Friday, October 18, 2013

Idris: Atasi Gangguan ICT

Kerajaan berusaha menyelesaikan masalah gangguan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) mencapai objektif pelaksanaannya.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, matlamat PPPM adalah menjadikan sekolah di Malaysia satu pertiga terbaik di dunia menjelang tahun 2025.

Menurutnya, kerajaan akan meminta kerjasama operator dan pembekal terbabit meningkatkan tahap kelajuan jalur lebar di sekolah.

“Masalah ICT akan dipertingkatkan termasuk isu kelajuan dan sambungan jalur lebar selaras dengan hasrat kerajaan bagi memastikan penggunaan ICT dapat dipertingkatkan kepada murid dan pelajar di sekolah.

“Masalah yang timbul kebanyakan berhubung dengan talian jalur lebar mula-mula dipasang mungkin ada masalah teknikal.

“Saya rasa ini adalah masalah di peringkat awal pelaksanaan program. Ini kerana jika kita lihat mana-mana pun apabila sudah wujudkan sistem itu, kadangkala apabila pengguna ramai ia akan jadi crowded (sesak).

“Namun ini bukan masalah yang besar dan tidak boleh diatasi, insya-ALLAH kita akan atasi secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Jerayawara PPPM 2013-2025 di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Md Noor A Ghani.

Program berkenaan dihadiri kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada guru, guru besar, pengetua, ketua sektor jabatan pendidikan, pegawai pendidikan negeri Johor serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Idris berkata, program sehari berkenaan bertujuan memberi penerangan dan penjelasan sebenar mengenai PPPM yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Saya lihat ramai lagi yang tidak faham mengenai PPPM. Ada yang mengatakan program ini tidak memberi penekanan kepada Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik serta peperiksaan.

“Atas sebab itu, kita datang ke negeri-negeri supaya semua golongan terbabit mendapat pendedahan dan pemahaman mengenai pelaksanaan PPPM,” katanya.

Selain itu, katanya, sekiranya sistem dilaksanakan memberi penguasaan kepada guru dan murid di sekolah, ia akan menjadikan masalah ponteng sekolah dapat diatasi.

“Malah sebenarnya jika sistem ini memberi penguasaan kepada guru dan murid, murid mahu ke sekolah dan suka belajar.

“Ini kerana sistem pembelajaran tidak lama, tetapi memberi penumpuan kepada murid dan pelajar secara tidak langsung ia dapat mengurangkan masalah kehadiran di sekolah,” katanya.

- sinarharian

2 comments:

zulken79 said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Hahaha..lawak betul..minta buat online sarana ibu bapa..bg tempoh sampai hujung bulan 10..tp line mcm tapir..dah email byk kali sbb nak komplen..nak isi satu borang pun kena refresh berjuta kali..taraf afrika je..sembang je lebih..

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi