Monday, October 14, 2013

Guru Asean Berikrar Beri Pendidikan Berkualiti

Majlis Guru-Guru Asean (ACT) meluluskan empat resolusi yang menekankan peranan profesionalisme dalam menyampaikan pendidikan berkualiti ke arah merealisasikan matlamat Komuniti Asean 2015.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berkata pendidikan berkualiti harus dicapai melalui syarat kemasukan yang ketat, latihan dan pembangunan guru profesional secara berterusan.

Bagi mencapai matlamat ini beliau menegaskan pendidikan berkualiti memerlukan tiga elemen penting iaitu pembelajaran dan pengajaran berkualiti; kurikulum kontemporari, alat dan sumber pembelajaran untuk melengkapkan pembelajaran kanak-kanak dan persekitaran kondusif bagi pembelajaran dan pengajaran.

"Kita perlu memastikan akses yang sama kepada pendidikan berkualiti di semua peringkat tanpa diskriminasi dan ia harus bermula seawal sekolah rendah," katanya kepada pemberita pada majlis penutupan Persidangan ACT ke-29 di sini hari ini.

Kira-kira 900 delegasi dari Brunei, Indonesia, Thailand, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam, serta Korea Selatan menghadiri persidangan empat hari bermula Jumaat lepas.

Berhubung resolusi lain, Hashim berkata profesionalisme guru boleh dipertingkatkan melalui pengambilan terpilih, pembangunan profesional berterusan dan pembangunan kerjaya menyeluruh.

"Pembangunan profesional berterusan merupakan kunci kepada pendidikan berkualiti bagi guru-guru Asean, memandangkan ia boleh menghasilkan pengagihan guru secara adil dan saksama serta berkualiti.

"Dalam paradigma pendidikan holistik, peranan guru ditakrifkan sebagai pemudah cara pembelajaran dan pembentukan peribadi. Ini membolehkan guru menumpukan perhatian dalam mewujudkan suasana di dalam kelas untuk memudahkan pembelajaran kendiri," katanya.

Sehubungan itu, Hashim berkata NUTP sedang menyiapkan cadangan kepada Kementerian Pendidikan untuk menganjurkan Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan untuk guru besar dan pengetua sekolah.

Kursus ini akan melengkapkan guru besar dengan komunikasi dan kemahiran pengurusan masa untuk membolehkan mereka memahami peranan mereka dan melaksanakan tugas dengan lebih baik, katanya.

Resolusi lain memberi tumpuan kepada interaksi lebih rapat antara guru bagi memupuk muhibah dan persefahaman dengan komuniti Asean, di samping meningkatkan kerjasama antara negara Asean dan organisasi pendidikan untuk membangunkan, mengekalkan dan menyokong standard profesionalisme guru.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi