Thursday, December 8, 2011

TIADA PENGANIAYAAN

Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)



PUTRAJAYA: Tidak wujud isu penganiayaan terhadap penjawat awam yang menyertai skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Januari depan.


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar berkata, kakitangan awam yang memilih SBPA tidak perlu bimbang kerana banyak faedah dan kebaikan yang boleh didapati melalui skim baru itu. Menurutnya, skim itu turut memperbetulkan andaian sesetengah pihak yang mendakwa ia mengurangkan jumlah kakitangan awam yang berkhidmat dalam pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan. “Misalnya, sekiranya seorang penjawat awam itu memperoleh markah bawah 70 peratus dalam masa setahun, penilaian selama enam bulan terhadapnya akan dilakukan badan khas. “Justeru, individu itu tidak akan diberhentikan tanpa pembelaan kerana kita akan menilainya secara telus dan terperinci,” katanya selepas menandatangani pekeliling SBPA, di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr Ismail Alias. Pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan memperkenalkan sistem SBPA bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dalam usaha melakukan transformasi perkhidmatan awam di negara ini supaya lebih dinamik, responsif serta berorientasikan prestasi.


Pengumuman itu dibuat ketika Najib membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat. Abu Bakar berkata, seramai 1.4 juta penjawat awam akan menerima surat selewat-lewatnya 15 Disember ini untuk mengikuti skim SBPA atau kekal dengan sistem lama. “Mereka diberi tempoh mulai 16 hingga 30 Disember untuk membuat keputusan menyertai skim berkenaan atau meneruskan dengan skim sedia ada,” katanya. Sementara itu, Abu Bakar berkata, penjawat awam tetap diutamakan untuk menjawat jawatan tertinggi kerajaan termasuk Kumpulan Primier walaupun wujud dasar yang membolehkan ‘orang luar’ mengisi kekosongan dalam skim SBPA. “Kalau ‘orang luar’ itu banyak membuat kerja belum tentu kita boleh anggap dia terbaik untuk menjadi penjawat awam kerana dia pun perlu melalui pelbagai proses dan saringan seperti kakitangan awam lain. “Empat individu yang akan ditugaskan menilai ‘orang luar’ terbabit iaitu Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara,” katanya. Sebelum ini, akhbar melaporkan melalui skim SBPA, jawatan premier perkhidmatan awam peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk bagi mengisi jawatan berkenaan. Ia mendapat bantahan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kerana dilihat seperti menganaktirikan penjawat awam sedia ada.


Sumber: Metro Online

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi