Sesungguhnya pada nikmat Allah ta'ala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: "Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah."

Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seislam adalah keperluan bagi kekuatan umah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim. Orang yang berada dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang kebajikan kepada orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh saudaranya (seislam).

Hasad dengki juga lahir disebabkan merasa dirinya berada dalam kedudukan yang lebih tinggi dan mulia berbanding orang lain. Apabila dia melihat keadaan orang lain yang mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tidak dimilikinya, dia menjadi rasa tercabar. Perasaan tersebutlah yang dinyatakan sebagai dengki.

Orang yang mudah merasa iri hati terhadap orang lain biasanya amat menyukai kedudukan sebagai pemimpin atau ketua. Dia tidak mahu ada orang lain yang dapat menyainginya. Orang-orang sebegini sudah pasti tidak merasa senang apabila melihat ada orang yang lebih berwibawa dan berpengaruh daripadanya.

Sebagaimana kisah Habil dan Qabil tadi, hasad dengki merupakan sifat yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri pengamalnya.

Sekurang-kurangnya terdapat lapan kesan buruk yang boleh timbul akibat dari sifat dengki ini;

1) Sifat dengki mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang.

Apabila seorang muslim melakukan kebaikan, dia akan beroleh pahala. Malangnya, apabila dia mempunyai sifat dengki terhadap orang lain, amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukannya akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Jauhilah olehmu sekalian akan sifat dengki, kerana sesungguhnya dengki itu menghapuskan kebaikan, sebagaimana api menghanguskan kayu bakar." Yakni, boleh menyebabkan kufur.

2) Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan penderhakaan terhadap Allah.

Apabila hasad dengki telah bersarang di dalam dada seseorang, maka dia akan meluahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan (ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan harapan kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya itu akan hilang.

Dari Dhamrah bin Tha'labah, Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: "Manusia itu adalah baik selama mana mereka tidak saling dengki-mendengki."

3) Sifat dengki akan menyebabkan seseorang itu kehilangan syarat untuk menerima syafa'at pada hari kiamat.

Syafa'at adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya bagi seseorang yang menerimanya ketika Hari Akhirat. Ini kerana, seseorang yang menerima syafa'at diberi izin untuknya membantu orang-orang lain yang mengalami pelbagai kesusahan dan azab ketika hari perhitungan. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang mempunyai perasaan hasad dengki dan iri hati ketika hidup kerana perasaan ini berupaya menjadi penghalang yang amat besar baginya untuk menerima manfaat syafa'at pada hari akhirat yang boleh memudahkannya untuk menempuh pelbagai rintangan dan azab pada hari dia dihisab. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. dari Abdullah bin Basyar, Rasulullah bersabda, bermaksud: "Tidak termasuk golonganku si pendengki, orang mengadu domba, orang yang mempunyai ilmu menilik dan akupun tidak dari golongannya."

Kemudian baginda membaca ayat al-Qur'an yang maksudnya berbunyi: "Orang-orang yang menyakiti hati orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan di atas perkara yang tidak dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu telah melakukan dusta dan dosa yang nyata."

4) Oleh sebab dengki merupakan sifat yang menempah dosa, maka tentulah ia akan menyebabkan pengamalnya akan humbankan ke dalam neraka sekiranya dia tidak bertaubat.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang antara lain bermaksud; "Rasulullah telah ditanya mengenai enam golongan yang akan ditempatkan ke dalam neraka. Rasulullah menjawab., Enam golongan orang yang akan dimasukkan ke dalam neraka ialah, pemerintah yang menganiaya, orang Arab dengan sifatnya yang fanatik, penjajah dengan keangkuhan mereka, usahawan dengan perbuatan khianat, orang kampung dengan kebodohan mereka dan para ulama dengan sifat dengki mereka."

5) Sifat dengki juga akan menyebabkan seseorang itu boleh melakukan perkara yang boleh memudaratkan orang lain.

Contoh yang paling mudah adalah dengan melihat kisah Habil dan Qabil pada awal perbincangan tadi. Hasad dengki dan dendam kesumat yang wujud dalam perasaan Qabil telah menyebabkan kematian Habil. Di dalam hal ini, Habil telah menerima kemudaratan yang amat dahsyat disebabkan rasa hasad abang kandungnya sendiri. Apabila seseorang telah melakukan kemudaratan kepada orang lain, tentulah kesan buruknya akan pulang semula kepada dirinya. Selain itu, pengajaran lain yang boleh didapati di sini, kita seharusnya memohon perlindungan dari kejahatan orang yang berhasad dengki. Di dalam hal ini Allah s.w.t. telah menyentuh perkara ini dalam firmannya yang bermaksud; "dan dari kejahatan orang yang mendengki."

6) Memiliki hasad dengki akan hanya menyebabkan kesusahan dan kesulitan kepada pemiliknya.

Orang yang memiliki sifat ini tidak pernah merasa selesa dengan keadaan dirinya sendiri. Tidak ada ketenangan dalam dirinya kerana hanya memikirkan kelebihan dan kebaikan orang-orang yang berada di sekelilingnya dan merasakan dirinya juga wajar untuk memiliki kelebihan tersebut.


7) Hasad dengki yang berada di dalam hatin akan menghalang pintu hati daripada memahami secara sebenarnya tentang ilmu-ilmu agama dan perkara-perkara mengenai hukum hakam.

Hati akan menjadi gelap dan sesungguhnya orang-orang ini akan berada dalam kerugian. Ini kerana orang lain dapat memahami dengan mudah mengenai ilmu-ilmu agama, dan kesannya perhubungannya di antara hamba dengan Pencipta akan menjadi semakin dekat berbanding dengan orang yang mempunyai hasad dengki. Oleh sebab tidak ada keinsafan dalam dirinya, maka perhubungannya dengan Allah s.w.t. menjadi semakin jauh. Kata Sufyan dalam hal ini; "Jangan engkau menjadi orang yang dengki lagi mudah membuat kesimpulan."

8) Orang yang mempunyai hasad dengki akan sentiasa terhalang dari mendapat kebaikan dan keuntungan, bahkan dia menguntungkan musuh-musuhnya.

Ini kerana, orang-orang yang mempunyai rasa dengki lazimnya akan merasa iri hati pada orang-orang yang baik, yang sewajarnya menjadi orang yang dikasihinya sebagai saudara seagama. Walaupun demikian, disebabkan sikapnya yang buruk itu, musuh-musuh orang yang didengkinya itu akan lebih beruntung. Tugas musuh-musuh ini akan menjadi lebih mudah untuk menjatuh atau memusnahkan orang yang mempunyai kebaikan dan kelebihan tersebut.

Selain itu, sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, sikap ini akan merugikan orang yang berhasad dengki. Oleh sebab dia telah menjauhkan dirinya dari orang-orang yang didengkinya dan pada masa yang sama dia juga tidak mendapat manfaat daripada orang yang didengkinya. Keadaan ini sesuai dengan satu kata-kata hikmat yang mengatakan; "Orang yang berhasad itu tidak akan menuai hasil keuntungan."

Islam memberi panduan dan pedoman bagi mereka yang mahu menyelamatkan diri dari belenggu dosa ini. Ilmu dan takwa adalah senjata sebenar yang dapat melawan perasaan yang boleh menjahanamkan manusia ini. Ilmu yang dimiliki oleh manusia dapat memberi amaran tentang akibat-akibat yang bakal diterima sekiranya perasaan ini diamalkan. Peminggiran dari aspek sosial sebenarnya adalah kerugian yang amat besar bagi seseorang manusia yang ingin diterima masyarakat. Melalui ilmu juga, seseorang manusia akan berusaha untuk mencapai darjah ketakwaan.

Kesimpulannya, hasad dengki hanya akan menyebabkan kerugian kepada orang yang memilikinya dan kepada agama Islam sendiri. Bagi individu yang memilikinya, dia akan terpinggir dari hidup bermasyarakat, mempunyai perasaan yang sentiasa tidak aman dan akan menyebabkannya melakukan perkara-perkara yang lebih keji. Apabila dia berada di akhirat, akan menanggung kerugian yang lebih besar, tidak tertanggung dan menempah penyesalan yang tidak terkira kerana tidak layak untuk menerima dan mendapat syafa'at dan tidak ditempatkan dalam tempat yang penuh kebaikan, kemewahan dan keberkataan, yakni syurga. Walaupun kerugian itu ditanggung secara personal oleh pengamalnya, akan tetapi ia juga memberi kesan yang tidak baik kepada ukhuwwah islamiyyah. Umat Islam akan menjadi tidak bersatu dan tidak akan menjadi sebuah umat yang kuat sekiranya sifat ini diamalkan oleh orang-orang Islam. Akhirnya, umat Islam secara keseluruhannya yang akan rugi.

Subnaallah.

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi