Thursday, October 3, 2013

Lebih 400,000 Calon Duduki Peperiksaan PMR Terakhir

Sebanyak 462,940 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terakhir, di 3,530 pusat peperiksaan di seluruh negara, semalam.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM), peperiksaan itu akan berlangsung selama lima hari berakhir 9 Okt.

Mengikut pecahan, sebanyak 430,146 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (6,024 orang), calon sekolah menengah agama negeri (9,906 orang ) dan calon sekolah swasta (13,637 orang).

Sementara itu, calon persendirian 1,008 orang dan calon sekolah menengah agama rakyat 2,219 orang.

PMR yang diperkenalkan sejak 1992 akan dimansuhkan mulai tahun depan.

Di TERENGGANU, 22,497 calon mengambil peperiksaan itu di 183 pusat peperiksaan di sekolah dan enam di hospital.

Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Husin berkata 158 calon merupakan Calon Berkeperluan Khas (CBK) termasuk mereka yang buta, rabun, pekak dan bisu.

"Bagi calon ini, kita telah sediakan kertas peperiksaan khas seperti kertas peperiksaan cetakan Braille dan cetakan besar serta masa tambahan antara 15 hingga 40 minit diberikan untuk mereka," katanya kepada Bernama.

"Seorang calon dari Hulu Terengganu kita klasifikasikan sebagai calon rabun tiba-tiba, yang mana beliau tidak mengalami apa-apa masalah semasa mendaftar sebagai calon PMR dahulu.

"Tetapi pada dua minggu terakhir ini, beliau disahkan oleh doktor mengalami masalah rabun dan kita kategorikan beliau sebagai calon rabun tiba-tiba dan beliau akan diberikan kertas peperiksaan cetakan besar seperti calon CBK yang lain.

Tinjauan Bernama di sekitar sekolah di bandar raya ini pada hari pertama peperiksaan mendapati, seawal jam tujuh pagi ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk menduduki peperiksaan dan ada di antara mereka yang mahu menunggu di sekolah untuk solat hajat dan membaca surah Yasin sehingga anak mereka selesai menjawab peperiksaan.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi