Thursday, October 31, 2013

Adab Berbeza Pendapat

Manusia dijadikan Tuhan dengan fitrah bahawa setiap seorang daripada mereka dibekalkan dengan potensi ingin tahu, dihormati, diterima pendapatnya, dipenuhi kehendaknya dan tidak tercabar maruah diri serta keluarga atau lingkungan hidupnya. Kesemua itu mendorong manusia mempertahankan keyakinan, kepercayaan dan pendapatnya apabila disangkal atau dicabar. Perselisihan, persengketaan hatta peperangan boleh terjadi kerana perbezaan pendapat antara seorang dengan seorang yang lain adalah juga fitrah. Tidak ada satupun pendapat yang benar-benar sama dimiliki oleh dua orang yang berbeza.

Sejarah perselisihan pendapat berlaku seawal Nabi Adam mendapat dua pasang anak kembar iaitu Qabil dan pasangan perempuannya serta Habil dan pasangan perempuannya. Qabil berpendapat dia sepatutnya dikahwinkan dengan pasangan kembarnya yang pada pendapatnya juga lebih cantik sedang Habil berpendapat sebaliknya. Walaupun pendapat Habil sepatutnya lebih benar kerana disokong oleh hukum yang ditentukan Tuhan yang tidak membenarkan perkahwinan antara adik beradik kembar, Qabil tetap dengan pendiriannya. Akibatnya Qabil telah membunuh adik kandungnya sendiri walaupun terpaksa mengingkari ketentuan Tuhan.

Kesan daripada berbeza pendapat adalah besar jika tidak diurus dengan baik. Sebaliknya jika kita dapat mengurus perbezaan pendapat dengan sempurna keuntungan besar pula diperoleh bukan sahaja individu terlibat malahan organisasi dan masyarakat amnya.

Perbezaan pendapat sebenarnya suatu rahmat yang mengandung banyak kebaikan. Hadith Nabi S.A.W ada menyebut “Al ikhtilafu fi ummati rahmatun” yang bermaksud perbezaan pendapat di kalangan ummatku adalah suatu rahmat. Dalam tahun 1987 ketika di Mina Makatul Mukarramah mengerjakan haji, seorang rakan membacakan hadith ini kepada saya sambil membayangkan bagaimana jika tiada perbezaan pendapat di kalangan mazhab tentang masa melontar jumrah. Dengan adanya perbezaan pendapat itu, jemaah haji boleh melontar di tempat yang sama mengikut masa yang berbeza berdasarkan pandangan mazhab yang dianuti.

Berikut digariskan adab berbeza pendapat agar pendapat yang kita berikan bukan sahaja diterima dan dimanfaatkan malahan perselisihan faham tidak membawa persengketaan.

1. Tertib dan berfikir sebelum anda bercakap memberi pendapat. Pendapat anda sebaik-baiknya hendaklah berasaskan prinsip, prosedur, fakta dan doktrin umum berkenaan perkara yang dibincangkan.

2. Amalkan prinsip berkomunikasi peringkat tinggi apabila anda berbincang dan mengemukakan pendapat secara rasmi:
  • Tunggu giliran anda bercakap semasa orang lain sedang bercakap. Elakkan mencelah atau memotong cakap orang lain tanpa kebenarannya.
  • Pelajari kemahiran mendengar kerana ia adalah kemahiran abad ke-21.
  • Gunakan bahasa yang baik dengan struktur yang betul dan tidak menyakiti hati mana-mana pihak. 
  • Sesuaikan laras bahasa dan suara anda apabila bercakap sehingga tidak terlalu sukar untuk didengar dan difahami oleh audiens anda. 
3. Elakkan mempertikai pandangan dan pendapat orang lain. Jika anda terpaksa berbuat demikian, ikuti petua Dale Carnegie dalam Golden Booknya jika anda ingin pandangan anda dihormati orang:
  • Jangan mengkritik, kondem atau komplain pendapat orang lain yang anda tidak persetujui.
  • Berikan penghargaan atau pujian yang ikhlas terhadap pandangan atau pendapat yang anda tidak bersetuju sebelum anda memberi pandangan sebaliknya.  
  • Gembirakan hati orang yang anda tidak setuju pandangannya sehingga dia tidak merasa keberatan untuk menerima pendapat anda atau tiada masalah dengannya.
  • Tunjukkan minat anda untuk mendengar dan mengikuti dengan sabar dan asli pendapat orang itu sebelum anda mengemukakan pula pendapat anda.
  • Sentiasa berikan senyuman ketika berbicara kerana dengan senyuman orang lebih mudah menerima pendapat anda yang berbeza dengannya.
  • Address orang yang anda ajak bicara atau hujah pendapatnya dengan namanya yang betul dengan salutation yang sesuai kerana secara psikologi anda menghormatinya walaupun berbeza pendapat dengannya.
  • Bercakap atau berhujah dari perspektif orang yang berbeza pendapat dengan anda. Sebagai contoh, jika anda subordinate kepada seorang ketua yang anda tidak bersetuju dengannya, berikan hujah anda mengikut dasar dan peraturan yang digariskan olehnya atau oleh jawatan yang disandangnya. Sebaliknya, jika anda ketua, sampaikan hujah anda ‘seolah-olah anda berada di dalam kasutnya’.
  • Jadikan orang yang berbeza pendapat dengan anda berasa penting bukan sahaja kepada anda tetapi juga kepada organisasi atau institusi. Disarankan supaya anda lakukan dengan ikhlas.
4. Cara terbaik untuk mengelak perselisihan atau pertelingkahan yang disebabkan oleh perbezaan pendapat ialah elak berhujah (berargumentasi), sebaliknya terima sahaja mana-mana pendapat yang disenangi ramai. Ramai orang terperangkap dalam pertelingkahan perbezaan pendapat hanya dalam perkara yang remeh atau dalam perkara yang samar kebenarannya atau mana-mana pendapatpun boleh diterima. Jika pendapat yang anda rasa betul dipertikai orang, membiarkan orang lain mempertahankannya adalah lebih baik dan lebih mulia daripada anda sendiri berbuat demikian.

5. Tunjukkan hormat anda kepada pendapat orang lain. Jangan sekali-kali mengatakan orang lain salah. Mungkin betul dia salah tetapi cuma satu sedangkan salah anda mungkin dua. Jika anda salah, jangan malu segera mengakuinya dengan ikhlas, empati dan semangat setiakawan.

6. Apabila anda merasa dan mendapati pendapat anda diterima ramai sedangkan pendapat orang lain sebaliknya, lebih baik anda berikan peluang kepada orang lain merumus atau menyatakan penerimaan keputusan yang akan diambil. Membiarkan orang itu merasa bahawa itu adalah pendapatnya adalah lebih baik dan lebih mulia walaupun hakikatnya adalah pendapat anda.

7. Berlaku adil, simpati dan hormat orang yang pendapat dan kehendaknya tidak diterima. Caranya mungkin dengan tidak mengulang-ulangi pendapat orang itu selepas pendapat lain diterima atau nyatakan bahawa pendapatnya betul tetapi lebih elok jika diterima pada masa dan situasi lain.

Apa yang saya kemukakan di atas juga merupakan pendapat peribadi yang ditulis berdasarkan pengamatan dan rujukan terutama Dale Carnegie yang tidak bebas daripada kesilapan dan kesalahan. Saya tidak merayu apatah lagi menuntut agar pendapat saya diterima. Jika ada kebaikannya pertimbangkanlah untuk diamal. Sebaliknya, jika tiada kebaikan apatah lagi jika ada mudharat, kesampingkanlah.


- drjamiladimin

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi